26 November 2010



Kongres PKR bakal jadi medan tempur pembahas, pemimpin parti

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Hari ini bermulalah Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal berlangsung selama tiga hari di Dewan Sivik Majlis bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kongres kali ini yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin parti ini dari seluruh negara ini hampir pasti dihangatkan oleh pembahas-pembahas ekoran beberapa isu panas yang timbul kebelakangan ini.

Antara yang hampir pasti dibangkitkan oleh pembahas, antaranya isu penipuan yang dikatakan banyak berlaku ketika Pemilihan Pimpinan PKR 2010 yang berakhir baru-baru ini.

Kemunculan ‘tangan ghaib’ memberikan arahan kepada ahli parti dan menentukan sesuatu keputusan parti atau Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung pemilihan dijangkakan bakal mendapat kecaman oleh pembahas.

Sebelum ini, tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menawarkan diri untuk turut bertanding dalam persaingan jawatan Timbalan Presiden telah mencetuskan spekulasi kewujudan tangan ghaib.

Terdapat dakwaan sesetengah pihak tindakkan Khalid tersebut hanyalah menurut arahan ‘tangan ghaib’ bertujuan untuk memancing Dato Zaid Ibrahim agar menarik diri dari bertanding jawatan yang sama.

Spekulasi tersebut tercetus apabila sebelumnya Zaid mengeluarkan kenyataan kesediaan beliau untuk menarik diri sekirannya Khalid turut bertanding bagi jawatan nombor dua parti itu.

Wanita1Spekulasi tersebut semakin dikuatkan lagi apabila Khalid yang menawarkan diri sebelumnya tidak kelihatan pada hari penerimaan pencalonan untuk menyatakan kesediaan beliau bertanding.

Spekulasi tangan ghaib dalam PKR terus hangat diperkatakan apabila Anwar dikatakan telah menghubungi beberapa ketua cabang bagi memberikan arahan agar menyokong calon tertentu dan hingga kini masih tiada penafian dibuat.

Penipuan secara terbuka atau yang disebut oleh ahli akar umbi parti itu sebagai ‘agenda membodohkan ahli’ oleh beberapa pihak yang terlibat dalam pemilihan dijangkan turut dibangkitkan.

Istilah ‘agenda membodohkan ahli’ mula timbul dikalangan ahli akar umbi apabila penyelewengan dilakukan secara terang-terangan dengan penafian dan alasan-alasan yang ganjil baik diperingkat cabang mahupun peringkat pusat.

Bagi perwakilan yang lebih memilih haluan kanan pula dijangka bakal mengikut rentak pemimpin-pemimpin tertinggi parti dalam perbahasan nanti.

Antara isu yang bakal disentuh oleh kelompok ini ialah agenda merapatkan saf dan tidak kurang juga isu ‘kuda trojan’ atau apa yang disebutkan sebagai pengkhianat dalam parti.

Bagi kelompok ini, fenomena kritikan atau teguran oleh ahli parti sendiri dianggap sebagai tindakan yang mampu melemahkan parti dan wajar dianggap sebagai perbuatan khianat.

Bagaimanapun, sesetengah dari kelompok ini bakal dilabelkan sebagai ‘Mr Yes Man’ oleh kelompok yang lebih berani mengkritik kepimpinan parti.

Selain itu, keperluan mewujudkan jawatan penasihat parti kedua yang tiada dalam perlembagaan parti kemungkinan turut dibahaskan oleh perwakilan.

Senator Dr Syed Husin Ali yang melepaskan jawatan Timbalan Presiden sebelum ini dikatakan akan diangkat sebagai penasihat parti itu, bersama Anwar, jawatan yang pernah menjadi pertikaian sebelum ini.

21 November 2010

KENYATAAN PENUH ZAID IBRAHIM


Zaid pertikai prestasi Anwar ketika menjawat TPM



Zaid Ibrahim mengumumkan keputusannya untuk keluar dari PKR, tetapi hanya berkuatkuasa pada 16 Disember 2010. Beliau akan terus berkecimpung dalam politik biarpun keluar dari PKR, malah akan menubuhkan parti baru yang "mesra kepada semua parti" (friendly to all parties) seandainya memiliki sumber dan sokongan yang mencukupi.

Zaid Ibrahim (gambar kanan) selaku calon Timbalan Presiden PKR menarik diri dari pemilihan parti pada 8 November, sambil meletak jawatan selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan jawatan parti yang lain. Bagaimanapun, ia bukan tanda noktah kerjaya politik Zaid, sebaliknya beliau akan turun bertanding dalam PRU ke-13.

Bekas menteri kabinet ini menafikan bahawa parti baru yang bakal ditubuhkan itu bernama "Parti Keadilan Baru", dan beliau masih tidak pasti kawasan pengundian mana yang bakal ditandingnya. Dalam sidang media yang mengambil masa kira-kira 45 minit ini, Zaid Ibrahim tidak melepaskan peluang untuk menyindir Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan dari media.

Sasarkan Anwar Ibrahim

Zaid Ibrahim dilantik Perdana Menteri kelima, Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2008. Beliau berkhidmat hanya untuk 5 bulan 27 hari, sebelum meletak jawatan pada September 2008 sebagai bantahan terhadap penangkapan tiga orang awam menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau mendakwa dirinya melakukan sedaya upaya untuk membawa perubahan dalam sistem kehakiman, malah berjaya mendapatkan bayaran pampasan (ex-gratia) untuk bekas Ketua Hakim Negara Salleh Abbas yang dipecat pada tahun 1988.

"Saya berjaya dapatkan Pak Lah, dan Pak Lah sangat membantu dalam hal perlantikan kehakiman ini, dengan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman," kata Zaid.

Zaid sebaliknya mempersoalkan apa pula yang dilakukan Anwar Ibrahim ketika beliau menyandang jawatan Timbalan Presiden? "Apa yang diperjuangkan oleh Anwar Ibrahim? Jikalau anda melihat rekodnya, apa yang membantunya ialah 'mata lebam'. Beliau disabitkan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa semasa menjadi menteri. Anda perlu melihat pengalamannya yang lalu, jangan terbawa-bawa..."

Beliau mengakui bahawa Anwar seorang pemidato yang baik, dan boleh memetik ayat-ayat klasik - satu kemampuan yang tidak dimiliki dirinya. Zaid berkata dirinya hanya bercakap mengikut naluri hatinya, dan negara memerlukan pemimpin sebegini.

Ketika ditanya sama ada keputusannya untuk keluar parti bakal memberi kesan kepada pembangkang, beliau menyindir dirinya bahawa beliau bukan pemimpin alaf ke-21 seperti Anwar Ibrahim, sebaliknya hanya pemimpin biasa. Beliau sebaliknya meminta media untuk bertanya kepada PAS dan DAP sama ada tindakannya memberi kesan.

Zaid Ibrahim juga menyanggah tuduhan "armchair critic" bahawa dirinya seorang yang mudah mengalah, sambil mendakwa diri sebagai resilient fighter. Sepanjang 34 tahun beliau berada dalam UMNO, beliau kalah untuk beberapa kali, digantung keahlian malah disingkirkan dari senarai calon PRU, katanya. Namun, beliau tidak pernah keluar parti, sehingga dipecat UMNO.

Beliau berkata ini kali pertama dalam hidupnya untuk memilih keluar parti kerana tidak yakin terhadap pimpinan PKR, dan mereka juga tidak berkeyakinan terhadap dirinya.

Yang berikut adalah kenyataan penuh Zaid Ibrahim:

Dengan ini, saya mengumumkan penarikan diri sebagai ahli daripada Parti Keadilan Rakyat. Sekretariat ibu pejabat PKR sudah pun dimaklumkan melalui surat rasmi yang berkuatkuasa pada 16 Disember 2010. Mengapa 16 Disember? Kalau Anwar gemar 16 September, maka saya pula suka 16 Disember.

Ini berikutan episod pemilihan parti di mana saya telah dituduh dan difitnah oleh pemimpin-pemimpin kanan parti: Saifudin Nasution menuduh saya berniat jahat, kononnya saya telah merancang untuk menubuhkan parti baru sebelum pun saya masuk bertanding; Syed Husin dan Azmin pun sama bercakap tentang niat jahat saya untuk menggugat kepimpinan parti semasa saya mula-mula masuk parti lagi.

Sumbangan saya kepada parti selama ini pun dikatakan kecil sahaja. Mereka juga berkata bahawa saya ini pemalas, tidak setia dan tidak memahami maksud perjuangan parti. Anwar Ibrahim sendiri telah menggelar saya sebagai "Trojan Horse" dan "Sore Loser". Fitnah, putar-belit dan cerita-cerita rekaan ini telah memaksa saya untuk keluar dari parti ini. Saya tidak rela bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin yang gemar menghina orang lain seperti yang telah mereka lakukan terhadap diri saya.

Saya amat menghargai sokongan kuat yang telah diberikan oleh kawan-kawan dan ahli-ahli parti kepada saya selama ini. Saya mungkin telah melakukan kesilapan semasa saya berada dalam parti tetapi saya tidak sekali-kali melakukannya di atas niat jahat untuk melemahkan parti atau untuk menjatuhkan sesiapa pun. Saya memasuki parti ini dan terus menjadi ahli seumur hidupnya bersama-sama dengan anak-anak saya kerana saya mahu parti ini menjadi wadah perjuangan reformasi dan keadilan yang tulen, jauh sekali untuk menghancurkannya dari dalam. Saya juga merasa yakin bahawa banyak pihak lain yang turut berkongsi kepercayaan dengan saya bahawa mana-mana perjuangan yang didasarkan di atas hasrat untuk menyelamatkan karenah peribadi pemimpinnya semata-mata adalah satu perjuangan yang palsu.

Sewaktu saya meletakkan jawatan sebagai Menteri dahulu, saya mahu menegakkan satu prinsip penting iaitu bahawa mana-mana menteri yang tidak boleh menerima keputusan Jemaah Menteri dan Kerajaan mestilah meletakkan jawatannya, iaitu prinsip "Collective Responsibility". Pada masa itu, saya tidak boleh menerima keputusan Jemaah Menteri dan Kerajaan untuk menggunakan ISA terhadap tiga orang awam. Kali ini pula, saya berhenti kerana adalah amat wajar untuk saya berbuat begitu apabila saya tidak lagi dipercayai oleh pemimpin-pemimpin atasan yang menganggap saya sebagai pengkhianat. Saya bukan penakut dan saya juga bukan kaki merajuk. Saya akan terus bersama dengan kawan-kawan dalam arena politik bagi memperjuangkan politik yang sihat dan bertanggungjawab demi membela hak rakyat.

Saya meletakkan kepercayaan saya kepada kebijaksanaan masyarakat untuk memahami bahawa kita mestilah sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dasar yang ikhlas walau dalam situasi apa sekalipun kerana itulah sahaja yang akan menentukan erti perjuangan sebenar. Ramai peminat Anwar Ibrahim telah memberi amaran kepada saya bahawa karier politik saya akan hancur selepas ini. Kepada mereka, saya ingin menegaskan bahawa karier politik saya adalah satu perkara yang kecil sahaja; yang besar dan penting kepada kita semua ialah politik kotor dan penipuan mesti kita tentang walau dari pihak mana sekalipun ia datang; ia tidak boleh sama sekali dibenarkan untuk bertapak di bumi bertuah ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...