IKLAN

IKLAN
Klik gambar

14 Januari 2012

Penutup untuk Shahrizat: Dipaksa ambil cuti selepas timbul email berkaitan suaminya


Kelihatan seperti Shahrizat Jalil mungkin akan menghadapi hari-hari terakhir kerjaya politik beliau. Cuti kecemasan 3 minggu yang dipohonnya daripada Perdana Menteri Najib Razak mungkin akan menjadi tetap kerana telah timbul pula dakwaan bahawa orang atasan NFC telah membayar seorang “Datuk penipu” untuk mempengaruhi pihak polis dalam siasatan mereka dalam kes rasuah sebuah syarikat penternakan lembu.

Sudah ada spekulasi bahawa orang atasan itu adalah suaminya, pengerusi eksekutif NFC, Salleh Ismail. Shahrizat yang enggan mengulas apabila cuba disoal oleh wartawan petang tadi.

“No, no, no, excuse me,” Shahrizat yang juga ketua wanita UMNO berkata apabila ditanya mengenai dakwaan yang dibuat pemimpin PKR bahawa mereka mempunyai bukti dalam bentuk email yang mengatakan ada yang tidak kenan di NFC.

Dipaksa keluar

Email tersebut ditulis oleh Megat Najmuddin Megat Khas, salah seorang ahli dalam lembaga penasihat SPRM.Dalam email itu, Megat menulis bagaimana seorang peguam NFC telah memberitahu beliau bahawa seorang pegawai NFC telah ditipu dengan membayar wang kepada seorang penipu yang dipercayai adalah Shamsubahrin Ismail yang juga dikenali dengan nama jolokan “Datuk Fixit” untuk mempengaruhi siasatan yang sedang dibuat pihak polis.

“Situasi nampaknya agak serius untuk Shahrizat. Jelas bahawa banyak yang perlu diterangkan dan bagus untuk beliau diberi ruang untuk penyiasatan dijalankan. Tetapi, ini bukanlah penamat. Najib haruslah melakukan lebih lagi untuk menyelamatkan aset NFC,” kata naib presiden PKR Chua Jui Meng kepada Malaysia Chronicle.

“Tanpa terburu-buru membuat kesimpulan atas siapa pegawai NFC itu, telah lama jelas kedudukan Shahrizat. Beliau sedang berhadapan dengan yang paling sukar dalam parti UMNO itu sendiri jadi beliau janganlah terlalu banyak membuat rundingan kerana mereka-mereka ini merbahaya. Mereka merasakan bahawa beliau adalah liabiliti untuk UMNO pada PRU 13 nanti dan mereka tidak akan berhenti sehingga Shahrizat meletak jawatan.”

Misteri semakin terungkai
Sememangnya Shahrizat telah mencuba untuk berjuang dalam mendapatkan tempat untuk anak-anaknya yang juga berkerja untuk projek meningkatkan 40% bekalan daging di negara.

Ia dilihat sebagai ancaman yang tidak nampak untuk membongkarkan kegiatan rakan-rakan beliau dalam UMNO, beliau telah memberitahu pemberita “siapa dalam UMNO yang tiada masalah?”- merujuk kepada kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh parti pemerintah itu.

Bagaimanapun, pembongkaran oleh PKR baru-baru ini yang menunjukkan email itu kepada sidang media telahpun mengena pada sasaran. Datuk fixit telah ditahan pada bulan lepas dan reman beliau telah dipanjangkan kerana cuba merasuah polis dalam siasatan kes RM250 juta NFC.

Pada masa itu, tiada berita bahawa Datuk Fixit telah dibayar atau diupah untuk melakukan yang demikian oleh ‘orang penting NFC’. Suami Shahrizat, Salleh juga mengatakan bahawa Datuk Fixit bukanlah ahli keluarga ataupun pernah bekerja dengan NFC.

Sekarang, dengan perlahan-lahan, misteri semakin terungkai. Sebuah gambaran yang lebih jelas timbul.

Antara dakwaan ke atas suami dan anak-anak Shahrizat adalah mereka telah menyalahgunakan RM188 juta daripada RM250 juta daripada pinjaman kerajaan untuk penternakan lembu dengan membeli 2 buah kondo mewah di Bangsar dan Singapura, sebidang tanah di kawasan perumahan di Putrajaya, sebuah Mercedes Benz mewah, diskaun berjuta ringgit dan pemindahan wang kepada restoran milik keluarga yang juga membeli daging daripada NFC.

“Saya harap SPRM akan dapat menyiasat sama ada saya terlibat atau tidak dengan keputusan yang dibuat kerajaan terhadap NFC yang mana suami saya, Datuk Seri Dr Mohammad Salleh Ismail adalah pengerusi eksekutifnya.” Kata Shahrizat dalam kenyataannya petang tadi.

Terdesak dan diselubungi spekulasi

Mengesahkan bahawa beliau telah menulis email tersebut yang disebar kepada sekumpulan besar

individu, Megat Najjmuddin telah menulis:

“Beliau (Peguam itu) telah memberitahu tentang cerita penipu ini mengenai bagaimana dia telah dengan manis mulut menyakinkan pelanggannya yang terdesak untuk memberinya wang dan dia akan membuatkan pihak polis kurang kejam dalam penyiasatan mereka! Sangat sedih apabila memikirkan betapa terdesaknya seseorang yang sudah tersepit.”

Walaubagaimanapun, Megat memberi amaran bahawa apa yang diberitahu peguam itu adalah spekulasi semata-mata.

“Ia adalah email peribadi dan pendapat peribadi saya jadi tiada siasatan telah dimulakan. Banyak khabar angin di sini. SPRM sedang menyiasat perkara itu.” Menurut beliau yang dilaporkan oleh Malaysian Insider
.

Malaysia Chronicle

Newsflash: Anwar Ibrahim, PR Convention 3- 2012

Gelagat Najib Tidak Ubah Hero Filem Tamil

Gelagat Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ketika melawat Shah Alam semalam mengingatkan saya kepada hero filem Tamil tahun 60an yang masuk ke sebuah kampung untuk menyelamatkan gadis dalam kesusahan.

Gadis di sini merujuk kepada segelintir penyewa-penyewa di Kompleks PKNS yang keresahan susulan keputusan PKNS untuk menaikkan kadar sewa.

Tidakkah Najib tahu bahawa 70 peratus penyewa terbabit setuju dengan kenaikan ini? Tidakkah beliau tahu bahawa penyewa-penyewa ini telah menikmati kadar sewa 70 peratus lebih murah berbanding pasaran semasa di Shah Alam?

Adakah Najib tahu bahawa mereka yang menentang kenaikan kadar sewa ini adalah golongan rentir bukannya penyewa lot-lot kedai di kompleks itu? Ini jelas menunjukkan golongan rentir inilah yang dalam kesusahan. Sedarkah Najib bahawa di rumah mereka berderetan kereta mewah hasil dari aktiviti sebegini?

Saya tidak fikir hanya saya yang beranggapan tindakan lagak hero Najib ini sebagai pelik. Tambah pula, lakonan beliau sehingga kononnya akan mengeluarkan airmata telah memualkan banyak pihak. Kerajaan BN telah merompak kekayaan Selangor sejak 50 tahun lalu dan perbuataan ini terhenti apabila hero sebenar iaitu Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor.

Najib berkata beliau mahu menitis air mata mendengar keluhan peniaga-peniaga di Kompleks PKNS tetapi saya berkata Najib tidak ada hak untuk menangis. Sebaliknya, Najib sepatutnya menitiskan air mata apabila bekas Menteri Besar, Dr Khir Toyo menggunakan hampir RM 2 juta duit rakyat untuk lawatan ke Disneyland.

Najib sepatutnya menitiskan air mata apabila melihat pemimpin UMNO yang tamak haloba dengan tersenarainya nama mereka dalam senarai pemiliki tanah Felda dan felcra yang sepatutnya menjadi milik peneroka. Najib juga sepatutnya menangis apabila seorang wakil rakyat Melayu menjual tanah rezab Melayu kepada tauke Cina dan tanah yang diwartakan untuk pembinaan surau dijual bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Najib seharusnya melihat tangisan kegembiraan pakcik dan makcik UMNO menerima baucer RM100 untuk menyertai program Jom Shopping dan melihat seorang pakcik Cina menerima geran tanah bagi pihak isterinya yang meninggal dunia yang telah memohon geran tanah sejak 10 tahun lalu.

Apa apapun kita tiada halangan jika Najib mahu terus menangis...

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK MB SELANGOR

WADUH..WAK!!! GOYANG " GERODI" BIK MAMA HARI NIE...

"Tolak", "tahan" pastu baru "gerodi" ikut lagu 'kompang' APA MACAM ?

18SX - Goyang "gerodi" bik mama hari ini !

Kompangnya kepada rakyat Perak semakin kuat dan deras hari ini. Dan hari ini pemberian RM500 BR1M itu juga yang diulang-ulang kepada rakyat yang diangkut oleh lebih 100 buah bas yang dibawa khas datang ke Parit Buntar. Hebat sungguh tukang kompang ! Juga lebat sungguh poket tokey bas..lepas ni !

Pagi tadi tukang kompang, dan tukang mengompang juga hebat. Hebatnya depa sambil berkompang depa menari ramba lagi. Ini kira.., macam aksi tak mau kalah dengan muslimat 901 itu hari kaa? tajuk lagu kompang, " mari rambu ramba sama bik mama.," Kesian bapuk Tepeng, pagi-pagi dah kena halau balik, pasal tukang kompang mau pakai padang dan tasik. Huh ! Dahsyat !!

Aku tanya makcik baju merah, mulut lip lap lip lap sapu goi dan gincu, " banyak ka duit BR1M yang PM kompang bagi tu ? " Dia jawab, " bantuan BR1M RM500 tu banyakkk.., 7 KETURUNAN AKU MAKAN TAK HABIS..., hang tau ? TQ BN !" Perh..lain macam punya jawab ! Makcik ni orang umnuu kaa orang Pakatan ? Hahaha..! Jawab macam hempas kompang ataih kepala aku saja !! Puihhh..!!

Sumber: Albanjari. online

Kelantan mahu hapus hutang PTPTN ( dari tahun 2005)

HUsam Musa -Kenyataan semasa membentangkan kertas kerja Konvensyen PR13

Exco kananan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa berkata negeri itu akan menghapuskan hutang yang ditanggung warganya daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam perbahasannya di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di Alor Setar hari ini, Husam berkata bayaran itu akan dibuat sebaik Kelantan berjaya menuntut bayaran royalti minyak daripada kerajaan persekutuan.

Kenyataannya itu bagi menjawab satu cabaran yang dikemukakan seorang wakil pelajar di konvensyen berkenaan dalam sesi terdahulu.

Husam mengulas, hutang yang akan dilupuskan itu melibatkan jumlah yang dipinjam oleh pelajar berkenaan sejak tahun 2005.

TERKINI: Semua Aset NFC Dibeku Kerajaan


KUALA LUMPUR – Kerajaan mula mengambil tindakan yang lebih tegas dalam isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) apabila membekukan semua aset milik perbadanan itu.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar pula diarahkan agar mengawasi perjalanan perbadanan berkenaan.

Arahan berhubung langkah itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang akhbar di Perak, sebentar tadi.

NFC diPengerusikan oleh Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang juga suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

NFC menjadi perhatian dan diasak pembangkang apabila pihak Jabatan Audit Negara menyebut projek tersebut berada dalam kedaan kacau-bilau dalam laporan terbaru meraka yang diterbitkan akhir tahun lalu.

Antara yang dipertikaikan banyak pihak adalah tindakan NFC yang menggunakan dana yang diperuntukan untuk membeli beberapa unit kondominium mewah dalam dan luar negara.

Terkini, Shahrizat beberapa hari lalu mengumumkan akan bercuti selama tiga minggu bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes NFC secara bebas sepenuhnya.

Selain pembangkang, beberapa pemimpin UMNO seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad turut mengesa Shahrizat agar meletak jawatan dan jangan menjadi liabiliti kepada kerajaan dan parti.

LINTAS LANGSUNG : KONVENSYEN PR03 DI STADIUM SULTAN ABD. HALIM











Perbarisan kehormat Konvensyen Pakatan Rakyat kali ketiga menyanyikan lagu 'Negaraku'

NENEK 69 TAHUN, DIROGOL KETIKA KUTIP DURIAN

Nenek kutip durian di kebun kena rogol

BENTONG- Tanpa mengira usia, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an merogol nenek berusia 69 tahun ketika mangsa mengutip durian di kebunnya di Chamang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa yang bersendirian, terkejut dan rebah selepas disergah lelaki terbabit sebelum suspek mengikat tangan wanita berkenaan menggunakan kain dan merogolnya.

Mangsa menggagahkan diri melepaskan ikatan tangan dan pulang mengadu dirinya dirogol kepada ahli keluarga sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri, mengesahkan menerima laporan kes terbabit dan siasatan sedang dijalankan.

"Siasatan awal mempercayai suspek sudah lama memerhati mangsa dari jauh sebelum menyerang dan bergelut dengan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Bentong (HB) untuk pemeriksaan dan laporan perubatan mengesahkan terdapat kesan rogol-BH

FMM terbit laporan gaji pekerja kilang

KUALA LUMPUR- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menerbitkan laporan perbandingan gaji semasa, faedah dan ganjaran yang lain bagi pekerja dalam sektor pembuatan dan yang berkaitan.

FMM dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, laporan itu yang juga meliputi arah aliran industri dalam skala gaji, kenaikan dan bonus, adalah untuk 2010-2011.

"Penerbitan ini juga menganggarkan keperluan tenaga kerja dan kemahiran untuk tahun 2012 dan termasuk bahagian mengenai pekerja asing, gaji minimum dan latihan perindustrian," katanya.

FMM berkata, laporan 400 muka surat itu berdasarkan kaji selidik yang melibatkan 194 firma dari 17 sektor kecil industri dan menggaji 78,690 pekerja di peringkat eksekutif dan bukan eksekutif.

Katanya, laporan itu akan membantu firma-firma untuk menanda aras pakej gaji dan faedah berbanding yang lain dalam industri yang sama, lokasi yang serupa dan saiz yang setara.

Untuk membeli laporan berkenaan, orang ramai boleh menghubungi FMM di talian 03: 6286 7200 atau e-mel: business— environment@fmm.org.my.

13 Januari 2012

MALAYSIA PUSAT WANG HARAM

Malaysia pusat wang haram Asia?
Written by Dr Rosli Yaakop

Dalam laporan bertajuk “Aliran Wang Haram dari Negara-negara Sedang Membangun: 2002-2006 (Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2002-2006) yang diterbitkan dalam tahun 2008, Global Financial Integrity (GFI), sebuah pertubuhan penyiasatan kewangan antarabangsa, mendedahkan wang haram (illicit money) berjumlah USD1 trilion mengalir keluar meninggalkan negara-negara sedang membangun setiap tahun dalam tempoh 2002-2006. Di dalam laporan selanjutnya yang diterbitkan dlam tahun 2011 bertajuk “Aliran Wang Haram dari Negara-negara sedang Membangun: 2000-2008 – Kemaskini dengan Fokus kepada Negara-Negara Asia” (Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2000-2008 – Update with a Focus on Asia), pertubuhan itu mendapati pemindahan wang haram yang lebih besar, iaitu, US1.26 trilion, berlaku setiap tahun dalam tempoh 2002-2008. GFI di dalam laporan yang dikemaskinikan ini menyebut perkara-perkara berikut:

Negara-negara Asia adalah penjana utama wang haram menyumbang sebanyak 44.4% kepada jumlah aliran wang haram dunia.

10 negara menyumbang sebanyak 70% kepada jumlah aliran wang haram dunia terdiri dari, mengikut urutan ranking masing-masing, China (USD2.18 trilion), Russia (USD427 bilion), Mexico (USD416 bilion), Saudi Arabia (USD302 bilion), Malaysia (USD291 bilion), Emiriyyah Arab Bersatu (USD276 bilion), Kuwait (USD242 bilion), Venuzuela (USD157 bilion), Qatar (USD138 bilion) dan Nigeria (USD130 bilion).

Lima negara Asia yang mengalami pemindahan wang haram ke luar negeri yang besar terdiri dari China (USD2.18 trilion), Malaysia (USD291 bilion), Filipina (USD109 bilion), Indonesia (USD104 bilion) dan India (USD104 bilion). Kelima-lima negara ini menyumbang 96.5% kepada jumlah aliran keluar wang haram dari Asia.

Aliran keluar wang haram dari negara-negara pengeksport petroleum seperti Russia, Emiriyyah Arab Bersatu, kuwait dan Nigeria semakin meningkat.

Bagi Malaysia, laporan terkini terbitan GFI itu mendedahkan sebanyak US291 bilion (RM1,077 bilion) wang haram telah mengalir keluar dari negara ini dalam tempoh 9 tahun (2000-2008). Penemuan ini amat memeranjatkan kerana, pertama, dari kalangan 152 buah negara, aliran keluar wang haram dari Malaysia adalah yang kelima terbesar di dunia dan yang kedua terbesar di kalangan lima negara Asia, tidak sepadan dengan saiz ekonomi. Dari segi saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia adalah sebuah ekonomi yang kecil pada kedudukan ke 38 dari 190 buah negara. Kedudukan Malaysia dalam aliran keluar wang haram jauh lebih buruk berbanding negara Thailand (ke 24) yang saiz ekonominya lebih besar, Brunei (ke 30), Bangladesh (ke 46) dan Zimbabwe (ke 73).

Kedua, dalam tempoh kajian (2000-2008) Malaysia menguatkuasakan kawalan pertukaran asing yang ketat yang tidak membenarkan warga negara dan pelabur asing membawa wang ke luar negera sesuka hati. Sejak 1998, pasaran luar persisiran pantai bagi ringgit telah dihentikan, matawang ringgit denominasi besar (RM1000 dan RM500) dimansuhkan, pelabur-pelabur luar dibenarkan menghantar dividen ke luar negara hanya selepas satu tahun ia diperolehi dan pelbagai lagi sekatan yang menghalang aliran keluar dana dari Malaysia.

Ketiga, aliran keluar wang haram itu berterusan dalam tempoh yang panjang sedangkan di Bank Negara Malaysia telah diwujudkan Unit Perisikan Kewangan atau “Financial Inteligence Unit” (sejak 2002) bagi mengesan aktiviti penyeludupan wang haram ke luar negara dan juga Bank Negara menguatkuasakan undang-undang “money laundering.”

Ini mengundang persoalan: Bagaimanakah wang haram yang begitu besar jumlahnya boleh mengalir keluar dari Malaysia tanpa dapat dikesan oleh “radar” Bank Negara Malaysia?

Wang haram atau “illicit money” adalah wang yang dijana oleh pemiliknya secara tidak sah atau menyalahi undang-undang dan dipindahkan ke luar negara atau digunakan oleh pemiliki dengan cara yang melepasi pengesanan dan rekod oleh pihak berkuasa di negara asal wang berkenaan. Sebahagian besar wang haram ini mengambil bentuk wang rasuah, bayaran komisyen yang tidak sah, pelarian dari cukai, wang rompakan dan penipuan, wang dari hasil penjualan dadah dan wang yang dijana dari pelbagai kegiatan haram. Ianya mengalir keluar negara dengan pelbagai cara seperti pemesongan nilai perdagangan (trade mispricing), penyeludupan, pergerakan wang tunai secara pukal (misalnya, dimuatkan di dalam kapal terbang pribadi) dan pindahan telegrafik (wire transfer).

Bagi Malaysia, memandang amalan rasuah amat berleluasa dan semakin teruk, maka dipercayai wang haram yang mengalir keluar dari Malaysia ke luar negara sebahagian besarnya adalah wang rasuah. Besarnya jumlah wang haram yang meleleh ke luar adalah satu mercu tanda penunjuk kepada parahnya gejala rasuah di Malaysia. Ia mensahihkan kedudukan Malaysia sebagai negara ke 60 dalam indeks persepsi rasuah dunia (2010).

Aliran keluar wang haram yang begitu besar dan gagal pula dikesan oleh pihak berkuasa menimbulkan berbagai kekhuatiran. Pertama, dikhuatiri di Malaysia wujud sindiket penyeludupan wang haram ke luar negara yang gagal dikesan dan dibenteras oleh pihak berkuasa.

Kedua, dikhuatiri aktiviti penyeludupan wang haram ke luar negara ini melibatkan “pemakan rasuah” bertaraf “ikan jerung” kerana tidak mungkin pemakan-pemakan rasuah yang bertaraf “ikan bilis” memiliki kemampuan untuk memindahkan wang haram ke luar negara selain daripada menyimpan wang itu di bawah tilam di kamar tidur.

Ketiga, yang paling dikhuatiri ialah kegiatan pemindahan wang haram ke luar negara ini mungkin mendapat restu dan perlindungan dari pihak berkuasa termasuklah pihak berkuasa Kastam dan Bank Negara Malaysia. Ketidakberkesanan penguatkuasaan undang-undang yang ada dan lemahnya pihak berkuasa untuk bertindak mungkin disebabkan wujudnya “tangan-tangan ghaib” yang lebih berkuasa.

Wang haram yang berjaya dipindahkan ke luar negara akhirnya akan disimpan bank-bank di negara maju yang menyediakan kemudahan akaun rahsia (secret account) seperti yang disediakan oleh Swiss Bank (di bawah Swiss Banking Act 1934) atau dilaburkan dalam pelaburan hartanah di luar negara. Banyak maklumat dipaparkan di dalam media massa tentang cerita-cerita rakyat Malaysia memiliki akaun bank yang besar di luar negara dan memiliki hartanah di lokasi yang dihuni oleh golangan kaya dan terkenal namun jarang sekali didengar tentang laporan penyiasatan tentang asal usul wang itu. Tidak lama dahalu seorang ahli politik bertaraf menteri besar telah ditangkap oleh pegawai kastam di sebuah negara maju kerana cuba menyeludup wang tunai berjuta-juta ringgit nilainya ke negara itu tetapi undang-undang di Malaysia seolah-olah tidak cukup taring untuk bertindak tegas ke atas penyeludup wang haram itu. Sejak kebelakangan ini pula banyak berita yang menuduh seorang ahli politik dari Malaysia bertaraf ketua menteri dan ahli keluarga memilki pelbagai pelaburan dan aset di luar negara bernilai berbilion-bilion ringgit, namun tiada penyiasatan serius dijalankankan oleh pihak berkuasa, mensahihkan sangkaan bahawa di sana ada tangan-tangan ghaib yang melindungi pemakan rasuah menyeludup wang haram ke luar negara.

Apabila sejumlah wang sesebuah negara dipindahkan ke negara lain, peredaran wang yang dipindahkan itu terhenti. Dalam istilah ekonominya dikatakan “jumlah wang itu telah dibunuh.” Wang yang beredar dari tangan ke tangan – dari pengguna kepada pengeluar barangan dan dari pengeluar kepada pembekal faktor pengeluaran (modal, buruh, pemilik tanah dan bangunan dan pembekal bahan mentah) - akan mewujudkan kegiatan ekonomi dan menjana pekerjaan, pendapatan dan kekayaan. Selagi wang itu beredar dari tangan ke tangan di dalam negara, maka selama itulah wang itu akan terus menyumbang kepada pembesaran dan pertumbuhan kegiatan ekonomi, pendapatan dan kekayaan. Ini bermakna wang negara yang ditompokkan di dalam bank luar negara merugikan negara dan semakin besar jumlah wang yang dilarikan maka semakin besar kesan negatifnya kepada ekonomi negara. Rendahnya kadar pertumbuhan ekonomi dalam tempoh satu dekad yang lepas rupa-rupanya disebabkan, antara lain, oleh besarnya jumlah wang yang “dibunuh.” Besarnya jumlah wang haram mengalir ke luar negara secara berterusan dalam jangka masa yang panjang telah menyebabkan ekonomi Malaysia terperangkap dalam jerat “ekonomi berpendapatan pertengahan.” Wang yang sebegitu besar jumlah, seandainya kekal beredar di dalam negara, mampu melonjakkan pendapatan negara ke tahap yang lebih tinggi. Oleh itu diyakini sekiranya amalan rasuah dapat dibanteras, pacuan roda ekonomi Malaysia akan menjadi lebih pantas.



Subang Jaya

Jumaat, 12 Januari 2011

Wang haram

Kes rogol amah tangguh kerana penulis blog 'hilangkan diri'


KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan prosiding menghina mahkamah melibatkan penulis blog Amizudin Ahmat yang disaman Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana Amizudin telah 'menghilangkan diri'.

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais, berkata keadaan tersebut menyebabkan beliau gagal menyerahkan dokumen prosiding menghina mahkamah dan pihaknya telah berusaha menyerahkan dokumen itu sebanyak tujuh kali

bermula 25 November hingga 7 Disember tahun lalu. Muhammad Shafee berkata pada 11 Januari lalu, pihaknya cuba mengambil peluang untuk berjumpa Amizudin yang menghadirkan diri untuk pendengaran kes rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya tetapi ia gagal kerana Amizudin sekali lagi menghilangkan diri.

Berikutan keadaan itu, Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan 2 Februari ini untuk perbicaraan menghina mahkamah terhadap Amizudin.

Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Rais untuk memulakan prosiding menghina mahkamah kerana penulis blog berkenaan telah melanggar sebahagian perintah yang melarangnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah Rais dalam blognya.

Perintah yang dikeluarkan Hakim Zabariah itu ialah susulan daripada keputusan saman fitnah pada 19 Julai tahun lalu yang difailkan Rais terhadap Amizudin.

Rais memenangi saman berkenaan dan Amizudin diperintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada menteri itu.

Hakim Zabariah turut memerintahkan Amizudin membayar kos RM100,000 kepada Rais.

Pada 31 Januari 2011, Rais, 69, memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga anggota jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blog sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Disember 2010.

Dalam samannya itu, Rais berkata artikel berbahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah beliau serta bermaksud beliau melakukan kesalahan besar merogol dan mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia.

Seorang wanita yang pernah bekerja dengan menteri itu kemudiannya dilaporkan telah memberitahu sebuah portal berita Indonesia bahawa beliau tidak pernah dirogol atau dilayan dengan buruk oleh majikannya itu.

- BERNAMA

Terkini! Hasan Ali digugur dari jawatan exco k'jaan S'gor


Sultan Selangor hari ini bersetuju untuk membatalkan pelantikan Datuk Dr Hasan Ali - yang telah dipecat sebagai ahli PAS Ahad lalu - daripada jawatan exco kerajaan negeri Selangor.

Keputusan itu dibuat selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengadap baginda di Istana Kayangan di Shah Alam pagi ini.

"Memandangkan Datuk Hasan bukan lagi ahli PAS, saya telah membuat keputusan bahawa beliau tidak boleh lagi menjadi ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan telah menasihati DYMM Tuanku Sultan untuk membatalkan pelantikan beliau.

"DYMM Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan pelantikan YB Datuk Dr Hasan sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri," kata menteri besar dalam satu sidang media selepas mengadap Sultan Selangor pagi tadi.

Pada masa yang sama, katanya, sultan telah menurunkan kuasanya kepada beliau untuk melantik ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baru.

"Baginda Sultan juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak-pihak," tambahnya.

Sehubungan itu, kata Khalid, pelantikan exco baru akan disempurnakan di Istana Kayangan pada hari Rabu minggu depan.-mk

TANGGUH DULU MERAYAKAN " KEMENANGAN" !!

Written by Ahmad Lutfi Othman

Tidak ramai menduga keputusan kes pertuduhan liwat Anwar Ibrahim, 9 Januari lalu, akan berakhir dengan pembebasannya. Apa pun, yang pasti, kali ini semua orang yang tersalah jangka itu, terutama yang memenuhi kawasan lapang berhampiran mahkamah, langsung tidak kecewa sebaliknya mereka saling mengucapkan tahniah.

"Saya rasa beban berat yang terpikul sejak tiga setahun lalu itu terangkat ... sungguh lega, umpama dapat melunasi timbunan hutang," ujar seorang penyokong Anwar, dari Gombak, yang menelefon saya. Beliau masih dalam perjalanan ke mahkamah semasa berita pembebasan Anwar mula tersebar luas.

AJK PAS Pusat, Khalid Samad, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, melalui blognya mencatatkan: "Amat jarang sekali seseorang berasa gembira apabila terbukti jangkaan dan ramalannya meleset dan tersilap. Barangkali ini adalah di antara masa-masa yang jarang itu."

Sehari sebelum itu, juga dalam blognya, Khalid meramalkan "Anwar akan didapati bersalah dan akan dipenjarakan, bukan kerana beliau bersalah tetapi kerana pihak berkuasa tiada pilihan melainkan mendapati beliau bersalah."

Rata-rata rakyat Malaysia mempunyai tanggapan hampir seragam terhadap badan kehakiman. Mahkamah dilihat boleh ditekan dan dipengaruhi, terutama oleh elit penguasa, khususnya yang membabitkan kes-kes kritikal terhadap pemerintah.

"Lebih teruk jika ada pihak yang mendakwa hakim juga boleh dibeli oleh orang yang kaya-raya. Ini lagi berbahaya, pelabur akan lari," kata seorang wartawan, berpengalaman lebih 20 tahun.

Ulasan seorang lagi sahabat saya, seorang wartawan penyiaran, apabila ditanya reaksinya dengan penghakiman 901, membalas: "Suatu yang menarik, baik orang itu suka Anwar bebas atau tidak suka, dalam kepalanya terlintas keputusan itu bukan semata-mata berdasarkan hukum dan fakta. Betapa rosakanya kehakiman Malaysia."

Persepsi itu mungkin tidak seratus peratus benar, namun tanggapan itulah yang dikongsi majoriti rakyat sejak sekian lama.

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari berkata, dari awal lagi rakyat -- baik yang tahu undang-undang atau rakyat biasa -- dapat melihat yang kes Anwar ini luar biasa dan tidak mengikut undang-undang. "Dan kita jangan lupa bahawa kebebasan kehakiman ialah satu persepsi; kalau rakyat sangsi dan tidak yakin, mahkamah tidak boleh berbuat apa-apa," tegasnya, seperti dipetik Merdeka Review.

Mungkin Dr Mahathir Mohamad bukannya orang yang mula menyebabkan orang ramai memandang serong terhadap kebebasan dan integriti institusi penegak keadilan itu, tetapi bagi saya, beliau bertanggungjawab sepenuhnya menjerumuskan badan kehakiman ke dalam "gaung paling dalam". Pengganti beliau, Abdullah Ahmad Badawi cuba berusaha memulihkannya tetapi gagal.

Di bawah Najib Razak, bukan saja semakin ramai memperlekehkan usaha transformasinya, beliau dilihat akan memperalatkan apa jua bagi memastikannya bukan PM terakhir daripada Umno. Dan Anwar adalah seteru utama yang mesti dijinakkan, kalaupun tidak dapat ditumpaskan, sebelum pilihan raya umum ke-13 berlangsung.

Kita tentunya belum lupa begitu banyak "keganjilan" dalam perbicaraan kes pembunuhan Altatuya Shaariibuu, yang terus meninggalkan seribu satu misteri. Nama Najib dan isterinya, Rosmah Mansor terpalit teruk dengan kes tersebut.

"Sukar untuk menyanggah tanggapan bahawa keputusan Isnin lalu dipengaruhi tekanan politik. Jika pendakwaan kes ini sejak awal sudah sarat dengan elemen politik, mana mungkin kita mengharapkan keputusan akhirnya langsung tidakl dicemari pengaruh politik," pandangan rakan lama saya, seorang peguam berpengalaman.

"Bagi saya, sebagai pengamal undang-undang, tidak ada apa-apa yang boleh digembirakan dengan keputusan kes ini. Takkan hanya dengan satu kes, tiba-tiba hakim-hakim di Malaysia sudah terlepas daripada sebarang kongkongan dan gangguan. Langsung tidak masuk akal," tambahnya.

Beliau seterusnya meminta saya membidas contoh yang sering diberikan oleh pemimpin Umno, khususnya Dr Mahathir, bagi membuktikan kehakiman di Malaysia adalah bebas dan berintegriti. Iaitu kes pengharaman Umno pada 1988 oleh Hakim Harun Hashim.

"Saya sudah menulis banyak kali kes ini," balas saya. Ada nada kemalasan untuk mengulanginya lagi.

"You kena terus jelaskan bahawa dalam kes tersebut peguam Dr Mahathir sendiri yang mahu Umno diharamkan. Hakim tiada pilihan selain mengharamkan Umno atas kehendak presidennya sendiri. Kemudian Mahathir mudah menubuhkan parti baru, dengan memastikan hanya ahli yang setia menyertainya, dan menyingkirkan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah yang hampir menewaskannya pada April 1987, serta dapat pula mewarisi aset dan kewangan Umno lama," tegasnya.

Rakan saya ini berpandangan, Umno dan Najib lebih mendapat manfaat politik dengan pembebasan Anwar, berbanding jika Ketua Pembangkang itu dipenjarakan.

"Dulu Mahathir telah memenjarakan Anwar, hasilnya orang Melayu marah dan menolak Umno pada 1999. Kali ini keadaan akan menjadi lebih teruk jika Anwar dizalimi memandangkan majoriti masyarakat bukan Melayu awal-awal lagi sudah muak dengan BN. Undi pengundi Melayu yang bersimpati dengan Anwar itu akan berpadu dengan kemarahan pengundi Cina yang tidak boleh dilunakkan lagi," tambahnya.

Saya juga tertarik dengan Cikgu Bard (Badrul Hisham Shaharin): "Keputusan hakim itu harus dilihat sebagai kemenangan rakyat. Ia adalah hasil tekanan dan kesedaran rakyat terhadap kes tersebut. Bayangkan jika Anwar gagal memastikan maklumat bagaimana kepincangan kes tersebut kepada rakyat terbanyak dan gagal mengumpul sokongan, saya yakin Anwar akan didapati bersalah."

Justeru, laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya tidaklah semudah disangka. Banyak lagi ranjau yang perlu dibersihkan. Tangguh dulu majlis untuk merayakan "kemenangan" ini ....

Dan tidak mustahil juak-juak Umno sedang menunggu penghakiman bertulis Hakim Zabidin Mohd Diah bagi mencari ruang untuk terus menyerang Anwar, sekurang-kurangnya demi menyuntik rasa ragu dan curiga kepadanya. Mungkin pertarungan di mahkamah sudah berakhir tetapi pentas politik masih terbuka luas, 'kan?

II.Di waktu ramai bergembira pada pagi Isnin lalu dengan keputusan kes Anwar di Jalan Duta, khabar di sebelah petangnya dari Tanjung Malim "mungkin" mendukacitakan. Anak muda yang mencipta kejutan, Adam Adli Abdul Halim, 22, mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) digantung tiga semester (satu setengah tahun) selepas didapati bersalah menurunkan bendera Najib Razak di ibu pejabat Umno bulan lalu.

Adam Adli dan rakan-rakannya yang giat berkempen memperjuangkan kebebasan akademik, juga mendesak dihapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), bukan sekadar pindaan kosmetik seperti dijanjikan Perdana Menteri. Mereka turut menzahirkan hasrat murni itu, dengan turun menemui wakil-wakil kerajaan negeri Pakatan Rakyat, sebagai isyarat kebebasan akademik harus dinikmati semua warga kampus, di seluruh negara.

Kenapa pula saya menyebut "mungkin" mendukacitakan? Bukankah nasib dan masa depan Adam Adli yang digantung itu bakal menjadi tidak menentu, dan tentunya ia berita menyedihkan? Masakan hukuman zalim dan tindakan opresif itu, boleh merangsang satu kebangkitan lebih menyeluruh?

Sebenarnya tidak sedikit yang melihat keputusan jawatankuasa disiplin itu telah melonjakkan obor semangat mahasiswa mendepani cabaran melepaskan kongkongan di kampus. Malah, riak wajah Adam Adli, sejurus menerima hukuman, tetap ceria. Langsung tiada mendung di wajahnya.

Di depan pintu masuk UPSI, dikerumuni media dan teman-teman seperjuangan, selepas melaungkan slogan keramat "Hidup-hidup, mahasiswa! Tumbang-tumbang, tumbang Auku!", Adam Adli mahu pusat pengajian yang pernah melahirkan pejuang kemerdekaan itu, seperti Ibrahim Yaakob, segera dibebaskan daripada pembodek dan pengampu, untuk diserahkan kepada mahasiswa.

Ungkapan katanya tetap berbisa, selain terus sinis dan menyindir keanggotaan panel tatatertib, di antaranya Prof Dr Zainal Kling, yang dilihat akrab dengan UMno dan sentiasa memberi komentar negatif kepada pembangkang, selain pernah menyifatkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

"Jelas, juri-jurinya adalah orang Umno, apa lagi yang dapat kita harapkan daripada jawatankuasa itu?" tegas Adam Adli.

Beliau bukan saja tidak akan merayu, malah tidak pernah mengiktiraf kedudukan "mahkamah Auku". "Saya akan buktikan kepada orang yang menghina perjuangan pelajar, yang menuduh aktivis mahasiswa sibuk berpolitik dan malas belajar, bahawa mereka semua salah," katanya. Beliau akan memfailkan permohonan mencabar keputusan itu di mahkamah terbuka.

Seterusnya Adam Adli dilihat mengoyak sekeping kertas, mungkin petanda penolakan total kepada hukuman gantung itu. Beberapa posting dalam internet mengaitkannya sebagai "Anwar Ibrahim dalam pembikinan". Beliau turut hadir ke perkarangan kompleks mahkamah Jalan Duta, menunggu penghakiman Anwar, dan diberikan penghormatan oleh hadirin dengan menjulangnya.

"Setahun setengah kena gantung sebab pejuang kebebasan akademik lebih mulia daripada setahun dipenjara makan rasuah," tegasnya.

"Memang watak anak jantan," kata seorang penerbit buku terkenal. "Itulah perjuangan yang Adam kena bayar, pemuda macam ini boleh buat menantu," SMS seorang pembaca Harakah, 'Makcik Kedah'. Tidak kurang yang menggesa Harakah menubuhkan tabung khas untuk membiayai Adam Adli meneruskan kesnya di mahkamah.

"Kalau Adam dihukum kerana didakwa telah mencemarkan reputasi UPSI, saya kira ramai lagi pentadbir kanan universiti, termasuk bertaraf profesor, yang patut didera dengan hukuman lebih berat, kerana mereka lebih-lebih lagi telah memalukan universiti, dengan gelagat pengampu dan kenyataan yang memperbodohkan taraf warga kampus," kata seorang rakan, pensyarah kanan IPTA.

Teringat pengalaman teman-teman di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pada 1986, yang dihadapkan ke jawatankuasa disiplin atas dakwaan terbabit dalam demonstrasi membantah pemecatan saya. Mudah sekali, ada yang dihukum gantung pengajian, hanya selepas "bersembang-sembang kosong" dengan pegawai kanan Hal Ehwal Pelajar, yang bertindak sebagai pendakwa dan hakim sekali gus.

Jika satu waktu dahulu, ada pemimpin pelajar yang mohon bercuti untuk aktif berpersatuan, saya cuba mencongak bagaimana Adam Adli mahu menghabiskan tempoh penggantungannya yang agak lama itu. Mungkin kempennya menuntut kebebasan akademik dan pemansuhan Auku dapat dipergiatkan lagi.

"Kesempatan ini harus dimanfaatkan. Gelora perjuangan pelajar bukannya mudah untuk dicetuskan. Sekali membara, jangan biar ia padam. Ia harus digerakkan dalam satu pakej, menuntut perubahan lebih bermakna buat rakyat Malaysia," demikian emel yang saya terima, sambil meminta Harakah mengembalikan ruang khas buat aktiviti kampus.

Tulisan pertama Adam Adli sebagai kolumnis laman merdekareview, bertajuk "Mengapa saya pilih jalan raya?" menarik perhatian saya. Berbakat juga anak muda ini dalam penulisan. Gaya penceritaannya lancar dan tersusun.

"Saya sering tekankan kepada rakan-rakan, Parlimen hanya untuk 222 orang, sedangkan kita ada jutaan suara yang mahu didengari. Maka jalan raya adalah ruangnya. Ia terbuka, luas, dan pasti mendapat perhatian!" tulis Adam.

NFC: EGM AMBILALIH NLFC MENGCURIGAKAN

Rafizi: Najib perlu henti sebarang keputusan babitkan NFC


PETALING JAYA, 12 Jan — Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan, terdapatnya cubaan untuk mengambil alih syarikat National Meat and Livestock Corporation (NLFC) oleh Pusat Fidlot Nasional (NFC) dalam satu Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) dengan mengeluarkan notis singkat untuk membuat keputusan.

Rafizi (gambar) ketika sidang media di Pejabat PKR di sini menganggap tindakan tersebut adalah tidak baik dan mencurigakan.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, pengurusan NFC telah memanggil EGM bagi membincangkan pengambilalihan NMLC yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil oleh NFC, mereka diberi notis tiga hari untuk membuat keputusan.

“Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan EGM dalam tempoh singkat ini berniat tidak baik dan mengganggu siasatan yang sedang berjalan sekarang ini,” katanya.

NFC merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atas saham yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Menurut Rafizi, pihaknya percaya terdapat rancangan mencurigakan daripada perkara tersebut, dan mendesak Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Kewangan untuk membekukan aktiviti dan urusan mana-mana syarikat yang berkaitan dengan NFC.

“PKR mendesak Datuk Seri Najib membekukan semua aktiviti mana-mana syarikat yang pernah menggunakan dana NFC yang diberikan kerajaan.

“Kecuaian beliau boleh menyebabkan baki daripada dana RM250 juta itu lesap melalui pelbagai urusniaga sekiranya perdana menteri masih lagi berdiam diri dalam isu ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, PKR mendesak perdana menteri melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambil alih NFC sementara menunggu siasatan selesai.“Tindakan ini bertepatan dengan tatakelola yang baik, yang kebiasannya digunakan untuk mengelakkan lebih banyak penyelewengan berlaku,” tambahnya.

Dipercayai arahan Shahrizat bercuti 3 minggu ada hubung kait kes ini:

Shahrizat bercuti bolehkan Putrajaya redakan kemelut NFC


KUALA LUMPUR, 13 Jan — Keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengambil cuti tiga minggu daripada tugas menteri bermula hari ini dilihat sebagai rancangan meredakan keadaan oleh Putrajaya buat Ketua Wanita Umno dan partinya ekoran penyelewengan dana kerajaan melalui syarikat penternakan yang dibiayai kerajaan, demikian menurut kenyataan satu sumber dalaman.

The Malaysian Insider difahamkan pentadbiran Najib merasakan itu adalah langkah terbaik dalam situasi sekarang walaupun sesetengah pihak beranggapan cutinya itu atas dasar rasa bersalah terhadap skandal projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Turut berkemungkinan tindakan akan diambil terhadap suami dan anak-anaknya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis selesai menjalankan siasatan terhadap projek bernilai RM250 juta yang memperolehi pinjaman mudah pada 2008.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan terdapat kecelaruan di dalam projek tersebut.

“Keputusan Shahrizat (gambar) untuk bercuti adalah perkara terbaik untuk Umno dan memberikan nafas lega kepada pentadbiran Najib,” menurut sumber kerajaan kepada The Malaysian Insider.

Menurutnya, pegawai kanan kerajaan telah berbincang berkaitan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mencadangkan kepada Shahrizat untuk mengambil cuti pendek.

“Shahrizat pada mulanya enggan, tetapi kemudiannya bersetuju untuk mengambil cuti,” tambahnya.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat ini dalam kenyataannya semalam berkata dia telah meminta Najib untuk membenarkannya bercuti selama tiga minggu bermula hari ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah memohon bercuti rehat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, selama tiga minggu bermula 13 Januari 2012 daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya dalam kenyataan tersebut.

TERKINI RAYUAN KES ANWAR: PEJABAT PEGUAM NEGARA BELUM BUAT KEPUTUSAN

Rayuan Kes Anwar: Peguam Negara Belum Buat Keputusan


KUALA LUMPUR, 13 JAN : Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Pejabat Peguam Negara, Datuk Kamaluddin Md Said berkata pihaknya belum membuat keputusan sama ada untuk merayu terhadap pembebasan Datuk Anwar Ibrahim.

Kamaluddin mengesahkan bahawa bahagiannya telah menerima laporan daripada pasukan pendakwa raya yang diketuai oleh Peguam Cara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, lapor Malaysiakini.

Katanya lagi, laporan itu juga masih belum dikaji manakala sebarang keputusan masih belum dimuktamadkan meskipun pihaknya cuma mempunyai 14 hari untuk mengemukakan rayuan.

"Mereka (Mohd Yusof) mungkin membuat cadangan tetapi kita perlu mengkaji perkara itu. Jika kita failkan rayuan, ia akan dibuat sebelum 25 Januari," katanya.

Bahagian yang diterajui Kamaluddin, khususnya mengendalikan kes-kes rayuan selepas penghakiman dibuat dalam perbicaraan kes jenayah dan memutuskan sama ada sesuatu notis rayuan perlu difailkan.

Yusof dijadualkan untuk bersara pada 1 Februari

Anwar bebas: Sejauh mana imej BN pulih?

Walaupun sudah beberapa hari Datuk Seri Anwar dibebaskan dari pertuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan — bekas pembantu peribadinya, perbincangan mengenai keputusan bersejarah tersebut masih lagi rancak.

Hebatnya impak keputusan mahkamah tersebut sehingga menyebabkan isu seperti pemecatan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali tenggelam dan gagal dimanipulasikan oleh media-media yang tidak mesra kepada Pakatan Rakyat (PR).

Kegembiraan penyokong Anwar dan Pakatan Rakyat (PR) boleh dilihat dilaman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube.

Gambar dan video dihari perhimpunan Bebas Anwar 901 dinaikkan menggambarkan satu temasya rakyat menyambut kemenangan.

Kegembiraan bebasnya Anwar dari pertuduhan liwat tidak menggembirakan semua pihak. Apatah lagi bagi bekas “anak-anak buah” ahli parlimen Permatang Pauh yang telah menyebrang menyertai Umno dan Barisan Nasional.

Senator Ezam Mohd Nor, mantan Ketua Angkatan Muda PKR yang telah menyertai Umno kecewa dengan keputusan mahkamah membebaskan Anwar.

Ezam yang masih tidak dapat mengubah gaya pidatonya yang mirip Anwar Ibrahim itu, menyatakan beliau tetap percaya bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah peliwat walaupun keputusan mahkamah tidak memihak kepada Saiful Bukhari.

Sebenarnya Ezam tahu, apabila Anwar bebas dari pertuduhan liwat, ianya memberikan kekuatan kepada ahli parlimen Permatang Pauh itu untuk terus mengasak BN.

Jika BN tersungkur dari kuasa, Ezam sudah “letih” untuk menjadi pemimpin pembangkang sepertimana satu ketika dahulu.

Strategi BN

Jika kita lihat kenyataan atau penulisan dari media Pro BN, strategi yang dimainkan dalam isu pembebasan Anwar ini adalah bebas pertuduhan tidak bermakna Anwar tidak meliwat.

Lihatlah blog-blog Pro Umno. Majoritinya bernada sama. Mereka berhujah, mahkamah terpaksa membebaskan Anwar kerana tidak mempunyai bukti kukuh untuk menyabitkan bekas Timbalan Presiden Umno itu.

Akan tetapi, ini tidak bermakna Anwar tidak meliwat. Kita boleh melihat ada juga penulisan-penulisan yang berbunyi, “Anwar bebas mahkamah dunia tetapi tidak mahkamah Allah”.

Isu kebebasan sistem kehakiman juga dicanangkan apabila mahkamah membebaskan Anwar.

Menurut Datuk Seri Najib Razak dan beberapa pimpinan tertinggi Umno, keputusan kes Liwat II yang menyebelahi Anwar adalah bukti kerajaan tidak campurtangan dalam sistem kehakiman negara.

Secara tidak langsung, Najib mengesahkan bahawa selama ini, memang terdapat campurtangan eksekutif dalam sistem kehakiman negara.

Imej BN pulih?

Dalam isu kebebasan sistem kehakiman ini, target BN adalah pengundi atas pagar.

Mereka percaya, pengundi atas pagar akan menyokong BN oleh kerana terdapat bukti Najib serius dengan program transformasinya dan tidak campurtangan dalam keputusan mahkamah dalam kes berprofil tinggi seperti ini.

Sejauh mana ini boleh membantu? Mungkin segelintir kecil pengundi atas pagar akan terpengaruh dengan propaganda ini.

Akan tetapi, majoriti pengundi atas pagar adalah jenis pengundi yang mementingkan polisi dan dasar dan tidak mudah digula-gulakan dengan isu sebegini.

Sebenarnya, keputusan mahkamah 901 lebih membahayakan Umno. Pengundi-pengundi Melayu di kubu kuat Umno — kawasan pendalaman akan tergugat.

Bagi mereka (baca: pengundi Melayu kawasan pendalaman), keputusan mahkamah bukti Anwar tidak bersalah.

Persoalan mengenai Anwar bebas kerana pendakwa tidak cukup bukti dan belum tentu Anwar tidak meliwat tidak masuk dalam kamus pemikiran golongan ini.

Simpati terhadap Anwar dan keluarganya pasti meningkat. Keputusan mahakamah juga menjadi bukti Anwar mangsa kepada konspirasi politik.

Keadaan ini lebih membahayakan Umno kerana “fix deposit” sokongan politik mereka tergugat.

12 Januari 2012

KARPAL: JANGAN RAYU KES ANWAR


KUALA LUMPUR, 12 JAN : Peguam Anwar, Karpal Singh menyifatkan tindakan pendakwaraya mahu merayu keputusan mahkamah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak tepat.

Karpal berkata, walaupun Peguam Negara Tan Sri Gani Patail berhak mengemukakan rayuan itu namun beliau harus mengambil kira kesan perbicaraan berkenaan keatas Anwar dan keluarganya.

"Perbicaraan Anwar telah berlarutan selama tiga tahun, keputusan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah adalah berasaskan fakta dimana mahkamah rayuan jarang campur tangan sekiranya rayuan dikemukakan," katanya.

Karpal berkata peguam negara tidak harus membuat sebarang rayuan demi kebaikkan semua pihak.

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ketika dihubungi Antarapos.com berkata pihak pendakwaan seharusnya bersikap terbuka dalam menerima keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berhubung keputusannya membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin lalu.

"Pendakwaraya perlu menerima keputusan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ini bukan sahaja soal keputusan dan hujah yang dibawa oleh pihak pendakwaan selama 2 setengah tahun, tetapi ia adalah kesan lebih besar keatas kredibiliti institusi kehakiman yang rosak teruk oleh kerana kegagalan dia sendiri dan proses siasatan yang dibawa itu," katanya.

"Sepanjang perbicaraan ini berlangsung apa yang dinilai oleh rakyat ialah pelbagai bentuk penipuan dan rekayasa oleh pihak berkuasa terutama dari segi DNA kerana semua bukti yang dibawa oleh pembela memang ada berlaku sampel DNA ditukar. Ini beri gambaran yang cukup buruk di mata rakyat mengenai kredibiliti kehakiman dan pejabat peguam negara" ujar beliau.Katanya lagi, ketua pendakwaraya perlu mengambil kira pelbagai faktor dan bukan soal hujah penghakiman sahaja.

"Walaupun hak dia untuk buat rayuan, tetapi tindakan itu sudah tentu ada kesan buruk kepada institusi kehakiman dan kredibiliti pejabat peguam negara. perkara itu perlu diambil kira, bukan semata-mata mendengar desakan keluarga Saiful Bukhari."Datuk Yusuf patut ambil kira, ini bukan soal hujah penghakiman semata, tetapi ini ialah soal konsprasi politik yang dimata rakyat memang telah membazirkan wang rakyat," katanya.

Awal pagi tadi TV3 memetik Ketua Pendakwaraya Datuk Zainal Abiden Yusof sebagai berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan selepas mengkaji semua bukti-bukti yang diketengahkan semasa perbicaraan.Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya akan mendapatkan teks keputusan hakim sabidin sebelum memfailkan rayuan itu di mahkaamh

Semalam, bapa Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim menggesa Peguam Negara Tan Sri Gani Patail supaya memfailkan rayuan demi maruah Saiful dan anggota keluarganya.

Mengapa saya pilih ungkapan ‘Mampus Umno’?

Written by Aiman Athirah Al Jundi
Sekadar Perkongsian


Ada sahabat yang prihatin bertanya kenapa saya memilih untuk menggunakan ungkapan "Mampus UMNO" pada Hari 901? Beliau juga berkata…teruk juga Muslimat PAS cuba difitnah oleh Blogger-Blogger UMNO…

Ini jawapan spontan saya….

Inilah sunnatuLlah perjuangan...Allah ingatkan kita dalam al Quran..apakah kamu fikir kamu akan dibiarkan mengatakan kami telah beriman sebelum kamu diuji?.....setiap yang berlaku apatah lagi yang diledakkan oleh musuh-musuh kena disiasat...dan fahamkan.....InsyaAllah kami ni dah lama dalam perjuangan...

901 bukan himpunan yang pertama buat kami...cuma musuh nak jadikan isu dengan...adanya wanita (bukan PAS yg bersorak)...wording ana "Mampus UMNO" dan adanya wanita yang pergi salam Polis…..

Saya katakan…diik, ini realiti mad'u kita....kita memimpin rakyat...bukan memimpin para alim ulama....

Wording "Mampus UMNO" tu expresi spontan...daripada para jiwa yangg sudah lazim dizalimi Regim UMNO BN.... Peliknya…. bila kita guna perkataan Mampus UMNO ramai yang marah dan pertahankan atas uslub dakwah katanya....

Saya tak nafikan…saya antara yang komited memperingati Muslimat dengan Surah An Nahl : 125 dalam keadaan situasi dakwah yang biasa.

Pada hari itu, suasana dakwahnya berbeza. Di keliling saya adalah Wanita-Wanita Pemberani…yang biasa "bertempur" dengan Kezaliman Regim.

Ekpresi kebencian rakyat. Benarkah kita semua kisah pada nasib rakyat yang telah dizalimi? Ekspresi saya yang juga biasa menjadi mangsa kezaliman Regim di sebalik tirai besi lokap…..

Nasib kami yang menjadi habuan dan makanan Regim? Yang komen dan marah barangkali bukan yang dizalimi, melalui pengalaman sepertimana kami. Kami menjiwai keperitahan di bawah Regim kerana kami yang dipukul, yang diterajang, yang dimandikan dengan air berkimia, yang dikepung dengan gas-gas pemedih mata berulang kali, yang dikurung berjam-jam dalam lori polis dengan niat jahat, dijerkah, ditakut-takutkan untuk dirogol ketika berada di dalam lokap tiga hari dua malam dan lelaki-lelaki bertubuh sasa dan bermuka bengis mendatangi pintu-pintu lokap kami....ada siapa tahu...ada siapa ambik tahu...ada siapa kisah....

Nah...sampaikan semua ini kepada para pejuang di sana...kepada adikku para Muslimat....kepada adikku para Pemuda….yang tidak mengenali kekanda-kekanda mereka sendiri dalam perjuangan…sehingga barangkali fitnah dan umpan musuh mudah melekat….atau apa sahaja….mereka tetap adik-adik kami dalam perjuangan…sekalipun mereka memilih tidak bertanya tetapi terus mengikut rentak yang direbanakan musuh…

Ekpresi kami yang dibiarkan kelaparan... ekpresi kami yang pernah dibiarkan hypo dalam tahanan sehingga tidak upaya bangun melangkah sehinggalah dua tiga orang sahabat datang melawat membawa air manis dan bertenaga…...

Ekpresi kami yang dibiarkan tidur di atas simen yang sejuknya mencengkam ke tulang hitam....

Ekpresi kami yang ada ketikanya dibiarkan tidur di atas lantai simen...berbumbungkan langit dan berselimutkan embun dingin pagi...

Semua ini bukan cerita buku atau ceritera penglipurlara....tetapi kisah benar kami....

Nah...Regim UMNO yang membibitkan rasa benci dan marah kami....Regim zalim ini…tiada ungkapan yg benar-benar ana mahu laungkan melainkan "Mampus UMNO" pada ketika itu. UMNO - Pertubuhan Regim. Saya langsung tidak tujukan pada orang atau individu UMNO. Tapi Pertubuhan zalim itu….

Nah….sekadar ekpresi dari jiwa-jiwa kami yang masih sedang diadili dengan tuduhan dan saksi fitnah.

Kalau itu salah….dan menyebabkan ada yang terguris dan simpati kepada UMNO….maka apa lagi yang mampu saya kata…Cukuplah Allah dan Sahabat-Sahabat Perjuanganku yang mukhlis dalam ukhuwwah ini….

Tentu mereka mengerti….. MAAF JUA.

*Tulisan ini dipetik dari Facebook Aiman Athirah Al Jundi, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, dengan keizinan beliau. Utusan Malaysia semalam mendakwa bahawa gelagat Muslimat PAS di himpunan 901 cukup "memalukan".

ANWAR BEBAS, UMNO PECAH

Amin Iskandar


Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara sinikal beliau menjawab:

"Walaupun saya hairan jugalah pasal dia (Anwar) tak bersalah. Tapi ini bukti bahawa tidak ada konspirasi dari dulu sampai sekarang.

"Apabila pihak mahkamah berpendapat dia (Anwar) tidak bersalah, mereka (mahkamah) berkata dia tidak bersalah. Mungkin ada pihak yang nak appeal, saya tak tahulah."

Mahathir memang terkenal dengan komen-komen sinikalnya. Anwar Ibrahim adalah bekas anak didik yang ditatang beliau satu ketika dahulu.

Namun akhirnya Anwar menjadi musuh politik nombor satu Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu. Anwar juga merupakan satu-satunya ahli politik yang masih belum dapat “dibunuh” karier politiknya olehnya.

Ahli-ahli politik lain seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam dan ramai lagi, terpelanting dengan mudah apabila bertembung dengan Mahathir.

Sudah pasti Mahathir adalah orang yang paling tidak gembira dengan keputusan mahkamah tersebut.

Jika Anwar didapati bersalah Isnin lalu, Mahathir sudah boleh berehat dengan tenang bersama keluarganya menghabiskan sisa-sisa hayatnya yang masih ada.

Apabila Mahathir berkata, “Mungkin ada pihak nak appeal, saya tak tahulah” – ini merupakan satu isyarat bahawa kes liwat II ini masih belum selesai dan sudah pasti bapa kepada Datuk Mukhriz itu mahu rayuan dilakukan terhadap keputusan mahkamah supaya perang liwat II berterusan.

Peperangan politik antara Mahathir-Anwar masih belum selesai walaupun ia telah memakan masa hampir 12 tahun. Suka tak suka pertembungan antara kedua-dua ahli politik ini telah mengheret seluruh negara bersama.

Glongan pro transformasi

Walaupun kecil dalam Umno, golongan ini sedikit sebanyak membantu memulihkan sokongan orang muda terhadap Barisan Nasional (BN). Golongan ini, kebanyakannya, adalah bekas penyokong Anwar sewaktu dalam Umno dahulu.

Golongan ini gembira dengan keputusan mahkamah dan selepas selesai kes liwat II ini, mereka mahu perlawanan antara BN dan Pakatan Rakyat naik ke tahap yang lebih matang iaitu ke tahap polisi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah adalah antara yang tergolong dalam golongan ini. Keberanian beliau untuk berhadapan dengan politikus Pakatan dalam majlis-majlis debat sedikit sebanyak telah memenangi hati anak-anak muda dan pengundi atas pagar.

Akan tetapi di dalam parti Umno, golongan pro-transformasi terlalu lemah dan jika transformasi politik itu bukan program Datuk Seri Najib Razak selaku presiden dan perdana menteri, sudah pasti golongan ini telah lama dikuburkan.

Sebab itu kita boleh lihat kurangnya komen-komen dari golongan pro-transformasi mengenai keputusan mahkamah Isnin lalu.

Mungkin golongan ini mengambil sikap berhati-hati oleh kerana kini, umum tahu golongan “garis keras” dalam Umno yang dipayungi oleh Mahathir sedang marah.

Sokong parti kuat

Politik Melayu itu mudah. Sokongan diberikan kepada parti yang kuat. Arwah atuk penulis sendiri pernah berpesan, jika mahu menyertai politik, ikutlah parti yang kuat.

Keputusan mahkamah Isnin lalu telah memberikan satu kekuatan baru kepada Anwar Ibrahim dalam usaha untuk memenangi hati majoriti pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar sekaligus menawan Putrajaya.

Bekas menteri Umno yang masih ahli parti tersebut, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir secara terang-terangan telah menunjukkan sokongannya terhadap Anwar.

Beliau hadir ke rumah Anwar dan menemani mantan timbalan perdana menteri itu ke mahkamah pada hari keputusan diumumkan.

Tindakan Kadir ini juga boleh dilihat sebagai isyarat jelas beliau tidak bersama Najib. Jika Datuk Zaid Ibrahim pada satu ketika dahulu dipecat dari Umno kerana hadir di kongres PKR, apa pula tindakan yang bakal dikenakan terhadap Kadir yang juga merupakan timbalan presiden AMANAH – di bawah pimpinan Ku Li.

Setidak-tidaknya, penyokong Kadir akan mengikut jejak langkah beliau untuk memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Ini merupakan satu kerugian politik kepada Najib Razak.

Apa yang bakal terjadi?

Kita lihat nanti apabila pendakwaraya membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah Isnin lalu. Apabila itu berlaku, lebih jelas lagi perpecahan dalam Umno kelihatan.

Najib akan berusaha keras untuk pastikan keputusan mahkamah Isnin lalu kekal di mahkamah rayuan. Jika keputusan mahkamah rayuan berbeza, hilang terus kepercayaan golongan atas pagar terhadap program transformasi politik beliau.

Sementara golongan “garis keras” yang berdiri di belakang timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan Anwar disimpan dalam penjara agar ketua pembangkang itu mengalami nasib seperti mantan pengerusi Putera-AMCJA, Dr Burhanuddin Helmy – menghabiskan masa lama dalam penjara sepanjang perjuangan politiknya.

Jika gagal menjinakkan golongan garis keras dalam Umno,Najib akan berada dalam keadaan, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Apatah lagi pada ketika ini Umno mengalami masalah besar di basis sokongan mereka – Melayu kawasan pedalaman apabila Skandal NFC diketahui umum.-MK

PENDAKWARAYA RAYU BATAL PEMBEBASAN ANWAR

KUALA LUMPUR, 12 JAN : Pejabat Peguam Negara akan merayu keputusan mahkamah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat.

Ketua Pendakwaraya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dipetik berkata permohonan mengkaji semula keputusan tersebut akan difailkan Mahkamah Rayuan dalam tempoh 10 hari.

Beliau berkata, keputusan merayu membatalkan pembebasan anwar itu dibuat setelah mengkaji semua bukti yang diketengahkan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon untuk mendapatkan teks kehakiman penuh keputusan itu yang dibuat oleh hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, lapor TV3.
Semalam, bapa Saiful Bukhari Azlan menggesa Peguam Negara Tan Sri Gani Patail untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu demi maruah anaknya.

Isnin lalu, hakim Zabidin membebaskan Anwar kerana tidak yakin sepenuhnya bahawa sampel DNA yang diketengahkan tidak dicemari, beliau juga menetapkan bahawa Anwar tidak boleh disabitkan kesalahan jenayah seks berdasarkan keterangan pengadu semata-mata.

SUMBER: ANTARAPOS.COM
Oh AHLI MAJLIS...............Versi PKR KEDAH...

Assalamualaikum...Salam to all


Rasa syukur yang tidak terhingga apabila menerima berita tentang pembebasan DSAI mengenai kes FITNAH 2,tidak dapat tidak inilah berita gembira yang harus di kongsi bersama.Semestinya UMNO mahupun parti komponen BN merasakan bahang dengan pembebasana DSAI,kebenaran tetap akan muncul jua.

Namun keputusan MAHKAMAH sememangnya memeranjatkan banyak pihak,ada ketika merasakan ia satu mimpi.Apapun ia anugerah kepada penyokong PR khususnya penyokong PARTI KEADILAN RAKYAT.

Gelombang dan gerakkan 901 sememangnya memainkan peranan sehinggakan pihak UMNO dan PERKASA terasa tempias menyebabkan IBRAHIM ALI terpaksa membuat program qiamullai di MASJID WILAYAH.Ini yang di katakan tekanan sehingga merimaskan UMNO dan BARISAN NASIONAL.Cuma yang peliknya ada juga segelintir manusia di dalam PARTI KEADILAN RAKYAT tidak merasai bahang 901,yang mereka tahu jawatan yang perlu di rebut.Di saat semua penyokong PKR susah hati dengan nasib DSAI,ada juga sebilangan pimpinan PKR KEDAH terus menerus memikirkan jawatan itu dan ini.Lebih memeranjatkan sesi taklimat 901 di selit sesi soal jawab mengenai jawatan AHLI MAJLIS.Keadaan yang sebegini sememangnya tidak sihat untuk kemajuan parti.Seolah-olah jawatan itu penting sehinggakan fokus untuk program 901 menjadi penghalang di dalam mendaptkan jawatan.

Pelik juga melihat gelagat KETUA PENERANGAN PKR KEDAH di dalam isu perebutan AHLI MAJLIS seolah2 AHLI MAJLIS ADALAH SEGALANYA dan menjadi fokus utama di dalam perjuangan.Reaksi PENGURUSI MPN PKR KEDAH juga seakan merestui keadaan ini berlaku.Di dalam keadaan ahli parti bimbang nasib DSAI mereka ini masih memikirkan soal jawatan.Di dalam penulisan yang terdahulu telah di nyatakan agar PENGURUSI MPN PKR KEDAH berhati-hati di dalam membuat keputusan,dan kini beliau telah melakukan kesilapan sehinggakan beliau sering jatuh sakit.Anasi-anasir yang tidak baik semakin menular di dalam PKR KEDAH,ia bakal menjadi barah dan seterusnya menyusahkan PARTI KEADILAN RAKYAT terutama di KEDAH

Rata-rata masyarakat maklum mengenai track rekod PKR KEDAH iaitu sentiasa di palitkan dengan

isu KATAK,tetapi ini semua gagal di jadikan pengajaran oleh PKR KEDAH TERMASUK PENGURUSI PKR KEDAH iaitu DATO HJ WAN SALLEH WAN ISA.Tidak dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.Sikap dan perangai UMNO seharusnya di tinggal jauh sebelum menyertai PARTI KEADILAN RAKYAT.Janganlah terlalu memikirkan jawatan kerana ia semuanya sementara dan boleh bertukar ganti dan bukan monarki.Di harap kepada pimpinan yang berwajib sila ambil perhatian mengenai sindrom gila JAWATAN AHLI MAJLIS kerana ia akan merosakkan parti dan dapat memecahbelahkan perpaduan di dalam parti.Kepada DATO WAN SALLEH WAN ISA silalah tinggalkan kerusi empuk pengurusi PKR KEDAH jika berlaku perpecahan di kalangan anggota PARTI kerana tindakkan menukar AHLI MAJLIS.Di waktu yang genting seperti ini adalah tidak wajar sama sekali tindakkan menukar AHLI MAJLIS di lakukan,perpaduan di dalam PARTI itu lebih penting daripada menjadi satu dua kerat pembodek.

Di dalam PARTI KEADILAN RAKYAT tidak perlu manusia yang bersikap makan bodek bahkan kaki ampu pun tidak di perlukan,kerana PARTI KEADILAN RAKYAT sebuah parti yang menuntut KEADILAN dan memperjuangankn hak RAKYAT. Ia bukannya sebuah parti serpihan UMNO dan bukannya PARTI yang isinya anggota yang membawa sikap buruk UMNO sehinggakan boleh meruntuhkan parti itu sendiri.Sedarlah bahawa PKR KEDAH telah melalui zaman getir dan kini PKR KEDAH bakal melalui saat getir jika DATO HJ WAN SALLEH WAN ISA terus menerajui PKR KEDAH.Jangan dilihat apa yang di utarakan ini sebagai suatu perkara yang pelik,kerana di saat ini ANASIR UMNO semakin meresap masuk di dalam BARISAN KEPIMPINAN PKR KEDAH,semoga yang berkenaan berwaspada selalu......

MENUJU PUTRAJAYA

Nukilan Merak Buih

SUMBER :http://www.kedahlanie.info/2012/01/oh-ahli-majlisversi-pkr-kedah.html

DAKWAT KEKAL : MAJLIS FATWA TIADA MASALAH

Dakwat kekal untuk PRU-13 bukan najis
Majlis Fatwa putuskan 'silver nitrate' dibenar syarak


PUTRAJAYA- Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan penggunaan dakwat kekal mengandungi 'silver nitrate' yang akan dicalit pada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dibenarkan syarak.

Pengerusinya, Prof Tan Sri Dr Abd Shukor Hussin, berkata keputusan itu diambil berdasarkan bahawa dakwat kekal itu tidak mengandungi bahan najis diharamkan syarak, tidak memudaratkan kesihatan serta telap atau tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.

“Selepas mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk, Jabatan Kimia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dakwat kekal yang diuji itu dibenarkan syarak kerana tidak menimbulkan masalah kepada umat Islam untuk melaksanakan ibadat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung perkara itu di sini, semalam.

Mesyuarat itu dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, wakil SPR, Jabatan Kimia dan mufti seluruh negara.

Sebelum ini, SPR mengumumkan dakwat kekal mengandungi ‘silver nitrate’ akan digunakan pada PRU-13 dan sudah dihantar ke Jabatan Kimia pada Disember lalu untuk diteliti kandungan dan kesesuaiannya digunakan di negara ini.

Penggunaan dakwat kekal adalah usaha SPR menambah baik pelaksanaan pilihan raya selepas ia dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemilih Parlimen bagi menambah baik proses pilihan raya.

Bagaimanapun, Abd Shukor berkata, keputusan muzakarah semalam hanya tertakluk kepada dakwat kekal yang diuji SPR dan mengandungi bahan sama seperti yang dibentangkan dalam mesyuarat itu.

“Jika jenis dakwat yang akan digunakan nanti (PRU-13) berbeza dengan dakwat yang sudah diputus dan diuji ini, maka muzakarah perlu lihat semula keputusan ini, tetapi dimaklumkan SPR akan menggunakan dakwat kekal yang diuji itu yang mengandungi bahan sama,” katanya.

Dakwat kekal ‘silver nitrate’ itu adalah dakwat kekal berbeza yang pernah dicadangkan digunakan pada PRU-12 yang mana muzakarah memutuskan membenarkan penggunaannya pada Ogos 2007.

Bagaimanapun, dakwat itu dilupuskan menerusi proses pembakaran pada November 2009 berikutan faktor keselamatan dan perundangan.

-BeritaHarian

SKIM SBPA SEKTOR AWAM DITANGGUH ATAS ARAHAN KABINET


Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewan gan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari. Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

“Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi,” kata sumber.

Sebelum ini wujud dakwaan kononnya kakitangan kumpulan pengurusan tinggi dan kanan menerima kenaikan gaji sangat tinggi, sehingga mencecah 50 peratus. Bagaimanapun ia telah dinafikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah bulan lalu. SBPA memperkenalkan sistem gaji satu lapis berbanding tiga lapis di bawah Sistem Saraan Malaysia.

Menurut sumber itu, kerajaan mahu kajian semula dijalankan ke atas keseluruhan komponen SBPA bagi memastikan tujuan pelaksanaan sistem gaji baru itu mencapai matlamat. Mengenai tempoh penangguhan, sumber memberitahu, “ia kemungkinan besar akan mengambil masa beberapa bulan, juga kemungkinan hanya akan dilaksanakan selepas pilihan raya berakhir, supaya segala rasa tidak puas hati selesai dan diatasi secara menyeluruh.”

Pegawai-pegawai kanan perkhidmatan enggan mengesahkan perkara itu. Bagaimanapun difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini.

“Tunggulah esok, maklumat jelas akan dikeluarkan,” kata seorang pegawai kanan ketika dihubungi.

Pada 18 Disember lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membuat pendirian tegas dengan meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan SBPA dan mengadakan perundingan dengan badan induk kesatuan awam itu. Badan induk itu mendakwa pihaknya “amat kesal” kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam tidak mengadakan langsung perundingan dengan Cuepacs sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kerajaan seharusnya memastikan setiap anggota perkhidmatan awam, yang saiznya 1.4 juta orang, menerima maklumat yang tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA. Omar berkata, perkara itu akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pertemuan itu telah diadakan akhir bulan lalu. Ketika itu, Cuepacs juga meminta ahli-ahlinya tidak menerima opsyen sehingga perkara ini selesai.

Jabatan itu membuka opsyen menerima SBPA mulai 16 Disember lalu dan ia sepatutnya ditutup pada 30 Disember, tetapi dilanjutkan sehingga 15 Januari selepas pertemuan Cuepacs dengan Najib.

Omar juga mendakwa kakitangan awam dipaksa menerima opsyen tanpa diberikan maklumat mengenai sifir gaji dan tangga gaji. Katanya, ia jauh berbeza berbanding ketika pelaksanaan Sistem Saraan Baru dan Sistem Saraan Malaysia sebelum ini.

Mengenai kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang diumumkan oleh Najib ketika pembentangan Bajet 2012 pada Oktober lalu, Omar berkata, perkiraan pihaknya menunjukkan sebaliknya. Ada yang mendakwa menerima kenaikan gaji jauh lebih rendah daripada kadar yang diumumkan Najib.

“Jelaskan kedudukan kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus ini,” kata Omar ketika itu.

Beberapa parti politik juga menggesa kerajaan menangguhkan SBPA atas alasan mengabaikan kepentingan kakitangan kumpulan rendah, yang merupakan dua pertiga saiz kakitangan awam.

KONVENSYEN PR BAWA TEMA " BERSIHKAN MALAYSIA"


PETALING JAYA, 11 JAN : Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan pada Sabtu bakal mengangkat tema 'Bersihkan Malaysia' untuk mengajak rakyat membawa perubahan dalam pentadbiran di negara hari ini.

Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, kelainan yang akan ditampilkan pada konvensyen kali ini ialah setiap segmen akan diwakili pelbagai kelompok untuk memberi peluang kepada mereka berkongsi permasalahan yang dihadapi masing-masing.

"(wakil-wakil) ini akan tampil memberikan pandangan, tanggapan, luahan mereka terhadap permasalahan yang menghantui mereka di dalam pemerintahan BN. Ini saya katakan kita nak berkongsi dengan semua orang supaya setiap orang itu memberikan input untuk Pakatan Rakyat melihat secara yang lebih besar. Bagaimana kita nak membangunkan negara kita ini berdasarkan setiap kelompok ni memberikan input yang terbaik kepada negara," katanya pada sidang media sempena konvensyen Pakatan Rakyat pada Sabtu ini.

Konvensyen selama sehari itu akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Suka Menanti, Alor Setar, Kedah.

Gagasan itu juga akan membentangkan manifesto mereka melalui beberapa kertas kerja.

Difahamkan, exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa akan membentangkan kertas kerja mengenai pembaharuan memulihkan perkhidmatan awam manakala Ketua Pemuda DAP Anthony Loke pula mengenai ‘federalisme’.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula akan menyampaikan kertas kerja mengenai anti-monopoli manakala Ketua Biro Felda PKR, Suhaimi Said akan membentangkan kertas kerja mengenai reformasi Felda.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian letupan di perkarangan kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada hari Isnin lalu, Mahfuz mahu pihak polis melakukan siasatan yang menyeluruh dan memastikan kejadian sama tidak berulang.

" Kami cukup kesal dengan apa yang berlaku dan kami minta pihak polis harus melakukan siasatan yang menyeluruh ke akar umbi untuk mengenal pasti punca-punca yang boleh berlaku dan mereka yang terlibat dalam letupan tersebut, kerana bagi kami ini satu tindakan yang tidak sihat yang dilakukan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan dan keamanan,"katanya

ANAK DAKWA CUBAAN SOGOK PERWAKILAN EGM KPF


ANAK - NGO berkaitan PAS yang berjuang melindungi hak peneroka Felda - menyuarakan kebimbangan yang mendalam tentang dakwaan percubaan menyogok perwakilan ke mesyuarat agung luar biasa (EGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF) pada 8 Februari depan.

Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman mendakwa, pihaknya mendapat tahu mengenai beberapa individu yang menemui para perwakilan berkenaan.Beliau berkata, pihaknya bimbang sogokan ditawarkan kepada perwakilan supaya menyokong penyenaraian Felda Global Ventures (FGV).

Mazlan menggesa Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) supaya memantau keadaan tersebut bagi mengelak percubaan sedemikian. KPF adalah salah sebuah koperasi terbesar di negara ini dengan dana bernilai RM1.46 bilion serta lebih 200,000 ahli.

Mazlan mendakwa, durian runtuh akan dibayar sekiranya FGV disenaraikan, dan ini akan dimumkan bagi menarik sokongan terhadap langkah tersebut apabila EGM itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Bagaimanapun, Mazlan mendakwa, pembayaran itu akan dibuat daripada 6 peratus ekuiti KPF sendiri yang akan akan dibubarkan untuk tujuan tersebut.

Oleh itu, katanya, pembayaran itu bukanlah durian runtuh, tetapi wang mereka sendiri.

Menurut Mazlan lagi, pihaknya bimbang wang peneroka sendiri yang akan digunakan untuk memperdayakan mereka supaya bersetuju dengan penyenaraian FGV.Mazlan memberitahu pemberita demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada ANGKASA di Kelana Jaya hari ini.


Sementara itu NGO perkasa yang menyokong penyenaraian KPF telah menubuhkan jawatankuasa penyelaras


PERKASA tubuh j/kuasa penyelaras Felda

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyelaras Perkasa Felda Malaysia (Perkasa Felda).

Menurut presidennya, Datuk Ibrahim Ali, jawatankuasa tersebut akan diterajui oleh warga Felda sendiri - Abd Razak Abd Rahim.

Felda kini mendapat perhatian umum ekoran rancangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di pasaran utama Bursa Malaysia menjelang April tahun ini.

Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dianggotai oleh peneroka Felda dan kini mempunyai kepentingan terbesar dalam Felda, akan mendapat manfaat besar menerusi penyenaraian tersebut.

Pada 23 Disember lalu, empat ahli KPF memfailkan saman pemula terhadap KPF dan FGVH di Mahkamah Tinggi Temerloh bagi memohon injunksi mahkamah untuk menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF diadakan pada 5 Januari.

Bagaimanapun, pada 4 Januari lalu, mereka menarik balik saman pemula bagi menghalang mesyuarat tersebut, mereka dimaklumkan bahawa mesyuarat itu telah dibatalkan.

11 Januari 2012

JOHOR : ABDUL GHANI TAK SENANG DUDUK!!!

Pengundi Cina Johor sedia ubah sokongan kepada Pakatan pada PRU-13


JOHOR BARU — Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman telah mula turun padang sejak Oktober lalu, menghabiskan sekurang-kurangnya empat hari seminggu dilihat sebagai persiapan awal Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang berdepan prospek kehilangan lebih banyak undi kaum Cina.

Lebih mengagumkan beliau memulakan jelajah dengan berkunjung ke Gelang Patah, Tebrau, Kulai, Pulai dan Muar (dua kali), semua kawasan itu mempunyai sekurang-kurangnya 40 peratus pengundi Cina, dilihat persediaan awal agar tidak menerima nasib sama seperti di Pulau Pinang dan Perak pada pilihan raya umum 2008.

Selain menemui pengundi dan penyokong parti, Abdul Ghani menghabiskan masa beberapa jam setiap hari mendengar taklimat daripada jentera BN tentang sentimen pengundi, tahap sokongan di setiap kawasan pinggir bandar.

“Beliau telah turun padang di semua kerusi yang pembangkang fikir boleh menang,” kata pegawai tertinggi pentadbiran Abdul Ghani kepada The Malaysian Insider.

Menurut kajian yang dibuat oleh Zentrum Future Studies, Abdul Ghani mempunyai alasan untuk berasa bimbang.

Gelombang kebangkitan telah menawan sebahagian Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum 2008, yang mana Pakatan Rakyat gagal memecahkan benteng kuat Umno dengan memenangi satu kerusi Parlimen (dari 26 kerusi) dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 56 kerusi yang ditawarkan.

Tetapi Profesor Abu Hassan Hasbullah, yang menjalankan pusat kajian Universiti Malaya memberitahu kaji selidik pada hujung tahun lalu menunjukkan pengundi Cina-Johor kemungkinan akan memecahkan tradisi dengan menyokong Pakatan Rakyat.

Pemimpin pembangkang menganggarkan mereka memenangi 55 peratus pengundi Cina pada pilihan raya umum lalu tetapi Abu Hassan berkata sokongan daripada kaum itu telah meningkat hampir 90 peratus.

“Kami lihat tentang apa yang boleh digelar revolusi senyap Tionghua,” katanya kepada The Malaysian Insider menambah sokongan pengundi Cina di Johor meningkat kepada 68 peratus selepas pilihan raya umum 2008 dan terus meningkat kepada 79 peratus pada 2010.

Menurut Abu Hassan, sokongan orang Melayu terhadap pembangkang tidak berubah sejak pilihan raya umum 2008 dan ia kekal di antara 25 hingga 30 peratus, Pakatan Rakyat meletakkan sasaran 15 kerusi Parlimen dan 30 kerusi negeri.

PKR telah mengadakan kongres nasional di Johor pada akhir November, mendakwa bersedia mengambil alih pentadbiran negeri.

Penganalisis berkata perubahan aliran sokongan di kubu kuat BN secara praktikal bermaksud Pakatan Rakyat hanya memerlukan 30 Ahli Parlimen untuk menawan Putrajaya.

Bagaimanapun rakan gabungan telah memberi amaran bahawa peluang di Johor akan mengakibatkan serangan-serangan Umno yang menuduh “kerajaan Cina”.

“Ia jelas bahawa jika kita menang ia datangnya dari sokongan pengundi Cina. Selepas tuduhan-tuduhan di Pulau Pinang dan Perak, mudah bagi Umno menyerang kita dengan bertanyakan siapa akan menjadi MB,” kata Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Sungai Abong dari PAS, Dr Sheikh Ibrahim Salleh.

Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau juga bersetuju dengan ahli jawatankuasa PAS negeri bahawa yang lebih penting adalah menumpukan perhatian untuk menambah sokongan pengundi.

“Kita perlu pastikan tidak terjatuh ke dalam perangkap dan mengelak soalan tentang MB dan pembentukan kerajaan negeri. Strategi kita adalah untuk tidak mengejutkan pengundi tetapi memberitahu mereka kita perlu menafikan dua pertiga BN,” kata Adun Skudai menambah Pakatan Rakyat berada di kedudukan terbaik untuk menambah tujuh ahli Parlimen dari negeri itu.

“Kemudian jika kita membentuk kerajaan, kita akan pastikan orang Melayu MB dan rakyat akan terima keputusan pilihan raya.”

PKR pula menolak untuk menjawab soalamn tentang calon MB tetapi ketua cabang memberitahu The Malaysian Insider “kita tiada sesiapa sejak Abdul Razak Ahmad”, merujuk kepada bekas pengerusi negeri itu yang meninggal dunia pada 2007.

The Malaysian Insider difahamkan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang merupakan anak kelahiran Pontian terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Kubang Kerian dan kembali bertanding di Johor.

Sembrong, kerusi Parlimen mempunyai kira-kira 40 peratus pengundi Cina berdekatan Kluang, dikatakan menjadi pilihan terbaik meletakkan Salahuddin bertanding.

Khabar angin yang tersebar mengatakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan bertanding di Kota Tinggi, kerusi yang dilihat selamat yang mungkin akan dikosongkan Tan Sri Syed Hamid Albar yang telah digugurkan dari Kabinet oleh Datuk Seri Najib Razak apabila mengambil alih kuasa pentadbiran pada 2009.

-Themalaysianinsider

KABINET THAILAND: BAYAR RM200 JUTA KEPADA MANGSA POLITIK

Kabinet telah meluluskan 2 bilion baht pampasan kepada mangsa-mangsa keganasan politik yang berlaku di antara tahun 2005 dan rusuhan di Bangkok pada tahun 2010.

Jurucakap Kerajaan Thitima Chaisaeng berkata skim ini adalah selaras dengan cadangan dari kebenaran untuk Penyesuaian Suruhanjaya Thailand sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan perdamaian nasional.

Di bawah pakej, keluarga setiap mangsa dibunuh akan berhak mendapat 4.5 juta baht. Pembayaran akan dibuat kepada mereka yang terjejas oleh peristiwa-peristiwa yang membawa kepada rampasan kuasa 2006 sehingga 2010 rusuhan di Bangkok. Mereka termasuk penunjuk perasaan, pegawai kerajaan negeri, wartawan dan orang perseorangan, Cik Thitima berkata.

Keluarga-keluarga mangsa yang terbunuh juga akan diberi 250,000 baht untuk membayar perbelanjaan pengebumian. Mereka akan dibayar tambahan 3 juta baht bagi trauma psikologi.

Payao Akkhahad, ibu Kamolkade jururawat berusia 25 tahun, yang ditembak mati di Wat Pathum Wanaram semasa tindakan keras ketenteraan pada 19 Mei, 2010, berkata dia tidak mengambil berat tentang wang dan tidak merasa gembira dengan berita itu."Kehilangan anak tercinta saya tidak boleh membandingkan dengan wang itu. Kehidupan anak perempuan saya adalah lebih besar daripada itu, walaupun ia adalah wang yang banyak," kata Puan Payao.

Dikatakan dia tidak fikir keputusan kerajaan untuk membayar pampasan kepada keluarga mereka yang terbunuh dalam protes politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini akan membawa kepada perdamaian, selagi kerajaan masih tidak dapat membawa orang-orang yang membunuh orang yang menyayangi mereka ke muka pengadilan.

"Matlamat saya adalah untuk membawa ke muka pengadilan orang-orang yang menembak anak perempuan saya mati, saya akan terus berjuang hingga ke akhir hayat saya," katanya.

Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan semalam untuk bekerja butir-butir bayaran.

Mangsa yang mengalami kerugian bahagian badan yang penting masing-masing akan berhak kepada 3.6 juta baht di pampasan.

Mereka yang kehilangan bahagian-bahagian badan yang kurang ketara akan dibayar 1.8 juta baht setiap satu.

Mangsa yang cedera parah tetapi tidak kehilangan bahagian badan adalah berhak kepada 1,12 juta baht sebagai ganti rugi. Mereka yang mempunyai kecederaan sederhana dan kecil masing-masing akan dibayar 675,000 baht dan 225,000 baht masing-masing.

Keluarga setiap mangsa yang cedera dan kemudiannya meninggal dunia ketika menjalani rawatan perubatan akan diberi tambahan 200,000 baht untuk menampung perbelanjaan perubatan mereka.

Mereka yang cedera dan memerlukan rawatan perubatan yang biasa untuk kehilangan bahagian badan penting akan diberikan 200,000 baht untuk membayar perbelanjaan perubatan setiap tahun.

Perbelanjaan perubatan bagi mangsa-mangsa yang cedera yang kehilangan bahagian-bahagian badan yang kurang ketara akan berjumlah 100,000 baht termasuk perlindungan perubatan tahunan sebanyak 50,000 baht untuk rawatan yang berterusan.

Lain-lain yang berhak kepada bayaran termasuk mangsa yang dipenjarakan tetapi kemudiannya dibebaskan daripada sebarang salah laku, dan mangsa-mangsa yang salah dipenjarakan.

Bangkok Post

TANGKAPAN BERSIH 1.0 : MAHKAMAH TOLAK RAYUAN PEGUAM NEGARA


KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan daripada Peguam Negara yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Mei 2009 yang melepaskan dan membebaskan 10 orang termasuk beberapa pimpinan PAS daripada pertuduhan terlibat dengan perhimpunan Bersih pada 11 Disember 2007 lalu.

Keputusan tersebut dibaca oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Yeok Geam.

Mahkamah Sesyen pada 4 Mei 2009 telah melepaskan dan membebaskan 10 orang tersebut di mana pihak pendakwa menurut mahkamah gagal membuktikan wujudnya perhimpunan haram pada hari tersebut yang menyalahi Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967.

Antara mereka yang ditahan kerana dituduh menyertai perhimpunan itu ialah Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Nasrudin Hassan dan Ustazah Nuridah Salleh, dan Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim.

Manakala lima lagi adalah Badilah Muda, Hashim Awang, Azira Arifin, Mohd Sabri Syafie dan Ang Hok Gan.

Mereka pada jam 11.30 pagi, 11 Disember 2007, telah hadir ke bangunan parlimen bagi menghantar satu memorandum, mendesak kerajaan supaya tidak melanjutkan khidmat Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada waktu itu.

Semua tertuduh diwakili oleh barisan Peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diketuai oleh Ketua Unit Tindakan Kes-kes Jenayah Juham, Ariff Azami dan dibantu oleh Radzlan Jalal, Azizul Shariman, Dr Zulqarnain Luqman, Noorazmir Zakaria dan Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Menurut Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, keputusan itu membuktikan bahawa pertuduhan dan pendakwaan tersebut jelas bermotifkan politik di mana mereka yang dituduh hanya melaksanakan hak kebebasan bersuara seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Parti KITA Cawangan Melaka Bubar, Ahli Masuk Keadilan


MELAKA -- Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) cawangan Melaka pada Rabu dibubarkan apabila 60 ahlinya keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Borang keahlian kesemua mereka diserahkan oleh bekas pengerusi cawangan tersebut Kol (B) Hashim Puteh kepada Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan.

Hashim memberitahu pemberita pihaknya tidak lagi yakin dengan pucuk pimpinan KITA, Datuk Zaid Ibrahim yang dilihat tidak konsisten dalam perjuangannya.

"Ahli akar umbi mula keliru dengan perjuangan Datuk Zaid yang ada kalanya menyebelahi Umno dan Barisan Nasional, kadang-kadang mirip Pakatan Rakyat. Jadi kita merasakan sebenarnya beliau (Zaid) berpolitik untuk diri sendiri," katanya.

Beliau berkata kepimpinan KITA di peringkat pusat juga tidak mempunyai gerak kerja serta program untuk dijalankan bagi mengatasi isu rakyat yang menjadi teras kepada perjuangan parti itu.

Katanya kepimpinan pusat juga tidak mengendahkan cawangan itu sehingga beliau sendiri tidak mengetahui sama ada cawangan berkenaan telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau masih di peringkat jawatankuasa penaja.

Bekas Setiausaha Agung KITA, Abdul Latif A. Tambi berkata beliau yakin cawangan lain akan mengikut jejak langkah cawangan Melaka.

"Daripada enam cawangan parti ini di seluruh negara, hanya cawangan Kedah yang aktif manakala cawangan lain iaitu Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Selangor dan Kelantan tidak ada program," katanya.

-- BERNAMA

KOMEN : JANGAN JADI IBRAHIM ALI....SUDAHLAH LOMPAT RATA...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...