16 Julai 2011

Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) mesti diadakan semula

IPCMC mesti diadakan semula
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Julai: Tragedi keganasan polis pada himpunan Bersih 9 Julai lalu menuntut Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) mesti diadakan semula.

“Suruhanjaya ini perlu dihidupkan semula memandangkan imej polis semakin tercalar di pandangan dunia,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad kepada Harakahdaily.

Katanya, sebagai sebuah badan penguatkuasa di negara ini, polis sepatutnya perlu menunjukkan sebagai sebuah badan yang berwibawa.

Menurutnya, pelanggaran hak asasi dan undang-undang berlaku dengan sewenang-wenangnya, seolah-olah negara ini tidak mempunyai undang-undang dan prosedur tangkapan.

Beliau berkata, penguatkuasa yang wujud pilih kasih ke atas rakyat Malaysia kerana berlainan ideologi telah berlaku dalam himpunan 9 Julai lalu.

Katanya, Patriot yang dipimpin oleh Pergerakan Pemuda Umno dibiar bermaharajela, sedangkan penyokomg Bersih ditangkap walaupun sekadar berbaju Bersih.

Ini, ujarnya seolah-olah mereka yang menyokong kerajaan kebal dari tindakan, manakala rakyat yang menuntut keadilan melalui jaminan undang-undang diburu seperti penjenayah bersenjata berat

Menurut beliau, sekiranya Suruhanjaya Aduan dan Tingkah Laku Polis tidak diadakan imej polis bertambah buruk di kalangan masyarakat awam.

“Kesian kepada polis yang baik dan profesional ketika menjalankan tugas. Sekarang wajah polis dianggap alat BN bukan alat untuk mempertahankan keamanan negara,” ujarnya.

Beliau menambah, suruhanjaya itu bukan sahaja untuk melihat tingkah laku polis, malah untuk meningkat profesional polis dalam perkhidmatan supaya mereka bertindak selari dengan keluhuran undang-undang.

“Kita cukup simpati kepada polis ketika mereka berada di mahkamah yang gagal menjawab soalan peguam bela dengan baik dan menjadi bahan ketawa terutama berhubung kait dengan Akta Polis,” katanya.

Menurutnya lagi, semasa mereka bertindak kepada penyokong Pakatan Rakyat mereka tidak mengambil kira apa yang mereka bertindak itu betul atau tidak.

Akhirnya, kata beliau mereka menerima padah di dalam perbicaraan, contohnya bekas Ketua Polis Rompin diarahkan membayar RM200 ribu kepada Dr Hatta Ramli, Mazlan Mohd Yasin kerana tangkapan tidak sah dalam satu ceramah di Rompin.

“Atas asas ini jika Pakatan Rakyat memerintah suruhanjaya ini perlu disegerakan supaya imej polis dipulihkan angkara negara di bawah pemerintahan BN,” katanya

Kuning: Najib terima tamparan di London

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima tamparan hebat dalam

kunjungannya ke London, hari ini apabila turut disambut puluhan penunjuk perasaan berbaju kuning yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan asing yang menyokong perjuangan Bersih 2.0.

Mereka berkumpul di Mansion House di London sejam sebelum ketibaan Perdana Menteri yang dijadual mengadakan pertemuan dengan tokoh perniagaan Britain.

Lebih hebat lagi, semalam, Ratu Elizabeth turut memakai gaun berwarna kuning ketika menerima mengadap Najib dan Rosmah di Istana Buckingham, London.

Manakala Setiausaha Pengangkutan Negeri, Philip Hammond bertali leher kuning ketika mengiringi Najib melawat Stesyen Kereta Api London.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, tindakan puluhan penunjuk perasaan, Ratu Elizabeth dan Philip Hammond itu merupakan satu tamparan yang besar terhadap Najib akibat kegagalannya menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu dengan baik.

Menurut beliau, dalam hal ini, Najib perlu sedar, seluruh dunia sedang memerhatikan kerajaan Malaysia sekarang kerana kegagalannya menangani perhimpunan itu dengan baik.

Katanya, sebelum ini, pemimpin-pemimpin dunia menganggap kerajaan BN adalah kerajaan yang rasional, tetapi kekerasan polis terhadap para peserta himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu telah mengubah pandangan pemimpin-pemimpin dunia terhadap pemimpin BN.

"Kekerasan polis dalam menyuaraikan perhimpunan itu ternyata telah mendatangkan kejutan kepada pemimpin-pemimpin dunia terhadap kerajaan BN yang dianggap rasional sebelum ini, tetapi sebenarnya bertindak keras terhadap rakyat.

"Jadi tindakan penunjuk-penunjuk perasaan, Ratu Elizabeth dan Philip Hammond itu adalah satu sindiran serta teguran kepada Najib agar mengubah sikap terhadap rakyat supaya tidak bertindak keras, tetapi menangani perhimpunan aman dengan baik seperti pemimpin-pemimpin di negara-negara maju," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Untuk memulihkan kembali imej kerajaan BN di mata dunia, menurut beliau, Najib perlu memohon maaf secara terbuka kepada para peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

"Dalam masa yang sama, Najib juga perlu mengarahkan agar diadakan satu siasatan terperinci tentang keganasan polis dalam menangani perhimpunan tersebut," katanya yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Pusat.

Namun dalam hubungan ini, beliau kesal apabila Najib tetap juga menunjukkan sikap tidak faham dengan pandangan dunia terhadap beliau dan kerajaan BN yang berada di bawah pimpinannya.

Malah dalam kenyataannya baru-baru ini, Najib tetap juga mempertahankan tindakan polis dengan menafikan tindakan kekerasan polis dalam menangani perhimpunan itu.

"Pada hal, segala keganasan polis itu telah diketahui dengan meluas di seluruh dunia. Penyokong-penyokong Bersih 2.0 juga turut mengadakan perhimpunan di seluruh dunia pada hari itu. Isu ini pula berkaitan dengan hak asasi manusia yang sememangnya menjadi perhatian dunia.

"Dengan tamparan yang diterima di London itu, Najib sendiri boleh faham bahawa apa yang diperjuangkan oleh Bersih 2.0 itu memberikan isyarat perpaduan banyak pihak dalam perjuangan isu itu dan ia adalah satu isyarat perpaduan dunia," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Harakahdaily hari ini atas tajuk "Gelombang kuning 'kejar' Najib di UK" turut melaporkan, biarpun dilihat seolah-olah lari dari isu Bersih 2.0 sehingga ke luar negara, kehadiran Najib Razak di United Kingdom hari ini bagaimanapun tetap 'dikejar' gelombang kuning.

Puluhan penunjuk perasaan itu memakai baju kuning, membawa poster serta sepanduk mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menangani peserta himpunan Bersih 2.0 di ibu negara 9 Julai lalu yang berhimpun secara aman menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya.

Dalam tulisan yang terpapar pada sepanduk yang dibawa itu, mereka juga mendesak Najib supaya membebaskan segera enam tahanan Parti Sosialis (PSM) yang dinamakan sebagai "EO6" yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Daripada gambar-gambar yang disebar di internet, Najib dilihat sempat menoleh ke arah kumpulan penunjuk perasaan itu yang hanya berjarak kira-kira 50 meter dari tempat turun kereta yang dinaikinya, manakala sebuah van dan dua anggota polis juga dilihat berkawal di hadapan peserta himpunan itu.

Amnesty International sebelum ini mendesak Kerajaan UK agar memberi signal protes terhadap layanan zalim Kerajaan Malaysia kepada peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu

Badan induk doktor swasta mahu ‘kemuliaan’ hospital dijaga

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Badan mewakili pengamal-pengamal perubatan mempertahankan pendirian 11 doktor Hospital Tung Shin berhubung insiden 9 Julai sambil menegaskan, hospital wajar dilindungi pihak berkuasa sepanjang masa.

“Ini sebahagian daripada tugas moral kerjaya perubatan (contohnya kesemua doktor) untuk memaklumkan kepada mereka yang secara tidak sengaja ataupun sebaliknya telah melanggar kemuliaan hospital ketika keadaan tidak terkawal dan tidak diingini,” kata Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) Dr Steven K W Chow dalam satu kenyataan malam tadi.

Badan itu mengeluarkan kenyataannya dua hari selepas pendirian 11 doktor hospital berkenaan bahawa pihak polis telah menggunakan langkah melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke arah pekarangan hospital semasa hendak menyuraikan peserta perhimpunan Bersih 2.0.

Dalam satu kenyataan Rabu lalu, sekumpulan 11 doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina di Jalan Pudu di sini Sabtu lalu.

Seramai 11 doktor menegaskan, mereka kecewa dengan tindakan polis itu tanpa mempedulikan keselamatan pesakit dan doktor.

Justeru, kenyataan itu bercanggah dengan respons Menteri Kesihatan yang telah menafikan polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih ke atas kawasan hospital, sebaliknya tambah beliau ia disebabkan oleh pergerakan angin pada masa kejadian.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.

“Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Ekoran kenyataan mereka, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai memutuskan untuk mengadakan satu jawatankuasa inkuiri tahap tinggi bagi menyiasat insiden pihak polis menyasarkan Hospital Tung Shin ketika cuba meleraikan perhimpunan Bersih 2.0.

Jawatankuasa itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Kamarul Zaman Md Isa.

Dalam kenyataannya Chow juga berkata, pihaknya faham bahawa menjadi pendirian kerajaan Malaysia bersama dengan hospital-hospital lain apabila menjadi sasaran sama ada secara sengaja ataupun sebaliknya di mana-mana bahagian di dunia.

“Ia juga tanda aras masyarakat madani,” kata beliau lagi.

Justeru jelas Chow, keputusan 11 doktor kelmarin bertujuan menekankan semula sokongan konsisten pengamal perubatan yang selari dengan pendirian moral “kerajaan kita dalam isu ini.”

Malah kata Chow, tindakan doktor-doktor berkenaan seharusnya diterima dalam semangat yang baik memandangkan menjadi tugas mereka bagi memastikan bahawa pesakit-pesakit, yang tiada kaitan langsung dengan perhimpunan Sabtu, tidak didedahkan kepada bahaya atau kesulitan yang tidak sewajarnya.

“Tindakan tidak membuat apa-apa adalah satu kelalaian dalam kerjaya mereka,” katanya yang sekali lagi menekankan, FPMPAM menyokong tindakan doktor-doktor kanan berkenaan.

Kata Chow, pihaknya pasti bahawa kesemua doktor, sama ada swasta dan awam, akan merasakan begitu apabila kemuliaan hospital dan pesakit mereka berhadapan dengan situasi sedemikian.-tmi

Pasca-Bersih 2.0: SPR jangan hanya jelas, tapi dengar idea rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak seharusnya hanya memberi penjelasan kepada rakyat tetapi juga perlu mendengar pandangan orang ramai mengenai sistem pilihan raya negara termasuk pembaharuan diperlukan ekoran perhimpunan 9 Julai lalu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau mengalu-alukan langkah SPR yang mahu mengadakan program turun padang untuk berjumpa terus dengan rakyat menerusi sesi penerangan, tetapi ia harus bersifat interaktif.

“Saya mengalu-alukan kesediaan SPR untuk meningkatkan penerangan tentang fungsinya termasuk berjumpa terus dengan rakyat dan saya harap SPR akan menggunakan komunikasi dua hala iaitu interaktif seperti menggunakan media baru iaitu blog, Facebook dan Twitter.

“Juga (SPR) jangan hanya menerangkan tetapi mesti juga mendengar idea, pandangan rakyat tentang kerja-kerja SPR,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Semalam Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya menjadi sasaran Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat ekoran kelemahan yang agensi itu sendiri.

Kata beliau, SPR sedar kelemahan agensi itu adalah dari aspek komunikasi sehingga menyebabkan rakyat keliru atau tidak tahu mengenai langkah penambahbaikan yang dilakukan.

Ahli Parlimen Temerloh ini juga berharap SPR, yang berusia lebih lima dekad, tidak bersifat defensif sebaliknya lebih terbuka dalam menjelaskan sesuatu perkara termasuk dalam isu Bersih 2.0.

“Saya harap penerangan SPR tidak bersifat defensif, mempertahankan apa yang difikirkan baik oleh SPR sahaja.

“Sebaliknya, ia juga perlu bersifat akomodatif, sedia ambil kira, guna pakai idea dan menerima cadangan bernas dari rakyat kerana apa yang penting, bukannya kerja SPR tapi adalah sistem pilihan raya yang terbaik untuk negara,” kata wakil rakyat ini yang memperlihatkan sikap terbuka di sebalik isu perhimpunan 9 Julai, tetapi berhadapan dengan serangan kumpulan pro-Umno.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata beliau juga menyifatkan langkah SPR yang mahu mengadakan rundingan sebagai positif, selaras dengan Pemuda Umno yang bersedia berbincang dengan Bersih 2.0.

“Langkah positif ini untuk menghidupkan perbincangan politik yang progresif demi mematangkan amalan demokrasi kita,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Umno membuat tawaran untuk berdebat dengan Bersih 2.0 yang diketuai Datuk Ambiga Sreenevasan dan ia disambut baik.

Ambiga menyifatkan tawaran Pemuda Umno sebagai satu cara yang sihat untuk membawa tuntutan Bersih 2.0 ke depan.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0, Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno ditahan.

Saifuddin berkata SPR harus mengadakan dialog dengan Bersih 2.0 dan memberikan alasan-alasan munasabah mengapa tuntutan Bersih 2.0 tidak boleh dilaksanakan.

Jelasnya, apa yang paling penting adalah kedua-dua pihak dapat berdialog secara terbuka supaya rakyat tahu apa yang dibincangkan.

“(SPR) patut memberikan jawapan berdasarkan fakta dan penghujahan yang bernas... kalau ada yang melibatkan perkara di luar bidang kuasa tidak bermakna ia tidak boleh dibincangkan.

“Bincangkan dulu perkara itu, bukan oleh kerana di luar bidang kuasa terus tidak berbincang. Setelah berbincang jika perkara itu perlu dibawa ke atas, maka SPR perlu bertindak proaktif dan bawa ia ke atas atau aturkan supaya ia dibawa ke atas atau pihak yang berkenaan.

“Ini soal mematangkan demokrasi melalui sistem pilihan raya yang terbaik,” katanya.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, memperbaiki undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam dan menghentikan rasuah serta mengatasi politik kotor -tmi

15 Julai 2011

Maria Chin : Rombak Sistem Atau Tiada Pilihan Raya

SHAH ALAM 15 JULAI: "Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mahu mengambil pendekatan untuk berubah, maka tidak perlu adakan pilihan raya."

Demikian kenyataan ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah seraya mendesak suruhanjaya itu mempertimbangkan empat tuntutan utama bersabit rombakan sistem pilihan raya yang boleh dilaksanakan oleh suruhanjaya itu dengan kadar segera.

Tambahnya lagi, Bersih akan mengemukakan petisyen kepada SPR dalam masa terdekat sebagai tindakan lanjut termasuk memberi tempoh tiga bulan untuk melihat sebarang perubahan yang akan dilakukan agensi bebas itu.

Beliau berpendirian tindakan tersebut adalah sebahagian daripada cara gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu mengekalkan momentum selain inisiatif rakyat menganjurkan program 'hari kuning' pada setiap Sabtu.

"Kita mahu bergerak ke hadapan. "Bola" kini berada dalam gelanggang SPR dan mereka perlu respon sekarang," katanya.

Bercakap dalam wawacana khas bersama Tv Selangor, Maria menyifatkan SPR tidak mengambil pendekatan proaktif untuk mencapai persetujuan dalam rundingan dengan pihak Bersih.

Malah katanya, sehingga kini suruhanjaya itu lebih gemar memberi pelbagai alasan seolah-olah cuba untuk melindungi pihak berkepentingan.

Menurut beliau, SPR mempunyai kuasa untuk merombak sebarang peruntukan yang diyakini dapat menambahbaik sistem pilihan raya di negara ini memandangkan agensi itu terletak di bawah kuasa Majlis Raja-Raja.

"Dalam perbincangan antara Bersih 2.0 dan SPR, kita sudah jelaskan mereka ada kuasa untuk merubah undang-undang dan mengemukakan kepada kabinet. Tapi mereka menghadkan peranan dengan mengatakan mereka hanya pentadbiran.

"Jadi inilah (sebenarnya) empat tuntutan yang utama (dalam aspek) pentadbiran. Membersihkan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan tempoh berkempen selama 21 hari. Ini tidak perlu ubah undang-undang. Jadi saya rasa sekarang mereka tidak ada alasan (untuk tidak) melakukan dalam tempoh tiga bulan," kata beliau.

Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar baru-baru ini mengakui kelemahan aspek komunikasi suruhanjaya itu yang menyebabkan mereka gagal menjelaskan kepada rakyat tentang langkah penambahbaikan sistem pilihan raya.

Beliau turut berdalih tentang ruang yang terhad berikutan terikat dengan Akta Pilihan Raya 1957 selain mendakwa Bersih 2.0 membuat andaian tanpa sebarang bukti.

Beliau juga mendakwa pembangkang memanipulasi isu ketelusan pilihan raya sehingga menyebabkan rakyat turun ke jalanan pada 9 Julai lalu.

Mengulas perkara itu, Maria menyahut baik tindakan SPR untuk bertemu dan memberi penjelasan kepada rakyat namun katanya, tuduhan bahawa Bersih tampil tanpa sebarang bukti ternyata meleset.

"Sampai sekarang ada orang hantar bukti. Semalam, ada individu yang daftar dua kali menggunakan kad pengenalan yang sama dan dia telah mengundi dua kali tetapi dua tempat berasingan.

"Kita juga ada bukti di mana kad pengenalan baru dan lama digunakan untuk mengundi. Ini menunjukkan SPR sebenarnya tidak membersihkan senarai pengundi. Jadi kalau ini berterusan ianya akan memberi impak buruk kepada kerajaan sekarang," ujar beliau lagi.

Beliau turut mengulangi kejadian pembelian undi yang didedahkan portal berita alternatif pada Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu di mana SPR gagal mengambil sebarang tindakan walaupun gambar dan video telah tersebar luas di internet.

Maria menyifatkan sekiranya SPR melaksanakan tugas secara telus maka risiko bagi kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk tumbang adalah lebih kritikal.

Dalam pada itu Maria berkata, pengenalan kepada sistem biometrik amat digalakkan namun katanya kaedah itu memerlukan kos yang tinggi berbanding dakwat kekal.

Jelasnya lagi, dakwat kekal telah digunapakai di kebanyakkan negara termasuk India di mana perlaksanaannya memberangsangkan.

Maka menurut Maria tidak timbul sebarang dakwaan bahawa kaedah tersebut ketinggalan zaman kerana ianya akan memberi kebaikan kepada parti politik yang bertanding seraya mengelakkan daripada salah laku pengundian.

Sehubungan dengan itu kata beliau, Bersih bersedia untuk mengadakakan pertemuan semula dengan SPR sekiranya suruhanjaya itu berhasrat untuk mempertimbangkan empat tuntutan utama yang dinyatakan.-TVS

Ramadhan: PUM sokong penuh usaha Kedah

Harakahdaily
SHAH ALAM, 15 Julai: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk menguatkuasakan larangan pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadhan.

Setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, pihaknya juga menyarankan semua negeri-negeri lain mencontohi usaha yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Katanya, kehadiran bulan Ramadhan yang bakal tiba hendaklah disambut dengan memperbanyakkan amalan ibadah dan bukannya dengan hiburan-hiburan semata-mata.

“Dalam bulan Ramadhan banyak ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah kepada hambaNya. Sehubungan itu adalah disarankan agar kita mengambil peluang yang ada mendekatkan diri kepada Allah,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

PUM juga, ujarnya turut kesal sekiranya ada usaha-usaha memperlekehkan larangan tersebut kerana larangan itu tidak bermaksud buruk dan ianya baik untuk semua kaum dan agama.

Sehubungan itu, tambahnya wajar usaha seperti itu disokong dan dilaksanakan.

Beliau berkata, PUM juga menyarankan agar media elektronik menghormati dan mengambil usaha sempena kedatangan bulan Ramadhan untuk menyajikan input-input berguna kepada masyarakat.

Menurutnya, walaupun mesej yang ingin disampaikan sedikit sahaja tetapi jika impaknya besar sudah memadai.

Sebagai contoh, katanya iklan-iklan yang memaparkan peri pentingnya puasa kepada kesihatan dan juga badan.

Jelasnya, di luar negara mesej-mesej seperti itu sudah lama diguna pakai dalam memberikan makluman kepada masyarakat.

Batal laksana larangan operasi pusat hiburan bulan Ramadan, DAP gesa Kedah

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dari Pakatan Rakyat wajar membatalkan pelaksanaan sepenuhnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 — peraturan dan undang-undang digubal masa era Barisan Nasional (BN) - yang melarang pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata oleh kerana BN sendiri yang menggubal undang-undang itu tidak menguatkuasakan sehingga ia ditumbangkan pada 2008, maka kerajaan negeri Pakatan Rakyat wajar mengkaji balik untuk memansuhkannya.

“Dalam keadaan ini, Datuk Seri Azizan (gambar) seharusnya mempertimbangkan semula dan memansuhkan keputusan untuk melaksanakan sepenuhnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 khususnya ketika kerajaan negeri BN (dulu) tidak berbuat demikian sepanjang 11 tahun sehingga ia jatuh pada pilihan raya umum 2008,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata beliau telah berhubung dengan Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik yang juga Adun Kota Datuk Aman berhubung keputusan kerajaan negeri melarang 13 jenis hiburan ketika bulan Ramadan.

“Lee melaporkan bahawa DAP Kedah tidak pernah bersetuju dengan larangan dan perkara itu tidak pernah dibangkitkan pada mesyuarat majlis Pakatan Rakyat Kedah meskipun dipersetujui bahawa perkara-perkara yang sensitif kepada lain-lain komuniti seperti larangan pusat hiburan ketika bulan Ramadan seharusnya dibincangkan pada mesyuarat majlis Pakatan Rakyat negeri terlebih dahulu,” katanya lagi.

“Lee juga menjelaskan bahawa beliau tidak pernah bersetuju dengan larangan sedemikian di Dewan Undangan Negeri,” katanya lagi.

Lim berkata perkara itu akan dibangkitkan pada mesyuarat pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat peringkat nasional minggu depan.

Semalam, Azizan berkata Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan sudah wujud sejak 1997 dan bukannya dasar baru.

Oleh itu kata beliau, enakmen itu terpakai sejak BN mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.

Beliau berkata menurut enakmen itu, kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

Kata beliau lagi, terdapat pengecualian untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan.

“Permohonan itu pula perlu dikemukakan pada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan. Contohnya bulan Ogos kaum Cina mahu meraikan Hungry Ghost Festival, jadi mereka perlu mohon secara bertulis untuk pertimbangan,” katanya semalam.

Azizan berkata bagi pusat snuker dan kafe siber pula, pihaknya mungkin menyemaknya semula kerana ia bukan bentuk hiburan tetapi diletakkan di bawah kategori hiburan.

“Minta PBT (pihak berkuasa tempatan) perjelaskan secara terperinci apakah yang dimaksudkan dengan hiburan. Dari dahulu lagi dalam bulan Ramadan, tidak ada aktiviti hiburan. Malah diadakan beberapa peraturan untuk bukan Islam mematuhinya,” katanya.-tmi

14 Julai 2011

Najib sudah mula menjadi seorang emperor yang tidak boleh di usik. di alih dan di anjak.

UMNO - kalau tidak berubah, ia akan tersadai.

Apa yang berlaku di dalam negara kita akhir-akhir ini memang satu keadaan yang saya dan ramai yang lain susah hendak percaya akan berlaku, tetapi ianya berlaku. Hampir 1700 orang di tahan pihak berkuasa kerana berjalan ke Stadium Negara untuk berhimpun secara aman. Perarakan yang aman menuju ke Stadium itu Belum pun peserta rally itu sempat menunjukan bukti yang mereka hanya akan berhimpun secara aman Polis telah menahan mereka termasuk pemimpin-pemimpin parti-parti politik dan penganjur rally itu.

Begitu banyak kenyataan tentang transformasi dalam semua bidang oleh PM Najib tetapi dalam hal ini PM Najib nampaknya hendak memberikan ‘exception’ kepada transformasi dalam sistem pemilihan di dalam pilihanraya umum. Najib sudah mula menjadi seorang emperor yang tidak boleh di usik. di alih dan di anjak.

Dulu tidak tahan dengan warna hijau sekarang tidak boleh tengok warna kuning. Hampir 1700 orang ditahan dan tidak tentu pasal masuk lokap polis kerana memakai baju yang berwarna kuning ini. Selepas ini warna apa pula yang mereka takut untuk orang ramai memakainya? Kalau pemimpin-pemimpin berucap mereka berucap dengan penuh gegaran seolah-olah akan runtuh bukit bukau di sekelilingnya tetapi pada realitinya mereka gerun dengan baju-baju berwarna kuning.

Cara pentadbiran Najib menangani isu rally ini mendapat liputan meluas di seluruh dunia Hanya isu manusia hendak berkumpul di Stadium sahaja sudah gelabah dan bersedia seperti persediaan menghadapi peperangan dunia ke tiga. Seluruh masyarakat antarabangsa telah mengutuk dan membidas terhadap cara pentadbiran kita menghadapi situasi ini.

Ramai akan mengatakan kita mempunyai acuan demokrasi sendiri dan kita tidak perlu pandangan dunia luar. Tetapi dalam nafas yang sama pemimpin kita menuduh yang Bersih telah membinasakan imej negara di luar negara. Dalam isu ini penting pula masyarakat antarabangsa.

Kita mesti ingat sejarah telah banyak mengajar kita tetapi kita sahaja tidak mahu belajar dari sejarah itu. Kita telah belajar satu perkara penting; selalunya kita akan jatuh semasa kita merasakan yang kita kuat. Firaun gugur semasa dia sedang kuat. Firaun dengan tentera nya yang kuat dan raksaksa telah mengejar dan memburu Musa semasa dia dihapuskan oleh air Lautan Merah.

Kejatuhan empire Rome adalah semasa empire itu berkuasa penuh dan terkuat. Empire Islam sendiri telah jatuh semasa Islam menguasai hampir seluruh dunia dari Spain di barat dan China di timur. Banyak tamadun di zaman dahulu kala jatuh semasa mereka sedang berkuasa penuh dan digeruni oleh semua pihak lawan.

Apakah UMNO akan mampu merempuh dugaan reaksi rakyat yang tidak meyakini parti itu lagi? Boleh kah kerajaan teraju BN hari ini mampu mengekalkan kuasa dengan menunjukan kekuasaan melalui tindakan kasar pihak Polis? Kalau sesebuah kampong itu dikuasai oleh samseng yang bertubuh besar begitu lama, selalunya samseng yang bertubuh besar itu akan dikalahkan oleh budak yang berbadan kecil sahaja.

UMNO ini ibarat gajah. Badan sahaja yang besar tetapi takut kepada semut yang halus kecil tubuhnya.

Jika kita kaji sebab yang membuatkan rakyat selalu mempersoalkan kewibawaan pimpinan kita, ianya boleh dikategorikan kepada tiga perkara besar;

Pertamanya kerajaan telah di persepsikan sebagai sebuah kerajaan yang terlalu ‘impregnated’ dengan rasuah. Rasuah berlaku dengan tidak terkawal disetiap peringkat pentadbiran kerajaan dan jarang-jarang yang tidak terlibat dengan rasuah. Kalau tidak besar kecil. Rasuah tetap wujud. Rakyat sedar yang tidak ada kerajaan akan kekal jika rasuah tidak dapat dikawal.

Rasuah ini merupakan kegiatan yang tertua di dunia ini tetapi tidak ada negara dan sistem yang rasuah tidak jatuh akhirnya. Itulah sebabnya di antara yang membangkang kerajaan bukannya kerana semata-mata untuk membangkang dan menyokong parti pembangkang tetapi kerana menyedari kegiatan rasuah ini merupakan perlakuan yang sangat merbahaya jika tidak ditangani secara serius. Ianya akan membinasakan sistem kehidupan rakyat buat selama-lamanya.

Bagi pemimpin-pemimpin atau sesiapa yang berada di dalam kuasa mereka tidak akan berjaya membuat keputusan dengan betul kerana pengaruh wang dan rasuah itu. Apabila mereka tidak dapat membuat keputusan dengan baik, maka segala sistem dan dasar yang telah diwujudkan itu tidak mungkin terlaksana dengan baik. Itu sebabnya kita terlalu kerap menggubal dasar untuk maksud yang sama tetapi matlamat tidak juga tercapai sehingga ke hari ini.

Masyarakat negara yang rasuah selalunya akan akhirnya membentuk masyarakat yang kaya itu terlalu kaya dan yang miskin itu terlalu miskin dan jurang ini akan terus melebar selagi tidak ada pihak yang lain yang mempunyai kudrat untuk membinasakan kegiatan yang sangat hina ini. Itu sebabnya jika rasuah itu tidak terkawal akan ada manusia yang menjadi kaya tidak terhingga sehinggakan mampu membeli sebentuk cincin permata sehingga US24 juta walaupun mereka itu dahulunya bukanlah datang dari keluarga yang kaya dengan luar biasa.

Rasuah ini tetap hina sehina-hina kegiatan kerana agama kita sendiri telah mengkategorikan perasuah itu sebagai manusia yang memakan daging saudaranya sendiri.Dosa rasuah tidak ada kurangnya dari dosa meliwat kerana perasuah itu seolah-olah meliwat seluruh rakyat yang ada dibawah tadbiran mereka. Apabila rasuah sudah menjadi kegiatan tegar bagi mereka yang sudah ketagih dengan kegiatan ini, ia memerlukan pihak lain untuk mengambil alih untuk memberhentikan kegiatan ini.

Jika negara itu sebuah negara demokrasi maka jalan yang paling baik untuk membanterasnya ialah dengan mengenepikan mereka ini malalui pilihanraya. Jika yang mengambil alih itu juga bersifat demikian maka rakyat boleh kembali ke peti undi untuk memilih pihak yang lain sehinggalah kegiatan ini di anggap oleh rakyat ramai sebagai satu kegiatan yang tidak terkira haramnya. Inilah yang membuatkan UMNO sebagai parti yang rasuah kerana mereka sudah yakin yang UMNO dan rasuah itu ibarat aur dengan tebing; saling memerlukan di antara satu dengan yang lain. Stigma UMNO sebagai parti rasuah sudah begitu tegar dan amat payah untuk menghilangkan persepsi itu.

Masalah yang kedua dalam UMNO yang menyebabkan rakyat sudah hilang keyakinan ialah masalah ‘cah keting’ sesama mereka dalam parti itu. Oleh kerana kepentingan wang ringgit dan pangkat tadi maka perasuah menggunakan wang yang begitu banyak untuk mengenepikan pimpinan yang baik dan boleh dipercayai melalui politik wang dan penyalahgunaan kuasa tadi.

Sejak kepimpinan di gadaikan dengan perasuah maka sedikit demi sedikit dan tanpa disedari perasuah-perasuah telah mengawal parti dan semua mereka yang mempunyai kredibiliti kepimpinan akan beransur-ansur lari dari bergiat dan menyokong parti yang begitu sinonim dengan rasuah itu tadi.

Ini jugalah sebabnya wujudnya puak-puak di dalam parti dari atas sehingga ke bawah. Selalunya mereka di dalam parti pemerintah itu akan jatuh bukannya oleh kerana parti-parti yang membangkang tetapi oleh kerana permainan kotor di antara mereka sesama mereka.

Dalam isu Bersih bukan tidak ada mereka dari dalam UMNO yang memainkan politik kongkalikong kerana mahukan Najib tersungkur kerana mereka ada pemimpin yang sesuai dengan mereka yang sedang menunggu dengan tidak sabar bagi menggantikan Najib. Saya yakin dikalangan ahli-ahli MT UMNO dan Kabinet ada yang mahukan Najib berhenti dan memberikan laluan kepada orang lain dalam masa yang terdekat ini.

Kalau benar-benar ada kesatuan di kalangan pimpinan tertinggi di dalam parti tidak mungkin keadaan seperti yang kita lalui ini akan wujud.

Penyebab yang tidak kurang besarnya kenapa UMNO dan BN tidak lagi parti yang mendapat keyakinan besar dari rakyat ialah kerana rakyat sudah mual dengan isu rasis, Sudah jelas trend yang begitu jelas yang parti-parti yang berlandaskan kepada keahlian yang homogeneous seperti UMNO dengan Melayunya, MCA dengan Cinanya dan MIC dengan Indianya sudah tidak mendapat perhatian yang begitu baik lagi.

Baik Melayu, Cina atau pun India sudah mula mahu melihat parti dan badan siasah yang berbilang kaum menjadi landasan mereka untuk bergiat dan membina kepimpinan mereka. Itu jugalah sebabnya PAS menjadi ‘sanctuary’ yang selesa bagi orang Melayu dan sesiapa yang beragam Islam. DAP pula sedang bergiat untuk memberikan keyakinan kepada semua pihak bahawa parti itu adalah sebuah parti yang ‘multiracial’ yang sebenarnya.

Tetapi sejak berdekad-dekad yang lalu DAP telah dimomokan dengan berbagai-bagai isu untuk menakutkan orang Melayu menyertai dan menyokongnya. DAP sekarang harus menunjukan secara fisikal yang parti itu adalah parti untuk semua kaum dan bukannya hanya untuk kaum cina semata-mata. Jika gagal untuk menunjukan elemen penting ini wujud dalam DAP maka orang ramai akan menganggap ianya seperti MCA dalam mana pemimpin-pemimpin serta ahlinya adalah di kalangan chauvinis Cina semata-mata.

Penglibatan semua kaum merupakan penyebab kenapa NGO-NGO seperti Bersih dan lain-lainnya mendapat tempat dan sokongan ramai. Jika tidak di sekat oleh pihak berkuasa ramai berpendapat rally sabtu lepas sepatutnya dihadziri oleh tidak kurang dari 500,000 peserta.dan ini lah yang pihak pemerintah ingin melindungi dari perhatian rakyat.

Saya tidak menjangka segala transformasi politik khususnya transformasi di dalam UMNO itu sempat dilakukan sebelum pilihanraya ini. Najib terlalu terikat dengan ugutan dari mereka-mereka yang ingin menyambung kedudukan dalam parti dan kerajaan. Mereka seolah-olah memberitahu Najib yang mereka masih diperlukan di kawasan masing-masing dan jika mereka tidak di berikan sambungan untuk menjadi calun dan kedudukan dalam kerajaan rakyat tidak akan menyokong kerajaan lagi.

PM Najib begitu takut untuk membuat perubahan walaupun gegaran transformasi di dalam parti kononnya akan dilakukan. Pada hakikatnya tidak akan banyak berlaku dan transformasi yang di janjikan itu akan tetap tinggal janji. Berucap secara melaung dan bergegar itu sudah tidak laku lagi di zaman ini.

Pendeknya UMNO tidak mahu dan mampu untuk berubah walaupun perubahan itu sudah menjadi kemestian untuk dilakukan. Najib mesti memberhentikan mereka yang menjadi parasite kepada parti yang sedang menghadap penyakit tua ini. Jangan tunggu sehingga kita dihumbankan oleh rakyat ke dalam gaung. Perlu di ingat rakyat ada limitasi terhadap kesabaran yang mereka tanggung selama ini.

Rakyat di zaman serba modern ini amat mudah tersinggung dengan permainan psikologi politik murahan dan sesiapa yang tertangkap memainkan isu untuk menekan parti lawan secara tidak adil akan ditolak dan diketepikan oleh rakyat dalam pilihanraya.

Bagi parti pembangkang pula apa yang dilakukan oleh BN hari ini patut dijadikan pelajaran seandainya diberikan mandat oleh rakyat di dalam pilihanraya nanti. Cara belajar yang terbaik ialah belajar dari kesilapan orang lain. tetapi malangnya UMNO tetap memilih untuk belajar dari kesilapan dan kesalahan mereka sendiri.

Sebenarnya UMNO sudah terbiar oleh pimpinan sejak 30 tahun yang lalu. Ianya dipergunakan oleh pemimpin untuk kepentingan peribadi sampai ke ‘optimum’ tetapi parti itu tidak di baja dan di selenggara dengan sebaiknya. Ia boleh di ibaratkan sebuah kereta yang hanya diperguna untuk memecut dengan laju untuk kepuasan pemandunya tetapi tidak di ‘service’ dengan baik. Lama kelamaan kereta itu tersadai dan tidak boleh dipandu lagi.

Sebelum kereta itu tersadai enjinnya dari senyap akan menjadi bising, kadangkala boleh didengar dari jarak sejauh beratus meter. Mungkin itulah sebabnya pemimpin-pemipin UMNO begitu bising dengan isu rally sabtu lalu. -aspanaliasnet

Samad Said: Najib 'memang kejamlah'

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana

menteri yang "memang kejam" berbanding dengan beberapa perdana menteri sebelum ini.

"Kalau tengok (perdana menteri) yang sudah-sudah itu, (Najib) memang kejamlah," katanya ketika diminta membandingkan pentadbiran Najib dan dua penyandang sebelumnya - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menceritakan kembali "kebengisan" polis dalam menangani perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu, A Samad mendakwa pentadbiran Najib sekarang mengarah kepada menjadikan Malaysia negara kuku besi.

Ketika diwawancara Malaysiakini di sebuah restoran di Bangsar hari ini, A Samad berkata, perkara itu boleh dilihat melalui rakaman video dan gambar di internet yang mana kerajaan "berantakan dengan orang awam".

"Youtube siarkan, kita boleh lihat semua dan (dia) tak boleh tipu. Cuma, malangnya dalam akhbar-akhbar (dan) media utama, sudah tentu kamu nampak berat sebelah," katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.

"Tapi kalau (di) Youtube, tak boleh tipu. Kamu kata tidak jentik-jentik, (itu) pun nampak (di Youtube). Kamu kata tidak ada orang yang dipijak, (tetapi ada) yang ditendang berulang kali," katanya.

Kepimpinan 'bangsawan'

Sehubungan itu, A Samad mendesak Najib meletakkan jawatan, selaras dengan kempen sama di Facebook yang kini sudah digemari hampir 200,000 orang.

"Ya, saya mahu (beliau letak jawatan). Saya ikut (perkembangannya) dalam Facebook, amat bagus (kempen itu). Kalau di Jepun, orang lain buat salah pun, menteri itu tunduk depan orang.

"Ada perdana menteri Jepun tidak sampai satu penggal pun, (letak jawatan). Tapi di sini tentu, orang sangat mengidam kuasa," katanya sambil menambah kerajaan tidak lagi memerintah "dengan sukaan umum".

Bagaimanapun, ditanya tentang perdana menteri mana yang yang paling bagus, A Samad tidak menjawabnya secara langsung, sebaliknya menyebut tentang penguasaan "bangsawan" bagi jawatan itu.

Katanya, sepanjang lebih 50 tahun kemerdekaan, kecuali Dr Mahathir, kesemua perdana menteri disandang oleh golongan itu yang disifatkannya "hidup mudah".

"Laporan-laporan yang sampai ke telinga (mereka) itu, semuanya yang cantik sahaja. Jadi, mereka tidak merasakan (kesusahan rakyat).

"Saya merasakan sudah waktunya, kepimpinan harus datang dari bawah, bukan dari atas," tegasnya lagi. -mk

Bersih 2.0: Human Rights Watch gesa Putrajaya adakan siasatan terbuka

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Kerajaan Malaysia perlu mengadakan sisasatan yang telus dan terbuka dengan segera mengenai dakwaan penggunaan pendekatan keras dalam menangani perhimpunan anjuran Bersih 2.0 Sabtu lalu, kata badan pemantau antarabangsa Human Rights Watch hari ini.

Timbalan pengarah rantau Asia Human Rights Watch, Phil Robertson, berkata pentadbiran Najib juga sewajarnya menghentikan segala bentuk ugutan dan tindakan menakut-nakutkan pihak penganjur, dan pada masa yang sama membebaskan kesemua mereka yang ditahan.

“Tindakan pihak berkuasa menghalang perhimpunan Bersih menunjukkan bahawa kebebasan asas kini bertembung dengan kuasa pemerintah,” kata Robertson sambil menambah bahawa kerajaan tidak menghormati ruang hak asasi.

“Nampaknya di Malaysia, kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan hanya dibenarkan apabila mereka (peserta perhimpunan) menyokong pihak kerajaan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Selepas kerajaan tidak berkompromi dengan hasrat penganjur mahu menggunakan Stadium Merdeka, penyokong-penyokong Bersih 2.0 turun di jalan untuk mengadakan perarakan aman ke stadium tersebut.

Bagaimanapun pihak polis menyambut mereka dengan air berasid dan gas pemedih mata selain menahan 1,697 orang.

Selain itu pihak polis juga masih menahan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia di bawah Ordinan Darurat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan tindakan polis manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (gambar) pula menafikan pasukan polis yang menyerang peserta terlebih dahulu.

Pada Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengugut untuk menggambil tindakan ke atas media domestik dan antarabangsa atas alasan laporan-laporan yang tidak berasas.

Menurut Robertson, janji kerajaan Malaysia untuk memenuhi obligasi antarabangsa sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB berhadapan dengan ujian sejak kebelakangan ini.

“Rakan-rakan antarabangsa Malaysia perlu memberitahu Perdana Menteri Najib bahawa beliau sedang menerajui negara di laluan yang salah,” katanya lagi.-tmi

Kenali 'wirawati' BERSIH 2.0 - Makcik Anne

Kenali 'wirawati' BERSIH 2.0 - Makcik Anne
Antara ratusan gambar dan video yang merakamkan BERSIH 2.0 - satu yang agak menonjol - ia memaparkan seorang wanita berpakaian kuning yang basah kuyup sambil memegang sejambak bunga kekwa putih.

Wanita itu adalah sorang bekas guru bahasa Inggeris, Anne Ooi, 65 tahun yang terkena pancutan air berkimia polis di luar bangunan Hospital Tung Shin di ibu negara Sabtu lalu.

Di alam siber, beliau kini dilabel sebagai 'Makcik BERSIH' ataupun 'Lady of Liberty' Malaysia.

Menurut jurugambar Hugo Teng yang merakamkan gambar itu, beliau terlihat wanita itu melarikan dirinya ke arah Wisma Magnum dari Hospital Bersalin Cina supaya tidak ditangkap oleh polis.

Hospital Bersalin Cina itu terletak bersebelahan Hospital Tung Shin Hospital, manakala Wisma Magnum pula terletak bertentangan dua hospital di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

“Saya sedang cuba ke Hospital Bersalin Cina tetapi ternampak anggota polis meluru mengejar orang ramai, jadi saya bertukar fikiran dan berlari ke Wisma Magnum. Dalam perjalanan saya terlihat seorang wanita berusia yang dikejar oleh ramai polis pencegah rusuhan.

“Tiba-tiba tergerak di hati saya untuk merakamkan gambar itu tetapi polis mula menembaknya dengan meriam air... dia tidak terdaya menahannya dan terus berjalan beredar dari kawasan itu.”

Katanya, Makcik Anne dikesan pada awal perhimpunan itu kerana statusnya sebagai warga emas.

“Sebab itu, banyak juga gambarnya yang berdear di Internet. Bukan saya sahaja yang merakamkan gambarnya pada hari itu,” kata Teng, bekas jurugambar akhbar harian Cina Oriental Daily News.

Malaysiakini sempat mewawancara Makcik Anne ketika beliau berjalan seorang diri di Jalan Petaling pada perhimpunan Sabtu itu. Katanya, lebih “mudah jika berjalan seorang diri”.

"Saya sudah tua tetapi terus berjalan kerana mereka merampas kebebasan saya. Sekarang saya tak boleh pakai baju kuning sekalipun,” katanya.

"Semasa muda saya tidak berbuat apa-apa. Saya dalam perkhidmatan pendidikan dan terpaksa menerima apa sahaja (arahan kerajaan) kerana mereka bayar gaji saya.” -mk

13 Julai 2011

Dari segi moralnya UMNO sudah mati

Elok kita menyesal dulu - Sesal kemudian tiada gunanya

Berbagai-bagai nama dan jenama diberikan terhadap Bersih yang telah menganjurkan rally di Kuala Lumpur dan di banyak kotaraya besar di seluruh dunia secara serentak pada 9hb Julai yang lepas. Di Kuala Lumpur sebagaimana yang telah diagak perancangan yang begitu rapi untuk menggagalkan perhimpunan raksaksa itu telah dilakukan dengan agak kasar dan membingungkan mereka yang percaya kepada sistem demokrasi. Bagi kerajaan demokrasinya berbeza kerana kata pimpinan kita kita ada acuan demokrasi kita sendiri.

Acuan itu tentulah acuan yang hanya memberi kelebihan kepada yang memerintah dan itulah cara yang kita menjadi pemerintah sejak berdekad-dekad yang lalu. Tidak payah kita ulas tentang sistem dan acuan kita itu kerana perkara itu sudah selalu ditulis dan diperkatakan ramai. Tetapi kita hanya tumpukan kepada apa yang kita lihat berlaku semasa rally itu berlaku di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Rally ini merupakan satu perkara yang tidak ingin dilihat berlaku oleh kerajaan yang sudah sedia dengan masalah imej serta menghadapi krisis keyakinan yang amat mendebarkan pihak yang memerintah. Banyak bukti-bukti yang ‘organic’ yang rakyat lihat tentang kelemahan pimpinan kita dan jika ditambah dengan gerakan Bersih menuntut transformasi di dalam cara pengendalian pilihanraya di negera ini persepsi buruk terhadap parti pemerintah bertambah rendah.

Tuntutan ini juga memeningkan pemerintah yang selama ini mendapat kelebihan dari cara pengendalian pilihanraya yang agak tidak begitu telus. Ini hakikat yang tidak boleh dinafikan dan jika ada juga pihak yang menafikannya maka forum ini tidak payah diteruskan. Kegagalan parti-parti pembangkang untuk menjadi parti kerajaan sedikit sebanyak adalah di sebabkan sistem pengendalian pilihanraya yang berat sebelah.

Tuntutan 8 perkara oleh 62 NGO yang bergabung dibawah Bersih ini sangat dibenci oleh pihak pemerintah dan penyokong tegar mereka kerana jika tuntutan ini diterima maka akan wujud ‘even playing ground’ bagi semua parti untuk bertanding dan menawarkan kepimpinan masing-masing kepada rakyat. ‘Even playing ground’ inilah yang menjadi ketakutan BN. Selama ini parti-parti pembangkang tidak pernah mendapat liputan dalam media perdana secara adil. Apa yang di dapati dari media perdana ialah segala bedilan dan tohmahan terhadap pembangkang yang acapkali tidak masuk akal.

Parti pemerintah sedar walaupun parti pembangkang disekat kemudahan media, mereka berjaya juga untuk memenangi mandat di lima buah negeri. Ini menjadi igauan semasa tidur tidak kira malam atau siang hari. Igauan ini bertambah teruk lagi apabila di seluruh dunia di mana ramai rakyat Malaysia mereka mengadakan rally Bersih ini secara serentak.

Igauam PM ini membuatkan beliau mendabik dada mengatakan yang beliau boleh keluarkan 1 million ahli UMNO dari jumlah 3 juta yang terdaftar pada hari ini. Ini merupakan satu cakap yang boleh dianggap lucu kerana dari 500 orang ahli cawangan UMNO hanya 50 oarang sahaja ahli secara pukul rata yang menghadziri mesyuarat agung cawangan. Dari segi teknikalnya UMNO seolah-olah tidak wujud lagi terutamanya diperingkat cawangan-cawangan kerana tiada lagi kegiatan parti yang diusahakan oleh pimpinan cawangan.

Ada setengah pihak mengatakan dari segi moralnya UMNO sudah mati dan tidak bergerak lagi. Jika UMNO (asal) mati dibunuh UMNO gantian ini pula akan mati beragan…….hanya mampu menggerakan cuping mata tetapi tubuh yang lain sudah tidak bermaya lagi.

Hakikat inilah yang menyebabkan pihak pemerintah melakukan apa sahaja untuk menggagalkan rally ini. Jika ada kesusahan kepada rakyat ramai segala strategi untuk memindahkan kesalahan kepada rally dan penganjurnya.

Sekatan jalan raya diadakan beratus-ratus batu dari Kuala Lumpur diadakan untuk menyekat peserta rally untuk sampai ke Kuala Lumpur berhari-hari sebelum rally itu diadakan. Tangkapan dan penahanan dilakukan kepada sesiapa sahaja yang memakai baju kuning, topi kuning, kasut kuning dan apa-apa yang lain yang berwarna kuning.

Di Kuala Lumpur perkhidmatan keretapi, commuter, LRT dan monorail diarah memberhentikan perkhidmatan untuk mengelak kesampaian peserta rally ini. Semua kenderaan tidak boleh masuk ke Kuala Lumpur dan ini semua adalah taktik untuk mengelakan banjiran rakyat yang mahukan transformasi kepada sistem pilihanraya melalui rally anjuran Bersih ini.

Apabila orang ramai tidak datang ke kuala Lumpur seperti biasa maka Bersih dipersalahkan dan dituduh bertanggungjawab ke atas kerugian yang sehari yang di alami oleh peniaga-peniaga di laluan rally ini. Tetapi ada kedai-kedai kopi mamak yang mendapat keuntungan besar kerana dibanjiri oleh peserta rally ini di Pudu dan beberapa tempat yang lain.

Ini memang strategi yang sengaja diadakan semata-mata untuk mencari helah untuk menyalahkan Bersih dengan keadaan itu. Tetapi hakikatnya sekatan Polis inilah yang menyebabkan kerugian ini. Jika dibenarkan rally ini berlaku dan dibantu untuk peserta rally ini berjalan ke Stadium untuk berhimpun secara aman, keadaan ini tidak akan berlaku dan pihak pemerintah tidak akan dapat mencari sebab untuk menyalahkan Bersih di mata rakyat.

Strategi ini mudah difahami oleh rakyat dan untuk dijadikan sebagai strategi untuk mendapat sokongan rakyat, buat masa ini sudah tidak berapa ‘effective’ lagi. Tektik lama ini sudah lama tidak dipakai lagi oleh ramai rakyat dan ini hanya memalukan kita sendiri kerana niat kita dapat dibaca dengan jelas oleh semua pihak. Itulah sebabnya ramai dan banyak pihak berpendapat kerajaan telah mengendalikan isu Bersih dan rally nya ini sebagai ‘counter productive’.

Tetapi kalau kita berkata sedemikian bolehkah pimpinan kita menerimanya? Jawapan mudahnya ialah TIDAK. Pimpinan kita masih menggunakan tektik usang yang sudah lama tidak diterima oleh rakyat yang kian hari kian berfikir dan memerhatikan segala ‘conduct’ pemimpin kita di hadapan rakyat. Pihak pimpinan negara selalu terperangkap dengan kesilapan mereka sendiri. Tetapi mereka masih berfikir yang mereka itu betul dan disokong pula oleh penyokong-penyokong tegar yang tidak mampu atau tidak berdaya untuk berterus terang terhadap pemimpin yang mereka sokong itu.

Akhirnya pimpinan kita mendapat sokongan yang membawa rebah. Pimpinan kita pula berpuas hati dengan lapuran yang sedap-sedap dari pihak ini. Lama-kelamaan mereka tidak sedar yang ombak tsunami sudah terlalu hampir untuk berbuat sesuatu untuk menahannya.

Pandangan seperti ini memang tidak digemari oleh penyokong-penyokong yang tidak mahu berfikir. Apabila jatuh nanti maka kita akan dipersalahkan. Mereka tidak juga bersalah.

Itulah dia keadaannya. Jika sampai waktu hendak jatuh bergelimpangan nanti terima sahaja keadaan itu…..tetapi tolong jangan salahkan pihak lain. Sesal kemudian tidak ada gunanya. Tanggunglah sendiri. Saya pun nak tengok juga keadaan mereka yang garang-garang sekarang ini. Garang kah mereka lagi apabila sampai waktunya nanti?

Kita tunggu.
Aspanaliasnet

Dr Asri: ‘Islam tak beri pemerintah lesen lakukan apa sahaja’

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Dalam pandangan dilihat menyentuh kesan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Putrajaya telah mempergunakan pemimpin agama untuk mempertahankan kuasa sebagaimana disaksikan di rantau Timur Tengah.

Bekas mufti Perlis (gambar) berkata pemerintah di Timur Tengah yang sebahagian besarnya adalah “korupsi dan zalim” mempergunakan pemimpin agama untuk membela mereka.

“Mereka (pemimpin agama) memahami nas-nas al-Quran dan Hadis secara literal dan menganggap urusan muamalat dan siasah sama seperti ibadat khusus yang tidak boleh dilakukan pembaharuan dan tokok tambah,” kata tokoh agama yang memperlihatkan pendirian progresif.

Tenaga akademik dari Universiti Sains Malaysia ini memberitahu, keadaan itu wujud apabila kelompok terbabit mentafsir hadis-hadis politik secara literal, yang seakan-akan Islam memberikan ‘lesen’ besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah.

“Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang ‘kelihatan’ propemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan,” kata beliau.

Di Malaysia kata Asri, “kita dapat melihat fonomena ini semasa isu demonstrasi panas baru-baru ini dalam masyarakat.”

“Di sini bukan bertujuan menyokong atau menentang demonstrasi aman, tetapi sekadar ingin membincangkan kefahaman sesetengah pihak mengenai hadis-hadis berkaitan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Bersih 2.0 untuk menuntut transformasi pilihan raya yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan dan disokong Pakatan Rakyat mengemukakan lapan tuntutan yang perlu dilaksanakan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat ditahan.

Jelas Asri, tindakan berbentuk keganasan tidak boleh dilakukan terhadap rakyat sekiranya tiada pententangan dilakukan termasuk perkara yang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih besar.

“Hadis tentang taat dan patut sekali pun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka.

“Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah. Begitu juga di bawah rejim-rejim yang zalim yang hanya merugikan para penentang dan negara secara umumnya,” katanya.

Jelas beliau, keadaan kini sudah berubah yang mana setiap negara terikat dengan peraturan antarabangsa terutamanya mengenai hak asasi manusia.

Namun, katanya, apabila dunia berubah negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat.

“Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa,” katanya.

“Maka, konteks Hadis sudah berbeza,” kata Asri sambil menambah, “Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri.”

Oleh itu tegas beliau, jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah.

Dengan mengambil contoh daripada Hadis, Asri berkata “Rasulullah sendiri sebagai pemerintah membenarkan diri Baginda dibalas.”

Tegas beliau, pemerintah tidak dibenarkan sama sekali untuk bertindak sewenang-wenangnya apatah bertindak ganas terhadap rakyat.

“Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu?

“Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu,” katanya.
BERSIH 2.0: Pelajar saksi warga tua dihenyak polis

Seorang pelajar berkata beliau melihat seorang warga emas terjatuh dan dihenyak oleh polis ketika sepasukan lebih 100 orang anggota berkenaan menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 berhampiran menara KLCC pada Sabtu lalu.

Pelajar berkenaan berkata, warga emas berkenaan mungkin merupakan individu yang meninggal dunia selepas dibawa ke hospital selepas terjatuh semasa perhimpunan itu berlaku.
"Saya rasa itulah pakcik yang meninggal itu. Saya nampak dia jatuh, kemudian saya nampak polis tengah hurung dia, tapi itu saya tak sempat rakam sebab saya tengah lari.
"Saya tak pasti tapi saya rasa dialah. Orang itu memang kena lanyak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Ketika ditanya, pelajar itu berkata beliau tidak melihat sekiranya polis telah menendang lelaki terbabit, "tapi saya rasa polis henyak dia. Tak mahu bagi dia bergerak."

Individu berkenaan, Allahyarham Baharudin Ahmad (foto kanan) menjadi perhatian apabila ia

dikaitkan dengan dakwaan keganasan yang dilakukan polis ketika menyuraikan kumpulan yang berhimpun di sekitar ibu negara pada Sabtu lalu.

Polis setakat ini menyatakan bahawa Allahyarham Baharudin meninggal dunia akibat penyakit jantung, namun sebab sebenar kematian lelaki berkenaan masih menimbulkan tanda tanya.
Dalam kejadian pada petang itu, saksi mata tersebut berkata, beliau melihat kedua-dua tangan warga emas itu dipegang oleh anggota polis yang turut menghenyak lelaki tua berkenaan ke permukaan jalan.

"(Warga tua itu) dah jatuh, kemudian polis hurung dia. Saya nampak macam mereka henyak dia, saya nampak macam guna kaki. Yang saya nampak polis ada lima orang polis yang hurung," katanya lagi.

Pelajar berkenan juga berkata, beliau tidak melihat sama ada mangsa berkenaan berjaya melarikan diri ke bangunan Avenue K yang terletak kira-kira 200 meter daripada persimpangan berkenaan, seperti dilaporkan sebelum ini.
Ketika ditanya, beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada polis telah melepaskan gas pemedih mata sebelum menyerbu ke arah kumpulan yang berhimpun itu.

"Gas (pemedih mata) saya tak perasan sebab saya dah lari," kata pelajar berusia 19 tahun itu lagi yang menambah, kejadian berkenaan berlaku selepas polis berkenaan menggempur sekumpulan lebih 1,000 orang yang menyertai perhimpunan berkenaan.
Kumpulan berkenaan berhimpun di tengah-tengah persimpangan Jalan Ampang – Jalan Yap Kwan Seng – Jalan P Ramlee.

Selain warga emas tersebut, beliau turut melihat beberapa orang lagi turut terjatuh selepas sekumpulan anggota polis berpakaian seragam menyerbu kumpulan yang menyertai perhimpunan tersebut.

Kumpulan polis berpakaian seragam itu mara dari barisan belakang sekumpulan anggota FRU yang membentuk halangan di Jalan P Ramlee, berhampiran persimpangan berkenaan.
Pada masa itu juga, sepasukan polis dan FRU membentuk halangan di hadapan SJKC Lai Meng, di bahagian barat Jalan Ampang.
Difahamkan, polis pada masa itu bertindak untuk menyuraikan kumpulan berkenaan – yang bergerak daripada kawasan Kampung Baru – ke arah timur Jalan Ampang dan juga Jalan Yap Kwan Seng.-mk

12 Julai 2011

709-This is Our Land

Tanggapan Najib tentang Bersih 2.0

BERSIH 2.0 : PBB Kecam Tindakan Kejam Najib

Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) menyelar Malaysia kerana menggunakan pendekatan keras

bagi menangani perhimpunan aman anjuran Bersih Sabtu lalu.Frank La Rue (gambar), pelapor khas PBB mengenai hak kebebasan bersuara berkata, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengisytihar perhimpunan itu sebagai haram, menutup bandaraya dan bertindak ganas terhadap peserta perhimpunan, menunjukkan Malaysia memperlekehkan proses demokrasi. PBB menegaskan Malaysia yang turut menggangotai Majlis Hak Asasi Manusia telah ‘mengehadkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan’.

Pakar hak asasi manusia PBB melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan ganas pihak polis meleraikan peserta perhimpunan, termasuk melepaskan gas pemedih mata dan menyebur air kimia berasid kepada orang ramai. Malah tindakan ganas itu turut membawa kepada kecederaan dan satu kematian, kata pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia agensi itu dalam satu kenyataan dari Geneva lewat malam tadi.

Malaysia dipilih menganggotai majlis itu tahun lalu tetapi berhadapan kritikan ekoran undang-undang penahanan pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyukarkan peluang ia dipilih semula. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menafikan pihak berkuasa bertindak ganas terhadap orang ramai Sabtu lalu, meskipun rakaman video di internet menunjukkan sebaliknya.Dalam perhimpunan itu, lebih 1,600 orang ditangkap pihak berkuasa.

Kecaman oleh PBB ini dilihat sebagai satu impak besar ke atas kepimpinan BN di negara ini. Kedudukan Malaysia sebagai salah satu negara yang menduduki kerusi PBB bagi Hak Asasi Manusia dijangkakan mendapat tentangan negara-negara moden dan demokrasi.

Pakar-pakar hak asasi manusia PBB melahirkan pendirian tidak senang dengan penggunaan air berasid dan gas pemedih oleh pihak berkuasa keselamatan ke atas penunjuk perasaan aman, yang turut membawa kepada kecederaan dan satu kematian, kata pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia agensi itu dalam satu kenyataan dari Geneva lewat malam tadi.

Malaysia dipilih menduduki majlis itu tahun lalu tetapi berhadapan dengan kritikan ekoran penggunaan undang-undang penahanan pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan perkembangan semasa boleh menjejaskan peluang ia dipilih semula menganggotai badan itu pada 2013.

Bukan itu sahaja, kerajaan pimpinan Najib juga dikecam kerana seringkali menolak nasihat dan pandangan Suruhanjaya Hak Asasi manusia (Suhakam) yang ditubuhkan sendiri oleh kerajaan untuk melihat isu-isu berkaitan hak asasi kemanusiaan di negara ini.
Ramai melihat penubuhan Suhakam hanyalah sebagai satu platform bagi kerajaan BN bagi menunjuk-nunjuk di dunia bahawa hak asasi manusia di negara ini sudah terjamin. Tindakan ke atas Bersih pada Sabtu lepas telah menyebabkan seorang pesertanya terkorban.

Kewangan Selangor BERTAMBAH RM200 juta dalam 6 bulan

Kewangan Selangor RM200 juta dalam 6 bulan

SHAH ALAM, 11 Julai: Dewan Negeri Selangor hari ini mendapat penjelasan mengenai prestasi kewangan negeri dan cara pengurusannya yang memuaskan.

Paling memberangsangkan adalah peningkatan sumber kewangan negeri bertambah sebanyak RM200 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) ketika menjawab soalan Adun Sekinchan, Ng Swee Lim berkata, beliau baharu sahaja menduduki Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negeri pada 5 Julai 2011 lalu.

Menurutnya, mesyuarat diberitahu tentang lembaran perimbangan kewangan negeri mengenai jumlah wang tunai dan pelaburan negeri berakhir pada 30 Jun 2011.

"Selangor mempunyai jumlah wang tunai sebanyak RM1100 juta berbanding 918 juta dalam tempoh itu tahun 2010 manakala pelaburan pula sebanyak RM557 juta pada 30 Jun 2011 berbanding RM668 juta 31 Disember 2010.

"Jumlah dua sumber disatukan itu menjadi RM1.76 ribu juta berbanding RM1.58 ribu juta dalam tempoh sama pada tahun 2010.

"Dalam masa enam bulan, Kerajaan Negeri telah berjaya meningkatkan jumlah kewangan negeri sebanyak 200 juta dan ini adalah keadaan kewangan antara terbaik sejak 28 tahun lalu," jelasnya.

Abdul Khalid juga berkata, bukan setakat jumlah meningkat namun kerajaan negeri berjaya menunjukkan bagaimana bentuk pengurusan kewangan terbaik yang Pakatan Rakyat laksanakan.

Menurutnya, program Mikro Kredit sebanyak RM50 juta yang diberikan kepada rakyat adalah hasil dari kutipan hutang dan jumlah itu dapat dikumpulkan di akaun Menteri Besar Yang Disatukan (MBI).

Beliau berkata, secara terperinci keadaan kewangan negeri adalah memuaskan.

Sementara itu, Abdul Khalid mengambil kesempatan itu mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai kerajaan kerana berjaya mengurus dan mengutip hasil negeri dengan baik.

Paling utama, tegasnya, adalah bagaimana cara kerajaan negeri mengutip hasil dan direkodkan semuanya termasuk mereka yang tidak membayarnya juga dikenakan tindakan sewajarnya.

"Kerajaan negeri tidak memberikan 'hadiah penyapu' kepada yang gagal menjalankan tugas mereka sebaliknya Kerajaan Pakatan Rakyat memberikan hadiah dalam bentuk teknologi kepada pegawainya.

"Maklumlah banyak fail yang perlu dijaga, dan sudah tentulah kita tidak begitu baik berbuat demikian kerana itu Kerajaan Pakatan Rakyat sekar ang menyimpan dalam bentuk digital.

"Sebanyak 2 juta rekod didigitalkan dan kos mendigitalkan ini juga adalah hasil kutipan hutang," tambahnya dengan penuh yakin.

Malah, beliau mempunyai data lengkap yang ditulis sendiri tentang punca, jumlah dan pengurusan kewangan yang dilakukan oleh setiap Exco.

Warga emas dapat kupon RM100

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan melancarkan Program Jom Shopping Bersama Warga Emas pada 15 Julai ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, setiap warga emas akan mendapat sekeping kupon bernilai RM100 seorang.

"Warga emas akan bersama-sama dengan Adun Pakatan Rakyat bagi merasai sama hasil negeri kita," tegasnya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai perkembangan terkini pentadbiran pasir di Selangor.

Minda pembangkang sudah bersih

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan minda Adun pembangkang terutamanya Kuala Kubu Bharu telah bersih mutakhir ini.

Abdul Khalid yang bertali leher kuning berkata, beliau menyambut baik persoalan mengenai tebing sungai rosak dan semua kerosakan hasil lombong pasir.

Namun, jelasnya, perkara itu telah lama berlaku, kenapa tidak dibangkitkan ketika BN memerintah Negeri Selangor.

Tetapi, ujar Abdul Khalid, jika Adun itu sudah berani membangkitkan persoalan itu bermakna mindanya sudah pun mula menjadi bersih.

Setiap kali Menteri Besar menyebutkan perkataan 'bersih', beliau mendapat tepukan meja dari kelab penyokongnya.

Bersih adalah merujuk kepada Himpunan Bersih 2.0 yang berlaku di ibu negara dengan jumlah kehadiran lebih 50 ribu peserta dengan ratusan ribu disekat dari masuk ke KL.

Turut serta mengikuti persidangan kali ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang berkerusi roda dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang berbalut kepala akibat cedera dalam Himpunan Bersih, baru-baru ini.-HARAKAH

kerajaan yang memerintah ketinggalan zaman

Shamsul Amri: Isu Bersih munasabah, Putrajaya pula guna taktik Perang Dingin
Oleh G Manimaran dan Debra Chong July 11, 2011

Shamsul Amri Baharuddin (kiri) ketika sesi dialog pada majlis pelancaran kajian bertemakan

‘Nilai, Impian dan Ideal: Belia Muslim di Asia Tenggara’ di Bangi hari ini. Bersama beliau ialah Ibrahim Suffian (paling kanan). – Foto oleh Choo Choy May
BANGI, 11 Julai - Sementara isu-isu dibawa Bersih adalah “munasabah”, pentadbiran Najib tidak lagi boleh menggunakan taktik era Perang Dingin dalam berhadapan dengan bangkangan dan menguruskan aspek sekuriti negara, kata Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Sehubungan itu jelas profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, musuh Barisan Nasional (BN) bukan lagi komunis yang bergerak dari hutan, tetapi pergerakan madani yang mempunyai kesedaran politik yang meningkat.

“Saya mengatakan poin bahawa perikatan yang memerintah masih berurusan menggunakan cara traditional, yang menggunakan konsep Perang Dingin, kita bukan berurusan dengan komunis,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, pentadbiran Najib perlu beralih daripada pendekatan tradisional kepada bukan traditional, yang menurutnya mempunyai lima komponen iaitu tenaga atau kuasa, air, makanan, kesihatan dn pendidikan.

“Kesemua lima komponen bersepadu antara satu sama lain... ini yang diabaikan, bukan lagi soal sekuriti tradisional,” kata Shamsul Amri ketika ditemui selepas majlis pelancaran kajian bertemakan “Nilai, Impian dan Ideal: Belia Muslim di Asia Tenggara” dikendalikan bersama oleh Merdeka Center, Universiti Kebangsaan Malaysia, Goethe Institut Malaysia dan Friedrich Naumann Foundation for Freedom di sini hari ini.

Susulan Bersih pertama tahun 2007, perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di ibu negara di sebalik tahap keselamatan ketat.

Penganjur Bersih 2.0 mendakwa telah dapat menghimpunkan 50,000 orang, tetapi angka ini dinafikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang mengatakan hanya sekitar 6,000.

Seminggu sebelum itu Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 yang dianggotai 62 pertubuhan bukan kerajaan sebagai satu badan haram manakala segala lambang dan barang terbitan membawa mesej Bersih 2.0 juga diumumkan sebagai haram.

Berkaitan dengan perhimpunan ini juga lima pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput ditahan di bawah Ordinan Darurat atas dakwaan cuba menghidupkan kembali fahaman komunis.

Shamsul Amri, yang terkenal sebagai penganalisis politik di lokal dan global diajukan soalan mengenai cara kerajaan khususnya pihak berkuasa polis menangani perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu.

Dalam pandangannya, Shamsul Amri, ahli akademi jurusan sosiologi dan pengasas Institut Kajian Etnik berkata, isu-isu yang dibawa oleh Bersih 2.0 adalah sesuatu yang munasabah.

“Isu-isu yang diketengahkan oleh Bersih 2.0 adalah isu-isu yang sah dalam Perlembagaan Persekutuan, dan ini isu-isu yang berterusan, dari segi kebebasan berhimpun dan bersuara.

“Ia satu perkara yang berterusan dan ia tidak akan berakhir di sini,” kata beliau lagi.

Malangnya kata beliau, kerajaan yang memerintah ketinggalan zaman dan sangat perlahan dalam memberikan respons kepada isu-isu yang wujud.

“Mereka sudah begitu biasa dengan respons ketika zaman Perang Dingin,” kata beliau.

Katanya, jika anda meneliti manual latihan sama ada polis ataupun tentera, ia sama seperti yang digunakan ketika era darurat.

Dalam komennya beliau juga mempersoalkan pendirian pasukan keselamatan menangani perhimpunan aman.

“Apabila publik mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Amerika Syarikat sebelum ini, mengenai isu Palestin, adakah polis datang? Tidak. Jadi, mengapa mereka datang sekarang (Sabtu lalu)?” kata beliau.

Mengenai tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin bahagian dan pertubuhan bukan kerajaan semalam, kata beliau, mereka bertindak cepat kali ini.

“Beliau (Najib) akan lebih banyak melakukan perkara ini,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai kelahiran ikon-ikon baru ekoran perhimpunan Bersih 2.0 seperti Datuk Ambiga Sreenevasan dan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Shamsul Amri berkata: “Ikon adalah ikon.”

“Mereka tidak memberi kesan ke atas perubahan kecuali mereka bertanding dalam pilihan raya dan menang... Datuk Ambiga tanding di Kuala Lumpur,” katanya.

“Pada akhirnya, ia berkenaan dengan menterjemahkan dalam bentuk undi,” kata beliau menjawab soalan sama ada perhimpunan Bersih 2.0 akan memberi kesan ke atas keputusan pilihan raya umum ke-13 kelak sebagaimana disaksikan pada 2007/2008.

Pilihan raya umum ke-12 2008 diadakan beberapa bulan selepas Bersih 2007.

Sehubungan itu Shamsul Amri juga berkata, trend pengundian negara ini akan dipengaruhi oleh corak kempen dalam tempoh berkempen.

Beliau juga mengakui bahawa mesej yang diperoleh daripada perhimpunan Bersih 2.0 ialah kesedaran publik bahawa mereka berkuasa dalam menentukan arah aliran pembaharuan dalam kerajaan.

“Bagi mereka, saya boleh mengundi untuk memilih siapa saya mahukan. Sekarang saya boleh mengatakan apa saya mahukan?” katanya.

“Persoalan di sini ialah sama ada terdapat ruang publik untuk saya melakukan yang ini,” katanya lagi sambil menambah, “jawapanya ialah ya dan tidak.”

“Mereka boleh melakukan, tetapi bukan di jalan raya, tetapi di kawasan lain,” jelas beliau yang turut meramalkan bahawa akan ada lebih banyak perhimpunan dan perarakan seperti yang disaksikan Sabtu lalu.

“Ini bukan yang terakhir. Ini bukan tentang soal bangkangan. Orang ramai sudah mula berani, tetapi juga rasional dan munasabah,” kata beliau -TMI

PM DAN SEPUPU BERDALIH LAGI

9 Julai: Usah lempar batu sembunyi tangan
Wira Arjuna

Apakah takrif keganasan yang digunapakai oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan polis sendiri?

Bagi rakyat biasa, sesuatu pihak dikira melakukan keganasan apabila menyerang dengan segala kudrat dan senjata yang ada pada mereka (gas pemedih mata, air berkimia, menumbuk dan memijak) terhadap sasaran yang tidak bersenjata (kecuali botol air mineral) tetapi hanya berhimpun secara aman.

Inilah yang berlaku pada 9 Julai.

Tidak perlu Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengemukakan video untuk membuktikan sebaliknya kerana begitu banyak rakaman yang sudah sedia ada dalam laman-laman blog untuk tatapan seluruh dunia.

Dan jika bukti video itu tidak mencukupi, gambar-gambar Mohamad Sabu di atas kerusi roda dan foto enam jahitan di kepala ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad boleh juga boleh diperolehi dengan mudah oleh Najib, Hisham dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk melakukan penilaian.

Kalau masih tidak memadai, mungkin ada pihak perlu memberi peringatan bahawa sebuah keluarga kini berkabung kerana kehilangan ketua keluarga mereka yang menyertai perhimpunan BERSIH 2.0.

Kematian allahyarham Baharuddin Ahmad diselubungi dengan pelbagai dakwaan namun hakikatnya ialah beliau menemui ajal semasa asakan polis bagi menyuraikan sebuah perhimpunan bersih dan aman.

Remehkan kecederaan

Namun semua fakta ini tidak akan memberi kesan kepada Najib, Hishamuddin dan Ismail kerana mereka terpaksa mempertahankan kredibiliti Polis Diraja Malaysia.

Maka, oleh kerana itulah Najib meremehkan kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun mengakui ketua pembangkang itu ditembak dengan gas pemedih mata.

Ketua Polis Negara sebelum ini menafikan Anwar ditembak dengan gas pemedih mata, sungguhpun visual dan keterangan saksi menunjukkan keadaan sebaliknya.

Hishamuddin pula enggan mengakui polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia ke perkarangan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu.

Ismail sekali lagi menafikan insiden memalukan itu sungguhpun, wujud foto dan keterangan saksi yang menempelak penafian itu.

Tentunya Najib dan Hishamuddin tidak mahu mengambil tanggungjawab di atas sebarang kekerasan polis sungguhpun apa yang berlaku Sabtu lalu lebih berpunca daripada keputusan-keputusan yang dibuat oleh mereka berdua.

Bertukar ganas

Persoalan asas ialah bila dan pada tahap mana perhimpunan aman BERSIH 2.0 bertukar menjadi ganas Sabtu lalu?

“Keganasan” itu jelas tercetus apabila polis mula menyembur air berkimia dan gas pemedih mata serta melakukan tangkapan rawak ke atas sesiapa disyaki mendokong BERSIH 2.0.

Namun “keganasan” yang berlaku adalah pada satu pihak sahaja. Tidak ada tindak balas daripada rakyat yang menjadi sasaran.

Respon paling “agresif” beberapa peserta BERSIH ialah melontar balik sarung gas pemedih mata ke arah polis atau membuangnya ke dalam longkang dan sungai berdekatan.

Mereka mengharungi segala kesakitan akibat terhidu gas beracun atau terkena pancutan air berkimia atau kedua-duanya sekali. Rasa pedih dan loya dan sesak nafas hanyalah sebahagian daripada pengalaman yang terpaksa diharungi mereka.

Hakikat bahawa polis akan menggunakan kekerasan menjadi satu kepastian jauh sebelum 9 Julai menyingsing.

Aparatus polis

Ia menjadi satu hakikat apabila Hishamuddin bingkas mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebuah pertubuhan haram minggu lalu.

Hanya beliau dan Najib boleh menerangkan keperluan untuk sebuah rangkaian kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang termasuk Sasterawan Negara Datuk A Samad Said tiba-tiba boleh menjadi musuh kerajaan hanya kerana menuntut pilihan raya adil dan telus.

Apa yang jelas ialah Hishamuddin dan Najib menggunakan segala aparatus polis untuk memaksa penganjur BERSIH 2.0 membatalkan perhimpunan mereka, dengan disokong oleh media arus perdana dan institusi awam yang lain.

Namun rancangan itu tersasar kerana BERSIH 2.0 tidak beralah daripada matlamatnya mengadakan perhimpunan aman walaupun penyokongnya mula ditangkap di seluruh negara dan pemimpinnya diaibkan di media arus perdana.

Terima tamparan

Najib dan Hishamuddin juga menerima tamparan apabila Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil peranan negarawan dan berjaya “memujuk” BERSIH 2.0 membatalkan perarakan di jalan raya.

Campurtangan Seri Paduka itu membuka ruang untuk Najib dan Hishamuddin menyelesaikan kemelut BERSIH 2.0 secara baik, khususnya apabila penganjur bersetuju untuk menerima tawaran kerajaan supaya perhimpunan diadakan di sebuah stadium.

Namun belum sempat rakyat menarik nafas lega, gandingan sepupu ini mengisytiharkan bahawa BERSIH 2.0 pertubuhan haram dan tidak layak memohon permit.

Permohonan BERSIH 2.0 menganjurkan perhimpunan aman di Stadium Merdeka ditolak dan sebaliknya penganjur “diarah” mengadakan perhimpunan di stadium-stadium yang terletak di negeri–negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Tujuan arahan itu adalah jelas – Perdana Menteri cuba menyempitkan gerakan BERSIH 2.0 kepada sesuatu yang didalangi oleh pembangkang dan bukannya cetusan suara rakyat.

Justin Bieber lebih berhak

Najib memberi alasan kononnya Stadium Merdeka tidak boleh digunakan oleh BERSIH 2.0 kerana ia adalah mercu atau simbol negara, tidak masuk akal.

Stadium Merdeka telah berkali-kali digunakan untuk konsert rock dan hiburan termasuk pertunjukan Justin Bieber pada 21 April lalu.

Apakah Justin Bieber lebih berhak menggunakan Stadium Merdeka daripada ribuan rakyat negara ini yang mahu menyuarakan keperluan pilihan raya yang adil dan telus secara aman?

Tentunya tidak. Namun inilah alasan yang dijaja oleh Najib kepada penyokong-penyokong Umno, ahli pertubuhan silat dan sebagainya, sehari selepas perhimpunan BERSIH 2.0.

Penganjur BERSIH menyedari perangkap yang diletakkan oleh Najib dan Hishamuddin dan terus berpegang kepada hak mereka mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka, walaupun di luar perkarangannya.

Ini kerana Stadium Merdeka adalah kawasan “neutral” dan adalah “milik” rakyat Malaysia serta bukan di bawah telunjuk mana-mana parti politik.

Patahkan BERSIH

Apabila penganjur mengambil ketetapan ini, maka arahan dikeluarkan kepada pihak polis untuk melakukan apa yang perlu bagi mematahkan rancangan BERSIH.

Justeru diadakan sekatan-sekatan jalanraya, penutupan kawasan tertentu, pembekuan permit bas ke Kuala Lumpur dan pemeriksaan di hotel-hotel menjelang 9 Julai.

Perintah mahkamah diperolehi untuk menghalang penganjur dan pemimpin politik tertentu daripada memasuki Kuala Lumpur. Ibu negara seolah-olah dalam keadaan darurat.

Dengan kongkongan sebegitu, tidak hairanlah pada 9 Julai, pancutan air berkimia, gas pemedih mata polis menunggu puluhan ribu rakyat pelbagai kaum yang keluar beramai-ramai menghala ke Stadium Merdeka.

Hak mereka untuk berjalan secara aman dicabuli dengan sewenang-wenang di atas nama memelihara keamanan dan kesejahteraan negara.

Najib harus menerangkan bagaimana satu “perjalanan demokrasi” oleh rakyat untuk dua tiga jam di beberapa kerat jalanraya boleh menjadi isu keselamatan negara dan mendatangkan kerugian berbilion ringgit kepada peniaga, jika tidak ada provokasi polis!

Rakyat dihukum

Jika polis telah memberi kerjasama kepada lebih 5,000 pengawal yang disediakan oleh penganjur BERSIH untuk mengawal lalu lintas dan aspek keselamatan lain, apakah kita akan menyaksikan adegan-adegan yang terpampang di Internet sekarang.

Rasanya tidak!

Akibat agenda politik Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, puluhan ribu rakyat yang “berani” menyokong BERSIH seolah-olah dikumpulkan di Kuala Lumpur dan “dihukum” dengan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia.

Lebih 1,600 orang ditangkap untuk diheret ke mahkamah, seorang mati dan tidak kurang yang menyimpan parut luka atau kenangan “ikhlas”dari polis.

Justeru, janganlah Perdana Menteri dan sepupunya terlalu bingkas menuding jari kepada penganjur BERSIH 2.0 di atas kekecohan Sabtu lalu.

Tidak dinafikan keganasan berlaku, tetapi siapa yang mencetuskannya dan siapa pula yang mengganas?

Bak kata Karam Singh Walia dari TV3: Siapa pula yang melontar batu dan menyembunyi tangan?

11 Julai 2011

SELEPAS BERSIH APA TINDAKAN PERLU...

BERSIH 2.2
July 11, 2011


Perhimpunan dah selesai. Macam-macam cerita yang dah kita dengar…macam-macam pembohongan yang dah kita tau.
Kita juga namapak macam mana Ketua Polis Negara dengan muka sadin boleh cakap semuanya bagus. Tahanan dijaga dengan baik… dilayan dengan baik. hey!!! jangan lupa…penipu ini juga yang akan menrima anugerah dari Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang nanti!!

Kita juga dengar macam mana media pembodek Umno kata lebih kurang 6,000 saja yang datang sedangkan kita gambar-gambar dan video menunjukkan tidak kurang dari 30,000 orang.
Najib kata BERSIH tak ada sambutan, sedangkan kita tau macam mana seluruh anggota polis dikerah untuk menjadikan bandar Kuala Lumpur seolah-olah dalam perintah berkurung. kita yang baca…yang tengok, dan yang mengambil bahagian tau apa yang betul dan apa yang tipu. Tapi macam-macam mana dengan puak-puak umno, makcik-makcik kat felda dan yang kat rumah PPRT?

Apa yang berlaku semasa BERSIH menjadi petunjuk kepada apa yang akan berlaku dalam pilihanraya nanti. Kalau cakap Agong pun depa boleh buat tak tau…apakah Umno akan dengar cakap kita?
Aku pernah tulis dulu, bahawa PRU akan datang akan menyaksikan sesuatu yang belum pernah kita saksikan. Jangan cakap tentang Rule of Law. Jangan cakap tentang undang-undang…semua itu akan dipersetankan oleh Najib dan Umno….demi mengekalkan kuasa. Najib akan menggunakan apa saja untuk berkuasa.

Najib janji nak benarkan penggunaan stadium…tiba-tiba dia tipu. bukan dia tipi kat kita saja..malah dia tipu Agong. Agong dah iktiraf BERSIH, tapi Hishamuddin kata BERSIH haram. Hangpa heran ka kalau Umno menderhaka? Depa juga yang kata Agong "binatang" dulu.
Bagaimana kalau kita menang sikit..ataupun mood pengundi beralih kepada kita?
Tiba-tiba hari mengundi…semua tong undi ditukar. Semua anggota polis dikerah untuk memastikan pusat pengiraan undi tidak dapat diakses oleh petugas. semua rangkaian telekomunikasi dikontrol. Internet diperlahankan ataupun terus disabotaj. Dan bila keluar keputusan pengundian…Umno menang besar.
Apa yang akan berlaku?

Get ready, bro. Ini bukan zaman Pak Lah. Ini zaman Najib. Pak Lah boleh terima kekalahan di lima buah negeri. Najib tak boleh terima itu semua.
Semasa aku dalam biro Latihan PKR, ramai pemimpin PKR di selangor dan Pulau Pinang memandang rendah kepada Biro Latihan.Maklum la…tenaga pengajar dua orang dari Perak.
Orang PKR Selangor kata.."korang nak jaga negeri pun tak tau, sampai kena rampas oleh BN..tiba-tiba nak mengajar kami yang menang dan boleh memerintah?"
Orang Pakatan Kedah, Penang dan Selangor tak rasa apa yang kami di Perak rasa. Depa tak fikir apa yang kami di Perak alami.

Bila dapat cerita dua orang ADUN Perak nak lompat, masa tu pemimpin parti dalam Pakatan kata.."Mampuih pi la kat depa…Sultan tak ada kuasa untuk menyingkir Menteri Besar. Tak percaya baca Undang-Undang Tubuh Negeri Perak". Tapi akhirnya Menteri Besar tersingkir juga. Sapa pun tak peduli tentang undang-undang Tubuh Negeri Perak. Malah mahkamah juga tak pandang undang-undang yang dipakai di negeri Perak.

Bila Menteri besar tewas, kita cakap…"tak apa. Depa tak boleh singkir Speaker tanpa undi majoriti dalam dewan." Tapi akhirnya Speaker tersingkir juga. Tak boleh buat pengundian…depa heret Sivakumar keluar dari dewan.

Di mana Rule of Law? Hangpa ingat Najib akan ikut undang-undang? Hangpa ingat umno patuh kepada undang-undang?
Depa buat undang-undang untuk kita, tapi depa sendiri tak ikut undang-undang. Kalau cakap Agong pun depa tak mau ikut…depa nak ikut cakap sapa? PDRM patut ditukar kepada PRDM. Polis Raja Di Malaysia.

BERSIH dah selesai. Apa iktibar yang boleh kita pelajari?
Berapa ramai pengundi yang telah berjaya kita sedarkan? Berapa peratus yang membuat iltizam bahawa dalam pilihanraya akan datang, depa kan tolak BN?
Siapa yang datang ke perhimpunan BERSIH?

Satu berita positif ialah dari Malaysiakini, "Notably, the crowd was made up of many Malaysians in their 20s who were first-time demonstrators.Ibrahim Suffian, director of independent research house Merdeka Centre, dubbed this group as the Facebook generation."

Dari gambar-gambar yang disiarkan diseluruh media, satu gambaran jelas ialah cukup susah nak cari orang India. Kemana mereka?
itu yang selalu aku cakapkan…tentang bagaimana undi orang india cukup kritikal dalam PRU nanti. Baik di Kedah..Perak dan Selangor, undi India akan menjadi penentu siapa yang berkuasa nanti.
Dan pengundi muda atau generasi Facebook juga akan menjadi tunggak utama dalam perubahan yang akan berlaku. Berapa ramai pengundi muda dalam DUN hangpa? Sapa depa? Kat mana depa tinggal?

Perhimpunan BERSIH juga mengajar kita satu perkara penting semasa dalam zon "perang". Siapa yang nak memimpin?
Apabila semua pemimpin ditangkap…anak-anak berterabur tanpa pedoman. Aku salute Dr. Hatta Ramli kerana mengambil tempat sebagai pemimpin apabila bangkit memberikan arahan.."Sapa yang ada baju BERSIH..pakai sekarang!". Cukup mudah arahan tersebut tetapi ia memerlukan sseorang yang memliliki nilai kepimpinan yang sanggup mencetuskan sesuatu.

Dalam pilihanraya..kita juga memerlukan kepimpinan setiap peringkat. Baik diperingkat cawangan ataupun diperingkat umur. Kalau nak tunggu arahan saja…susah la.
Kita semua pemimpin. Lepas ni..kita kena balik ke kawasan..dan mulakan kerja dibawah. Politik bukan lagi milik pemimpin parti politik..tapi milik kita semua.
Semua orang adalah guru. alam raya adalah sekolah. Itu tagline yang aku gunakan semasa di UREKA.

Sekarang…kita semua adalah pemimpin. Tak perlu tunggu arahan.

ABHISIT LETAK JAWATAN KEPIMPINAN PARTI DEMOKKRAT,NAJIB BILA LAGI?

Abhisit meletak jawatan Demokrat kepimpinan
Published: 2011/04/07 pada 10:50 AM
Berita Online: Pilihan Raya

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pemimpin Parti Demokrat pada pagi Isnin.Pengumuman Perdana Menteri keluar berikut kekalahan partinya dengan Parti Thai Pheu saingan dalam pilihan raya 2011 umum pada hari Ahad.

"Saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan kerana saya tidak dapat memimpin parti saya memenangi dalam pilihan raya itu," Encik Abhisit berkata.

Pemimpin Parti Demokrat dan keluar Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva (Gambar oleh Tawatchai Kemgumnerd)

Ahli-ahli Eksekutif Demokrat akan bermesyuarat untuk memilih pemimpin parti yang baru dalam tempoh 90 hari, mengikut undang-undang yang memerlukan, katanya.

Sebelum pilihan raya itu, Encik Abhisit berkata beliau akan meletak jawatan sebagai pemimpin Demokrat jika partinya memenangi sedikit kerusi berbanding pada pilihan raya umum yang lalu.

Keputusan pilihan raya tidak rasmi menunjukkan bahawa Demokrat memenangi 159 kerusi semalam. Pada tahun 2007, parti itu memenangi 164 kerusi.

jurucakap Demokrat Buranat Samutarak berkata Demokrat masih mempunyai keyakinan yang kukuh dalam Encik Abhisit tetapi ia tidak diketahui jika dia akan kembali sebagai pemimpin parti.

Encik Buranat berkata walaupun pilihan raya itu kecewa Parti Demokrat akan terus melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab kepada rakyat.

Di bawah peraturan-peraturan parti, sejak Encik Abhisit telah meletakkan jawatan sebagai pemimpin parti semua 18 anggota jawatankuasa eksekutif juga telah kehilangan jawatan parti masing-masing.

Encik Abhisit akan memegang jawatan pemimpin parti penjaga sehingga parti itu mengadakan Perhimpunan Agung untuk memilih seorang pemimpin baru dan jawatankuasa eksekutif dalam tempoh 90 hari. Tiada tarikh telah ditetapkan, kata jurucakap itu.

Encik Buranat berkata parti itu masih mempunyai keyakinan yang kukuh dalam kepimpinan Abhisit. Sama ada Encik Abhisit akan kembali sebagai pemimpin parti selepas perhimpunan itu belum dibincangkan.

Beliau berkata anggota parti di wilayah dikejutkan dengan berita peletakan jawatan Encik Abhisit. Walaupun mereka tahu beliau akan menunjukkan tanggungjawab, mereka tidak menjangka yang dia akan lakukan ini begitu tiba-tiba.

Bekas Gabenor Bangkok Apirak Kosayodhin, yang telah disebut-sebut sebagai pengganti mungkin untuk Encik Abhisit, enggan mengulas apabila ditanya sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk kerja.

Encik Apirak berkata dia lebih rela meninggalkan parti untuk membuat keputusan.Encik Abhisit juga mendapat pujian daripada Parti Pheu Thai.Pheu Thai teras member Wattana Muangsuk memuji dia untuk kerja dan semangat melawan semasa kempen pilihan raya.

Encik Wattana kata Abhisit membantu menjadikan persaingan yang adil dan telus sepanjang tempoh berkempen.

Mesyuarat Kabinet PM Abhisit Vejjajiva yang terakhir esok.

Mesyuarat Kabinet terakhir esok
Published: 2011/11/07 di 01:21 PM
Berita online:


Kabinet di bawah penjaga Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva akan mengadakan mesyuarat akhir esok, 12 Julai, PM Timbalan Setiausaha Agung Panitan Wattanayagorn berkata pada hari Isnin.

Encik Panitan berkata bahawa dalam agenda, kabinet akan meluluskan pada dasarnya satu dekri draf diraja untuk mengadakan yang mesyuarat pertama Dewan Rakyat walaupun tarikh telah lagi untuk akan ditetapkan sementara menunggu pengesahan yang Suruhanjaya Pilihan Raya, sekurang-kurangnya 475 ahli Parlimen, atau 95 peratus peratus, daripada 500 ahli-ahli Dewan yang dikehendaki oleh undang-undang.

Kabinet juga mencadangkan untuk melanjutkan perintah darurat di tiga wilayah selatan sempadan untuk tiga bulan lagi.

Kerajaan akan terus melaksanakan tugas-tugas penjaga sehingga kerajaan baru mengambil alih tampuk pemerintahan, tetapi tidak akan ada lagi mesyuarat Kabinet, katanya.

Selepas kabinet bermesyuarat Perdana Menteri( penjaga) mungkin melawat kawasan yang dilanda banjir di Tengah dan Utara.

Mahkamah Antarabangsa sementara menunggu keputusan Hakim atas permintaan Thailand diperintahkan untuk menarik balik tentera dari seluruh Kuil Preah Vihear Kemboja, Encik Panitan berkata Kementerian Luar telah menubuhkan satu jawatankuasa kerja untuk mengendalikan perkara ini.

Komen: Kalau di Malaysia tentu tengah malam selepas Pilihanraya dah kelangkabut nak angkat sumpah....

48jam lebih 100,000 gesa Najib Berundur

Lebih 100 ribu gesa Najib letak jawatan di Facebook

(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 rakyat Malaysia menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatannya di laman peminat Facebook, dua hari selepas perhimpunan Bersih Sabtu lalu.

Laman peminat itu dinamakan ’100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation’ yang dikesan sejak semalam, telah berjaya mencapai sasarannya melebihi 100,000 peminat.
Dalam masa kurang 48 jam, seramai 109,270 pengguna Facebook menyukai laman berkenaan sehingga jam 11.38 pagi tadi.

Dari jumlah berkenaan, hampir 2,000 menyukai laman itu dalam masa hanya setengah jam- satu tamparan hebat kepada kepimpinan presiden Umno yang sebelum ini mendakwa mampu mengerahkan tiga juta ahli nya ke jalan raya.

Sebaliknya, laman peminat menyokong kepimpinan Najib pula, iaitu “Kami sokong YAB Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak sebagai PM Malaysia” hanya disukai seramai sekitar 760 pengguna.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar ketika diminta mengulas berkata, laman itu merupakan suara hati rakyat yang jelas menolak pentadbiran Najib dan Barisan Nasional (BN).
“Rakyat terpanggil dan berani untuk menyuarakan pendapat mereka. Jumlah 100 000 dalam masa 2 hari merupakan angka dan jumlah yang besar dan sekaligus membuktikan mereka menolak pemerintahan BN,” kata Izzah ketika dihubungi Keadilandaily.com
Menurut Izzah, rakyat melihat kekejaman Perdana Menteri yang cuba mengekang dan menzalimi rakyat pada himpunan Bersih Sabtu lalu yang menuntut supaya pilihan raya dijalankan dengan adil dan bebas.

“Mereka (UMNO_BN) seharusnya perlu menghormati dasar hak-hak asasi yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan membenarkan rakyat menuntut pilihanraya telus,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

“Jelas rakyat sudah bangkit dan sedar kerana mereka dapat melihat kekejaman yang dilakukan pihak polis pada Sabtu lalu. Semuanya maklumat dapat dilihat dari pelbagai cara, antaranya video yang dimuatkan ke laman youtube,” tambah beliau.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=16867

Rally Bersih 2.0 - Kerajaan berjaya, Bersih lagi berjaya.

Kedua-dua belah pihak Bersih dan kerajaan telah berjaya dalam isu rally anjuran Bersih semalam. Kehendak kedua-dua belah pihak berjaya diperolehi dengan kejayaan masing-masing..

Pihak kerajaan dan Polis mereka telah berjaya menghalang ratusan ribuan rakyat untuk berdemonstrasi, Dengan usaha kerajaan dan Polis mereka telah berjaya mengurangkan jumlah kedatangan iaitu sehingga hanya 50,000 orang sahaja dari yang pada asalnya dijangkakan seramai 500,000 orang jika tidak ditahan dan di tekan oleh kerajaan melalui ‘Polis Raja diMalaysia’ (PRDM).

Pihak kerajaan telah berjaya menangkap dan memberkas seramai lebih dari seribu orang pada hari semalam. Dan ini merupakan penahanan yang paling ramai setakat ini. Pihak Polis telah bekerja kuat untuk cuba menutupi hakikat yang ramai rakyat sedang memberontak di dalam naluri mereka. Justru IGP telah mengumumkan angka yang tidak menasabah iaitu seramai 6000 orang sahaja yang berhimpun.

Polis begitu berbangga mengumumkan yang mereka telah berjaya menahan ratusan ribu rakyat untuk berhimpun seolah-olah mengumumkan kejayaan menumpaskan sindikit terbesar pengedaran dadah. Pihak pemerintah berusaha keras yang perhimpunan itu akan menjejaskan perniagaan pada hari semalam. IGP pun nampaknya bercakap ala ahli politik. Mungkin bergiat dalam politik merupakan 'option' yang baik selepas beliau bersara nanti.

Tetapi rakyat kembali bertanya kalau di benarkan perhimpunan secara aman diadakan maka tidak akan berlaku kekosongan dari orang ramai di tempat-tempat yang biasa dengan kesibukan manusia. Kalau di benarkan rally itu di adakan secara aman bas-bas tidak akan hilang penumpang seperti yang selalu diperolehi mereka.

Polis menutup jalan-jalanraya kerana hari ini terbukti yang menyebabkan huru-hara itu adalah pihak Polis yang mengambil rally ini seperti mahu menghadapi perang dunia ketiga. Malahan jika rally ini di benarkan rally itu diteruskan dengan kawalan pihak Polis, peniaga-peniaga akan mendapat lebih keuntungan dengan bertambahnya langan kepada barang jualan mereka.

Tetapi oleh kerana hendak menutup pandangan orang ramai tentang sokongan kuat dari rakyat untuk melakukan transformasi sistem pilihanraya itu maka dilakukan penutupan jalan-jalanraya yang penting di ibu kota untuk menghalang rakyat yang ramai untuk menyertai rally tersebut. Hasilnya peniaga-peniaga yang menerima padahnya.

Apa pula kejayaan pihak penganjur rally ini? Penganjur rally ini telah berjaya membuktikan yang mereka mendapat sokongan ramai. Jika tidak mendapat sokongan ramai masakan kerajaan menggunakan Polis dan undang-undang dharurat dengan menahan orang ramai yang disyaki menyokong Bersih di seluruh negara.

Kerajaan tahu yang jika rally ini dibenarkan di adakan tanpa gangguan pihak Polis ratusan ribu rakyat akan keluar secara aman untuk menunjukan menifestasi mereka terhadap cara pengendalian pilihanraya di negara ini. Tetapi kerajaan tidak dapat mengawal peserta rally dari rakyat Malaysia di seluruh dunia. Di Melbourne, Perth, Sydney, London dan tidak beberapa jam lagi di New York, Los Angeles serta di mana-mana sahaja rakyat Malaysia berada, mereka keluar memberikan sokongan dengan mengadakan rally secara aman tanpa gangguan pihak pemerintah.

Para penyokong rally ini datang dengan kehendak sendiri tanpa dibayar elaun dan mereka mengeluarkan perbelanjaan sendiri. Dari segi politiknya tentulah mereka mendapat sokongan dengan ‘legitimate’ tanpa didorong oleh imbuhan seperti yang diamalkan dalam mana-mana perhimpunan yang dilakukan oleh UMNO. ‘Tak ada fulus jangan harap mereka hendak berurusan dengan UMNO’….elaun makan, petrol kenderaan dan perbelanjaan lain-lain seperti hotel penginapan.

Kejayaan yang sangat ketara ialah membentuk keberanian rakyat untuk menghadapi segala rintangan seperti menghadapi taburan gas pemedih mata dan berbagai-bagai ugutan dan ancaman dari pihak Polis. Keberanian itu tentunya terbentuk apabila cara untuk membuat tuntutan lain tidak mendapat perhatian dari yang berkuasa.

Rally ini juga telah mula membuka mata-rakyat untuk melihat secara jelas apa-apa perkara yang dianggap tidak adil dalam perlaksanaan pilihanraya. Rakyat sedar yang perubahan wajib terlaksana seperti perubahan yang berlaku di Indonesia di mana kedua-dua pihak yang sedang bertanding untuk mendapatkan mandat rakyat itu boleh berkempen secara adil melalui media-media letronik secara sama rata. Indonesia kini merupakan demokrasi yang kedua terbesar di Asia selepas India.

Di Malaysia saluran-saluran TV perdana hanya dipergunakan oleh parti pemerintah sahaja dan digunakan untuk menekan parti-parti yang bertanding di dalam pilihanraya. Liputan yang terlalu berat sebelah menjadikan satu pihak tidak mendapat menyampaikan dasar atau manifesto mereka secara meluas.

Pilihanraya Singapura baru-baru ini juga telah menunjukan sikap terbuka dan keadilan kerajaan yang memerintah apabila parti-parti pembangkang juga diberi peluang dengan luasnya untuk menyampaikan mesej mereka melalui saluran perdana TV di negara itu. Jika kita tidak ada apa-apa yang hendak ditakuti, kita tidak mempunyai sebab untuk berasa takut untuk membenarkan saluran perdana itu juga dipergunakan oleh parti-parti pembangkang yang bertanding.

Tuntutan pihak Bersih untuk memberikan waktu dan masa untuk semua parti menyampaikan mesej masing-masing melalui TV saluran perdana itu bukanlah perkara yang baru. Di semua negara-negara maju, parti kerajaan dan pembangkang bersama-sama menggunakan media perdana sebagai saluran untuk semua pihak yang bertanding untuk menyampaikan semua mesej mereka kepada rakyat.

Satu lagi tuntutan Bersih ialah untuk mencari ‘mechanism’ untuk memberi kemudahan bagi rakyat Malaysia yang menetap di luar negara. Baru-baru ini kita melihat betapa ramainya rakyat Thailand yang menetap di negara kita telah pergi ke Kedutaan Thailand untuk mengundi dalam pilihanraya umum Thailand minggu lepas. Jika ini dapat dilaksanakan di negara kita maka kita akan menapak jauh untuk sampai ketahap negara maju seperti yang kita semua idamkan.

Kita tidak boleh menafikan hak ini terhadap pembangkang dengan memberi alasan yang kita mempunyai acuan kita sendiri yang tidak membolehkan parti pembangkang menggunakan saluran media perdana di dalam pilihanraya.

Kalau acuannya tidak sempurna bagaimana kita hendak mendapatkan demokrasi yang sepatutnya kerana acuan yang senget sebelah. Jika dulu sebelum rakyat faham tentang apa itu demokrasi mungkin acuan itu boleh di pakai, tetapi apabila rakyat sudah terbuka kepada sistem dan acuan yang lebih baik tentulah acuan yang selama ini kita pakai wajar ditukar.

Di sini Bersih telah bejaya memberikan sedikit sebanyak pelajaran kepada rakyat tentang demokrasi khususnya di dalam pengendalian pilihanraya yang bersih seperti yang di tuntut oleh demokrasi itu sendiri.

Pilihanraya yang adil dan saksama merupakan asas demokrasi yang tulin. Kalau kita tidak berani menghadapi pilihanraya secara adil, lebih baik jangan di adakan pilihanraya sama sekali. -Aspan alias
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...