FGVH: Louis Dreyfus tak tarik diri, kata menteri
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menolak dakwaan bahawa syarikat Louis Dreyfus commodities (LDC) menarik diri daripada memiliki sejumlah saham Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH).
Bercakap dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian berkata perbincangan dan rundingan dengan syarikat tersebut masih lagi diteruskan.
"Perbincangan masih diteruskan dengan Louis Dreyfus. Tidak betul bahawa Loius Dreyfus menarik diri. Cuma nilainya mungkin kurang sedikit daripada 2.5 peratus," katanya ketika menjawab satu soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat hari ini.
Nurul Izzah berkata syarikat itu menarik diri daripada memiliki 2.5 peratus pegangan dalam FGVH, antaranya disebabkan yuran tinggi.
Nurul Izzah berkata demikian dengan memetik laporan The Edge hari ini yang menyebut bahawa LDC tidak dapat melabur dalam FGVH di peringkat tawaran awal permulaan kerana masih tidak dapat mengesahkan kepentingannya, sebelum tempoh untuk tawaran institusi berakhir pada 13 Jun.
Ia rentetan kepada memorandum persefahaman antara LDC dan FGVH dalam bidang penapisan minyak dan logistik, dilaporkan ditandatangani pada 14 Mei lalu.
Ramai lagi pelabur lain
Ahmad Maslan seterusnya berkata permintaan untuk membeli terbitan sekuriti tersebut, dalam tawaran 1.92 bilion saham untuk institusi, kini meningkat 44 kali ganda.
"Jadi tidak ada masalah dalam hal itu. Ramai lagi pelabur lain (yang) bersedia.
"Walaupun begitu, perbincangan dengan LDC masih diteruskan. Tak jadi hal, wahai Lembah Pantai," katanya.
Ahmad turut ditanya mengenai kaedah yang akan diambil Felda dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya selepas penyenaraian tersebt.
Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) meminta Ahmad menjelaskan kaedah berkenaan, khususnya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
Dalam jawapannya, Ahmad berkata faedah dan kemudahan yang diterima oleh golongan berkenaan tidak akan disekat selepas penyenaraian FGVH.
"Ini kerana pembahagian tugas yang berbeza akan diteruskan. Segala yang dinikmati oleh warga Felda tidak akan dipotang atau dikurangkan seperti dividen EPF, bonus produktiviti, duit hari raya, khairat kematian, pinjaman pembesaran rumah tanpa riba, tabung kebajikan kepada semua generasi kedua ketiga, latihan kemahiran, dan pembangunan usahawan.
"Penyenaraian FGV juga turut dikongsi bersama dengan penduduk kampung tradisional yang tinggal dengan tanah rancangan Felda," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan