28 Mei 2015

1MDB TERLIBAT UBAH WANG HARAM , TUDUHAN TERBARU DARI TUN M TAERHADAP NAJIB?


Jangan ganggu, biar generasi baru tadbir negara, Najib beritahu Dr M



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan yang beliau dilantik Umno dan dipilih rakyat untuk memimpin mereka, dan tiba masanya Dr Mahathir membenarkan generasi berikutnya mentadbir negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Mei, 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menggunakan laman webnya sekali lagi, kali kedua dalam 10 hari, menjawab tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad, mengatakan

kebanyakan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya "tidak adil dan mengelirukan."

Sambil menegaskan beliau menerima kritikan dengan "fikiran terbuka," Najib juga meminta bekas perdana menteri itu berundur, mengatakan walaupun pemimpin yang lebih tua harus dihormati, tiba masanya mereka membenarkan generasi berikutnya mentadbir negara.

"Malaysia ialah sebuah demokrasi. Saya dilantik oleh Umno, dan oleh rakyat negara ini, untuk memimpin mereka.

"Oleh itu, saya mempunyai mandat mereka dan saya bertanggungjawab kepada parti dan rakyat, bukan kepada mana-mana individu," kata Najib dalam blognya www.najibrazak.com.

"Pada pilihan raya umum dan pemilihan parti akan datang, parti dan rakyat boleh menjalankan hak demokrasi mereka menerusi peti undi.

"Tambahan pula, banyak daripada kritikan Tun itu tidak adil atau mengelirukan."

Menulis menggunakan kata-kata yang agak keras menjawab tuduhan Dr Mahathir terhadapnya, Najib berkata bekas perdana menteri itu hendaklah menyiasat terlebih dahulu sama ada apa yang didengarnya dari orang di sekelilingnya adalah benar sebelum bercakap mengenainya.

"Dia pun tahu, banyak dakwaan mengenai apa yang berlaku di bawah pentadbiran beliau. Dan selalunya jawapan Tun ialah: 'Mana buktinya?' Dia sepatutnya buat begitu juga kepada apa yang didengarinya."

Najib menyenaraikan beberapa tuduhan Dr Mahathir yang dilemparkan terhadapnya dan pentadbirannya, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikritik hebat, pembelian cincin berjuta ringgit yang dikatakan dibuat isterinya (Datin Seri Rosmah Mansor), pembelian jet kerajaan dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengenai bantahan Dr Mahathir terhadap GST, Najib berkata, idea mengenai cukai penggunaan itu pertama kali diilhamkan semasa pentadbiran Dr Mahathir.

Katanya, pakar ekonomi bersetuju kerajaan perlu memperluaskan asas cukai, sambil menambah, pendapatan daripada GST akan digunakan untuk kebajikan rakyat.

Najib juga membidas Dr Mahathir kerana mengulangi "khabar angin berniat jahat" tentang isteri dan keluarganya.

Dr Mahathir, katanya, sewenang-wenangnya memuntahkan semula tuduhan palsu dimulakan pembangkang pada pilihan raya umum lalu yang Rosmah membeli cincin berharga RM24 juta.

Khabar angin itu, kata Najib, satu pembohongan, sambil menegaskan syarikat yang memiliki cincin itu turut menjelaskan Rosmah tidak pernah membeli cincin itu.

"Sesuatu yang dikesali seseorang pada kedudukan Tun menghebahkan fitnah sebegitu."

Mengenai pembelian jet kerajaan yang baru, Najib berkata, Yang di-Pertuan Agong merupakan orang pertama menggunakan pesawat itu untuk pergi ke Langkawi.

Dr Mahathir sebelum ini menggelar Najib seorang pembohong, dengan mendakwa Agong tidak menggunakan pesawat itu.

Najib juga menyatakan Dr Mahathir menggunakan "cabaran" dihadapi 1MDB untuk menyerangnya, sedangkan sesetengahnya tidak berasaskan kebenaran.

"Memang benar 1MDB menghadapi cabaran, tetapi tidak pada tahap yang didakwa. Contohnya, dakwaan Tun yang saya bertanggungjawab atas kerugian sebanyak RM42 bilion pada penyata kewangan 1MDB," kata Najib.

"Ia sebenarnya fakta yang sengaja diputarbelit kerana 1MDB tidak membuat kerugian sebanyak jumlah itu. Ia merupakan jumlah keseluruhan hutangnya; hutang yang jauh lebih rendah dari aset syarikat sebanyak RM51 bilion, sebagaimana diaudit dan disahkan Deloitte. Kebanyakan syarikat besar di seluruh dunia mempunyai tahap hutang yang tinggi, tidak ada apa yang luar biasa mengenainya."

Najib juga menafikan dakwaan Dr Mahathir yang beliau mengelak menjawab isu berhubung 1MDB.

Sebaliknya, katanya, beliau melakukan lebih dari itu dengan mengarahkan ketua audit negara menyemak akaun 1MDB dan mengemukakan hasilnya kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Najib yang ketika ini berdepan saat paling getir dalam kerjayanya berkata, kemajuan yang dibuatnya sepanjang pentadbirannya 6 tahun lalu diketepikan begitu sahaja disebabkan "tuduhan dan pembohongan", yang asalnya dimulakan pembangkang.

"Kebanyakan dari apa yang Tun katakan tiada objektiviti dan terang-terangan salah. Soalan yang perlu ditanya – apakah motivasi Tun dalam memilih saat ini untuk memuntahkan segala cemuhan yang dibuat pembangkang yang sebelum ini beliau sendiri tuduh sebagai pendusta?"

Najib diserang bertubi-tubi Dr Mahathir berhubung pelbagai dasar kerajaan. Gesaan Dr Mahathir supaya Najib meletak jawatan menguji perpaduan dalam Umno, apabila beberapa pemimpin parti mendesak Najib menjelaskan tuduhan yang dilontarkan terhadapnya.

Najib berkata hari ini, beliau menyokong Dr Mahathir sebelum ini ketika "susah dan senang," kerana beliau percaya perpaduan dalam Umno adalah pra-syarat untuk bekerja bersama untuk rakyat.

"Salah bagi Tun dan mana-mana anggota parti melemahkan kepimpinan parti hari ini hanya kerana kehendak peribadi mereka tidak dipenuhi. Kepentingan rakyat dan parti jauh lebih penting daripada mana-mana individu," kata Najib. ~tmi



'1MDB terlibat ubah wang haram?'

Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tekanan ke atas Datuk Seri Najib Razak dengan mempersoalkan sekiranya 1MDB terlibat dengan pengubahan wang haram dengan pengetahuan perdana menteri itu.

Bekas PM itu merujuk kepada dana dari Cayman Islands yang kononnya disimpan di Singapura.

"Soalnya apakah 1MDB dengan pengetahuan penasihatnya terlibat dengan money laundering, sehingga wang dari Cayman Islands terpaksa disimpan di Singapura.

"Singapura juga memeriksa dengan teliti wang yang masuk-keluar negara itu bagi mengelak jenayah money laundering.

"Apakah 1MDB tidak tahu akan peraturan Monetary Authority of Singapore (MAS)?," soal Mahathir dalam tulisan di blog chedet.cc.

Mahathir menjawab kenyataan Najib bahawa dana AS$1.103 bilion (RM4 bilion) disimpan di Singapura kerana Bank Negara Malaysia akan mempersoalkan semua transaksi bernilai lebih RM50 juta.

Menurut Mahathir, campur tangan Bank Negara dalam transaksi tersebut tidak akan menimbulkan masalah jika semuanya dibuat mengikut undang-undang dan bukan satu pengubahan wang haram.

Mahathir mula mempersoalkan mengenai dana 1MDB berjumlah AS$1.103 bilion selepas kerajaan memberi penjelasan mengelirukan mengenai status dana tersebut.

Menteri bertanggungjawab

Menurut 1MDB, dana berkenaan ditebus dalam bentuk tunai dari Cayman Islands dan disimpan di BSI Singapura selepas pembatalan satu urusniaga dengan PetroSaudi.

Ia turut ditegaskan oleh Najib dalam satu jawapan bertulis di Parlimen pada 10 Mac. Seterusnya pada 20 Mei, Najib mengubah jawapannya dan berkata wang tersebut dalam bentuk aset.

Lebih mengelirukan lagi, Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah menyatakan bahawa aset tersebut dalam bentuk “unit” tetapi tidak menjelaskan maksudnya.

Ini menyebabkan Mahathir menuduh beliau berbohong dan melakukan kesalahan jenayah kerana menyembunyikan perkara sebenar.

Dalam tulisannya hari ini, Mahathir seterusnya menegaskan bahawa menteri bertanggungjawab untuk memeriksa jawapan mereka, walaupun jika ia disediakan oleh pegawai kerajaan.

“Pegawai-pegawai yang menyediakan jawapan tidak kebal. Mereka masih bertanggungjawab terhadap isi kandungan jawapan.

“Jika didapati mereka tidak tentukan jawapan yang disediakan oleh mereka berasas kepada kebenaran, kerana tidak berasas kepada maklumat dan bukti yang sahih, mereka boleh dituduh sengaja mencuba melindungi menteri kerana menyembunyikan kebenaran.

“Dengan perkataan lain menteri masih boleh dituduh membohong dan pegawai juga akan dituduh bersama,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi 1MDB dan masih menunggu reaksinya berhubung dakwaan itu. ~ Laporan dipetik dari Malaysiakini

27 Mei 2015

RASUAH : 14 PEGAWAI FIFA DITAHAN

Pautan kekal imej terbenam

Rasuah: Pegawai FIFA diheret ke mahkamah

Dunia bola sepak dikejutkan dengan penahanan pegawai tertinggi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung dakwaan rasuah.

Seramai 14 orang pegawai FIFA – sembilan orang pegawai dan lima orang eksekutif korporat – didakwa atas tuduhan berhubung kesalahan pencatutan, penipuan dalam talian, dan konspirasi melibatkan pengubahan wang haram.

Sembilan orang pegawai tersebut adalah Jeffrey Webb, Eugenio Figueredo, Jack Warner, Eduardo Li, Julio Rocha, Costas Takkas, Rafael Esquivel, José Maria Marin dan Nicolás Leoz.

Lima orang eksekutif pemasaran itu ialah Alejandro Burzaco, Aaron Davidson, Hugo Jinkis, Mariano Jinkis dan José Margulies.

Laporan media antarabangsa menyebut, operasi untuk menahan para pegawai FIFA tersebut dijalankan di Zurich, Switzerland di satu resort mewah yang menjadi tempat mesyuarat tahunan badan dunia itu.


Antara pegawai yang ditahan dalam operasi hari ini ialah Eduardo Li dari Costa Rica.

Naib presiden FIFA, Jeffrey Webb juga disahkan ditahan pada hari ini. Webb merupakan presiden Confederation of North, Central America and Caribbean Association Football (Concacaf).

Kes tersebut berasaskan pada siasatan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) berhubung dakwaan rasuah yang berleluasa dalam FIFA sejak dua dekad lalu.

Menurut laporan, rasuah tersebut melibatkan bidaan untuk penganjuran temasya Piala Dunia termasuk hak pemasaran dan penyiaran.

Bagaimanapun, pengundian untuk temasya Piala Dunia 2018 dan 2022 dilaporkan tidak akan dijalankan semula walau dengan penahanan dan pendakwaan tersebut.

Pengarah komunikasi FIFA Walter De Gregorio dilaporkan berkata, Piala Dunia di Russia (2018) dan Qatar (2022) akan tetap berlangsung.

FIFA merupakan konglomerat dengan dana berbilion dolar yang mentadbir pertandingan sukan paling popular di dunia itu.

Ia baru saja merayakan ulang tahun penubuhannya ke-111 pada 21 Mei lalu.

- Agensi

26 Mei 2015

SAHAM TNB RUGI RM6 BILION AKIBAT SPEKULASI PEMBELIAN ASET 1MDB


Saham TNB rugi RM6 bilion dalam 6 hari akibat spekulasi 1MDB


Saham Tenaga Nasional Berhad almi kerugian dalam tempoh 6 hari lalu akibat spekulasi pembelian aset tenaga 1Malaysia Development Berhad.

Nilai saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian pada kadar RM6 bilion sejak 6 hari lalu ekoran spekulasi pembelian aset tenaga milik syarikat kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (TNB), menurut laporan The Star Online.

Spekulasi itu memberi kesan kepada pasaran saham dan TNB rugi RM1.06 sejak 18 Mei kerana pembekal kuasa elektrik utama itu dikatakan mungkin akan membeli aset jana kuasa 1MDB.

Kaunter semalam masih mencatatkan penyusutan 46 sen atau 3.36%, ditutup pada RM13.24 - harga paling rendah sejak pertengahan Disember 2014 - dan pada tengah hari ditutup rendah pada RM12.98 - dan memadamkan 3.36 mata daripada aras Indeks Komposit Bursa Malaysia Kuala Lumpur (BSKL).


Minggu lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB Datuk Seri Azman Mohd berkata syarikat itu tidak akan membayar premium aset jana kuasa 1MDB.



Bagaimanapun, ia tidak menghalang pasaran daripada melihat urus niaga yang dibuat itu dari sudut negatif.

"Ditambah dengan sensitiviti isu 1MDB, apa saja yang berkaitan dana itu akan menimbulkan respons yang tidak begitu positif sehingga penilaian dijelaskan.

"Ia menunjukkan betapa sensitifnya persepsi pasaran terhadap 1MDB," penganalisis bank tempatan dipetik berkata kepada portal berita itu.

Beberapa laporan timbul mengenai kemungkinan TNB mengambil alih aset jana kuasa 1MDB pada Jumaat lalu dalam satu urus niaga yang dianggarkan bernilai RM16 bilion.

Menurut laporan, kuasa beli dibuat berikutan cadangan untuk menjadikan urusan perniagaan TNB dipisahkan menjadi 3 entiti berbeza, iaitu penjanaan kuasa, pemancaran dan pengedaran.

Menurut The Star Online rancangan itu dijangka dibentangkan dalam perbincangan Kabinet bulan depan.

Pedagang saham UOB KayHian berkata, walaupun TNB pemerolehan aset kuasa Edra Global Energy Bhd (bahagian utiliti 1MDB) itu mungkin satu langkah positif bagi jangka masa panjang, tetapi penentuan harga masih menjadi perdebatan utama.

"Jika TNB membayar RM16 bilion untuk penjanaan kuasa pada kapasiti 3,190MW Edra, pada kami, ia mahal. Kita anggarkan aset Edra bernilai RM11.6 bilion, berdasarkan nilai pasaran gantian semasa," katanya.

Katanya, andaian itu berdasarkan RM2.3 bilion kos penggantian loji kuasa gas dan kos penggantian loji tenaga pembakaran batu arang bernilai RM6.7 bilion.

"Dengan perbezaan harga hampir 40%, kita percaya urus niaga itu mungkin akan mengalami masalah dalam jangka masa terdekat," katanya.

Azman dilaporkan berkata, kumpulan itu tidak akan membenarkan projek loji kuasa Jimah East, dengan kod Track 3B, menjadi gagal memandangkan Malaysia amat memerlukan kapasiti 2,000MW daripada loji tenaga pembakaran batu arang bagi memenuhi permintaan pada masa akan datang. ~TMI

PAS, JANGAN 'EKSYEN' SANGAT !!!


Rakyat akan tumbangkan BN meskipun PAS tinggal Pakatan, kata Mat Sabu



Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bercakap ketika pembentangan tesis di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam. 

PAS tidak perlu angkuh dengan sokongan yang dinikmatinya pada ketika ini kerana ia hasil bersama Pakatan Rakyat (PR), kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Mohamad berkata, keazaman rakyat menukar kerajaan tetap akan diteruskan tanpa mengira sama ada parti Islam itu kekal bersama PR atau tidak.

"Rakyat akan pergi (tukar pemerintah) sama ada PAS ada atau tiada. Di sinilah kita beritahu PAS, jangan 'eksyen' (berlagak) sangat.


"Tanpa PAS, rakyat akan pergi juga untuk tukar pemerintahan," katanya yang dikenali sebagai Mat Sabu di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur semalam.

Katanya, trend itu dapat dilihat menerusi peningkatan undi majoriti diperoleh PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dan jumlah peserta himpunan #KitaLawan baru-baru ini.

Beliau berkata, undi majoriti Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap meningkat walaupun terdapat pelbagai "fatwa" dikeluarkan sewaktu kempen berlangsung.

Katanya, himpunan #KitaLawan di Kuala Lumpur tetap menggamit kehadiran ramai orang walaupun ia tidak didokong secara rasmi oleh briged sukarelawan PAS, Unit Amal.

Mohamad yang pernah menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal itu berkata, kehadiran rakyat di jalan raya kini didorong kumpulan "kuasa ketiga" yang diketuai personaliti seperti Pengerusi Gerakan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Maria Chin Abdullah dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim.

"Kumpulan ini semakin membesar dan semakin berdikari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai tetamu dalam pembentangan tesis ijazah lanjutan oleh sarjana UM, Mohd Ikhwaniata Taib.

Ikhwaniata membentangkan tesis bertajuk "Perjuangan Mohamad Sabu dalam PAS 1978-2013" di Fakulti Seni dan Sains Sosial, UM.

Mohamad dalam ucapannya juga mengulangi kenyataan beliau kesal dengan sesetengah pihak yang dilihat seperti bersedia membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya kekal berkuasa di Putrajaya atas nama 'pengislahan' (reformasi).

Katanya, berdasarkan keputusan PRK Rompin dan Permatang Pauh awal bulan ini, sokongan kepada BN jatuh menyebabkan keadaan politik sekarang adalah yang terbaik untuk menukar kerajaan.

"Sebab itu kita tengok Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan gelisah.

"Tetapi dalam keadaan gelisah begitu ada yang pergi bubuh tongkat pula. Ini yang saya rasa pelik.

"Keluar kenyataan kita berpolitik bukan untuk ambil alih kerajaan, tetapi untuk buat pengislahan.

"(Katanya) kalau Najib sanggup buat pengislahan, kita tak payah tukar kerajaan. Bagi kita, tak wujud pengislahan tanpa tukar kerajaan," katanya.

Walaupun tidak menamakan sesiapa secara khusus, beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini.

Amar sebelum ini dilaporkan berkata, PAS sedia melupakan hasrat menawan Putrajaya asalkan impiannya melaksanakan hudud tercapai.

Sebelum kenyataan itu dikeluarkan, usul PAS meminda beberapa bahagian dalam rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan mendapat sokongan penuh semua wakil rakyat Umno Kelantan dan beberapa pemimpin Umno peringkat nasional
. ~TMI

24 Mei 2015

PENTEMPURAN UMNO KIAN SENGIT? NAJIB BINA TEAM BARU

Najib pilih ahli keluarga jadi Ketua Propaganda?

Perang psikologi di media arus perdana dan alam siber dijangka akan lebih menarik dengan pembentukan pasukan baru.




PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan akan melantik ahli keluarganya mengetuai pasukan propaganda bagi menggantikan tempat Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berkata, individu dan pasukannya akan dibantu sekumpulan pemimpin kontroversi UMNO untuk membuat serangan balas terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan terbaru, ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tanpa menyatakan sumber, beliau berkata, maklumat itu diperolehi hasil perjumpaan-perjumpaan, daripada pejabat menteri kabinet, ibu pejabat UMNO, bilik eksekutif dan Pejabat Media Perdana Menteri sendiri.

Menurut Kadir, pasukan baru akan disertai Rizal Mansor (Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor), Datuk Seri Farid Redzuan ( bekas CEO TV3), Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi dan Tan Sri Lim Kok Wing sebagai Penyelaras Program Khas Perdana Menteri.

“Kita akan menjangkakan aktiviti perang psikologi yang menarik di media arus perdana dan alam siber,” tulisnya dalam entri terbaru diblognya.

Katanya, individu berkenaan tidak akan lagi membenarkan Najib menghadiri perhimpunan seperti di Tawau, ‘menumpahkan air mata darah’ berhubung isu 1MDB dan menyalahkan pihak lain dalam skandal itu serta tidak lagi muncul di TV3 seperti sebelum ini.

Dalam masa yang sama, Kadir berkata dia mendengar ahli Jawatan Kuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) cuba mensabotaj laporan 1MDB.

Kadir turut membangkitkan beberapa persoalan tentang skandal 1MDB yang perlu difikirkan oleh semua.

Katanya, adakah laporan terakhir 1MDB telah disiapkan kerana banyak kecelaruan yang timbul sejak kebelakangan ini.

Menurut Kadir, pengakuan Najib bahawa tiada wang tunai dalam 1MDB di Singapura sebaliknya hanya kertas aset adalah berbeza dengan kenyataan awalnya pada Mac lalu.

“Adakah Najib cuba menggelirukan rakyat atau beliau berbohong dalam Parlimen?, katanya yang merujuk kepada kenyataan Najib sebelum ini bahawa 1MDB menunggu masa yang sesuai untuk membawa pulang wang tunai yang disimpan di Singapura.

“Kertas aset apa yang Perdana Menteri cakapkan,” katanya.

Kadir juga membangkitkan tuduhan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang mendakwa ahli perniagaan, Jho Low, terlibat secara langsung dalam 1MDB.

“Adakah dia mempunyai bukti sahih yang boleh diberikan kepada PAC?

“Adakah benar Ahli Lembaga Pengarah 1MDB telah diminta meletak jawatan oleh Kementerian Kewangan?, soalnya lagi.

Isu 1MDB lebih serius apabila ada dakwaan bahawa seorang bekas pegawai atasan akan didakwa kerana salah urus.

Menyentuh laporan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengambi alih Loji Janakuasa Arang Batu 2000MW atau Projek 3B daripada 1MDB, Kadir berkata, Khazanah Nasional selaku pemegang kepentingan terbesar menentang pembelian itu yang merupakan langkah menyelamat 1MDB. ~ Dipetik dari Laporan FMT
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...