KPF Tolak Isa Samad Keputusan Baik – ANAK
SHAH ALAM 22 JUN :Keputusan mesyuarat agung tahunan (AGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF) Malaysia Berhad tidak meneruskan pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai anggota lembaga pengarahnya adalah keputusan yang baik demi masa hadapan Felda.
“Ia satu keputusan yang menggembirakan dan kita berkeyakinan dengan perkembangan mutakhir ini yang tidak memihak kepada mereka yang hendak menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings(FGVH), saya cukup optimis walaupun 28 Jun ini akan dimuktamadkan untuk penyenaraian FGVH ia akan menemui kegagalan,” kata Mazlan Aliman.
Mazlan yang merupakan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berkata Isa Samad tidak layak menjadi ahli KPF kerana beliau bukan kakitangan tetap Felda.
Beliau berkata, adalah wajar KPF ini diuruskan oleh kalangan professional yang berkelayakan dan bukan daripada orang-orang politik yang mempunyai agenda sendiri.
“Bila ada campurtangan politik berlaku ia akan menyebabkan proses transformasi dasar-dasar KPF yang digariskan oleh Lembaga Pengarah sedia ada akan terencat yang akan menyebabkan nanti dasar-dasar ini nanti tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Jelas Mazlan, peningkatan dividen kepada 18 peratus pada tahun ini yang diberikan kepada pemegang-pemegang saham adalah kejayaan yang perlu dikekalkan tanpa campurtangan orang-orang politik yang dibimbangi boleh menjejaskan pencapaian cemerlang KPF kini.
“Dengan kepimpinan KPF sedia ada, saya percaya mereka mampu melonjakkan prestasi KPF sebagai peneraju koperasi terbaik di Malaysia,” ujarnya.
Di bawah Undang-undang Kecil fasal 36(1) dan 36(2), Lembaga Felda dikehendaki melantik tiga orang calon dari kalangan ahli koperasi untuk menganggotai Lembaga KPF.
“Sebab sekarang ini Isa Samad tidak boleh menguasai KPF adalah kerana beliau dan Lembaga Pengarah KPF sedia ada tidak senada dan sehaluan.
“Kalau Isa Samad dinobatkan sebagai pengerusi KPF, ia akan membawa KPF kepada penyenaraian,kerana itu adalah perancangan beliau,” ujar Mazlan.
Sebelum ini, keahlian Isa dibekukan sementara Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Hakim Abang Iskandar Abang Hashim mendapati terdapat merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dalam KPF.
Pembekuan keahlian Isa sekaligus menghalang beliau daripada dicalonkan sebagai Anggota Lembaga KPF.
Sekiranya berjaya menganggotai Lembaga KPF, Isa dijangka akan menjadi pengerusi KPF baru menggantikan pengerusi sekarang, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.
Global Felda Ventures Holdings (FGVH) dimiliki 100 peratus oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang mana 49 peratus pegangannya dimiliki oleh Felda Holdings.
Manakala, KPF yang dianggotai oleh kira-kira 112,627 peneroka dan 23,000 pekerja Felda pula memiliki pegangan sebanyak 51 peratus di dalam Felda Holdings.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan