18 Jun 2012

GERAN SELANGORKU RM300 JUTA BUKAN UNTUK PELOBI & KRONI!

Pemberian projek di bawah peruntukan Geran Selangorku tidak ditentukan Menteri Besar, sebaliknya diluluskan oleh jawatankuasa yang dianggotai pegawai tinggi kerajaan.



SHAH ALAM, 17 JUN : Pemberian projek di bawah peruntukan Geran Selangorku tidak ditentukan Menteri Besar, sebaliknya diluluskan oleh jawatankuasa yang dianggotai pegawai tinggi kerajaan. Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, Geran Selangorku diurus secara telus dan teratur, sekali gus menutup ruang mana-mana pihak mengaut keuntungan atas angin sebagai orang tengah.

Jelasnya, setiap projek diberikan secara terus kepada kontraktor tanpa perlu ada pelobi. Tidak seperti era pemerintahan kerajaan Umno-BN yang hanya menyerahkan kontrak kepada kroni dan kaum keluarga sahaja.

“Dakwaan Dr Mohamed Khir Toyo bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkuasa sepenuhnya meluluskan kontrak dana Geran Selangorku demi memperkukuh kedudukan politik di negeri ini merupakan tuduhan jahat melampau.

“Lebih baik Dr Khir tutup mulut kerana beliau hanya akan membuka pekung di dada. Segala

kesilapan dan kelemahan sepanjang dua penggal menjadi menteri besar akan habis terburai. “Kerana beliaulah, ratusan juta hutang syarikat pemaju kepada kerajaan negeri tidak dikutip dan ribuan ekar tanah jatuh ke tangan pemaju dan tauke-tauke kaya,” selarnya.

Faekah berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Bekas Menteri Besar, Dr Khir yang mendakwa penggunaan peruntukan Geran Selangorku bernilai RM 300 juta tidak mengikut prosedur. Dr Khir dilaporkan berkata penggunaan dana itu membelakangkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Faekah menjelaskan Geran Selangorku tidak termasuk dalam perbendaharaan negeri. “Justeru, penggunaannya tidak memerlukan kelulusan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. “Perkara yang sama dilakukan di peringkat Kerajaan Persekutuan di mana terdapat peruntukan yang dikelola terus dari Jabatan Perdana Menteri di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (Implementation Coordination Unit – ICU).

“(Ia) tidak melalui KSN mahupun Perbendaharaan.” Tambah Faekah, Geran Selangorku telah berjaya menyelesaikan masalah yang ditinggalkan bertahun-tahun oleh pentadbiran Dr Khir dan Menteri Besar Menteri Besar Umno-BN yang dulu, iaitu hutang Talam Corporation yang RM 319 juta.

Menurut Faekah, Dr Khir sepatutnya berasa malu kepada rakyat Selangor kerana kegagalan beliau mengutip hutang yang dimilikirakyat Selangor.Katanya, Geran Selangorku adalah hasil kebijaksanaan kerajaan Pakatan Rakyat mengutip hutang lapuk yang sengaja dilupakan Dr Khir.

“Setelah kita berjaya mengutip hutang tersebut dan mahu mengembalikan kepada rakyat Selangor melalui Geran Selangorku, sekonyong-konyong Dr Khir mahu mengambil bahagian. Faekah menerangkan, di bawah projek ICU, semua permohonan cadangan dari Adun dikemukakan kepada Pegawai Pembangunan Negeri untuk dipanjangkan kepada ICU.

Geran Selangorku pula diterajui oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor. Jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), Jurutera dan Jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas serta pegawai-pegawai dari Pejabat Menteri Besar.

Kesemua projek yang dikemukakan kepada Jawatankuasa ini kemudiannya diunjurkan oleh ADUN, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


Melalui geran ini juga, Kerajaan Negeri berusaha menghidupkan semula Geng Jalan (Road Gang) di PBT bagi melaksanakan projek yang mudah dengan cepat seperti penurapan semula jalan-jalan.
Di bawah Geran Selangorku, kelulusan projek dan sebut harga dilakukan oleh Jawatankuasa Pemandu yang tidak ada kepentingan.

Manakala pemberian kontrak pula dibuat oleh PBT atau PTD masing-masing dan pelaksanaan projek diaudit badan bebas termasuk JKR sebelum bayaran boleh dibuat oleh MBI. “Kita faham ramai yang dengki dengan Geran Selangorku diurus secara telus dan teratur, sekali gus menutup ruang mana-mana pihak mengaut keuntungan atas angin sebagai orang tengah.

“Setiap projek diberikan terus kepada kontraktor tanpa perlu ada pelobi,” kata Faekah. “Ini berbeza dengan zaman Dr Khir apabila projek-projek diberikan secara terus kepada kaum keluarga, biras, ipar duai, suku sakat dan kroni.

“Amalan hina ini telah berkubur bersama terkuburnya pemerintahan UMNO pada 2008.”

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...