langsai hutang

langsai hutang
klik gambar

01 Januari 2011

TEKA-TEKI PRU13?

PRU-13: Najib jumpa setiap MP BN 8 Jan
Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani
January 01, 2011

KUALA LUMPUR, 1 Jan — Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabtu depan di sebalik spekulasi bahawa perdana menteri kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum dalam waktu terdekat. Pengerusi BN itu dijadual akan mengadakan pertemuan dengan kesemua ahli Parlimen untuk mendapatkan maklum balas mengenai langkah mengadakan pilihan raya umum awal memandangkan pemimpin-pemimpin perikatan itu kelihatan berbelah bahagi dalam soal itu.

Najib (gambar) kini bercuti di Timur Tengah.

“Najib akan bertemu dengan setiap ahli Parlimen BN selama lima minit pada 8 Januari. Pertemuan itu dijangka mengambil masa kira-kira 11 jam, jadi kemungkinan akan berlarutan sehingga Ahad ( 9 Januari),” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Seorang ahli Parlimen BN mengesahkan pertemuan itu sambil berkata Najib telah meminta mereka melaporkan pandangan tentang persediaan di bahagian masing-masing.

“Kami kena berikan satu laporan. Tetapi lima minit adalah waktu yang singkat kecuali setiap orang yakin dan mengatakan kesemuanya OK,” kata wakil rakyat itu.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan pada suku pertama tahun depan ketika cuti sekolah bulan Mac.

Bagaimanapun BN sekarang dikatakan mempertimbangkan untuk menangguhkannya sehingga apabila projek-projek ekonomi diperkenalkan Najib mula merancakkan ekonomi tempatan.

The Malaysian Insider difahamkan Najib telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin komponen BN awal bulan lalu di Parlimen untuk membincangkan sama ada mengadakan pilihan raya umum pada bulan Mei atau Jun.

Mandat semasa hanya akan berakhir 20 April 2013. Ia pertemuan pertama seumpama itu sejak Najib menjadi perdana menteri April 2009.

BN juga sedang membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.



“Ketika mesyuarat Kabinet baru-baru ini, dipersetujui bahawa pilihan raya umum kemungkinan diadakan minggu kedua bulan Jun. Jika tidak, ia akan dianjak sehingga November,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun perkembangan-perkembangan terbaru ini menunjukkan wakil rakyat-wakil rakyat yang tidak berhasrat untuk bertanding mahukan pilihan raya diadakan tahun depan.

“Ahli-ahli Parlimen kanan mengharapkan faedah daripada pelbagai projek yang dilaksanakan sebelum pilihan raya umum. Mereka juga menyebarkan khabar angin bahawa ahli-ahli Parlimen muda (penggal pertama) tidak akan memperoleh pencen jika pilihan raya umum diadakan awal,” kata sumber itu lagi.

Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 memperuntukkan pencen bagi wakil rakyat jika mereka berkhidmat sekurang-kurangnya 36 bulan.

Penasihat-penasihat Najib pula dikatakan menggesa beliau agar mengadakan pilihan raya umum seawal Jun ekoran kebimbangan bahawa ekonomi dunia kemungkinan perlahan, sehingga boleh memberi kesan ke atas ekonomi tempata pada suku ketiga.

Najib, perdana menteri keenam, telah memperkenalkan pelbagai projek untuk merangsang ekonomi negara meskipun ramalan menunjukkan ia akan perlahan tahun ini.

Ia termasuklah projek transit aliran massa (MRT) yang akan menelan RM36 bilion, menara Warisan Merdeka RM5 bilion, Daerah Kewangan Antarabangsa KL RM26 bilion, projek ekoresort RM3 bilion di Karambunai, Sabah dan pembangunan kawasan seluas 1,084 hektar milik Institut Penyelidikan Getah (RRI) di Sungai Buloh.

Bank Pembangunan Asia (ADB) baru-baru ini meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam lingkungan lima peratus, satu peratus lebih rendah daripada diharapkan oleh pentadbiran Najib.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, dua minggu lalu mengadakan konvensyen kedua mereka di Kepala Batas, Pulau Pinang dan menerima Buku Jingga yang menggariskan Program 100 Hari.

Seminggu sebelum itu BN telah mengadakan konvensyen mereka, yang memfokus usaha ke arah persiapan pilihan raya umum.

Kemelut SUK: Selangor menuju krisis perlembagaan, kata pakar

Oleh G Manimaran dan Shazwan Mustafa Kamal
December 31, 2010

Pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan telah mempersembahkan tiga nama untuk pertimbangan Sultan Selangor
KUALA LUMPUR, 31 Dis — Pelantikan kontroversi Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual untuk diadakan 6 Januari ini, diteruskan, kata pakar-pakar perundangan dan perlembagaan.

Pakar-pakar perlembagaan berhujah upacara Khamis depan itu sebagai “tidak sah” memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar bukannya Sultan Selangor.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga dikatakan telah mempersembahkan tiga nama untuk pertimbangan Sultan Selangor bagi mengetuai perkhidmatan negeri yang paling kaya itu.

Sedangkan Khalid menganggap pelantikan itu belum muktamad tetapi Istana Selangor menegaskan, keputusan melantik Khusrin yang akan berkuat kuasa esok adalah muktamad.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Difahamkan Datuk Ramli Mahmud yang akan bersara sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Mac depan juga pernah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mac 2006 ketika negeri itu ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

Ini kali pertama seorang Setiausaha Kerajaan Negeri dilantik selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada Mac 2008.

Peguam veteran Karpal Singh berkata, perkembangan ini boleh membawa kepada krisis perlembagaan kerana ia tidak selari dengan perlembagaan negeri.

“Sultan perlu mendapatkan nasihat perundangan daripada penasihat undang-undang negeri sebelum majlis angkat sumpah diteruskan.

“Dalam perkara-perkara macam ini, Sultan bertindak atas nasihat Eksekutif, Tuanku tidak boleh bertindak sendirian.

“Perkara yang dikhuatiri ialah jika majlis itu diadakan, ia boleh diisytihar sebagai tidak sah oleh mahkamah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu kata beliau, langkah tersebut bercanggah dengan perlembagaan negeri memandangkan ia tidak tertakluk kepada Undang-undang Tubuh Selangor.

“Perlembagaan negeri tidak membenarkan perkara ini . . . tetapi saya berharap ini tidak berlaku, itu sebabnya Sultan perlu berhati-hati sebelum meneruskan perkara ini,” kata beliau lagi.

Karpal juga berkata, beliau juga secara peribadi telah diminta oleh Khalid agar melihat aspek itu dari sudut kesahihan perundangan.

“Saya sebenarnya sedang lihat pada aspek perundangan sekarang. Saya diminta membantu bagi pihak Menteri Besar,” kata wakil rakyat DAP itu.

“Tindakan Sultan (menyempurnakan majlis angkat sumpah) boleh dibawa ke mahkamah,” kata Karpal.

Artikel 52(4) perlembagaan negeri Selangor menyebut bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri perlu menyempurnakan majlis angkat sumpah kerahsiaan tugas di hadapan Menteri Besar.

Tiada sebutan mengenai majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari juga menyifatkan majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai “amalan baru” yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Pada pengetahuan dan pengalaman saya ini kali pertama majlis angkat seumpama diadakan, walaupun saya berpendapat ia hanya satu majlis rasmi semata-mata dan tidak diperlukan,” kata beliau.

Menurut beliau, tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri Selangor yang memerlukan pegawai-pegawai kanan negeri mengangkat sumpah di hadapan Sultan.

Sehubungan itu beliau juga melihat perkembangan tersebut akan membawa implikasi baru dalam politik negara ini dan kesan ke atas negeri-negeri lain.

“Ia seolah-olah sesuatu yang tidak dibolehkan mula diguna pakai dalam keadaan tertentu, macam Speaker DUN tiada kuasa mengambil tindakan ke atas ahli dewan sebagaimana disaksikan di Perak dulu, tetapi di Parlimen Speaker dikatakan boleh,” katanya yang melahirkan rasa hairan dengan perkembangan semasa.

Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin mengesahkan Pejabat Menteri Besar menerima jemputan majlis angkat sumpah tiga hari lalu.

“Surat undangan diterima dua tiga hari yang lalu,” kata beliau ketika dihubungi, yang turut mengesahkan majlis angkat sumpah kerahsian tugas perlu disempurnakan oleh seseorang Setiausaha Kerajaan Negeri di hadapan Menteri Besar.

Khalid juga membayangkan beliau tidak akan menerima Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

“Itu peruntukan dalam perlembagaan negeri,” katanya lagi.

Ketika majlis solat hajat di kediamannya di Shah Alam malam tadi, Menteri Besar Selangor menekankan, beliau ada opsyen untuk tidak menerima Khusrin dengan tidak memberikan persetujuan bagi majlis angkat kerahsiaan.

“Jika Khusrin tidak mengangkat sumpah kerahsiaan di hadapan Menteri Besar, maka beliau tidak boleh menyempurnakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sepenuhnya.

“Beliau tidak boleh hadir mesyuarat Exco Kerajaan Negeri atau ada kuasa untuk akses dokumen-dokumen rahsia kerajaan. Sudah pasti beliau akan bertindak sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri atas nama bukan dari segi tugas dan tanggungjawab.

“Menteri Besar membayangkan ini opsyen yang Selangor ada, tidak membenarkan Setiausaha Kerajaan Negeri angkat sumpah,” kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kepada The Malaysian Insider hari ini.

Beliau antara mereka yang hadir pada majlis malam tadi di mana Menteri Besar Selangor membuat kenyataan terbuka buat kali pertama.

Kelmarin, kerajaan negeri Selangor menyangkal dakwaan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, bahawa ia lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Faekah berkata tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dibuat dalam tempoh masa tertentu.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut pada 27 November lepas dengan menubuhkan sebuah panel temu duga sejajar dengan nota amalan.

“Panel Pemilihan telah menyenarai pendek calon-calon (bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan) dan Menteri Besar pada 17 Disember lepas mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan Sultan Selangor.

“Meskipun penubuhan panel ini bukanlan satu kemestian, Kerajaan Selangor mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab.

“Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan,” kata Faekah.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pelantikan Khusrin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa esok oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

31 Disember 2010

SUK mula tugas angkat sumpah depan MB



Ismail Hashin

SHAH ALAM, 31 Dis: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, keutamaan beliau sekarang adalah untuk mengembalikan sepenuhnya kuasa mentadbir negeri kepada kuasa yang dipilih rakyat.

Abdul Khalid berkata, menjadi amalan biasa sebelum ini pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) terlebih dahulu mendapat penerimaan Sultan dan Menteri Besar (MB).

Tetapi menerusi isu menghapuskan kekebalan Sultan sejak 1993 oleh Umno, kuasa melantik SUK telah 'dilupuskan' daripada Sultan dan MB.

Sejak itu, jelasnya, tiada lagi kuasa sultan dan MB untuk melantik Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang selain SUK.

Namun menurutnya, dalam pada itu masih terdapat satu kuasa menteri besar iaitu, setiap SUK yang ingin memulakan tugas mesti mengangkat sumpah di hadapan MB.

Abdul Khalid menegaskan demikian dalam majlis solat hajat dan bacaan Yaasin yang diadakan di kediaman rasmi beliau di sini, malam tadi.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjamaah, ucapan dari MB dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, solat hajat, bacaan Yaasin dan solat Isyak yang dipimpin oleh Ketua Penerangan KeAdilan, Dr Mohd Nor Manuty.

"Dalam menjalankan amanah rakyat mentadbir negeri ini, membina satu pasukan terbaik adalah keperluan utama untuk sama-sama merancang dan bertukar fikiran.

"Selain itu, SUK mestilah orang yang berpengalaman, dapat berucap dan difahami rakyat, menguasai Bahasa Inggeris dengan baik terutamanya dengan pelabur.

"Paling utama juga, beliau mestilah mempunyai rasa kemesraan tentang perjuangan rakyat, mampu menjana negeri terulung di negara ini, pembangunan dan perusahaan serta sebagai negeri maju," tegasnya.

Meskipun bagi beliau, isu ini merupakan perkara kecil sahaja dalam pengurusan namun bimbang jika disalahgunakan bukan untuk membangun tetapi meruntuhkan Negeri Selangor.

Sementara itu, Khalid di dalam ucapannya berkata, Sultan sewajarnya tidak dilibatkan di dalam politik jika ingin mendapat sokongan dari keseluruhan rakyat.

Beliau juga berkata, sudah menjadi amalan sesiapa pun tidak hadir sesuatu majlis walimatul-urus jika tidak mendapat undangan hadiri kenduri berkenaan.

"Datuk Khusrin perlu faham-faham sendiri, nama beliau tidak ada dalam senarai jemputan sebagai SUK," sindirnya akhiri ucapan.

28 Disember 2010

NEGERI SELANGOR AKAN BANKRAP..

100 hari di Putrajaya: Selangor telah laksana, Muhyiddin ketinggalan


Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah menunjukkan betapa cetek semangat beliau terhadap kepedulian kepada rakyat apabila beliau membayangkan Malaysia akan jatuh bankrap jika program 100 Hari Pakatan Rakyat dilaksanakan. Ia juga menunjukkan betapa beliau tidak yakin dengan kemakmuran hasil mahsul Negara yang dikurniakan Allah SWT.

Apa-apa pun, saya tidak terperanjat apabila beliau berpendirian sedemikian walau sedikit kecewa kerana orang No. 2 negara gagal meletakkan kebajikan rakyat sebagai asas mentadbir Negara. Ini menunjukkan UMNO-BN sememangnya akan meneruskan corak pemerintahan sejak 52 tahun dahulu yang tidak meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan walau terpukul teruk pada 2008 yang lalu.

Kerana kedangkalan pemikiran pemimpin BN terhadap keperluan rakyat, Pakatan Rakyat mempersembahkan program 100 hari untuk rakyat Malaysia bagi melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pentadbiran; perundangan, ekonomi dan pendidikan. Sebagaimana yang dijangka, tanpa berfikir panjang Muhyiddin melahirkan keraguan terhadap kemampuan Negara dan mempersenda pula jasa para guru apabila menyatakan Negara akan bangkrap jika imbuhan RM500 diberikan kepada mereka. Dengan gelojoh pula mencabar negeri Pakatan melaksanakannya.

Terbukti Muhyiddin (gambar kanan) dan BN telah menjadi mangsa kepada perbuatan mereka sendiri yang menggunakan arus perdana alat propaganda untuk memutar belit fakta sehinggakan mereka jelas tidak tahu bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telahpun melaksanakan lebih daripada 60% daripada sembilan program yang disenaraikan di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat. Bajet Selangor Hasil Negeri Untuk Rakyat begitu komprehensif telah melaksanakan agenda Pakatan tersebut.

Pakatan Rakyat Selangor telahpun menjaga kebajikan kakitangan awam khusus profesion perguruan. Bukan sahaja kita mengikhtiraf kewujudan dan kepentingan peranan mereka, kita telah menaikkan elaun guru KAFA sebanyak RM500 menjadikannya RM1,000 sebulan dalam tempoh setahun mentadbir Selangor. Kakitangan kerajaan pula diberikan sumbangan musim perayaan sebanyak RM500 dan RM500 lagi untuk bonus hujung tahun. Inilah yang dikatakan rakyat didahulukan, bukan sekadar slogan murahan.

Selangor telah memperkemas urusan pentadbiran negeri yang lebih telus dan bertanggungjawab dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) yang telah berjaya mengadakan beberapa siri sesi pendengaran awam berhubung dakwaan penyelewengan dana awam dan salah urus tadbir.

Selangor telah menjangkau ke hadapan apabila meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat untuk membolehkan rakyat tahu bagaimana negeri Selangor ditadbir termasuk tatacara perbelanjaan hasil negeri. Selangor mahu pembayar cukai turut serta dalam pembangunan, pada masa yang sama mewujudkan proses timbangtara dalam penggunaan hasil negeri. Untuk itu Selangor menjadi negeri pertama yang melaksanakan pendengaram awam di kesemua Pihak Berkuasa Tempatan. Melalui Pelan Tiga Tahun Selangor seluruh rakyat Selangor berpeluang berbincang bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan berkaitan permasalahan rakyat baik dari segi mutu perkhidmatan yang ditawarkan, masalah keselamatan hinggalah masalah domestik. Penyelesaian menyeluruh juga telah dicadangkan dalam sesi tersebut.

Visi melindungi dan menyelamatkan Khazanah Nasional. Di Selangor, kita telah memperkasa Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) yang membolehkan MBI mengambil alih kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya pentadbirannya selari dengan matlamat penubuhan dan menyelamatkan aset milik kerajaan Selangor dari disalahguna samada atas tiket penswastaan mahupun oleh pemimpin dan syarikat kroni yang tamak.

Dalam tempoh kurang tiga tahun memerintah, MBI telah Berjaya mengenal pasti dan mengutip semula hutang lapuk dari syarikat Talam Corporation Berhad (Talam) berjumlah RM392 juta yang ditinggalkan kerajaan BN. Hasilnya, sebanyak RM50 juta dari kutipan hutang ini kita kembalikan semula kepada rakyat menerusi Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) untuk membantu golongan miskin luar bandar manakala RM20 juta diperuntukkan untuk membantu rakyat miskin di Bandar menerusi skim yang sama.

Mengenai Felda yang tersimpang jauh dari matlamat asal penubuhan; yakni memberi peluang peneroka memiliki tanah yang telah mereka usahakan maka terdapat banyak tanah Felda di Selangor tergadai kepada pihak ketiga. Malang sungguh kerana terdapat juga tangan-tangan pemimpin UMNO yang turut terpalit. Kerajaan Selangor sedang berusaha keras menyelamatkan tanah-tanah milik peneroka Felda termasuk tanah-tanah peserta program Revolusi Hijau yang telah tergadai kerana penyelewengan yang dilakukan kroni-kroni BN. Kita telah berjaya menyelamatkan ribuan ekar tanah dan menyelesaikan ribuan unit rumah terbengkalai menerusi program pembangunan semula projek terbengkalai antaranya di Bukit Botak, Ukay Perdana dan Alam Perdana.

Penstrukturan semula syarikat GLC telah membolehkan Selangor melaksanakan program pemberian air percuma sejak Jun 2008. Pemberian air percuma ini bukti kita mengurus harta rakyat dengan cekap dan bijaksana. Dengan kebijaksanaan inilah maka hari ini kita telah mengenal pasti asset milik rakyat bernilai lebih RM10.9 bilion yang digunakankan syarikat kroni yang tamak. Pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan lebih efisien dan berfaedah kepada rakyat sekiranya kerajaan negeri berjaya mengambil alih semula pengurusan air, malangnya mendapat kekangan dahsyat dari Kerajaan Persekutuan.

Pakatan Rakyat Selangor juga telah mereformasikan suruhanjaya bebas supaya adil dan tidak dikawal oleh parti-parti atau pemimpin politik tertentu. Kita menawarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka pejabat cawangan di Pejabat Menteri Besar dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB). Malah, SPRM dan KSSB telah menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menghalang jenayah rasuah.

Program yang dinyatakan ini tidak termasuk program kebajikan yang kita laksanakan seperti Skim Mesra Usia Emas, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang, Tabung Warisan Anak Selangor, Ujian Kesihatan Untuk Wanita, Tuisyen Rakyat, dana kesihatan, bantuan untuk sekolah agama rakyat, sekolah Cina serta Tamil dan banyak lagi.

Kesemua program yang kita laksanakan ini tidak pula menyebabkan Selangor jatuh bankrap. Malah, Selangor mencatatkan lebihan pendapatan sepanjang 2010 dan berjaya membentangkan belanjawan berimbang untuk 2011.

Ini jauh lebih baik berbanding sesetengah negeri di bawah BN yang membentangkan belanjawan defisit. Malah Malaysia sendiri membentangkan bajet defisit sejak 10 tahun yang lalu. Manifesto yang dibuat Pakatan Rakyat tidak akan menjadikan Malaysia sebuah negeri bankrap jika diurus dengan baik, jujur, telus dan bertanggungjawab seperti diamalkan di Selangor.

Program kebajikan ini kita gunakan 100% hasil negeri tanpa mengharapkan satu sen pun bantuan dari Kerajaan Pusat. Menerusi pentadbiran yang amanah, jujur dan iklas, kewangan Selangor masih kukuh dan lebih baik berbanding negeri-negeri bawah BN.

Walaupun tanpa slogan perpaduan yang diciplak, Kerajaan Selangor telah melaksanakan program tersebut yang telah memanfaatkan semua bangsa. Malah, orang UMNO juga menerima manfaat daripada program berkenaan.

Muhyiddin boleh mengulangi komitmennya terhadap "Melayu dulu" serta mengulangi retorik mahu membantu rakyat di bawah lembayung slogan 1Malaysia tetapi Pakatan Rakyat akan terus melakukan apa yang diperjuangkan sejak mula lagi iaitu melakukan reformasi dengan telus dan kebertanggungjawaban.

*Kenyataan media oleh Faekah Husin (gambar kiri) selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor.

"Lebih sanggup mati daripada difitnah" Chia Buang Hing sanggah tuduhan polis

Ong Vic Kee | Dec 28, 2010 01:18:11 pm


"Lebih sanggup mati daripada difitnah," Chia Buang Hing tampil untuk menafikan tuduhan yang dilemparkan daripada polis terhadapnya, malah menegaskan bahawa beliau akan mempertahankan reputasi dirinya. Chia menafikan tuduhan bahawa beliau menyimpan dadah dan parang dalam kereta, malah tidak pernah menggelar dirinya sebagai "Datuk".

Dalam satu sidang media semalam, Chia Buang Hing berkata dirinya tidak terjebak dalam kegiatan jenayah atau perniagaan haram, sebaliknya sering melakukan kerja amal. Justeru itu, beliau amat tersinggung dengan "fitnah" bahawa dirinya menyimpan dadah dan parang dalam kereta.

Beliau menjelaskan bahawa dirinya hanya seorang peniaga membuat bingkai, tanpa latar belakang politik. Beliau memilih untuk mendedahkan pengalaman pahitnya ini kepada semua orang - dizalimi polis hanya kerana enggan menyogok rasuah berikutan cukai jalannya yang melewati tarikh luput lebih 20 hari.

"Bukankah polis seharusnya melindungi rakyat, menjaga keamanan masyarakat dan mengurangkan jenayah? Sebaliknya, (mereka pula) menzalimi saya, fitnah saya..." Chia menyambung, "Sehingga kini, polis masih memfitnah bahawa saya menyimpan dadah, membawa parang dan menyalahgunakan kad VIP dari istana. Mana dadahnya? Mana parangnya? Ini tuduhan yang bukan-bukan!"

Turut hadir dalam sidang media, ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, OCPD Petaling Jaya Azizuddin pernah mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa Chia Buang Hing ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana dua gram dadah dan sebilah parang dijumpai dalam keretanya.

Bagaimanapun, dua orang anggota polis yang didakwa menyerang Chia telah dibebaskan semalam, dengan alasan bahawa mereka tidak akan melarikan diri kerana mereka adalah polis.

Gelaran "Datuk"

Berhubung gelaran "Datuk", Chia Buang Hing menjelaskan bahawa dirinya memperolehi kad VIP dari Istana Kelantan kerana sering terlibat dalam kerja amal. Beliau berkata, "Tak pernah saya menggelar diri saya 'Datuk' (dengan kad tersebut). Tak pernah juga saya sebut apa identiti saya. Saya tak pernah menggunakan kad ini. Cuma hari tu... ketika menyemak kad pengenalan saya, mereka (polis) menarik keluar kad (VIP) itu..."

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Hisan Hamzah berkata Chia Buang Hing mendakwa dirinya bergelar "Datuk". Malah, Hisan Hamzah berkata tindakan akan diambil ke atas Chia seandainya siasatan mendapati itu bukan gelaran "Datuk".

Chia Buang Hing menangis berkali-kali dalam sidang media yang diadakan bersama Lim Lip Eng (gambar kiri, kiri), peguamnya, ibunya dan ibu mertuanya. Sebelum sidang media dimulakan, Chua memberitahu wartawan bahawa dirinya amat sedih setelah membaca kenyataan polis dalam media.

Chia menangis sejak awal pagi semalam, dan mula menulis sepucuk surat yang diibaratkan dirinya sebagai "surat wasiat". Beliau yang tidak fasih dalam bahasa Malaysia berkata, "Saya lebih sanggup terkorban. Saya lebih sanggup untuk mati daripada difitnah. Saya tidak akan membiarkan mereka berjaya (memfitnah saya). Kerana ia akan menjejaskan hidup saya, perniagaan saya, dan reputasi kuil saya."

Chia Buang Hing ialah pemilik tiga buah kedai pembuat bingkai, dan Pengerusi kepada Kuil Guan-Di di Kuala Lumpur-Selangor.

PRINSIP KEBENARAN HARUS KITA PERTAHANKAN

MENOLAK LANTIKAN TSUA KEADILAN DAN MENANTI KEPUTUSAN DAN TINDAKAN SIASATAN

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tinggi kepada Yg Berbahagia Datuk Seri Dr. Hjh Wan Azizah Bin Dato’ Hj Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat pada 18 Disember lepas telah membuat pengumuman dengan menamakan saya selaku Timbalan Setiausaha Agong Parti Keadilan Rakyat.

Seperti yang saya katakan dari awal apa juga jawatan yang diberikan saya anggap ia merupakan amanah besar . Saya bukanlah manusia yang menganggap jawatan itu sebagai matlamat yang harus dikejar hingga sanggup memanipulasi segalanya termasuk melakukan penyelewengan demokrasi, tetapi setelah memegang jawatan tidak mampu melakukan apa-apa serta gagal memikul amanah dan hasrat perjuangan rakyat.

Seperti yang dijanjikan saya hanya akan membuat keputusan selepas berbincang dan mengambil pandangan dengan semua teman-teman, keluarga dan seumpamanya. InsyaAllah.......

Namun setelah berfikir panjang, saya ingin memohon maaf kepada Dato Seri Dr. Presiden KEADILAN dan teman-teman yang lain kerana saya terpaksa menolak lantikan tersebut.
Penolakan ini adalah atas prinsip dan pengiktirafan Pemilihan Keadilan 2010 akan hanya dibuat setelah hasil siasatan pemilihan dilaksanakan dan dimaklumkan kepada saya.

Saya ingin nyatakan bahawa saya masih menanti hasil penyiasatan dan tindakan terhadap aduan - aduan yang saya dan teman-teman ajukan mengenai Pemilihan KEADILAN 2010. Saya akur dengan nasihat YB Setiausaha Agong agar sabar menanti dan jangan buat bukan-bukan tetapi saya juga meminta beliau ingat dengan kenyataannya yang memberi jaminan hasil siasatan akan diperolehi dalam 2 minggu. Janji ini diungkap ketika Kongres 2010 berlangsung.

Namun juga saya ingin pertegaskan saya akan terus berjuang memperkasakan rakyat demi perubahan negara. Jadual saya saban hari masih penuh dengan aktiviti parti dan bersama rakyat mendesak perubahan.


Saya sayang parti ini dan kerana sayangkan parti inilah saya tegur, saya sayangkan negara ini
dan kerana sayangkan negara inilah saya ingin pastikan KEADILAN menjadi sesempurna mungkin sebelum memasuki Putrajaya.

Saya masih yakin demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN belum mati (tetapi mungkin gering teruk), namun untuk memastikan keadilan, demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN subur mekar maka kita perlu keberanian mendesak.

Saya tegaskan ini bukan persoalan kewangan atau jawatan kerana itu saya tegaskan saya tolak semua lantikan. Tanpa jawatan pun kita sebenarnya mampu menyumbang terhadap gerakan kalau kita mahu.

Namun saya juga ingin berpesan kepada teman - teman saya yang bersama berkongsi aspirasi ini agar turut bersabar dengan sindiran dan cubaan provokasi pihak tertentu. Mereka ialah golongan yang tidak mahu suara pendesak ada dalam gerakan perubahan, mereka mahu kita lakukan sesuatu diluar batasan untuk memudahkan mereka mencari alasan menyingkirkan kita.

Ingat KEADILAN ini parti rakyat, ia parti bagi tiap rakyat yang memahukan perubahan kerana itu saya dan teman-teman yang berkongsi aspirasi terus menjalankan program di perbagai peringkat.

Dalam konteks nasional juga kita memerlukan kumpulan muda yang sentiasa mendesak perubahan dan penambahbaikan negara. Sesuatu negara akan mudah berada dalam zon krisis apabila anak muda hilang roh mendesak ini.

Kita tidak mahu menuruti budaya pemilihan yang kotor, penipu serta korup seperti yang diamalkan oleh sesetengah parti lain. Apabila individu itu diistiharkan memang semua yang bersuara akhirnya diam disogok dengan berbagai habuan, tidak berbunyi lagi kerana anak mudanya mamai disumbat mulut mereka. Semua ini kononya untuk menjaga kestabilan parti dan menyapu semua kekotoran dan penipuan ke bawah karpet.

Ini tidak harus berlaku dalam parti reformasi, kewujudan anak muda kumpulan pendesak harus dilihat dari aspek positif kelansungan nafas semangat reformasi.

Anak muda terus bangkit mengasak keadilan meratah kezaliman.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com

SEMUA YANG BERKENAAN PERLU BERTANGGUNG JAWAB

Apa akan jadi pada Gobi akhirnya

Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat akan mempertimbangkan tindakan disiplin ke atas Ahli Parlimennya N. Gobalakrishnan, yang dilihat mula memberontak dengan kecaman-kecaman pedas terhadap kepimpinan parti itu, bulan depan.

Setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa beliau telah menerima banyak aduan daripada akar umbi berhubung tindakan wakil rakyat Padang Serai itu menyerang beberapa pemimpinnya menerusi Twitter.

Saifuddin berkata, beliau akan memanjangkan aduan-aduan yang diterima kepada pemimpin parti ketika mesyuarat biro politik bulan depan, yang lazimnya bertemu setiap minggu, untuk membincangkan nasib Gobalakrishnan.

“Saya akan membangkitkan perkara ini dan menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi. Saya tidak boleh mengambil tindakan disiplin ke atas beliau tanpa membawa perkara ini kepada pemimpin-pemimpin parti.

“Menerusi perbincangan, biro politik akan membincangkan sama ada perlu mengeluarkan surat tunjuk sebab,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tambah beliau, ahli-ahli parti mengadu bahawa kepimpinan parti perlu merapatkan kerjasama selepas mengalami kesan teruk ekoran pemilihan parti baru-baru ini.

“Mereka melahirkan rasa tidak puas hati ke atas Gobalakrishnan, selaku pemimpin kanan parti, melahirkan rintihan di khalayak,” katanya lagi.

“Mereka merasakan beliau harus tahu peraturan (parti),” kata Saifuddin.

Malah kata beliau, ramai ahli berpandangan bahawa Gobalakrishnan cuba berusaha untuk memprovokasi parti agar mengambil tindakan memecatnya.

“Ini pandangan tulen ahli-ahli biasa. Mereka mengadu menerusi SMS, ada yang menghubungi saya. Mereka tidak gembira dengan beliau,” katanya.

Saifuddin menambah, Gobalakrishnan seharusnya menggunakan kelantangan beliau untuk faedah yang lebih baik daripada menyerang pemimpin-pemimpin sendiri dalam Keadilan.

“Saya tahu beliau sejak hari pertama dan beliau sentiasa kritikal, lantang dan berani. Ia satu aset kepada parti jika digunakan untuk tujuan yang baik,” katanya.

Saifuddin menambah, Keadilan ada ruang yang secukupnya bagi ahli-ahli parti melahirkan rintihan mereka.

Saifuddin juga menekankan, parti belum lagi mengisi tujuh jawatan dalam kepimpinan tertinggi dan juga nama ketua-ketua perhubungan negeri.

“Kami akan menyelesaikan semua ini pada minggu pertama bulan depan,” kata beliau sambil menambah, ahli-ahli Keadilan seharusnya memfokus untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum.

The Malaysian Insider mambawa laporan pagi tadi memetik naib presiden baru Keadilan N. Surendran melahirkakn kekecewaan dengan sikap Gobalakrishnan sambil menggesa Ahli Parlimen Padang Serai itu agar menghentikan serangan ke atas parti tersebut serta-merta.

Surendran berkata, Gobalakrishnan juga telah menghambur kritikan kabur serta tidak berasas ke atas beberapa individu dalam parti.

“Di saat Keadilan mengalu-alukan sebarang diskusi konkrit dan menguntungkan, kita juga tidak bertolak ansur dengan serangan tidak berasas ke atas kepimpinan parti,” kata beliau, yang minggu lalu dilantik sebagai naib presiden, dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau meminta Gobalakrishnan menghentikan segala serangan tidak berasas ke atas parti pada kadar segera.

“Jika tidak, kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat mengandaikan tindakan beliau itu adalah semata-mata untuk memprovokasi parti agar tindakan disiplin diambil ke atas beliau berikutan matlamat beliau untuk mendatangkan bahana kepada parti sebelum meninggalkannya,” kata beliau merujuk kepada kenyataan melalui media lama dan Twitter oleh Gobalakrishnan, yang telah dilapor sejak akhir minggu lalu.

Gobalakrishnan merupakan salah seorang calon naib presiden yang kalah dalam pemilihan Keadilan yang baru berakhir.

Kelmarin, Gobalakrishnan meningkatkan kecaman dan kritikan serta menjawab ulasan pelbagai pihak tetapi menafikan akan keluar parti.

Ia membawa kepada andaian sesetengah pihak bahawa Gobalakrishnan juga akan keluar PKR mengikut beberapa bekas wakil rakyat parti itu.

“Mengapa mesti saya keluar parti, ini parti reformasi, kita mesti melakukan reformasi. Saya berada sejak awal penubuhan parti.

“Kami baru mengadakan pemilihan, saya memberi panduan kepada pemimpin-pemimpin yang baru... saya memberikan pandangan ikhlas, itu sahaja,” katanya.

Dalam mesej Twitter hari ini, Gobalakrishnan berkata, “semua pimpinan PKR harus sedar saya tidak kecam parti, malah pimpinan yang tidak telus dan juga mereka yang tidak hormati rakyat.”

Satu lagi mesej berbunyi, “Anwar boleh pecat saya, mengkhianati saya, malah menghantar saya ke neraka. Tiada mengapa. Tolong buka (laluan ke) Kuil Siva (di Bukit Hasing), yang dia tutup,” katanya.

Gobalakrishnan menambah, “saya telah melalui ranjau perjalanan, tetapi hasilnya hanya pengkhianatan Anwar (yang saya terima)”.


Sharpshooter - Keadilan tidak mampu kehilangan mana-mana pemimpin selepas Pemilihan 2010. Gobala atau Gobi, Saifudin Nasution, Chegubard adalah nama-nama besar dalam Keadilan sejak era Reformasi1998.

Rakyat sudah pasti resah dan gelisah melihat kemelut Keadilan yang tidak berkesudahan. PAS dan DAP juga sudah pasti tidak selesa dengan kemelut dalaman ini.

Tindakan Gobala memang salah walaupun ada kebenaran dalam kata-katanya tetapi dalam masa yang sama Saifudin juga sudah terlalu banyak berbohong. Janji Saifudin juga belum tertunai.

Bayangkan jika dalam prk Tenang yang akan berlangsung awal tahun depan, selesai berkempen dan mengundi, SPR umum calon BN pemenang Dun Tenang tanpa memberitahu jumlah undi yang diperolehi oleh calon PAS dan calon BN. Adakah PAS dan Pakatan Rakyat akan berdiam diri dan akur sahaja dengan keputusan seperti itu? Sudah pasti tidak, PAS dan Pakatan Rakyat akan membantah keputusan seperti itu dan mungkin akan mengajak rakyat ke jalanraya tanda protes seperti perhimpunan BERSIH.

Jika perkara seperti ini berlaku, siapa salah? sudah pasti kita akan salahkan SPR sebab SPR tidak telus umum pemenang calon BN tanpa umumkan jumlah undi calon BN dan calon PAS.

Inilah punca sebenar yang berlaku dalam Pemilihan Keadilan 2010, Shamsul Iskandar dan barisannya diumum pemenang tanpa mengetahui jumlah undi. Sudah pasti Chegubard protes. Mengapa dalam hal ini, Chegubard terus difinah sedangkan Chegubard dan barisannya hanya ingin menegakkan haknya sebagai calon yang bertanding.

Bolehkah kita berkata pada PAS jika keputusan seperti itu berlaku di Dun Tenang..tak pe lah..yang sudah tu sudah lah..jangan protes..nak buat macamana terimalah kekalahan...kalau takut kalah jangan bertanding...

Sudah pasti PAS dan Pakaan rakyat akan berkata, ini bukan soal menang atau kalah, ini soal ketelusan dalam pemilihan pilihanraya.

Jadi janganlah double standard dalam setiap isu yang berbangkit. Jika kita SPR tidak telus kerana umum pemenang tanpa umum jumlah undi, kita juga wajib berkata JPP tidak telus kerana perkara yang sama.

Sebab itu, Keadilan wajib segera selesaikan kemelut dalaman yang melanda parti yang sudah pasti mengecewakan rakyat. Sudah pasti dalam prk Tenang, Keadilan yang akan jadi sasaran serangan umno BN, yang terpalit dan terkesan adalah calon PAS yang bertanding.

Ada yang berkata...kita kena tahu adab berjamaah...ya sharpshooter setuju...tetapi kita kena ingat dalam masa yang sama adab berjamaah juga tidak mengizinkan kita menipu sesama jamaah.

Ada yang berkata...jika takut kalah jangan bertanding...ya sharpshooter setuju...tetapi kalau nak menang jangalah sampai menipu...

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Aziz Bari: Pusat-negeri konflik, elak lantik Khusrin SUK Selangor

Aziz Bari: Pusat-negeri konflik, elak lantik Khusrin SUK Selangor


KUALA LUMPUR, 28 Dis – Pakar perundangan Prof A Aziz Bari berpendapat pelantikan Pengarah Jais Datuk Khustin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru perlu dielakkan memandangkan sudah wujud konflik awal antara negeri dan pusat.

“Dalam keadaan Khusrin telah sedia berkonflik dengan pentadbiran negeri, pelantikannya perlu dielakkan. Apatah lagi apabila kerajaan negeri telah pun mengemukakan nama-nama lain,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Nama Khusrin disyorkan oleh Putrajaya manakala kerajaan negeri pula telah mencalonkan tiga nama hasil temu duga khas yang diadakan iaitu ketua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majis Daerah Sabah Bernama.

Malah Aziz juga berpendapat Sultan Selangor juga perlu mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dalam soal pelantikan penyandang jawatan tersebut.

“Soalnya sekarang ialah apakah memang selama ini khususnya ketika pentadbiran BN... memang Sultan mempunyai kata putus? Apa pun melihat kepada apa yang berlaku di Perak dan Selangor, khususnya dalam kes Khusrin, sepatutnya istana bertanya dan berbincang dengan kerajaan negeri,” kata Aziz lagi.

Malah menurut Aziz, perbincangan seumpama itu perlu kerana setiausaha kerajaan negeri ialah ketua pentadbiran negeri dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan polisi kerajaan.

“BN sendiri, khususnya di zaman pentadbiran (bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad), begitu tidak selesa dengan campur tangan istana.

“Jadi sekarang BN tidak harus, kalau ia benar-benar memegang prinsip campur tangan. Apa yang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hasan memberi isyarat campur tangan.

“Sepatutnya, kerajaan pusat memberi laluan kepada kerajaan negeri dahulu,” kata beliau yang menegaskan, pelantikan Khusrin perlu dielakkan bagi mengelakkan konflik.

Aziz menambah, kontroversi yang melibatkan Khusrin dengan sendirinya tidak melayakkan beliau diletakkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Sepatutnya dicari pegawai lain. Meletakkan Khusrin memberi isyarat yang istana tak peduli soal itu.

“Kerajaan persekutuan, yang dipimpin oleh Umno, tidak sepatutnya dibiarkan oleh istana. Keputusan istana mengesahkan Khusrin meletakkan istana dalam kontroversi sebagaimana di Perak dan Kelantan.

“Ini amat dikesali. Istana sepatutnya memainkan peranan meredakan, bukan menajamkan konflik kerana yang rugi dalam soal ini ialah rakyat,” katanya lagi.

Masalah yang sama pernah berlaku di Kelantan pada hujung 1990-an apabila pentadbiran negeri menggunakan istana untuk menyulitkan pentadbiran Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketika itu kerajaan negeri juga menghadapi dilema apabila penasihat undang-undang, pegawai pusat juga menimbulkan masalah.

Sehubungan itu kata beliau, masalah berhubung dengan pentadbiran yang dialami di Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor ini hanya boleh diselesaikan jika Pakatan menang di pusat.

Bagaimanapun itu bukan jaminan kerana peruntukan perlembagaan negeri dalam soal pelantikan anggota Exco itu meletakkan kuasa di tangan Sultan.

“Ia tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja. Sebagaimana yang terjadi dalam krisis di negeri-negeri yang disebutkan tadi istana mungkin mengambil kesempatan atau digunakan oleh Umno seperti sekarang,” katanya lagi.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San pula berkata, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 52(1), jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu diwujudkan dan pelantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan daripada kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Katanya, Perkara (2)(a) pula menyatakan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri hendaklah berbangsa Melayu dan menganut agama Islam serta hendaklah menjadi pegawai utama yang bertanggungjawab bagi hal ehwal pentadbiran negeri.

“Saya ingin merujuk kepada lapporan hari ini berkenaan dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Sulit kepada Tuanku Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani bahawa pada ‘pendapat’ beliau, keputusan untuk melantik Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru adalah ‘confirm’ kerana Tuanku telah berkenan untuk melantik beliau.

“Kenyataan oleh Datuk Munir sebenarnya tiada sebarang asas perlembangan,” katanya.

Oleh itu kata beliau, adalah jelas bahawa pelantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini tidak semestinya dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam malah, ia boleh dilantik daripada kalangan mereka di “Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan” termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor.

Perkataan “Suruhanjaya Perkhidmatan Awam” tidak disebut secara khusus dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

“Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri perlu mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Menteri Besar dan bukan Tuanku Sultan Selangor mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

“Ini sekali gus bermakna bahawa Setiausaha Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terus kepada Menteri Besar,” katanya.

Oleh itu kata beliau, pelantikan penyandang jawatan tersebut wajar dirujuk kepada kerajaan negeri Selangor dan lebih baik lagi pendangan dan pendapat kerajaan negeri diambil dan diterima pakai kerana Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan jawatan yang penting.

“Dan, sesiapa yang memegang jawatan ini mestilah seorang yang berupaya dan berkebolehan. Sesiapa yang dilantik ke jawatan ini perlulah seorang yang tidak berkontroversi,” katanya

PM NAJIB ANDA SUDAH MELAMPAU????

DS Nizar : Jangan Benarkan Khusrin Masuk Pejabat Sebagai Tanda Protes ,

SHAH ALAM 28 DIS : Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menyarankan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya tidak membenarkan Datuk Khusrin Munawi masuk ke dalam pejabat setiausaha kerajaan negeri selama sebulan sebagai tanda protes.

Cadangan ini diajukan oleh Nizar berikutan perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam tanpa merujuk kepada kerajaan negeri yang dianggap bertujuan untuk mencapai kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

"Jadi saya cadangkan supaya Tan Sri Khalid menggunakan kuasa dia untuk mengunci dan anggota keselamatan jangan membenarkan Khusrin masuk selama satu bulan ke pejabat dia.

"selepas kunci bilik tu dia kena keluarkan, Tan Sri Khalid keluarkan satu nota kepada Datuk Khusrin supaya tidak masuk ke pejabat SS dan hanya duduk di rumah, dan kerja dia hendaklah dipangku oleh orang lain," katanya yang dihubungi TV Selangor hari ini.

Nizar mengemukakan cadangan ini kerana khuatir apa yang berlaku di Perak akan berulang lagi di Selangor dan cadangan tindakan ini dilakukan bagi menyelamatkan tampuk pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.

Sebelum ini, UMNO-BN telah merampas negeri Perak dari Pakatan Rakyat gara-gara dua ADUN PKR (Behrang & Changkat Jering) dan satu ADUN DAP (Jelapang) telah bertindak keluar parti dan menjadi Bebas, kelayakan ketiga-tiga ADUN ini dipertikai kerana kerusi DUN yang berkenaan telah diumumkan kosong oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar.

Nizar juga menolak tindakan perlantikan Khusrin ini dan menganggap ia sebagai membelakangkan Menteri Besar Selangor kerana keputusan dibuat tanpa meminta pandangan Menteri Besar itu.

"Saya berpendapat bahawa ini adalah satu tindakan yang tidak menghormati kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat sebab dia sebagai menteri besar, mestilah diberikan keputusan ataupun ruang untuk memilih orang yang dia boleh berkerja sebagai SS walaupun dia ada perlantikan daripada Putrajaya tapi pandangan dia mesti dihormati oleh Putrajaya ataupun SPA, jadi ini menunjukkan membelakangkan Tan Sri Khalid dengan hanya menggunakan Tuanku Sultan," katanya.

Nizar turut memberitahu jika perlantikan Khusrin ini diteruskan, mungkin akan terdapat campurtangan dari kerajaan Pusat dalam membuat keputusan mesyuarat Exco.

"Apa saja keputusan-keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat exco, kita sepatutnya SS akan keluarkan arahan dan laksanakan yang diputuskan dalam mesyuarat exco dia lengahkan, dia tak buat.

"kemudian apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan dari mesyuarat exco," ujar Nizar.

Mohd Khusrin, 54 tahun, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, yang bersara pada hujung minggu ini, dilihat sebagai pegawai kanan yang kontroversi ketika menerajui JAIS.

Di bawah terajunya JAIS menahan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin atas alasan mengajar tanpa tauliah.

Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat turut dilarang memberi ceramah di masjid-masjid Selangor.

JAIS sedang menguruskan kes kontroversi melibatkan tangkapan besar-besaran pengamal Syiah minggu lalu. - tvs
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...