IKLAN

IKLAN
Klik gambar

13 Julai 2009

Saman lagi RM200 juta, Pahang di ambang bankrap
Oleh Zukri Aksah

KUANTAN, Julai 11 – Tidak cukup dengan masalah penyitaan Astana Golf & Country Club dan tuntuan hutang RM63 juta oleh Seruan Gemilang Makmur, Kerajaan Pahang sekali lagi dilanda musibah. Kes kali ini melibatkan saman ingkar janji, dan menyaksikan tuntutan dari dua buah syarikat sekaligus.
Sumber dari Siasahdaily menyatakan yang syarikat terlibat adalah Spag’n Plantation Sdn Bhd dan Upayapadu (M) Sdn Bhd, dengan saman masing-masing berjumlah RM209 juta dan RM24 juta. Pihak-pihak yang disaman pula ialah Kerajaan Negeri Pahang, Unit Perancang Ekonomi Negeri Pahang dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
Datuk Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang, dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, merasakan isu ini bukanlah sesuatu yang pelik dan mengejutkan, lebih dari dulu ia sudah dijangkakan.
Fauzi, di sekitar tahun 2001, ketika masih bersama Umno dan masih bergelar Adun Beserah, telah membuat laporan polis ke atas Tun Khalil Yaakob kerana salahurus hasil negeri, spesifiknya konsesi pembalakan semasa Khalil masih lagi menjawat jawatan Menteri Besar Pahang.
Laporan itu diberitakan telah dipanjangkan ke BPR (sekarang SPRM) tetapi sehingga kini belum ada khabar tentang perkembangannya.
Fauzi menjelaskan, ketika membuat laporan tersebut, beliau telah memberi amaran yang akibat salahurus ini, Pahang akan menghadapi masalah di hari muka. Ternyata apa yang diramal beliau itu sedang berlaku satu-persatu.
Kesannya, tambah Fauzi lagi menyaksikan Pahang mengalami kekurangan yang serius dalam perolehan hasil negeri, inilah yang menyebabkan belanjawan negeri mencatat defisit selama dua belas tahun berturut-turut. Keadaan ini membantutkan perkembangan ekonomi negeri, kerana pelabur akan semakin takut untuk datang melabur di sini.
Dalam merungkai masalah ini, Fauzi menegaskan yang Pakatan Rakyat sedia untuk memberi komitmen bagi membaik-pulih kedudukan ekonomi dan kewangan negeri jika mendapat mandat daripada rakyat.
Andai senario ini berterusan dan berulang, dibimbangi rakyatlah yang nanti akan terpaksa menanggung beban hutang negeri dengan kenaikan pelbagai jenis cukai.
Bagi Fauzi perlu ada tindakan segera untuk menyelamatkan Negeri Pahang sebelum terlambat. Kalau tidak, bukan sesuatu yang mustahil Pahang bakal menjadi negeri pertama yang diisytiharkan bankrap.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...