IKLAN

IKLAN
Klik gambar

22 Oktober 2009

80% yakin TBH dibunuh -Ahli Patalogi

Rabu Oktober 21, 2009
Ahli patalogi Thailand sedia lakukan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh

SHAH ALAM: Ahli patalogi terkenal Thailand Dr Porntip Rojanasunan memberitahu mahkamah koroner di sini hari ini bahawa beliau bersedia melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat setiausaha politik Teoh Beng Hock jika diperlukan berbuat demikian.

Pakar berumur 54 tahun itu, yang diminta oleh kerajaan negeri Selangor untuk memberikan keterangan mengenai punca kematian Teoh, berkata keperluan untuk menggali mayat Teoh bagi tujuan bedah siasat itu tidak meletakkan dirinya dalam keadaan merugikan.

"Saya masih boleh melakukan bedah siasat ke atas mayat itu malahan tiga bulan selepas kematiannya," katanya.

Peguam Gobind Singh Deo, selaku peguam pemerhati keluarga Teoh, kemudiannya memberitahu pemberita yang beliau akan mendapatkan pengesahan sama ada keluarga Teoh bersetuju untuk mayat Teoh digali semula bagi bedah siasat itu.

Teoh, setiausaha politik Exco negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai di koridor tingkat lima Plaza Masalam selepas memberikan kenyataan dalam kes mengenai dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di bangunan sama.

Terdahulu, Dr Porntip berkata beliau dapat membuat rumusan lebih baik mengenai punca kematian Teoh jika beliau sendiri diberi peluang melakukan bedah siasat kedua.

Beliau mengaku yang keterangannya di mahkamah hari ini hanya berdasarkan laporan autopsi yang disediakan oleh dua ahli patalogi Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar dan melalui gambargambar bedah siasat yang diberikan kepadanya, kerana beliau tidak melakukan bedah siasat ke atas mayat Teoh dan juga tidak memeriksa tempat kejadian jenayah.

Beliau juga mengaku yang beliau tidak diberikan laporan DNA dan laporan toksikologi oleh peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili kerajaan Malaysia, bahawa adalah tidak wajar untuk beliau merumuskan bahawa wujud 80 peratus kemungkinan homisid oleh kerana beliau tidak melakukan bedah siasat, tidak memeriksa tempat kejadian dan tidak menyediakan laporan bedah siasat itu sendiri.

"Saya cuba membuat rumusan berdasarkan keterangan yang terhad di depan saya. Objektif akhir saya ialah untuk membuat keterangan muktamad berdasarkan autopsi kedua. Anda perlu faham batasan yang saya hadapi di sini. Ia adalah kerja saya dan saya percaya dengannya. Ia lebih saintifik," katanya.

Ditanya oleh Tan sama ada beliau bersetuju dengan laporan autopsi oleh ahli patalogi forensik bahawa kecederaan Teoh adalah konsisten dengan kecederaan yang dialami oleh seseorang yang jatuh daripada tempat tinggi, Dr Porntip menjawab: "Sesetengah kecederaan itu, bukan semua." BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...