27 Ogos 2009

RM112 JUTA LEBUR SEBULAN KERANA KRONI

Oleh FAZALLAH PIT

SETIAP bulan selama 40 tahun, sebanyak RM112 juta wang rakyat yang dilabur dalam pelbagai dana kerajaan termasuk saham amanah, lebur begitu sahaja tanpa diketahui ke mana hilangnya, ke saku siapa?

Ia berikutan hanya RM2 bilion daripada RM56 bilion peruntukan dana pemilikan Bumiputera, masih berbaki manakala bagi kerugian RM54 bilion, tiada pihak memberi penjelasan penuh.

Situasi itu sedang berlaku dan bakal berulang selagi tiada pembetulan ekonomi dibuat atau sekurang-kurangnya penilaian ekonomi 50 tahun negara secara menyeluruh dilakukan, dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, kehilangan jutaan ringgit setiap bulan itu didorong faktor ilusi ekonomi yang diwujudkan pemerintah bagi menutup kepincangan perbelanjaan.

"Kehilangan wang rakyat akan terus berlaku selagi faktor kesilapan ekonomi, tidak diperbetul segera. Ia akan berulang," katanya kepada Suara Keadilan ketika diminta mengulas kehilangan jutaan ringgit dan penubuhan Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS).

Pada 30 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan EKUINAS sebagai dana ekuiti swasta yang menumpukan pelaburan dalam sektor berpotensi dan pertumbuhannya tinggi.

Penubuhan EKUINAS dengan peruntukan permulaan RM500 juta dan bakal dipertingkat kepada RM10 bilion, menimbulkan pelbagai persoalan mengenai ketelusan Umno dalam menjamin hak ekuti bumiputera tidak dibolot segelintir kroni Umno.

Ia berikutan, Najib dalam ucapan depan perwakilan Umno Johor mengaku kebanyakan peruntukan diberikan dalam bentuk Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) itu dibolot oleh 'Tan Sri-Tan Sri dan Datuk-datuk'.

Sehingga kini, Najib belum mengumumkan sebarang rancangan untuk mengembalikan pegangan ekuiti bumiputera berjumlah RM54 bilion yang dijual oleh kroni pemimpin kepada pihak ketiga untuk mengaut keuntungan lumayan.

Mengulas lanjut, Azan mencadangkan kerajaan supaya membuat semula pencapaian 50 tahun negara sebagaimana amalan sesetengah negara luar bagi membaiki sesuatu masalah sebelum menjadi lebih kronik.

"Kesan ilusi ekonomi besar. Ia boleh menyebabkan kejatuhan nilai yang situasinya lebih buruk dari mengalami masalah inflasi," katanya, menambah ilusi ekonomi terbaru kerajaan Umno-BN ialah EKUINAS.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff pula menganggap penubuhan EKUINAS sebenarnya cuma bahan promosi 1Malaysia bagi menggembar-gemburkan saham amanah 1Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini.

Beliau menganggap penubuhan EKUINAS itu bertujuan menarik perhatian rakyat terhadap 1Malaysia dan ia tidak membantu, sebaliknya membebankan rakyat kerana peruntukan itu asalnya wang rakyat dari kutipan cukai.

Katanya, kegagalan kerajaan mengurus dana kewangan hingga menyebabkan kerugian RM52 bilion daripada RM54 bilion saham Bumiputera, perlu diperhalusi dan bukannya mencipta satu dana baru yang mungkin mengalami nasib sama.

Yusmadi berkata, EKUINAS pasti menemui kegagalan selagi masalah yang dialami dana lain sebelum ini tidak diatasi, berikutan faktor kecuaian dan penyelewengan dalam pengurusan dan ketiadaan akauntabiliti.

"Kerajaan patut memberi penekanan kepada perbelanjaan berhemah, bukannya membuat pengumuman mengenai dana baru, pakej ransangan baru. Semuanya pasti gagal selagi masalah asas tidak diatasi.

"Janganlah kerana mahu menjayakan 1Malaysia, kerajaan membuat sogokan kewangan kepada rakyat sedangkan ia memang menggunakan duit rakyat," katanya kepada Suara Keadilan apabila diminta mengulas penubuhan EKUINAS.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...