09 Mei 2015

BERITA GEMPAR DARI KEM UMNO P.PINANG BERKENAAN GST & 1MDB....



PEMUDA UMNO PULAU PINANG AKUI ANAK-ANAK MUDA TOLAK CALON BN SECARA TOTAL DI PERMATANG PAUH

Keputusan PRK Permatang Pauh pada 7hb Mei 2015 telah menyaksikan pengundi muda telah menolak secara 'total' calon Barisan Nasional. Selepas pelbagai program sukan, santai dan keagamaan yang di rancang khusus mengikut acuan orang muda, undi mereka tetap tidak bersama kita. Secara umum, isu Nasional merupakan punca utama BN tumbang di Permatang Pauh. BN tewas bukan kerana mereka kebal tapi kita memberi peluru untuk mereka menyerang kita. Secara khusus nya, antara isu yang masih membelenggu mereka ialah :

1. 1MDB - walaupun berulang kali di beri penjelasan oleh pelbagai pihak termasuk YAB Perdana Menteri , rakyat masih melihat ianya bukan sebagai jawapan tetapi lebih kepada memberi alasan. Auditan oleh Jabatan Audit Negara masih belum sampai ke pengetahuan rakyat. Tidak ada kah satu keperluan untuk menetapkan satu tempoh yang khusus kepada Jabatan Audit Negara agar mereka membentang hasil Auditan kepada rakyat?

2. GST - Kenyataan dari masa ke semasa oleh Timbalan Menteri Kewangan, YB Dato Ahmad Maslan juga sering di persendakan oleh rakyat. Keputusan 'Top up' yang sering 'U-Turn' amat memalukan seolah-olah Kerajaan Pusat tidak mempunyai 'Bargaining Power' berdepan dengan Syarikat Telekomunikasi.
Pemuda UMNO Negeri bersetuju bahawa GST merupakan satu sistem percukaian yang baik, teratur dan telah di kaji dalam tempoh yang agak lama sebelum di implementasikan pada 1hb April yang lalu. Rakyat keliru dan gelisah apabila di khabarkan bahawa mereka tidak akan dibebani dengan kenaikan kos saraan hidup dengan perlaksaan GST ini tetapi pada hakikatnya harga barang dan perkhidmatan secara keseluruhannya naik tanpa sebarang kawalan. Kita boleh menyalahkan peniaga yang tamak haloba menaikkan harga barang sesuka hati tetapi dimanakah tindakan penguatkuasaan serta pemantauan? Pihak kementerian tidak sewajarnya menunggu aduan daripada pengguna untuk mengambil tindakan, tetapi perlu menambah keanggotaan penguakuasaan untuk mengambil tindakan kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab.

3. Sehari sebelum PRK Permatang Pauh sekali lagi rakyat di kejutkan pula dengan pembelian sebidang tanah oleh TH bernilai RM 188.5 juta di Tun Razak Exchange daripada 1MDB. Kami amat faham bahawa TH perlu membuat perlaburan dalam sektor hartanah bagi membolehkan para pendeposit TH mendapat pulangan dalam bentuk dividen.

 Apa yang menjadi persoalan sekarang adakah pembelian ini adalah satu strategi menyelamatkan 1MDB. Ini adalah kerana tanah ni di jual oleh Kerajaan Pusat kepada 1MDB dengan harga RM 60 sekaki tetapi di jual pula kepada TH dengan harga RM 2860 sekaki. Jawapan segera amat lah di pohon untuk meredakan kemarahan rakyat Malaysia terutamanya pendeposit TH kerana mereka berhak mengetahui bagaiman wang yang mereka depositkan ini di laburkan. Kami berterima kasih kepada pembocor maklumat sulit pembelian tanah ini. Jika bukan dengan tindakan beliau, rakyat tidak akan tahu menahu hal ini.

Akhir sekali kami merayu dan meminta yang Y.A.B Presiden dan Perdana Menteri Malaysia dapat memberi jawapan segera kepada isu yang telah di bangkitkan oleh rakyat. 

Kami tidak mahu BN dan UMNO terus menerus di tolak kerana tindakan dan keputusan oleh pemimpin peringkat Nasional. Pemuda Umno Negeri tetap menyokong dan berdiri teguh di belakang Y.A.B Presiden tetapi Y.A.B Presiden perlu tampil memberi jawapan segera kepada rakyat.

Salam Hormat Daripada Saya

Rafizal Abd Rahim
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Negeri Pulau Pinang

Dato'Tarmizi Mohd Jam II


MAHYIDDIN MULA HENTAM 1MDB PUNCA KEKALAHAN DI PERMATANG PAUH


1MDB bakal beri kesan buruk terhadap Umno, kata Muhyiddin



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu hutang 1MDB merupakan faktor utama kekalahan Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh semalam. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini secara terbuka mengkritik cara kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangani, dengan berkata isu itu sangat serius dan bakal menjadi parah.

Bercakap pada wartawan yang bersamanya dalam rombongan rasmi ke Milan, Itali, timbalan perdana menteri itu berkata isu hutang 1MDB merupakan faktor utama kekalahan Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh semalam.

Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno, berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana menjelaskan perkara tersebut kepada orang ramai ketika berkempen.

"Saya tidak tahu apa nak cakap apa.

"Rakyat mahu tahu, bukan sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad," kata Muhyiddin, merujuk bekas perdana menteri yang sejak kebelakangan ini mengasak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak berkenaan 1MDB.

"Rakyat mahu tahu mengapa tidak ada seorang pun didakwa, mengapa lembaga 1MDB tidak dipecat, dan status CEO serta perdana menteri sebagai penasihat," kata Muhyiddin.

Tambahnya, perkara itu makin melarat dan bakal memberi kesan buruk bukan sahaja ke atas rakyat tetapi juga Umno.

Dr Mahathir, perdana menteri yang paling lama berkhidmat di negara ini, mengkritik 1MDB dan menggesa perdana menteri untuk meletakkan jawatan susulan cabang pelaburan negara itu "kehilangan dana".

Katanya, beliau tidak akan memaafkan Najib berhubung hutang sebanyak RM42 bilion yang ditanggung 1MDB dan menimbulkan kebimbangan ke atas urus niaga 1MDB, termasuk pembelian beberapa aset dan tanah milik kerajaan.

Muhyiddin juga pernah mengulas tentang 1MDB sebelum ini.

Pada 6 Mac lalu, beliau berkata dana awam tidak boleh digunakan untuk menyelamatkan 1MDB, sambil menambah ahli lembaga pengarah syarikat itu juga perlu bertanggungjawab jika terdapat salah laku.

Beliau juga berkata, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara boleh memulakan siasatan mereka sendiri ke atas syarikat pelaburan strategik itu dan mengingatkan pengurusan 1MDB supaya memastikan setiap perancangan yang dicadangkan tidak meletakkan kerajaan dalam "keadaan tidak stabil".

Dalam kontroversi terbaru terhadap 1MDB, Tabung Haji, badan pengelola dana simpanan umat Islam untuk ke tanah suci Mekah, semalam mengesahkan sudah membeli sebidang tanah daripada projek Tun Razak Exchange bernilai RM188.5 juta yang didakwa mendapat "potongan" harga.

Tabung Haji merancang untuk membina sebuah menara kediaman di kawasan berkenaan.

"Pelaburan itu adalah keputusan komersial yang sesuai dengan selera risiko Tabung Haji dan melalui semua proses sewajarnya," kata ketua pegawai eksekutif Tabung Haji Datuk Johan Abdullah dalam satu kenyataan ringkas selepas pendedahan dibuat berhubung pembelian tanah itu oleh sebuah blog yang tidak dikenali. ~Laporan TMI


BERITA BERKAITAN :


Selepas Khairy, naib presiden Umno pula bimbang isu Tabung Haji-1MDB


Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, isu berkaitan 1MDB sudah pun dibangkitkannya sebelum ini kerana menjadi kebimbangan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mei, 2015.Selepas Pemuda Umno mempersoalkan pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Tabung Haji (TH), Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi amaran isu itu boleh mengakibatkan kredibiliti kerajaan dipertikai.

"Isu tentang penglibatan Tabung Haji ini sekiranya tidak ditangani dengan baik, saya khuatir kredibiliti kerajaan akan terus dipertikaikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafie berkata, isu berkaitan 1MDB sudah pun dibangkitkannya sebelum ini kerana menjadi kebimbangan rakyat.

"Sebelum ini, saya sudah menyatakan bahawa perlunya isu 1MDB diberi perhatian serius dengan menjawab segala persoalan berkaitan secara terperinci.

"Isu ini bukan hanya menjadi kebimbangan saya dari awal lagi malahan rakyat secara keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan.

Shafie menggesa tindakan serius diambil supaya rakyat yang merupakan pemilik dana dalam Tabung Haji terus yakin simpanan mereka terjamin.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyatakan kebimbangan berkenaan pembelian sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX) oleh TH daripada 1MDB, dan mengutarakan beberapa soalan kepada Kementerian Kewangan dan TH.

"Pemuda Umno tidak menafikan keperluan TH untuk membuat pelaburan. Pelaburan dalam pasaran modal (pembelian saham) dan sektor hartanah harus dibuat oleh TH bagi menjana pulangan yang dapat diagih kepada para pendeposit TH dalam bentuk dividen.

"Yang menjadi pertikaian dalam pembelian tanah TRX ini adalah cara bagaimana transaksi ini dilaksana," kata Khairy hari ini.

08 Mei 2015

“senjata sudah makan tuan“? Jawatan kosong kerajaan 2015 sudah dibekukan?

Isu Jawatan Kosong Kerajaan 2015 : Bermula 22 April, Tiada Iklan dan Pengambilan Kakitangan Awam Baru Kecuali Jawatan Kritikal! Cuepacs Tak Puas Hati!

Pada ketika Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2015, bekas Pengerusi Bank Dunia dan IMF, CEO Petronas dan bekas Menteri Kewangan Malaysia Tengku Razaleigh Hamzah pernah mengkritik cara bagaimana pengurusan dana negara dilakukan apabila melihatkan belanja pengurusan sahaja lebih 80% berbanding 10 tahun dahulu, bajet pembangunan mampu mencecah 30% setiap kali bajet negara dibentangkan kepada rakyat Malaysia.

80% daripada jumlah Bajet 2015 Malaysia, RM60 bilion telah diperuntukkan kerajaan Malaysia untuk pembayaran gaji, elaun kakitangan awam di Malaysia.


BACA BERITA INI : Hutang Malaysia 100% KDNK Menjelang 2019. Sila Kurangkan Kakitangan Awam!!

Melihatkan sahaja jumlah kakitangan awam di Malaysia sejumlah 1.6 juta kakitangan awam bagi sebuah negara yang jumlah penduduknya hanya 30 juta sahaja, angka tersebut dilihat penganalisis sebagai terlalu besar sekaligus meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai kakitangan awam paling ramai di Malaysia.

Nah….dengan situasi kewangan dan keadaan ekonomi pada masa ini disamping tekanan yang cukup hebat daripada agensi penarafan kredit antarabangsa termasuklah Fitch Ratings, kerajaan tiada pilihan lain selain berjimat cermat dengan cara :

Isu Jawatan Kosong Kerajaan 2015 Kena Beku : Langkah Berjimat Cermat Kerajaan Malaysia.....

 beku pengambilan jawatan kosong kerajaan 2015 yang baru dalam sektor awam
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah pun tampil mengesahkan laporan berita terkini mengenai jawatan kosong kerajaan 2015 yang baru yang telah dibekukan itu berkuatkuasa April 2015.

Sekarang bukan sahaja graduan universiti yang sudah memasang hajat untuk cari jawatan kosong kerajaan 2015 pada ketika ini terkejut dan membantah langkah mengejut kerajaan Malaysia ini malah Cuepacs juga tidak senang duduk tindakan terbaru kerajaan Malaysia ini. 

Malah Cuepacs memberikan amaran yang mana rakyat Malaysia terutamanya yang mengidam kerja kerajaan akan tampil protes dan tarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan Malaysia. Sampi begitu sekali?

P/S : Kepada Cuepacs, sudah elok-elok pencen 55 tahun, anda sendiri yang desak mahu lanjut pencen kepada 60 tahun. Anda sendiri yang tutup peluang graduan dan anak muda masuk kerja kerajaan, sekarang ini anda melenting pula? Nah….sekarang ini “senjata sudah makan tuan“? Jawatan ksoong kerajaan 2015 sudah dibekukan? Apa cadangan dan pilihan anda, Cuepacs?

P/S : Sertai undian Berita Semasa menganai isu jawatan kosong kerajaan 2015 kena beku ini dengan cara (KLIK SINI)

PANAS!! POLIS SIASAT DOKUMEN BOCOR MENGENAI TABUNG HAJI BELI TANAH 1MDB


Polis guna OSA siasat dokumen bocor Tabung Haji beli tanah 1MDB


Polis akan siasat kebocoran dokumen Lembaga Tabung Haji berkaitan pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. 

Polis akan menyiasat kebocoran dokumen Lembaga Tabung Haji (TH) mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA), selepas ia dimuat naik beberapa blog mendedahkan pembelian tanah milik 1Malaysia Devlopment Berhad (1MDB), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Khalid berkata pihaknya akan turut memanggil mereka yang terlibat dengan kes itu, termasuk pegawai tinggi TH, susulan laporan polis petang semalam dibuat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Johan Abdullah.

Katanya, polis juga akan menyiasat kandungan laporan polis dibuat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sama ada ia sama dengan laporan dibuat TH atau tidak.

"Jika perlu, kami akan menyiasat kedua-dua laporan," katanya.

Setiausaha Agung Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam laporannya berkata pembelian tanah daripada 1MDB itu jika benar amat membimbangkan kerana transaksi yang “meragukan” serta boleh merugikan pendeposit.

Petang semalam, Johan membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi terhadap blog The Benchmark, yang mendedahkan dokumen pembelian tanah 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX).

Johan semalam menjelaskan, RM188.5 juta yang dibayar untuk hartanah itu adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia dinilai badan penilai bebas profesional. – 8 Mei, 2015 ~ LAPORAN TMI

07 Mei 2015

TABUNG HAJI MENGAKU BELI HARTATANAH 1MDB


TH mengaku beli hartanah TRX

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengesahkan organisasi itu membeli tanah milik 1Malaysia Development Berhad di Pusat Kewangan Tun Razak Exchange (TRX).

Pada masa yang sama, TH menafikan membeli Signiture Tower (Fasa 2) seperti yang dilaporkan dalam media-media sosial.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pembelian hartanah itu pada harga RM188.5 juta, selepas kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas.

Bagaimanapun, MalaysiaGazette difahamkan nilai itu bagi pembelian tanah seluas 1.6 ekar atau RM2,772 kaki persegi.

Kenyataan itu dibuat tidak sampai 24 jam Datuk Abdul Azeez Rahim menafikan Tabung Haji terlibat dalam pembelian hartanah tersebut.

Semalam dalam laman Twitternya, Pengerusi Tabung Haji itu berkata, spekulasi pembelian hartanah itu sebagai tidak betul dan TH akan mengeluarkan kenyataan secepat mungkin.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah.

Dalam kenyataan dua muka surat itu, Johan berkata, pembelian hartanah itu adalah sejajar dengan strategi hartanahnya yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik.

Tanah yang dicadangkan untuk pembangunan menara kediaman itu akan dibangunkan oleh anak syarikat TH Properties Sdn. Bhd. dan bakal memberi pulangan positif kepada Kumpulan TH pada masa depan.

Semalam, heboh di media-media sosial tertentu TH telah membeli hartanah milik 1MDB itu pada harga hampir RM1 bilion untuk projek pembangunan kediaman.

"Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan itu tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut," tambahnya. - MalaysiaGazette

LAGI HADIAH UNTUK PENYOKONG BN

Kadar tol naik Ogos ini?

Kenaikkan itu antara 50 hingga 100 peratus bergantung kepada kemampuan kerajaan Pusat membayar pampasan atau subsidi kepada syarikat konsesi.



PETALING JAYA: Belumpun hilang kejutan disebabkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April lalu, satu lagi kejutan bakal berlaku apabila dikhabarkan kadar tol pula akan dinaikkan.

Sumber-sumber memberitahu FMT, sebanyak 19 syarikat konsesi lebuh raya akan menaikkan kadar tol pada Ogos ini.

FMT difahamkan, kadar itu melibatkan kenaikkan antara 50 hingga 100 peratus.

Bagaimanapun, kadar kenaikkan itu bergantung sepenuhnya kepada kemampuan kerajaan untuk memberi subsidi kepada syarikat konsesi.

“Kita tunggu pengumuman sepenuhnya, “ kata sumber itu.

Tahun lalu, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM458 juta peruntukkan bagi pembayaran 20 syarikat konsesi sebagai pampasan untuk tidak menaikkan kadar tol.

Bagaimanapun, syarikat konsesi dibenarkan untuk menaikkan kadar pada 2015 mengikut Perjanjian Konsesi.

Kadar kenaikan tol yang dibenarkan adalah pada sekitar 0.50 sen hingga RM2.

Berdasarkan perjanjian konsesi 2015, 20 syarikat konsesi yang dibenarkan menaikkan kadar tol ialah adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Penyurai Trafik Lingkaran Kajang (Silk), dan Storm Water Management and Road Tunnel (Smart), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya).

Turut dibenarkan Lebuhraya Senai Desaru (SDE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas). Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Kenaikkan itu turut melibatkan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara (NNKSB), Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga), dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Selangor (Latar) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA). ~ FMT

06 Mei 2015

GST BUAT SOKONGAN KEPADA BN MERUDUM


BN Hilang Majoriti Di Rompin Kerana GST, Peningkatan Kos Sara Hidup - Dr M



Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup yang meningkat antara faktor Barisan Nasional (BN) hilang majoriti di Rompin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu menafikan dirinya mempengaruhi penurunan majoriti BN dan berkata isu yang saling berkait rapat itu benar-benar membebankan orang ramai.

"Saya bukan faktor.

"Orang-orang di Rompin lebih mengambil berat tentang isu-isu seperti GST dan kos sara hidup.

"Isu-isu seperti 1MDB tidak memberi makna kepada orang kampung, mereka tidak tahu mengenainya. Mereka tidak dapat bayangkan pun berapa banyak RM42 bilion, bagi mereka RM1 juta atau RM1 bilion adalah sama.

"Bagaimanapun, kuasa beli rakyat menjadi lebih rendah hari ini, dan ia ditambah lagi dengan GST, yang mengurangkan pendapatan mereka," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas berucap pada Wacana Perdana Siri ke-19 di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Rabu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan BN mempunyai sesuatu yang boleh dipelajari dari Rompin, terutama mengenai nasib rakyat.

"Meningkatkan gaji minimum untuk menyelesaikan masalah ini mungkin menyebabkan kos sara hidup naik. Kerajaan perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan dan Rompin telah mengajar mereka," katanya.

BN memenangi PRK Rompin pada Selasa, tetapi dengan majoriti berkurangan berbanding pilihan raya umum lepas.

Mengenai peluang BN dalam PRK Pauh, Dr Mahathir berkata, Pakatan Rakyat akan menang dengan majoriti yang lebih sedikit dengan berlaku perbalahan dalaman.

"Saya fikir sukar untuk BN menang, walaupun pembangkang berbalah.

"Pembangkang masih akan menang, tetapi dengan margin yang lebih kecil," katanya.

AJAIB TIADA MASJID ROSAK AKIBAT GEMPA KUAT DI NEPAL



KATHMANDU – Meskipun digegarkan dengan gempa sekuat 7.8 skala Richter pada 25 April lalu, Masjid Jamik Nepal di ibu kota Kathmandu masih berdiri tegak, walaupun banyak bangunan lain runtuh ‘mencium’ bumi.

Malah paling ajaib, tiada dinding yang terkupas atau retak di masjid tersebut manakala kegiatan ekonomi di sekitar kawasan rumah Allah itu masih sibuk dengan kedai-kedai sudah mula dibuka dibanjiri orang ramai.

Seorang anggota jawatankuasa masjid, Mohammad Rizwan berkata: “Kami bersyukur, ini semua kerana kuasa Allah.” Beliau menambah, kali terakhir bangunan masjid itu menjalani kerja ubah suai ialah pada 1995 lalu.



Lebih aneh kira-kira 600 meter dari Masjid Jamik Nepal, berdiri Masjid Khasmiri Taqiya dan bangunan tersebut juga didapati tidak mengalami sebarang kerosakan di sebalik gempa terkuat dalam sejarah Nepal sejak 80 tahun.

Paling pelik, ia berusia lebih 500 tahun, iaitu dibangunkan pada 1524 dan Rizwan menceritakan lagi: “Ada beberapa masjid di sekitar Kathmandu. Sebahagian besarnya berumur lebih 100 tahun tetapi tiada yang rosak.”

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Arkeologi Nepal, Bhesh Narayan Dahal yang dipetik laporan media tempatan, hampir 200 buah tapak warisan di negara itu rosak teruk akibat gempa dan kini meragut lebih 7,000 nyawa.



Ini temasuk Tapak Warisan Dunia UNESCO seperti tiga Durbar Square di Kathmandu, Bhaktapur dan Patan. Di Durbar Square, sebilangan khazanah kuil purba Buddha dan Hindu dilaporkan hancur musnah sama sekali.

Dahal menambah: “Saya boleh mengatakan 90% daripada tapak warisan sejarah rosak. Ada yang sebahagiannya retak, ada runtuh sepenuhnya. Ada yang kami perlu merobohkannya kerana bahaya sudah tidak lagi selamat.”

Selepas Nepal dilanda gempa akhir bulan lalu, anggota jawatankuasa masjid-masjid di sekitar Kathmandu mengadakan mesyuarat tergempar untuk mencari mana-mana warga Muslim tempatan yang terkorban.



Hasilnya ujar Rizwan, agak luar biasa apabila hanya dua yang ditemui maut dan beberapa orang lain disahkan cedera. Sebahagian besar daripada keluarga Muslim di pusat bandar raya Kathmandu juga terselamat.

Kini, Masjid Jami Nepal dijadikan sebagai pusat penghantaran bantuan logistik untuk mangsa gempa bumi dengan kebanyakannya merupakan bantuan makanan seperti beras, air bersih dan makanan segera.

Rizwan memberitahu: “Bantuan kemanusiaan ini diberikan oleh pelbagai lapisan masyarakat Muslim Nepal. Kami kemudian akan mengagih-agihkan penghantaran ke mana-mana penduduk yang lebih memerlukan.”

Dianggarkan terdapat 1.1 juta penganut Islam di Nepal, menjadikannya agama ketiga terbesar selepas Hindu dan Buddha. Angka itu merangkumi kira-kira 10% jumlah keseluruhan penduduk Nepal. – Agensi/H.A.AMREE

05 Mei 2015

TEKANAN RAKYAT, KERAJAAN BUAT U-TURN LAGI ISU TOP-UP???

Sekarang siapa beli top-up telefon kena GST 6% adakah itu hasrat kerajaan yang mengaut RM800 juta setahun.....?

Mengapa sekarang dicadangkan tiada GST pula, adakah ini kerana kemarahan rakyat dari segala golongan , kalau kita dengar sembang kedai kopi golongan muda yang memangkah BN sudah hilang kepercayaan disebabkan GST ini.....


BACA DIBAWAH BERITA TERKINI TENTANG GST DARI KERAJAAN.....

Ahmad Shabery mahu formula 'beli RM10, dapat RM10' untuk kad prabayar



Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau akan berusaha memastikan rakyat dapat menikmati pembelian kad tambah nilai prabayar telefon dengan formula 'beli RM10, dapat RM10'.

Menurutnya, pendiriannya itu akan diketengahkan dalam pertemuannya dengan peneraju syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini sebelum dibawa ke Kabinet untuk keputusan seterusnya.

"Saya bertanya kepada rakyat (pandangan mereka) dan rakyat hendakkan beli (kad prabayar) RM10, bila diaktifkan dapat RM10.

"Sebab itu saya ambil keputusan di sini (mengenai formula itu) oleh kerana ia kehendak rakyat. Saya akan ikut apa rakyat nak," kata Ahmad Shabery dalam program Edisi Khas 'Suara Kita Hak Kita' terbitan RTM yang disiarkan secara langsung di TV1 malam ini.

Ahmad Shabery, yang ditugaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengendalikan isu berkaitan kad tambah nilai prabayar susulan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), mengupas topik '#Topup: Apa Masalahnya?' dalam program yang berlangsung kira-kira sejam itu.

Ahmad Shabery seterusnya mengakui wujud kekeliruan dan percanggahan kenyataan dalam isu itu, oleh yang demikian, beliau memohon maaf.

"Ini sistem baharu, ada teething problems. InsyaAllah kalau salah, kita akui salah. Yang perlu dibaiki, kita baiki," katanya sambil memohon kesabaran rakyat untuknya menyelesaikan masalah yang timbul.

Beliau menjelaskan sehingga perkara itu diputuskan dalam masa terdekat, jualan kad prabayar telefon akan dibuat menggunakan harga sekarang iaitu dengan tambahan enam peratus CBP.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum ini mengarahkan syarikat telekomunikasi agar menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan CBP pada 1 April.

Namun, arahan yang sepatutnya berkuatkuasa 1 Mei itu ditangguh selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membuat kenyataan bahawa agak mustahil perkara itu dilaksanakan kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula pada sistem bagi menyelaraskan harga jualan.

Berhubung formula 'beli RM10, dapat RM10' itu, Ahmad Shabery yang menganggap tugas menyelesaikan isu harga kad prabayar sebagai satu cabaran, mengharapkan kesediaan syarikat telekomunikasi untuk memahami hasrat itu.

Beliau menegaskan bahawa seperti mana kerajaan, syarikat telekomunikasi juga perlu sensitif kepada kemahuan rakyat memandangkan bidang perniagaan yang mereka ceburi sememangnya memerlukan sokongan orang ramai.

Menteri itu menghuraikan apa yang menjadi harapan rakyat iaitu aspek mampu milik (affordability) serta kualiti perkhidmatan dan pengalaman ketika menggunakan perkhidmatan yang disediakan (quality of service and quality of experience).

Pada masa sama, Ahmad Shabery berkata kedua-dua aspek itu hanya akan dapat dipenuhi apabila sektor telekomunikasi mempunyai infrastruktur yang baik, dan ini memerlukan syarikat telekomunikasi yang 'sihat' dalam memenuhi tuntutan itu.

Ini kerana, penyediaan infrastruktur komunikasi termasuk jalur lebar memerlukan pelaburan yang amat besar, katanya.

Ahmad Shabery menegaskan bahawa jalur lebar sepatutnya menjadi hak asasi rakyat dan bukan sekadar satu kemudahan.

Mengimbau pengalamannya ketika berada di beberapa buah kampung di Rompin, Pahang, beliau diberitahu anak-anak muda yang belajar di bandar keberatan untuk pulang kerana tiada kemudahan internet di kampung mereka.


"Insaf saya kerana pada waktu sekarang perkara seperti itu tidak boleh diterima," katanya sambil menambah menjadi tanggungjawabnya memastikan semua rakyat di negara ini dapat menikmati kemudahan jalur lebar.

Beliau turut membayangkan penyediaan pakej-pakej khas perkhidmatan prabayar kepada golongan tertentu seperti pelajar dan mereka yang berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian bahawa ekonomi sektor prabayar adalah besar dengan hasil kira-kira RM15 bilion setahun.
Menurutnya, ia merupakan satu ekosistem yang rumit kerana melibatkan banyak pihak seperti syarikat telekomunikasi, pembekal dan pengedar perkhidmatan, dan sebarang pertukaran sistem akan mengambil masa untuk diselesaikan.

Terdahulu, ditanya perasaannya apabila diminta Najib untuk mengendalikan isu kad prabayar, Ahmad Shabery berkata beliau terkejut ketika dimaklumkan tentang tugas itu.

"Arahan beliau (Najib) tunjukkan beliau mahu seluruh menteri berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi perkara seperti ini," katanya.

Ahmad Shabery berkata, ini menunjukkan bahawa kerajan serius menangani apa juga isu yang mempunyai kepentingan rakyat.

-- BERNAMA

04 Mei 2015

KERANA GST BUAT PEMIMPIN BN BERPERANG SAKAN...


Calon BN berang Hasan Malek buat kenyataan bodoh



ROMPIN: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasan Ariffin berang dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan yang didakwa telah membuat kenyataan bodoh.

Datuk Seri Hasan Malek pada Sabtu dilaporkan berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin pada 5 Mei menjadi penentu sama ada rakyat menerima atau menolak GST.

“Bila dia (Hasan Malek) buat kenyataan itu? Itu kenyataan menteri bodoh,”
katanya kepada FMT selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Dewan Semai Bakti Felda keratong 4 pada Isnin.

Terdahulu pada majlis yang sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan Hasan Malek itu tidak tepat kerana banyak faktor memainkan peranan dalam PRK selain GST.

“Saya tidak mahu ghairah buat tafsiran sebegitu. Itu bukan tafsiran yang tepat.

“Ada faktor lain. Jangan kita terjemah dengan sebegitu. Kalau macam itu jika ditanya PRK Permatang Pauh mungkin jawapan lain,” katanya yang mengakui ramai rakyat tidak setuju dan dan marah dengan pelaksanaan GST.

“Saya fikir saya boleh cakap ramai yang tak bersetuju dan saya faham rasa marah mereka.

“Tetapi jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar dan itu maksud saya tadi,” jelasnya.

Muhyiddin menegaskan, apa yang penting adalah mendapatkan maklum balas daripada rakyat mengenai kesan pelaksanaan GST. ~FMT

BAJET KEMENTERIAN DIPOTONG ADAKAH PERBENDAHARAAN NEGARA KEKERINGAN WANG??


Bajet kementerian dipotong berkait keborosan Najib-Rosmah, kata wartawan veteran


Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin mempersoalkan sekiranya adanya peruntukan kecemasan dalam negara dan jika wang negara sedang dihabiskan dalam majlis mewah oleh Datuk Seri Najib Razak.

Tindakan Putrajaya memotong peruntukan setiap kementerian termasuk RM300 juta bagi Kementerian Kesihatan menimbulkan persoalan sama ada perbendaharaan negara semakin menyusut akibat gaya hidup mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, kata Datuk A Kadir Jasin.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu berkata, kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam mengenai peruntukan kementeriannya yang dipotong “akibat kejatuhan harga minyak di pasaran dunia” dipersoalkan.

Katanya, apabila peruntukan kepada kementerian sosial yang sangat penting seperti Kementerian Kesihatan dipotong, rakyat tidak dapat mengelak daripada berfikir sesuatu yang sangat buruk sedang berlaku kepada negara.


Kadir turut mempersoalkan kenyataan Subramaniam pemotongan itu tidak akan menjejaskan rawatan kesihatan kerana kementerian “akan mengurangkan majlis mewah (lavish functions) dan penyertaan dalam persidangan.

"Majlis mewah? Saya tidak tahu pula kementerian, jabatan dan agensi awam diberi peruntukan untuk 'majlis mewah’.”

"Tetapi saya tahu ada majlis pecah tanah dan letak batu asas yang dihadiri Perdana Menteri (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak dan pembesar atasan menelan belanja hingga RM1 juta atau lebih," tulis Kadir dalam blognya The Scribe A Kadir Jasin hari ini.

Beliau mendakwa, pihaknya difahamkan semua kementerian, jabatan dan agensi dikenakan potongan bagi tahun 2015 yang berjumlah RM2 bilion “bagi membiayai pemulihan banjir” yang berlaku akhir tahun lalu.

Potongan itu juga katanya turut dikenakan terhadap jabatan dan agensi kerajaan, namun mempertikaikan pemborosan dan pengagihan yang meragukan terus berlaku walaupun Perbendaharaan kekurangan wang dan terpaksa terus berhutang dengan menjual bon dan sukuk.

"Apabila hal sebegini berlaku, kita tidak dapat lari daripada bertanya apakah Perbendaharaan kekurangan wang atau lebih teruk, kehabisan wang?

"Apa yang terjadi dengan peruntukan kecemasan (contingency) atau apakah di bawah Mohd Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan peruntukan seperti itu tidak disediakan?

"Atau adakah peruntukan itu sudah habis dibelanjakan untuk tujuan-tujuan lain seperti memberi pinjaman kecemasan RM950 juta kepada 1MDB Mac lalu?" katanya.

Beliau juga mendakwa, pihaknya difahamkan daripada sumber Umno, majlis solidariti dengan Najib akan diadakan pada 11 Mei ini dan peruntukan khas sebanyak RM500,000 seorang akan diberikan kepada kira-kira 60 orang Ketua Bahagian Umno yang bukan wakil rakyat.

Katanya, Umno perlu menjelaskan pastikan sama ada peruntukan itu daripada sumber kerajaan, parti atau tajaan pihak-pihak tertentu.

"Kalau ia daripada Perbendaharaan, kita perlu pastikan sama ada peraturan kewangan kerajaan membenarkan duit negara diberikan kepada atau disalurkan melalui Ketua Umno Bahagian," katanya.

Katanya, spekulasi mengenai wang negara yang semakin menyusut itu tidak memeranjatkan kerana satu dunia tahu betapa boros dan mewahnya gaya hidup Najib dan keluarganya walaupun Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, terkenal sebagai seorang yang jimat dan enggan menggunakan duit negara untuk keselesaan keluarganya.

Katanya, Najib bukan saja boros membelanjakan wang negara seperti membeli-sewa jet eksekutif Airbus A319 dan bermain golf di Hawaii dengan jet negara, tetapi tidak keberatan menerima tajaan daripada pihak lain.

"Tidak cukup dengan duit negara dan duit yang kononnya berpunca daripada harta pusaka keturunannya, beliau juga nampaknya tidak segan silu menerima tajaan daripada besan Kazakhstannya untuk mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran anak perempuannya di Putrajaya, Kuala Lumpur, Pekan dan Astana, ibu negara Kazakhstan.

"Dalam hal kekayaan dan gaya hidup Mohd Najib, jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberitahu akhbar New York Times beliau menerima pusaka daripada keturunannya.

"Tetapi ini dinafikan oleh adik-beradiknya yang berkata bapa mereka bukan orang kaya dan kenyataan PMO itu mencaci memori ayahanda mereka," katanya.

Kadir turut mempersoalkan tindakan Najib menerima tajaan daripada pihak luar untuk mengadakan majlis mewah yang undangannya dikeluarkan oleh beliau sendiri, termasuk memberikan berpuluh-puluh jam tangan mewah sebagai cenderahati.

Beliau bimbang jika Najib berasa terhutang budi dan boleh menjadi mangsa peras ugut oleh pihak yang menaja perbelanjaan perkahwinan anaknya.

"Tidakkah ini membuatkan Perdana Menteri kita terhutang budi dan boleh menjadi mangsa peras ugut oleh pihak-pihak yang menaja perbelanjaan beliau, misalnya membeli berpuluh-puluh buah jam tangan mewah untuk dijadikan hadiah?" katanya.

Mengenai isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Kadir mendakwa maklumat daripada sumber yang berwibawa mengatakan mereka melihat dan meneliti “akaun” 1MBD dan sedang mengambil tindakan menghalang isu berkaitan syarikat milik Kementerian Kewangan itu daripada mengancam ekonomi negara dan kredibiliti Umno.

Katanya, sumber itu mendakwa Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dalam blongnya yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa lambat menyoal siasat ahli perniagaan misteri, Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low, adalah sebahagian daripada gerakan menyelamatkan Umno dan kerajaan.

Katanya, Jho Low didakwa sangat akrab dengan Najib dan Rosmah, dan terbabit dengan 1MDB sejak syarikat pelaburan strategik itu masih dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA).

Ini terbukti apabila dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat 16 Mac lalu, Najib mempertahankan Jho Low dengan mengatakan usahawan kelahiran Pulau Pinang itu tidak terbabit dengan 1MDB.

"Saya fahami mesej sumber Umno itu sebagai menegaskan kesinambungan Umno adalah lebih penting daripada kelangsungan (survival) mana-mana individu," katanya.

- DIPETIK: dari Themalaysianinsider.com

03 Mei 2015

WALAUPUN TEWAS PACQUIAO SAPU RM432 JUTA SATU PERLAWANAN


Floyd Mayweather Kekalkan Rekod Tanpa Kalah, Tumpaskan Manny Pacquiao




LAS VEGAS: Floyd Mayweather berjaya mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam dunia tinju selepas menumpaskan Manny Pacquiao dalam pertarungan terbesar abad ini untuk membawa pulang AS$180 juta (RM646 juta) serta bengkung kejuaraan yang memiliki 3,000 butir zamrud.

Kemenangan ahli sukan terkaya di dunia itu di Arena Grand Garden MGM di sini pada Ahad, turut disaksikan oleh selebriti, ahli sukan, jutawan dunia selain jutaan penonton siaran berbayar.

Mayweather diangkat sebagai pemenang selepas mengharungi 12 pusingan.



Meskipun tewas dalam perlawanan welterweigh yang diatur sejak lima tahun lalu itu, namun Pacquiao atau Pacman dari Filipina tetap meraih wang perkongsian perlawanan sebanyak AS$120 juta (RM431 juta).

Mayweather dari Amerika Syarikat pernah menewaskan Oscar De La Hoya pada 2007 dan seterusnya Canelo Alvarez untuk menjana rekod pendapatan sebanyak AS$152 juta (RM545.27 juta).


Dengan kemenangan itu juga, peninju yang memiliki 16 buah kereta mewah, pelbagai jenis berlian, serta pesawat peribadi tampil sebagai ahli sukan terkaya dan peninju digeruni.

Dengan kemenangan yang dicapai, Mayweather mampu mengenakan bayaran lebih tinggi untuk perlawanan seterusnya selepas ini.

Pacquiao Tewas, Rakyat Filipina Kecewa, Sedih

DIANGGARKAN PENINJU TERSEBUT MENERIMA HABUAN AS$120 JUTA ( RM432 JUTA)



MANILA: Kesedihan dan kekecewaan menyelubungi rakyat Filipina pada Ahad selepas peninju negara itu, Manny Pacquiao tewas kepada Floyd Mayweather dari Ameriksa Syarikat dalam perlawanan tinju yang menjadi tumpuan dunia di Las Vegas.

Tempat-tempat awam dan persendirian seperti gimnasium, restoran, padang yang dipasang skrin dan dewan yang sesak dengan orang ramai bagaimanapun lengang selepas sebaik sahaja Mayweather diumum memenangi perlawanan bernilai AS$300 juta itu.



Jurucakap Presiden Benigno Aquino III, Herminio Coloma berkata, meskipun Pacquiao atau digelar Pacman tewas, namun negara itu masih menganggapnya sebagai peninju nombor satu, berdasarkan sumbangan besar terhadap Filipina.

"Aquino mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Pacquiao kerana menjadi inspirasi kepada rakyat Filipina," jelasnya.

Dalam pada itu, pengkritik dari negara tersebut mencadangkan Pacquiao meminta satu perlawanan ulangan atau bersara sebagai peninju.

GST: MELAYU KENA LEBIH KATA MCA




GST: Melayu bayar lebih, kata Heng pada kaum Cina


Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie memberitahu masyarakat Cina di negara ini supaya tidak menentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana sistem itu akan menyaksikan orang Melayu yang bayar lebih.

Katanya, dua corak demografi masyarakat Cina - iaitu berpendapatan tinggi dan tidak ramai anak - sepatutnya menjadi alasan yang cukup bagi mereka tidak menentang GST.

Heng berkata di bawah sistem cukai lama, masyarakat Cina merupakan 90 peratus pembayar cukai kerana status pendapatan mereka yang tinggi, tetapi di bawah GST yang berasaskan kepada penggunaan, masyarakat Cina - dengan kadar kelahiran yang rendah - akan mendapat manfaat.

"Kini sistem telah bertukar kepada GST, tidak kira siapa anda atau berapa banyak yang anda dapat [...] selagi anda mengguna, anda bayar GST, kan?

"Tambahan pula, kita (orang Cina) kurang anak. Siapa yang mempunyai paling ramai anak? Kawan Melayu kita mempunyai lebih ramai anak.

"Apabila ada lebih ramai anak, maka akan lebih banyak penggunaan. Apabila kurang anak, maka penggunaan akan kurang, kan?" beliau dirakamkan sebagai bercakap dalam bahasa Cina semasa berada di Rompin untuk berkempen di pilihan raya kecil kawasan itu pada hari Rabu.

Rakaman itu muncul di talian selepas Heng menuduh akhbar China Press memetik beliau di luar konteks. Harian bahasa Cina itu terpaksa menarik balik laporannya pada hari Khamis mengenai perkara itu.

Dalam rakaman itu, Heng menggesa masyarakat Cina melihat gambaran yang lebih besar dan menyuarakan kehairanan mengapa mereka mahu menentang GST.

"Di Malaysia, sesiapa sahaja boleh membantah GST tetapi orang Cina tidak ada sebarang sebab untuk menentang GST kerana kedua-dua corak (demografi) tersebut.

"Anda tidak ramai anak, penggunaan anda akan kurang, jadi sistem GST ini memberi manfaat kepada kita (orang Cina).

"Mereka (orang Melayu) ada lebih ramai anak, maka mereka perlu membayar lebih, kan?" katanya sambil menambah\, oleh itu, orang Cina tidak seharusnya menentang GST hanya kerana mahu membantah.

'Dengar keseluruhannya'

Ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan, Heng berkata komen beliau perlu diambil dalam konteks keseluruhan temubual selama 21 minit dengan China Press.

"Jika anda mendengar ia secara keseluruhan, anda akan tahu, bila bahagian awal dan akhir temubual itu dikaitkan bersama, maknanya bukan seperti itu (seperti yang dilaporkan oleh China Press).

"Apakah makna asal saya? Saya rasa anda perlu mendengarnya, maka anda akan tahu mengapa dan apa yang saya katakan," tegas Heng kepada Malaysiakini.

Dalam temubual dengan China Press itu, Heng bercakap panjang lebar mengenai GST. Bahagian kontroversinya datang pada bahagian akhir selama kira-kira dua minit.

Heng berkata ianya "lebih daripada mencukupi" apabila China Press menarik balik laporannya itu dan jika orang ramai atau penyokong pembangkang masih tidak yakin, maka terpulanglah kepada mereka.

MP DAP Seputeh, Teresa Kok dalam satu kenyataan hari ini mengkritik Heng dengan berkata Heng jelas bermain isu perkauman dalam usaha untuk menjustifikasikan pelaksanaan GST.

Teresa berkata, ia bukan sahaja menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab tetapi juga membuktikan kerajaan BN berdepan dengan tekanan berat akibat pelaksanaan GST kerana ketidakupayaannya untuk menjustifikasikan pelaksanaan GST kepada rakyat.

Beliau menggesa kerajaan menghapuskan GST jika ia tidak dapat mempertahankan dasar yang dikritik hebat itu. ~SUMBER
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...