21 September 2009

Respons Najib pengakuan dokumen PKFZ tulen PDF Print

(Harakah) KUALA LUMPUR, 19 Sept: Respons Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan tindakan laman web Malaysia Today mendedahkan dokumen yang meminta diluluskan kenaikan kos projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) merupakan satu pengakuan bahawa dokumen tersebut adalah dokumen yang tulen, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Najib, menurut Mahfuz kelihatan menggelabah dengan pendedahan dokumen kabinet itu berhubung kelulusan peningkatan kos PKFZ.

Perdana menteri dalam kenyataannya semalam memberi amaran tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi berhubung pembocoran dokumen itu.

"Orang menggelabah bila bersalah. Sebab itulah Najib sengaja bising-bising hendak memburu pihak yang membocorkan dokumen itu dan mengunci rapat-rapat mulutnya terhadap pendedahan tindakan kabinet meluluskan pembelasahan wang rakyat semata-mata untuk menutup salah laku dalam projek tersebut.

"Jika dokumen itu tulen, Perdana Menteri jenis apa mendiamkan diri terhadap pembelasahan lebih RM3.5 bilion wang rakyat berdasarkan peningkatan kepada lebih RM4.6 bilion dari kos asal RM1.088 bilion,� tegas Mahfuz.

"Ini bukan belasah satu ringgit. Belasah satu ringgit pun wang rakyat tanpa mengikut peraturan yang sah adalah salah di sisi undang-undang. Perdana menteri jenis apa menjahit mulutnya terhadap pendedahan pembelasahan berbilion-bilion wang negara?" kata beliau yang sebelum ini menuntut Najib dan semua anggota kabinet yang terlibat meletakkan jawatan masing-masing jika dokumen yang didedahkan itu tulen.

Mahfuz juga menyifatkan Najib mahu mengalihkan isu apabila hanya membesar-besarkan isu pembocoran dokumen itu.

"Najib boleh cuba untuk mengalihkan isu dengan membangkit-bangkitkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk bertindak balas terhadap mereka yang membocorkan dokumen itu.

"Tetapi jangan lupa, rakyat juga hendak bertindak balas terhadap Najib dan semua anggota kabinet yang terlibat memberi kelulusan yang dicadangkan dalam dokumen itu, jika dokumen itu tulen.

"Saya yakin, selain menuntut ditubuhkan suruhanjaya di raja supaya penyelewengan tersebut disiasat, ada tindakan lain yang akan diambil oleh rakyat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Bagi Mahfuz, jika dokumen yang didedahkan oleh itu tulen, isunya bukan setakat penyelewengan syarikat pemaju, badan berkanun kerajaan atau mana-mana menteri, tetapi penyelewengan seluruh kabinet Malaysia.

"Sebab itulah kita tidak boleh menerima sama sekali sandiwara memburu pembocor maklumat untuk menyembunyikan penyelewengan kabinet termasuk Najib sendiri," katanya.

Jika dokumen itu tulen, katanya, kabinet penyeleweng yang membelasah wang rakyat itu mesti mesti dihukum kerana telah merugikan berbilion-bilion wang rakyat.

"Walaupun dokumen itu telah didedahkan dan ia sememangnya tulen, tetapi kita tidak percaya kerajaan berani mendeklasifikasikannya kerana ia tidak mahu wujud bukti yang sah di sisi undang-undang tentang penyelewengan kabinet itu.

"Sebab itulah, seluruh rakyat Malaysia mesti menuntut penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat perkara itu sehinggalah seluruh kabinet penyeleweng itu dihukum mengikut undang-undang negara." kata beliau.

Mahfuz menggesa semua pihak yang prihatin berganding bahu untuk memastikan semua anggota kabinet penyeleweng itu diheret ke muka pengadilan.

Mahfuz juga mengulangi kenyataannya bahawa satu pasukan peguam PAS ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan undang-undang untuk memastikan kerajaan menubuhkan suruhan jaya di raja bagi menyiasat skandal tersebut.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada lebih RM4.6 bilion.

Siasatan awal keatas projek PKFZ mendapati ia terpaksa diselamatkan dengan pinjaman daripada kerajaan.

Selain itu juga, siasatan juga mengesahkan kerajaan melalui Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membeli 404 hektar tanah daripada KDSB pada RM25 setiap kaki persegi walaupun harga sebenar dianggarkan RM10 sahaja setiap kaki persegi. KDSB juga dilantik sebagai pemaju PKFZ.

KDSB pula membeli tanah tersebut dari Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd (KPPLB) pada harga RM1.9 hingga RM2.9 sekaki persegi. Pengerusi koperasi tersebut ketika transaksi itu ialah Adun Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil.

Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah LPK sejak 1997 sehingga 2003

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh Price Waterhouse Coopers , syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...