24 Disember 2010

DATA TERKINI MENGENAI MALAYSIA...

Ekonomi Malaysia terus kekal di takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/98. Selepas sedekad berdepan dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura sementara kita juga diancam oleh jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Bukti-bukti kelesuan ekonomi Malaysia yang diuruskan oleh UMNO

1. 12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan deficit

2. 10 tahun berturut-turut Malaysia gagal mencapai sasaran pertunbuhan ekonomi

3. 4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%

4. 4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6.0%

5. KDNK adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku

6. 325 bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 – 2010. Ini bermakna purata setahun adalah 81.25 bilion ringgit

7. 53.3% adalah kadar hutang Negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998

8. 3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010)

Akibatnya Malaysia jatuh 26 anak tangga dalam indeks integriti institusi awam dalam Laporan Daya Saing Global oleh World Ekonomic Forum dari tahun 2007 ke 2009

Nasib kita sebagai rakyat ..

1. 2.6% purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010, berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara miskin)

2. 4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun1990 – 2009

3. 40% dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia

4. 3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputera

5. 34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran di bawah paras kemiskinan

6. RM4 bilion adalah subsidi makanan (gula, gandum, beras) yang ditarik balik oleh UMNO/BN, berbanding RM19 bilion subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampas an kepada konsesi lebuhraya setiap tahun

7. RM19 bilion subsidi diberikan kepada penjana bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion subsidi minyak kepada rakyat

8. RM466 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia

Kenapa jadi macam ini?

1. RM28 bilion kerugian yang ditanggung Negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa

2. 3 kali ganda hasil Negara hilang melalui rasuah berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat

3. 4.4 skor dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Negara tahun 2010, sedangkan sasaran UMNO/BN adalah 4.9. Skor ini lebih rendah dari tahun 2009

4. 46% dari rakyat ditinjau oleh Transparency International menyatakan bahawa gejala rasuah semakin berleluasa dalam tahun 2010 berbanding tahun 2009

Krisis Pendidikan

1. 57 anak tangga dalam senarai Laporan Pembangunan Dunia UNDP 2010 mengenai kadar pembangunan insaniah di dunia, jauh ditinggalkan Korea Selatan (12), Hong Kong (21), Singapura (27) dan Brunei (37)

2. 68.7% sahaja rakyat Malaysia yang menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009, berbanding Korea Selatan(96.4%), Brunei (88.2%) dan Hong Kong (75.2%)

3. 1 orang dari setiap 4 orang rakyat Malaysia tercicir dari pendidikan menengah dan tidak menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 – 2009

4. 29.7% sahaja rakyat Malaysia yang memasuki alam pendidikan tertiari, berbanding Korea Selatan (96.1%)

DASAR PENSWATA SAMAN MEMBEBANKAN RAKYAT

Akta JPJ: Mohon pada Agong jalan terakhir
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Pakatan Rakyat hari ini memohon Yang di-Pertuan Agong menangguhkan kelulusan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang diluluskan Dewan Negara baru-baru ini.

Permohonan itu dibuat dalam memorandum yang diserahkan kepada Tuanku melalui Setiausaha Sulit Kanan, Datuk Mohd Zuki Ali pagi tadi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, memorandum itu merupakan jalan terakhir setelah usaha mereka menghalang kelulusan rang undang-undang itu sehingga ke peringkat Dewan Negara tidak berhasil.

"Tidak ada jalan lain lagi, jalan terakhir memohon kepada Tuanku sahaja. Saya sudah hantar surat kepada Dewan Negara minta ia ditolak, tapi diluluskan juga," kata beliau kepada pemberita selepas penyerahan itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena juga memohon Tuanku menitahkan rang undang-undang berkenaan dibahas semula di Parlimen kerana ianya dibuat secara tergesa-gesa.

"Jadi kita pohon Tuanku mengambil perhatian terhadap perkara ini kerana ini melibatkan kepentingan rakyat, bukan isu politik.

"Saya sedia bertemu Tuanku memberi penjelasan lanjut bersama pegawai undang-undang kita", kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase).

Tidak selesai masalah

Menurut Mahfuz juga, pindaan-pindaan terhadap akta ini hanya bersifat teknikal dan bertujuan memperkenalkan sistem penguatkuasaan automatik (Automated Enforcement System-AES).

Beliau mempersoal tindakan kerajaan memberikan kontrak kepada dua syarikat iaitu Beta Tegap Sdn. Bhd. dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd sebelum rang undang-undang itu diluluskan.

"Timbalan Menteri menyatakan letter of award belum dikeluarkan tetapi letter of intent telah diberikan sedangkan pindaan rang undang-undang belum diluluskan, nampaknya Kementerian telah mendahului Parlimen dalam hal ini," katanya.

Pindaan ini juga didakwa tidak menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit seperti masalah kemalangan maut yang semakin meningkat, masalah senarai hitam pemilik kenderaan dan juga masalah saman ekor.

"Persoalannya bagaimana kedudukan saman-saman ekor yang dikuatkuasakan sebelum pindaan ini kerana imej yang dirakam yang digunakan sebelum pindaan tidak boleh diguna di mahkamah," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai pengkhianatan kepada rakyat.

"Sekarang ini saman pun nak diswastakan. Ini satu pengkhianatan kepada rakyat. Rakyat sudah terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bila diswastakan saman, ianya satu tindakan yang membebankan rakyat.

"Sudah pasti syarikat yang diberi kontrak ini mahukan keuntungan sebab dia akan dapat habuan untuk setiap saman yang dikeluarkan," katanya.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pula berkata, kerajaan tidak memikirkan kesan jangka panjang terhadap sesuatu rang undang-undang yang diluluskan.

"Penswastaan JPJ ini satu konsep yang salah. Umno BN hanya memikirkan kepentingan mereka dan menguntungkan sesetengah pihak. Pengurusan kerajaan tidak bijak dan tidak mengkaji kesan jangka panjang sebaliknya membuat sesuatu secara tergesa-tergesa.Itulah BN," katanya.

Dalam pada itu, ahli jawatankuasa Kase , Taufek Abdul Ghani memberitahu, Kase akan bermesyuarat pada 27 Disember ini untuk merangka tindakan seterusnya bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat berkenaan perkara ini.

Turut mengingiringi Mahfuz ialah bendahari PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai dan AJK PAS Pusat, Taib Azamuddin yang juga ahli Parlimen Baling selain dua peguam Kase.

Felda 'rayu' jangan saman

Khairil Abdul Rahim

BANDAR JENGKA, 23 Dis: Sudah terhantuk baru terngadah. Begitulah yang diibaratkan kepada pekeliling daripada Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab yang disifatkan memujuk peneroka supaya tidak menggunakan saluran undang-undang bagi menuntut hak mereka.

Naib Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Aris Fezul Ismail, menyifatkan risalah bertajuk ‘Penyelesaian masalah, Isu atau Pertelingkahan Melalui Kaedah Timbang Tara’ yang diedarkan kepada peneroka-peneroka serta dibacakan isinya di masjid-masjid di sini seolah-olah melambangkan keresahan Felda menghadapi kebangkitan peneroka.

Antara lain, risalah dua helai itu menyatakan tindakan saman oleh peneroka terhadap agensi pembangunan tanah itu didakwa telah menyebabkan wujud suasana yang tidak harmoni antara peneroka dengan pengurusan Felda.

Kandungan risalah tersebut turut membangkitkan, surat perjanjian asal antara peneroka dengan Felda telah memperuntukkan bahawa sekiranya terdapat perselisihan antara kedua belah pihak perlu dirujuk kepada Penimbang tara iaitu Perdana Menteri selaku menteri yang bertanggungjawab kepada Felda.

Aris yang juga Setiausaha Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat mempertikaikan, kenapa baru kini iaitu selepas peneroka menang saman di Felda Kemahang 3 dan Felda Sungai Koyan timbul tawaran menyelesaikan lambakan permasalahan peneroka melalui kaedah Timbang tara.

“Sebelum ini Anak sendiri pernah menghantar memorandum kepada Pengerusi Timbang tara iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi jangankan kata penyelesaian, respons pun tidak ada. Bahkan kalau kita dengar baru-baru ini bagaimana PM dengan angkuhnya menempelak siapa kata Felda bankrap adalah pengkhianat. Bolehkah orang seperti ini mahu dirujuk sebagai penimbang tara?

“Bukan itu saja, baru-baru ini Anak telah menyerahkan memorandum 20 perkara berkaitan masalah peneroka kepada Timbalan Menteri yang menjaga Felda Datuk Ahmad Maslan yang konon katanya nak selesaikan dalam tempoh dua minggu. Tapi sekarang dah hampir dua bulan, respons pun tak dengar.

“Di Pahang ini sendiri, Exco yang menjaga Felda Datuk Tan Aminuddin. Apabila peneroka membangkitkan hak mereka yang diceroboh pada satu ketika dulu, beliau bingkas mencabar mana-mana peneroka yang tak setuju dengan Felda boleh keluar dari tanah rancangan. Pada saya ini satu kenyataan angkuh seolah-olah peneroka-peneroka ini menumpang dan mengemis sedangkan mereka tuan tanah,” hujahnya.

Tambah Aris, suasana yang tidak harmoni dicetuskan sendiri oleh pengurusan Felda. Contohnya dalam kes Felda Kemahang apabila Ketua Hakim Negara berkata Felda terbukti menipu peneroka dalam kes kadar perahan gred (KPG) sawit, Felda masih tidak mengaku kesalahan malah enggan membayar ganti rugi kepada peneroka.

“Begitu juga dengan kes peneroka Felda Sungai Koyan yang mana mahkamah telah putuskan peneroka layak menerima wang tabung tanam semula (TTS) tetapi menterinya kata Felda memang nak bayar sedangkan dalam mahkamah peguam mereka bermati-matian berusaha supaya Felda tidak mahu bayar. Pada saya sikap seperti ini semua tidak membawa keharmonian,” katanya.

Mengenai saranan Pengarah Besar Felda agar peneroka mengemukakan sebarang aduan dan permasalahan kepada pengurusan rancangan melalui blok, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gabungan Pertubuhan Wanita (GPW) dan pertubuhan belia, Aris berkata ia hampir mustahil kerana semuanya dilantik oleh Felda dan bukan dipilih oleh peneroka malah dikuasai parti politik kerajaan.

“Barangkali Datuk Dzulkifli tidak turun ke bawah melihat bahawa kebanyakan pemilihan ketua-ketua blok yang mewakili 24 orang ahli dipilih berdasarkan mana yang Felda suka, bukannya pilihan peneroka secara mutlak. Naib Pengerusi JKKR yang sepatutnya dipilih melalui mesyuarat agung, tapi hanya ditentukan oleh Felda. Jadi dia mewakili Felda, bukan suara peneroka. Sebab itu dapat dilihat bagaimana sikap mereka terhadap peneroka tanam sendiri iaitu seperti anak tiri yang melakukan satu kesalahan besar.

“Pertubuhan belia pula hanya ada pada nama saja. Mesyuarat agung pun tak pernah sehingga tak tahu siapa AJK. Mana perginya peruntukan kewangan? Sama jugalah dengan AJK masjid, bukan dilantik melalui mesyuarat agung,” jelasnya.

23 Disember 2010

Sebab naik harga minyak tidak rasional

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sering memberi alasan yang tidak rasional apabila mengambil keputusan untuk menaikkan harga minyak hingga mencetuskan kenaikan harga barang keperluan harian dan membebankan rakyat terbanyak.

Alasan yang diberi untuk merasionalkan kenaikan harga minyak ialah, ianya bukan kenaikan tetapi penyelarasan, mengelak penyeludupan minyak ke negara jiran, harga minyak lebih murah dari Singapura dan Thailand, subsidi minyak dihapuskan untuk kerajaan memajukan pengangkutan awam dan naik lima sen seliter sahaja.

Berikut cuba lihat perbandingan harga minyak antara Malaysia dan negara-negara pengeluar minyak dunia.

United Arab Emirates RM1.22/liter
Bahrain RM0.89/liter
Qatar RM0.72/liter
Kuwait RM0.69/liter
Libya RM0.46/liter
Arab Saudi RM0.39/liter
Iran RM0.36/liter
Nigeria RM0.33/liter
Turkmenistan RM0.26/liter
Venezuela RM0.16/liter
MALAYSIA (RON95) RM1.90/liter

Jika BN terus memerintah negara, subsidi minyak, gas, tepung, gula dan barangan keperluan lain terpaksa dikurangkan bagi mengelak negara jatuh bankrap pada 2019. (sumber Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala).

PLUS UNTUK DIJUAL

Pihak-pihak baru yang berminat untuk membeli PLUS Expressways Bhd, mempunyai sehingga jam 5 petang pada 10 Januari 2011, untuk menghantar bidaan mereka, kata pengurus besar perkhidmatan korporat Minority Shareholders Watchdog Group Lya Rahman.

"Tawaran untuk mengambil alih PLUS daripada lain-lain pembida telah dilanjutkan sehingga 5 petang pada 10 Jan 2011," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agong luarbiasa (EGM) PLUS di ibunegara hari ini.

EGM hari ini dijadualkan untuk meluluskan bidaan UEM Group Bhd-Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli PLUS dengan harga RM23 bilion.

"Pada dasarnya, kami telah bersetuju untuk menangguhkan mesyuarat. Kami akan ada lebih banyak masa untuk meneliti cadangan-cadangan dan pemegang saham akan kemudian tahu keadaan sebenar," katanya.

Katanya adalah penting untuk melihat merit kedua-dua bidaan itu - bidaan bersama UEM-KWSP dan Jelas Ulung Sdn Bhd dan mengambil keputusan terbaik.

Mengenai Jelas Ulung, Lya berkata, pemegang saham lebih bimbang tentang harga yang lebih tinggi itu berbanding merit syarikat tersebut.

Kira-kira 130 pemegang saham menghadiri EGM itu yang ditangguhkan pada tengah hari.

Saham PLUS naik tiga sen kepada RM4.65 pada 12.30 tengah hari.

Sementara itu, pengarah bukan eksekutif bebas kanan PLUS, Tan Sri K. Ravindran, yang mempengerusikan EGM itu berkata keputusan untuk melanjutkan tarikh akhir itu adalah berikutan cadangan oleh para pemegang saham.

"Lembaga sementara itu akan menilai semula dan menimbangkan terma-terma tawaran yang baru dibuat oleh Jelas Ulung Sdn Bhd dan lain-lain tawaran baru jika ada, sementara pada waktu yang sama mengambil kira tawaran bersama UEM dan KWSP," katanya dalam satu kenyataan.

PLUS berkata lembaga itu dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia pada 21 Dis menyatakan bahawa tawaran baharu yang dihantar juga patut termasuk beberapa terma dan maklumat serta menuruti beberapa syarat.

Ravindran berkata langkah itu diambil untuk melindungi kepentingan syarikat serta untuk memastikan keseriusan dan kredibiliti pembida.

Tarikh baharu EGM yang ditangguhkan itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Indeks demokrasi: Malaysia jatuh 3 tangga, ke-71 di dunia


Indeks demokrasi: Malaysia jatuh 3 tangga, ke-71 di dunia

oleh: Wong Shu Qi

Malaysia jatuh tiga anak tangga kepada kedudukan 71 dalam indeks demokrasi, antara 167 negara di dunia ini, menurut laporan Economist Intelligence Unit yang diumumkan baru-baru ini. Daripada lima kateria penilaian, Malaysia mengalami penurunan dalam budaya politik dan kebebasan sivil, meskipun meningkat dari segi fungsi kerajaan.

Laporan indeks demokrasi yang dikeluarkan Economist Intelligence Unit ini menunjukkan kemunduran demokrasi di merata dunia dari tahun 2008 hingga 2010. Negara Barat mahupun Timur mengalami impak dari faktor ekonomi, lantas negara diktator semakin sempit ruangnya, malah menunjukkan kecenderungan politik negatif yang semakin nyata berikutan krisis ekonomi.

Pada tahun 2008, Malaysia menduduki tangga ke-68 dengan purata 6.36 mata, menurut penilaian kedua Economist Intelligence Unit. Dua tahun selepas itu, mata purata yang dipungut Malaysia menurun 0.15 kepada 6.19, membawa negara kita ke tangga 71.

Lima kategori yang dinilai termasuk proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi kerajaan, penyertaan politik, budaya politik dan kebebasan sivil. Malaysia mengekalkan prestasi dalam kategori proses pilihan raya dan pluralisme (6.5) dan penyertaan politik (5.56).

Bagaimanapun, prestasi Malaysia meningkat dalam kategori Fungsi Kerajaan, melonjak dari 6.07 pada tahun 2008 kepada 6.79 pada tahun 2010. Tetapi, Malaysia jatuh dari segi budaya politik, 7.5 pada tahun 2008 kepada 6.25 pada tahun 2010. Kebebasan sivil juga memperlihatkan penurunan 0.3, dari 6.18 tahun 2008 kepada 5.88 pada tahun 2010.

Kebebasan media: Malaysia berundur

Apa yang menarik, laporan Economist Intelligence Unit menunjukkan bahawa Malaysia adalah salah satu daripada 36 buah negara yang berundur langkah dari segi kebebasan media. Hanya empat buah negara Asia tersenarai dalam kategori ini, iaitu Fiji, Sri Langka dan Thailand, selain Malaysia.

Laporan menjelaskan faktor yang menjurus kepada pengunduran dari segi kebebasan media - banyak kerajaan yang merasakan dirinya tergugat akibat krisis kewangan tahun 2008, lantas mengetatkan kawalan media dan menyekat kebebasan bersuara. Pada masa yang sama, kadar penggangguran yang meningkat pula menjuruskan sikap pengamal media untuk "lebih berwaspada", supaya tidak kehilangan kerjayanya.

Tidak dinafikan juga bahawa trend pemusatan pemilikan media semakin ketara, dan membawa impak negatif kepada kemajmukan dan kebebasan bersuara. Pada masa yang sama, negara diktator yang semakin kuat akan menyekat dan menekan media yang bebas. Lebih ketara, serangan terhadap pengamal media bebas juga semakin meningkat.

Negara Eropah Utara berada di depan

Negara yang tinggi indeks demokrasi-nya kebanyakannya tertumpu di Eropah Utara, dengan Norway pada kedudukan tertinggi, disusuli Iceland, Denmark dan Swedan. Negara lain yang berada dalam kedudukan 10 tertinggi di dunia termasuklah New Zealand (5), Australia (6), Finland (7), Switzerland (8), Kanada (9) dan Netherlands (10). Negara demokrasi terbesar kononnya, Amerika Syarikat berada pada tangga ke-17.

Antara negara Asia pula, Korea Selatan berada pada kedudukan tertinggi, iaitu ke-20, diikuti Jepun (22) dan Taiwan (36), yang juga jatuh tiga anak tangga seperti Malaysia. Di negara Asia Tenggara pula, Timor-Leste berada pada kedudukan tertinggi, meningkat lima tingkat dari 47 pada tahun 2008 kepada 42 pada tahun 2010.

Jika dibandingkan dengan negara jiran Malaysia pula, Thailand jatuh dari kedudukan 54 kepada 57, Indonesia pula meningkat secara mendadak dari 69 kepada 60; sementara Filipina melonjak dari 77 kepada 74, ketinggalan tiga anak tangga berbanding Malaysia. Singapura kekal pada kedudukan 82, dan tidak mengalami sebarang naik turun dalam setiap kategori yang dinilai.

Pengunduran demokrasi

Menurut laporan Economist Intelligence Unit, gelombang demokrasi global ketiga yang bermula sejak tahun 1974 mencapai kemuncaknya ketika runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989. Namun demikian, 167 buah negara di merata dunia mengalami democracy recession, yang dikatakan Larry Diamond dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Kini, situasi di seluruh dunia digambarkan sebagai "democracy retreat", malah laporan mendakwa krisis kewangan tahun 2008 menonjolkan lagi trend politik yang sudah begitu negatif pada asalnya.

Menurut perhitungan Economist Intelligence Unit, hanya 26 buah negara dianggap negara demokrasi yang sebenar, daripada 167 buah negara. Populasinya hanya 12.3% daripada populasi dunia. Terdapat 53 negara yang demokrasi tempang, dengan nisbah populasi 37.2%. 33 negara berada dalam keadaan campuran dengan nisbah populasi 14% dan 55 negara diktator, dengan populasi 36.5%.

Seandainya negara yang mengalami ketempangan dalam demokrasinya disenarai dalam kategori "negara demokrasi", maka hampir 50% populasi dunia masih berada dalam zon demokrasi. Namun, terdapat 2.5 bilion orang penduduk, iaitu lebih daripada satu pertiga umat bumi yang masih berada di bawah kuku besi diktator - sememangnya, negara China memberi sumbangan yang tidak kurang dalam hal ini.

21 Disember 2010

SAPA DULU...


Che’guBard dalam dilema antara prinsip dan jawatan

Tanggal 18 Dis 2010, kira-kira 11 pg saya dimaklumkan melalui telefon oleh salah seorang Naib Presiden KEADILAN menyatakan ada kemungkinan saya akan dilantik satu jawatan kemungkinan Timbalan Setiausaha Agung Parti.

Selepas itu dalam sidang media Konvoi Anak Muda Malaysioa yang diadakan pada hari yang sama jam 3.30 ptg saya dimaklumkan oleh wartawan bahawa Presiden KEADILAN telah pun mengumumkan nama saya selaku Timbalan Setiausaha Agung.

Pertamanya saya berterima kasih dan amat hargai lantikan Presiden tersebut. Saya menganggap ia sebagai satu penghormatan.

Namun saya ditegaskan saya belum memutuskan untuk menerima atau tidak jawatan tersebut. Walau apapun jawatannya saya tetap mengganggap ia satu amanah besar. Saya bukanlah manusia yang menganggap jawatan itu sebagai matlamat yang harus dikejar hingga sanggup menapulasi segalanya termasuk melakukan penyelewengan demokrasi, tetapi setelah memegang jawatan tidak mampu nelakukan apa-apa.

Sehubungan itu saya hanya akan membuat keputusan selepas berbincang dengan semua teman-teman, keluarga dan seumpamanya. InsyaAllah paling awal saya akan umumkan dalam 26 Disember 2010.

Di kesempatan ini juga ingin saya nyatakan bahawa saya masih menanti hasil penyiasatan dan tindakan terhadap aduan - aduan yang saya dan teman-teman ajukan mengenai Pemilihan KEADILAN 2010. Saya akur dengan nasihat YB Setiausaha Agung agar sabar menanti dan jangan buat bukan-bukan tetapi saya juga meminta beliau ingat dengan kenyataannya yang memberi jaminan hasil siasatan akan diperolehi dalam 2minggu. Janji ini diungkap ketika Kongres 2010 berlangsung.

Namun juga saya ingin pertegaskan saya akan terus berjuang memperkasakan rakyat demi perubahan negara. Jadual saya saban hari masih penuh dengan aktiviti parti dan bersama rakyat mendesak perubahan.

Ini pula dari blog edyesdotcom

Saya juga tegaskan kesetiaan saya kepada KEADILAN tidak pernah goyah. Cuma kritikan yang saya lontar ialah demi kebaikan parti ini. Saya tidak mahu jika terdapat masalah kita asyik 'menyapu' semua masalah dibawah karpet.

Saya sayang parti ini dan kerana sayangkan parti inilah saya tegur, saya sayangkan negara ini kerana sayangkan negara inilah saya ingin pastikan KEADILAN menjadi sesempurna mungkin sebelum memasuki Putrajaya.

Saya masih yakin demokrasi dan ketelusan dalam keadilan belum mati (tetapi mungkin gering teruk), namun untuk memastikan keadilan, demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN sebur mekar maka kita perlu keberanian mendesak. - che'GuBard


Pernyataan di atas adalah beberapa quote dari saudara Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan gelaran che'GuBard. Jika dihayati, ia merupakan sebuah kenyataan tegas yang menunjukkan betapa sayang dan setianya che'GuBard terhadap parti yang dijunjung iaitu Parti Keadilan Rakyat.

Namun kesetiaan kepada perjuangan dalam menegakkan keadilan dan istiqomah terhadap prinsip dalam melaksanakan kata-kata adalah ciri-ciri yang dituntut untuk melebihi kesetiaan kepada parti, fahaman dan susuk individu tertentu. Sayangnya seorang pejuang reformasi terhadap parti, tidak bermakna prinsip dan maruah itu harus menjadi gadaian demi membenarkan nafas lega dihela di sebalik rebahnya kebenaran dan keadilan. Istiqomah dalam perjuangan, itulah gamaknya pendirian Chegubard setakat ini.

Cukup bunga-bunga mukadimah, sekarang kita terus kepada pokoknya. Adakah che'GuBard akan menerima lantikan bagi jawatan Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat?

Ada berita yang mengabarkan bahawa puan presiden mengesahkan che'GuBard menerima perlantikkan jawatan TSUA. Saya tidak pasti kesahihan berita ini tetapi setakat ini saya mendengarnya dari dua sumber berbeza. Adakah kata-kata DSWA mendahului keputusan tuan punya badan? ataupun che'GuBard akan terpaksa menerima jawatan yang ditawarkan itu? This is an offer or an order?

Sedangkan saya lebih arif bahawa che'GuBard masih lagi menunggu makluman rasmi dari parti berkenaan jawatan yang ditawarkan kepada beliau dan dalam keadaan sebegini che'GuBard dilihat lebih concern terhadap nasib yang menimpa bekas TSUA iaitu Sharifah Shahidah. Bekas TSUA yang telah banyak berkorban untuk parti, bagaikan habis madu sepah dibuang. Sharifah pernah meninggalkan kerjayanya yang agak mewah demi parti, dan inikah balasan yang diterima oleh bekas TSUA?

Mengikut apa yang saya ketahui, Sharifah Syahidah dimaklumkan namanya akan kekal disambung menjadi TSUA bagi penggal 2011-2013. Sehingga di sebelah pagi hari mesyuarat tertinggi yang menjurus kepada pemilihan jawatan lantikan, sejurus sebelum press conference, ketika itulah bekas TSUA dipaksa untuk terpaksa meninggalkan jawatan yang disandangnya itu untuk diserahkan kepada che'GuBard. Ini parti KEADILAN bukan parti kezaliman.

Di ketika ini jugalah begitu ramai rakan seperjuangan dan juga sahabat-sahabat che'gubard yang mengucapkan tahniah atas perlantikkan sebagai TSUA. Ada juga yang seakan tahu betapa mungkin penolakkan akan berlaku lantas menghambur kata-kata memujuk supaya che'GuBard memilih untuk menerima perlantikan sepertimana yang ditawarkan.

Ada juga pemimpin kanan yang mohon supaya chegubard dipujuk untuk menerima dengan alasan mengalah bukan bererti kalah. Tidak kurang juga yang menyindir sinis dengan mengatakan che'GuBard akan dituduh ego sekiranya menolak, dan ada juga yang berpendapat sekiranya che'GuBard memegang jawatan TSUA, maka boleh bersuara dengan lebih lantang.

Saudara dan saudari sekalian, semua ini adalah pandangan, pendapat dan harapan dari kaca mata yang melihat. Mengapa tidak kita letakkan diri kita dalam kedudukan che'GuBard seterusnya kita akan menyedari apakah yang sebenarnya dibeban oleh seorang aktivis reformasi yang berjuang demi keadilan. Che'GuBard masih lagi menanti jawapan bertulis atau jawapan rasmi berkenaan laporan penyelewengan dalam Pemilihan 2010 Keadilan yang sehingga hari ini tiada respon seperti yang diharapkan.

Ada yang menyapa, sekiranya chegubard menolak perlantikkan ini maka masalah masih tidak akan selesai. Jadi adakah permasalahan itu akan selesai setelah che'GuBard menerima watikah perlantikkan TSUA? Bagi saya, masalah hanya akan dapat selesai sekiranya che'GuBard "menerima jawatan sambil mendiamkan diri tentang apa yang telah berlaku sebelumnya. Bersama-sama menyorokkan, bersama mencegah persepsi buruk."

Saya ingin bertanya kepada mereka yang mengucap tahniah dan meminta che'GuBard menerima jawatan Timbalan Setiausaha Agung PKR, adakah anda menyedari bahawa che'GuBard sedang berjuang menegakkan keadilan khususnya kepincangan dan penipuan yang telah berlaku dalam pemilihan parti yang baru berlalu? Segala laporan kepincangan dan penipuan sewaktu pengundian tidak diberi respon dengan alasan menumpukan perhatian kepada PRU-13. Tergamakkah anda berkompromi dengan penipuan dan kepincangan terancang ??

Ada yang bertanya kepada saya, apakah yang dimaksudkan dengan kepincangan atau penipuan terancang kerana kononnya saya kerap menggunakan antonasi itu. Kepincangan itu adalah perkara biasa, begitu juga dengan penipuan. Biasalah bila sesuatu yang diusahakan itu serba pincang dan penipuan itu berlaku demi suatu agenda. Kepincangan itu ada puncanya dan penipuan itu juga ada dalangnya, tetapi apabila disebut kepincangan atau penipuan terancang, ia bermaksud - kepincangan itu telah diketahui, penipuan itu telah dikenalpasti berlaku, TETAPI ia dibenarkan berlaku di atas agenda tersendiri dan di atas kepentingan tertentu. Itulah maksudnya kepincangan dan penipuan terancang.

Anda mengaku memperjuangkan keadilan, anda juga mengakui punya jatidiri yang hebat, tetapi anda sanggup bersubahat dengan penganiayaan dan penipuan yang sengaja dibiarkan untuk tidak dibicarakan semata-mata untuk menang PRU-13? Bersubahat semata-mata kerana takut terjualnya persepsi buruk kepada pengetahuan rakyat terhadap Parti Keadilan sehingga menjejaskan peluang untuk melangkah ke Putrajaya. Ingatlah wahai orang-orang yang mengaku pejuang rakyat, apalah gunanya menang PRU-13 jika hanya menumbangkan REJIM untuk digantikan dgn REJIM yang baru? Akhirnya rakyat juga yang tersembam !!

Bagi yang berpendapat jika hadirnya che'GuBard dalam saf kepimpinan akan membolehkan beliau bersuara dalam menegakkan keadilan dalam parti khususnya dalam tajuk Pemilihan 2010, janganlah kita lupa bahawa ketika che'GuBard menghantar 3 laporan penipuan dan penyelewengan Pemilihan 2010, beliau merupakan seorang exco Majlis Perwakilan Pusat (MPP) yang sama-sama masuk meeting tetapi tidak berdaya mempengaruhi JPP, lembaga displin mahupun SUA waima Puan Presiden sendiri untuk revise balik pengundian pusat di cabang yang sangat meragukan bersama bukti yang kukuh dan saksi yang hidup.

Jawatan bukan segala-galanya. Jika menerima jawatan itu asal boleh berkompromi dan tidak lagi bising fasal penipuan, penyelewengan dan juga penganiayaan, lebih baik masuk UMNO kerana sifatnya di sana lebih dihalalkan untuk berlaku. Ini soal maruah dalam mempertahankan prinsip. Mana mungkin che'GuBard akan terima jawatan sedangkan beliau sendiri mempertikai dan tidak mengiktiraf keputusan Pemilihan 2010.

Melainkan jika laporan yang dihantar itu segera disiasat dengan terperinci dan tindakkan diambil terhadap mereka yang menjadi dalang penyelewengan serta penipuan undi pemilihan 2010 di bawa ke muka pengadilan, maka barulah dipertimbangkan sebaran jawatan yang ditawarkan. Jika kepimpinan tertinggi PKR merasakan agenda putrajaya diutamakan dengan isu Pemilihan 2010 ditinggalkan di bawah karpet, maka ia satu kesilapan besar kerana di bawah sana ada che'GuBard yang sedia bangkit pada bila-bila masa demi Keadilan.

Sedangkan walaupun tanpa sebarang jawatan yang disandang che'GuBard, pergerakkan chegubard tidak langsung terbatas malah beliau memperhebatkan lagi aktiviti marhein dengan siri-siri ceramah di seluruh pelosok negara sejak sebulan lalu. Saya percaya, Chegubard akan tetap berjuang walaupun tanpa jawatan dan beliau pastinya akan buktikan jawatan bukanlah segala-gala dalam resam perjuangannya tetapi prinsip dan istiqomah - untuk melihat keadilan, demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN sebur mekar maka kita perlu berani untuk mendesak. Che'GuBard tetap berjuang sambil menghindari jemaah yang korup!!

Justeru itu, kita sebagai penyokong keadilan harus menerima segala keputusan yang dibuat oleh che'GuBard samada menerima ataupun menolak perlantikkan tersebut. Hormatilah keputusan che'GuBard dan beliau akan memberi respon setelah mengambil kira apa yang terbaik untuk rakyat, parti dan anak muda khususnya.

Hidup Pejuang Anak Muda !
Hidup Aktivis Reformasi !!
Hidup Pejuang Revolusi !!!

EDYES @ edyesdotcom - COURT oF PUBLIC OPINION

Sharphooter - sudah tahu jawapan Chegubard tapi biarlah tuan tubuh yang akan mengumumkannya pada 26 Disember 2010.

Zaid yakin Kita nampak hebat nanti


Zaid yakin Kita nampak hebat nanti

Posted by admin on December 21st, 2010

Datuk Zaid Ibrahim dengan penuh yakin memberi amaran kepada pesaing-pesaingnya — Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) akan membawa impak signifikan dalam pilihan raya umum ke-13 meskipun ahlinya hanya sekitar 300 orang sekarang.

Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini berkata, walaupun parti barunya kecil dari segi keanggotaan, tetapi mampu memberi saingan kepada kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) dengan meletakkan calon-calon yang berkualiti.

“Sudah pasti kami boleh lakukan. Ya, kami sudah ada sejumlah calon. Saya tidak boleh mengatakan berapa ramai, tetapi ya, saya salah seorang daripada mereka.

“Kami ada keanggotaan yang kecil jumlahnya, hanya kira-kira 300 orang, tetapi bukan aspek keahlian yang menentukan sokongan, tetapi kualiti pemimpin-pemimpin kami,” kata beliau kepada The Malaysian Insider dalam satu pertemuan eksklusif baru-baru ini.

Rabu lalu, parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) yang berpangkalan di Kelantan ditukar menjadi Kita selepas Zaid dipilih sebagai presiden yang baru.

Zaid , yang keluar PKR bulan lalu berkata, bilangan keanggotaan Kita dijangka meningkat berlipat ganda dalam beberapa bulan akan datang menjelang pilihan raya umum ke-13.

Bekas menteri Kabinet ini juga mendakwa bahawa sementara musuh-musuhnya sudah pun menyangkal kesan kehadiran mereka dalam landskap politik negara, Zaid masih percaya pihaknya “sudah pun membawa kelainan” setakat ini.

“Saya percaya saya sudah pun bawa banyak kelainan (setakat ini). Jadi oleh itu, kehadiran kami akan dirasai,” kata beliau yang juga seorang peguam, menyertai Umno sebelum dipecat akhir 2008.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Baru pada 2004 semasa masih dalam Umno dan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu atas tiket PKR-Pakatan tetapi tewas.

Sambil berkata beliau membiayai Kita, Zaid menjelaskan bahawa pihaknya sedang menghimpunkan sumber-sumber untuk menghadapi menghadapi pilihan raya umum akan datang, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

Katanya, calon-calon yang mewakili Kita kemungkinan sepadan dengan mereka yang mewakili BN ataupun Pakatan Rakyat tetapi barisan calonnya mampu menarik sokongan memandangkan ia membawa dasar-dasar dan idelologi yang baik tanpa hanya terlibat dalam perkara-perkara yang remeh-temeh dengan parti saingan.

“Kami tidak banyak wang, jadi kami akan membelanjakan wang yang kecil jumlahnya tetapi kami akan berjuang bersandarkan pada kepercayaan kami, ideal kami, dasar-dasar kami,” kata beliau.

Zaid juga menekankan bahawa beliau tidak menggunakan Kita untuk mendapatkan “populariti segera” bagi dirinya selepas keluar dari PKR, di mana beliau bertanding jawatan timbalan presiden tetapi menarik diri dengan mendakwa wujud kecacatan dan manipulasi dalam proses pemilihan.

Zaid menyertai PKR pertengahan tahun lepas. “Memperoleh populariti segera atau cepat, bukan itu yang saya mahukan.

“Anda kena menang berdasarkan sesuatu yang substantif. Dari segi itu, saya tidak berlawan dengan mereka (BN atau Pakatan Rakyat), saya tidak perlu menyertai permainan mereka.

“Saya bermain dalam perlawanan yang saya rasakan terbaik untuk rakyat. Saya mahu tangani isu-isu rakyat, bukannya bermain politik atau hanya melaung-laungkan slogan,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu, Zaid yakin bahawa rakyat akan melihat tawaran Kita dengan baik tanpa melihatnya sebagai ahli politik gilakan kuasa.

“Orang ramai boleh mengatakan apa sahaja mereka mahukan, saya tidak bebas daripada semua ini.

“Tetapi saya pasti bahawa rakyat akan memandang saya dengan baik,” kata beliau sambil menambah, orang ramai masih menganggapnya sebagai seorang yang mempunyai prinsip dan seorang pemimpin yang tidak gementar untuk bercakap mengenai ketidakadilan.

“Jadi, saya lega dengan pandangan sedemikian,” katanya lagi. Kata Zaid, objektif Kita ialah membawa “kewarasan” kepada arena politik Malaysia yang didakwa “berbalah” di semua peringkat.

“Ia sangat bersifat kombatif tetapi bukan spesifik. Ia seperti enam lelaki buta bercakap mengenai seekor gajah tetapi menggambarkan dengan cara yang berbeza.

“Seorang bercakap mengenai Ketuanan Melayu, kemudian seorang lagi bercakap mengenai Ketuanan Rakyat,” katanya yang turut mengkritik Pakatan Rakyat dan BN hanya bercakap tentang slogan tetapi gagal menyelesaikan isu-isu menyentuh kepentingan rakyat seperti perkauman, mengadakan dasar ekonomi yang baik, keselamatan dan lain-lain.

“Pakatan tidak menyelesaikan apa-apa pun. Mereka hanya berminat untuk menang pilihan raya,” kata Zaid yang berpendapat perikatan itu sebenarnya tiga parti berasingan yang cuba mahu mendapatkan kuasa daripada BN.

PKR SYOK SENDIRI...??

Berbicara tentang Reformasi PKR...

Ngeow Chow Bing |

PKR dan Barisan Nasinal telah mengadakan kongres/konvensyen-nya baru-baru ini. Tidak kurang juga peristiwa yang menimpa PKR kebelakangan ini. Sesungguhnya PKR boleh mempersalahkan media arus perdana kerana memperbesarkan "kekecohan" yang berlaku dalam partinya, namun pada hakikatnya, kemegahan dan semangat PKR telah luntur berbanding dua tahun yang lalu.

Secara perbandingannya, semangat BN pula dipacu dengan kemenangan dua PRK yang terdekat. Malah, BN yang kini semakin stabil dari pimpinan atasannya, sering menyindir PR dengan nada yang sinis. Seandainya PRU diadakan sekarang juga, PR tidak semestinya mengulangi kegemilangan yang dicapainya pada tahun 2008.

Mengapa kekuatan PR, terutamanya PKR luntur dalam tempoh dua tahun? Meskipun tidaklah sampai tahap meranap, namun seandainya tidak bermuhasabah, ia bakal menyusut. Situasi sedemikian sememangnya menjejaskan sistem dua parti yang baru muncul pada tahun 2008. PKR wajar mengkaji kelemahannya dari segi kualiti anggota, struktur organisasi, pimpinan, strategi dan sebagainya.

Memperbaiki kualiti anggota PKR

Bukan sesuatu yang baru bahawa anggota PKR berasal dari latar belakang yang berbeza, malah memperlihatkan kualiti yang jauh berbeza. Masalah ini juga dihadapi parti lain, tetapi nampaknya lebih ketara dalam PKR. Punca masalahnya adalah penerimaan keanggotaan secara sewenang-wenangnya. Ini kerana mobilisasi diperlukan semasa berkempen, maka parti politik di Malaysia perlu menarik sebanyak anggota yang mungkin untuk memperkasa organisasi dalam parti dan mengerah sokongan.

Namun, seandainya sebilangan besar anggota parti itu sekadar "gerombolan", maka ia akan membebankan parti. "Pendidikan politik" perlu dimantapkan agar anggotanya dipandu ideologi, lantas partinya berideologi. Namun, inilah yang paling kekurangan dalam aktiviti parti setakat ini.

Organisasi tidak cerminkan keperluan

PKR meniru struktur organisasi parti lain dalam negara, terutamanya musuh politiknya UMNO. Kritikan ini pernah dibangkitkan sebelum ini. Cuma, pernahkan PKR memikirkan, apakah kekurangannya yang sebenar? Apa yang paling diperlukannya? Dan apakah struktur organisasi yang mampu mencerminkan keperluan ini?

Saya yang bukan anggota parti memang tidak tahu jawapannya. Tetapi adalah kurang bijak untuk PKR jika sekadar meniru struktur organisasi musuh politiknya tanpa mempertimbangkan keperluan diri yang sebenarnya. Misalnya, pengkhususan peranan dalam struktur pimpinan tertinggi PKR agak mudah, hanya diwujudkan beberapa jawatan seperti Ketua Penerangan, Pengarah Strategi dan sebagainya. Apakah ia mencerminkan keperluan dalam parti? Apakah masih ada peranan yang perlu dikhususkan kepada pemimpin tertentu untuk menjalankan fungsinya?

Pada masa yang sama, terdapat institusi yang pada hakikatnya tidak diperlukan, tetapi diwujudkan untuk memenuhi ego sesetengah orang. Tetapi kewujudan institusi ini hanya membazir sumber dan menambah perselisihan dalaman. Apakah benar perlunya sayap Angkatan Muda Keadilan dan Wanita? Atau ia diwujudkan kerana ia wujud dalam organisasi dalam negara?

Kekurangan bakat mentadbir

Saya terasa Anwar Ibrahim tidak lagi "gagah" sebagaimana yang dahulu selepas "Kes Sodomi II". Hujah ucapannya berulangan, dan tidak menunjukkan prestasi yang terserlah setelah dilantik menjadi Penasihat Ekonomi Selangor. Kemampuannya untuk menyatukan parti, mengawal situasi turut dilemahkan. Jelas, kes ini telah banyak melunturkan dayanya dan membazir masanya - strategi BN yang cukup tajam untuk melemahkan musuhnya.

BN menyasar pada Anwar - bahagian yang paling kuat dan pada masa yang sama paling lemah untuk PKR. Setelah penat lelah Anwar dibuatnya, kekuatan parti berjaya dilemahkan. Di kalangan pemimpin PKR, ramai yang berimejkan "akar umbi" atau "politik", tetapi terlalu kurang "pakar/profesional".

Ketika pemimpin PKR berucap, saya sering merasakan - jikapun halatuju mereka betul, tetapi mereka gagal meneliti soal dasar, pentadbiran secara terperinci. Bahasa yang cukup molek tetapi tidak bernas - semuanya "syiok sendiri", langsung tidak masak dengan soal pentadbiran.

PKR seharusnya menarik dan melahirkan lebih banyak pemimpin seperti Tony Pua, Liew Chin Tong dari DAP, yang tahu berbicara tentang soal dasar. Mereka yang hanya pandai beretorik - pemimpin kononnya inilah hanya akan menjadikan kemelut PKR dari segi pimpinan semakin ketara.

Strategi kurang tepat

Satu lagi masalah PKR, tidak membezakan keutamaan dalam percaturan strategi. Selepas PRU 2008, PKR dengan megah dan yakin bahawa dirinya mampu menawan Putrajaya, menguasai kerajaan peringkat persekutuan. Namun, keyakinan ini tidak lagi sekukuh dua tahun yang lalu. Prestasi PKR baru-baru ini memberi persepsi bahawa parti ini tidak mempunyai halatuju yang jelas.

PKR haru jelas dengan halatuju dalam percaturan strateginya. "Mempertahankan Selangor, kemudian berperang (dengan BN) untuk jangka panjang", atau terus "menuju ke Pusat"? Sesungguhnya, kedua-dua ini bukan pilihan yang saling berkontradiksi. Tetapi dalam keadaan di mana sumber terbatas, adalah penting untuk mendahulukan dan mengemudiankan tugas-tugas - agar tidak memecah-belahkan sumber sehingga tidak kesampaian dua-dua matlamatnya. Misalnya, pemilihan langsung PKR, bukannya tidak baik, tetapi apakah ia wajar diadakan pada peringkat ini? Ini soalan yang dipertikaikan.

Diharapkan PKR meneliti kelemahan diri sebaik-baiknya.

*Ngeow Chow Bing ialah pengkaji politik dan kolumnis di MerdekaReview. Diterjemah dan disunting daripada teks asal yang disiarkan pada pada 14 Disember 2010
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...