langsai hutang

langsai hutang
klik gambar

23 Julai 2011

Ahli perniagaan Melayu hari ini secara terbuka mengecam pentadbiran Najib ‘dingin’

Ahli perniagaan Melayu kecam Teraju gerak ‘macam kura-kura’
TERKINI @ 03:50:39 PM 23-07-2011 Oleh Clara Chooi July 23, 2011
SHAH ALAM, 23 Julai — Sekumpulan ahli perniagaan Melayu hari ini secara terbuka mengecam pentadbiran Najib ‘dingin’ dalam melaksanakan inisiatif pro-Bumiputera sambil mendakwa Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bergerak terlalu perlahan sejak ia dilancarkan Februari lalu.

Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (Mapem), sebuah badan yang terdiri daripada 50 pertubuhan bukan kerajaan ekonomi Melayu, mendakwa unit yang berusia enam bulan itu telah gagal membawa sebarang hasil dalam memperbaiki penyertaan Bumiputera dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan berbanding projek-projek yang dilancarkan oleh Pemandu.

“Pemandu dan Teraju tidak bergerak pada kelajuan yang sama. Teraju bergerak macam kura-kura,” kata Presiden Mapem Tan Sri Rozali Ismail kepada pemberita di sini hari ini.

“Ini sangat membimbangkan ... kami mahu mengambil bahagian dalam pertumubuhan ekonomi negara, kami mahu bersama Perdana Menteri membina negara ini, kami tidak mahu ketinggalan di belakang,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Mapem di sini hari ini.

Keadaan itu menurut beliau, akan menyebabkan jurang pendapatan ahli perniagaan antara Bumiputera dan Bukan Bumiputera semakin melebar.

Pengkritik mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mencairkan Model Baru Ekonomi (MBE), yang diilhamkan oleh beliau sendiri, dengan mewujudkan Teraju, tetapi pegawai-pegawai pentadbirannya berkata ia perlu memandangkan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi masih kekal kecil.

Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan Teraju akan menjadi pemangkin dalam usaha mentransformasi agenda pembangunan Bumiputera bagi memastikan keupayaan golongan itu mampu dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.

Nor berkata, Teraju sebagai entiti tunggal yang melapor terus kepada MTAB akan membolehkan strategi serta inisiatif pembangunan Bumiputera, yang sebelum ini dilakukan pelbagai kementerian dan agensi, dilaksanakan secara menyeluruh dengan perspektif yang meluas.

Katanya, langkah itu merupakan cerminan hasrat kerajaan untuk menambah baik strategi dan inisiatif di dalam agenda pembangunan Bumiputera.

Beliau berkata kerajaan sedar masih terdapat sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sehingga kini masih belum tercapai sepenuhnya dan antara factor dikenal pasti adalah disebabkan ketirisan di peringkat pelaksanaan dan bukan sebab kesilapan dasar.

Beliau berkata, Teraju akan merencana agenda pembangunan Bumiputera selaras dengan pendekatan baru yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ketika melancarkan Teraju pada 8 Februari lalu, Najib berkata ia bertujuan memperkukuhkan lagi agenda pembangunan golongan berkenaan.

Perdana Menteri berkata agensi itu akan berfungsi bagi meneraju, mengurus serta memacu penyertaan golongan Bumiputera dalam ekonomi melalui pelbagai inisiatif baru serta sedia ada.

Teraju akan memberi tumpuan kepada lima perkara iaitu keusahawanan dan penciptaan kekayaan, pembiayaan, pendidikan dan penggajian, penilaian institusi dan instrumen polisi serta pengurusan pihak-pihak berkepentingan, kata Najib.

Perdana Menteri berkata, Teraju juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk mengenal pasti program-program baharu supaya segala tindakan yang dilaksanakan dapat diselaraskan.

Rozali berkata Mapem menyedari bahawa perdana menteri sangat serius untuk memperbaiki ekonomi dan telah mendapati sokongan kepada Bumiputera telah berubah tangan beberapa kali, daripada kementerian kepada MTAB dan kini di bawah focus Teraju.

“Tetapi (tindakannya) terlalu perlahan dan kami telah memberikan mereka beberapa bulan, tetapi kami dimaklumkan oleh ahli-ahli Mapem bahawa merea tiada apa-apa pelan kerja untuk mempercepatkan tindakan mereka, membangunkan ekonomi Melayu,” kata Rozali.

Katanya, Mapem bersetuju dengan beberapa cadangan ekoran mesyuarat hari ini termasuk merombak Teraju secara total, antaranya mengadakan lebih banyak ahli dan wakil di setiap negeri.

“Mapem juga mahu Teraju memberi tumpuan khusus dalam mengenal pasti Bidang Hasilan Utama Bumiputera (BKRA). Kami tidak mahu mereka duduk dan mengkaji semula, mengkaji semula sesuatu perkara selama setahun tanpa sebarang hasil,” katanya.-TMI

Ambiga hadiahkan ‘hero’ Bersih 2.0 ijazah Doktor Kehormat

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga mendedikasikan ijazah Doktor Kehormat Undang-undang yang diterimanya daripada University of Exeter kepada Baharuddin Ahmad yang terbunuh ketika perhimpunan 9 Julai lalu dan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masih ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Selain mereka, beliau turut melahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang berani tampil di sebalik tekanan dan halangan pihak berkuasa dalam mempertahankan hak fundamental mereka.

“Ada sesetengah pihak di kerajaan yang menentang kaedah yang digunakan untuk menghalang kami. Malah, doktor-doktor juga keluar dari zon selesa mereka untuk bercakap menentang ketidakadilan,” kata Ambiga (gambar) dalam ucapan menerima ijazahnya.

Ambiga merupakan bekas penuntut University of Exeter dan menerima ijazah undang-undang beliau tiga dekad lalu.

Teks ucapannya dikeluarkan di sini.

“Dan, sudah pasti ada peguam-peguam dan media bebas yang berdiri di pihak yang benar dan keadilan.

“Bagaimanapun, hero yang sebenar ialah rakan dan penyokong kami Allahyarham Baharuddin Ahmad yang membayar harga bernilainya dalam perjuangan murni kami, enam ahli Parti Sosialis Malaysia, ketika sedang kita bercakap (di sini), berada dalam tahanan di bawah undang-undang pencegahan dan rakyat Malaysia yang berani keluar daripada tindakan (pihak berkuasa) menakut-nakutkan dan menghina demi mempertahankan hak asasi mereka,” kata beliau lagi.

Justeru kata Ambiga, beliau menghadiahkan anugerah itu kepada “kesemua mereka.”

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan pada 9 Julai lalu berkaitan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya.

Walaupun dihalang dan disekat pihak berkuasa termasuk memutuskan Bersih 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram, penganjur mendakwa telah berjaya menghimpunkan 50,000 orang. Tetapi polis menafikan jumlah itu.

Baharuddin didakwa mati selepas melarikan daripada tembakan gas pemedih mata oleh polis di kawasan KLCC tetapi polis pula mempertahankan ahli PAS itu meninggal dunia kerana komplikasi jantung.

Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata, perkembangan sepanjang enam minggu lalu dalam menggerakkan sokongan bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil telah mengajar beliau lebih daripada apa yang dialami sepanjang tiga dekad lalu sebagai seorang peguam profesional.

“Pasukan saya dan saya berhadapan dengan tekanan sepenuhnya daripada kerajaan yang berkuasa, dan kemudian saya sedar tentang kepentingan kebebasan institusi-institusi kerajaan, khususnya kehakiman, untuk menangani salah guna kuasa,” katanya.

Justeru kata Ambiga, beliau juga sedar tentang kedaulatan undang-undang yang sebenar dan bagaimana ia juga tidak boleh wujud

Adakah UMNO itu lebih tinggi dari Agama?

Rasuah itu adalah ketagihan tegar - elok dirawat di pusat serenti
Apa yang nampak oleh dua biji mata kita tidak semesti sama dengan apa yang dilihat oleh mata kita yang lagi satu, iaitu mata hati. Dua biji mata kita tidak mampu untuk melihat sejauh kemampuan mata hati. Biji mata kita tidak akan nampak apa yang ada di sebalik dinding tempat kita bersandar. Tetapi mata hati boleh melihat sejauh mata sekali pun jika kita telah sampai dan pernah berada di tempat yang dilihat oleh mata hati kita.

Saya nampak semua pokok yang ada di halaman rumah saya di kampong walaupun saya melihat dengan mata hati saya dari Subang Jaya. Saya boleh lihat sekarang ini bagaimana keadaan di Baitullah kerana semua kita telah sampai kesana. Begitu juga kita masih boleh nampak bagaimana rakyat yang sedang berjalan ke Stadium Merdeka untuk berhimpun secara aman telah digempur oleh pihak Polis tetapi dituduh peserta rally itu yang melakukan keganasan.

Saya juga nampak dengan mata hati saya bagaimana Baharudin Ahmad meninggal dunia semasa rally tersebut dan saya masih melihat dengan jelas bagaimana polis telah memancutkan air ber chemical kearah peserta-pererta rally yang hendak berjalan secara aman ke Stadium Merdeka. Mata hati kita juga nampak bagaimana ramainya peserta rally yang datang untuk menyertai perhimpunan itu walaupun polis tersalah bilang jumlahnya dan memberitahu kita jumlah kehadziran rally tersebut hanyalah dalam lingkungan 6000 orang sahaja.

Pandangan mata hati yang jujur akan membuahkan pandangan yang telus dan jujur terutamanya kepada mereka yang tidak ada kepentingan peribadi. Pandangan mata hati juga mampu untuk membuat telahan yang paling hampir kepada kebenaran. Pandangan mata hati yang jelas juga boleh memberikan ‘intuition’ tentang apa yang akan berlaku lanjutan dari pandangan mata hati yang tajam itu.

Pandangan mata hati dan ‘intuition’ ramai itu semuanya menjurus kepada perasaan tidak sedap hati tentang nasib orang-orang Melayu serta rakyat negara keseluruhannya. Ahli-ahli dan pimpinan parti di peringkat bawahan hanya diperguna oleh pimpinan atasan untuk memperjuangkan keuntungan peribadi (mereka) dan tidak sanggup berkorban kerana kepentingan peribadi. Tenaga dan keringat rakyat di bawah di perah sehingga kering semata-mata untuk kepentingan pemimpin-pemimpin, isteri-isteri dan anak-anak pemimpin-pemimpin yang tidak pernah merasakan kesusahan hidup seperti ahli-ahli di bawah.

Kenapa begitu? Jawabnya ialah kerana renongan mata-mata hati yang tajam yang nampak jelas partinya akan terjerumus kepada keaiban jika masih tidak bersedia untuk berubah secara serius serta drastik dalam masa yang sesingkat-singkatnya. Perubahan tidak mungkin terjadi di dalam UMNO kerana jika dilakukan perubahan yang besar maka perubahan itu akan menyekat mereka untuk bermaharaja lela dan memerah keringat rakyat lagi.

Sesungguhnya keenakan menjadi kaya raya terutamanya melalui rasuah adalah satu ketagihan yang tidak mungkin boleh diubati. Ketagih rasuah ini samalah seperti ketagih dadah yang tegar. Itu lah sebabnya ramai pemimpin yang tidak mahu langsung untuk memikirkan untuk bersara Ketagihan rasuah ini menyebabkan mereka bermati-matian untuk kekal dalam jawatan yang di sandang mereka. Mereka sanggup mengampu dan membodek pucuk pimpinan serta ahli-ahli keluarganya semata-mata untuk kekal di dalam nikmat kekayaan yang datang dari penat jerih rakyat yang ramai.

Keenakan duduk dalam kuasa akan membuatkan pemimpin-pemimpin yang ketagih kuasa dan keenakan ini melakukan apa sahaja, waimma menghancurkan pertubuhan politiknya sendiri. Pandangan rakyat tidak lagi di terima dan jika rakyat bangun menentang rakyat akan ditekan dengan kuasa-kuasa di tangan mereka untuk menindas perasaan rakyat yang ramai itu.

Rakyat tidak boleh berhimpun dan menunjukan ketidak puasan hati mereka walaupun secara aman. Perarakan yang aman di kecohkan oleh pihak polis dan akhirnya menyalahkan rakyat dan menuduh mereka sebagai perusuh. Sampai bila tekanan ini hendak dilakukan? Sampai bila?

Dalam pada itu mereka tetap hendak kekal dalam jawatan walaupun mereka sudah tidak lagi popular dan kedegilan ini tidak lain dan tidak bukan kerana ketagihan kuasa ini. Seseorng yang ketagihan dadah misalnya sanggup berbuat apa-apa sehinggkan ada kes penagih yang membunuh ibunya sendiri kerana ibunya tidak meberikan mereka wang untuk membeli dadah.

Itu sebabnya saya selalu menulis, jika pemimpin-pemimpin kerajaan itu sudah ketagihan dengan rasuah tiada jalan lain selain dari mengenepikan seluruh barisan yang sedang berkuasa dan yang sedang menghidapi penyakit ketagihan rasuah tadi.

Penagih-penagih ini harus di letakan di dalam pusat-pusat serenti agar mereka dapat dipulihkan agar mereka menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat. Di pusat pemulihan itu mereka akan diajar segala ilmu fardhu ain dan diberitahu yang mana halal dan yang mana haram.

Mereka akan diberikan latihan untuk menjadi insan yang baik dan berdisiplin melalui latihan kawat dan senaman setiap pagi. Di pusat pemulihan itu juga mereka boleh diajar untuk mengakui yang ketagihan rasuah itu adalah satu dosa yang besar, sama seperti memakan daging saudaranya sndiri.

Rakyat sudah sampai ketahap sudah hilang kesabaran. Berbagai-bagai saluran digunakan untuk meminta mereka berubah tetapi tidak juga berubah. Akhirnya rakyat hendak berjalan secara aman ka stadium untuk menzahirkan kemarahan mereka tetapi di tahan dan di kecohkan oleh pihak berkuasa dengan pancutan gas pemedih mata dan kekecohan itu pula di alihkan kepada rakyat pula sebagai pihak yang merusuh.

Hendak berkumpul itu pun dijadikan sebagai kesalahan oleh akta dan undang-undang. Jika berkumpul lebih dari lima orang akan melanggar akta polis. Semuanya tidak boleh. Seluruh dunia memerhatikan kita dan mengkritik kita. kritikan masyarakat antarabangsa itu dianggap sebagai mencampuri hal ehwal negara kita. masyarakat antarabangsa pula yang bersalah.

Jadi yang tidak bersalah hanyalah mereka dari parti-parti kerajaan BN. Yang lain di seluruh dunia ini bersalah. Semuanya bersalah kecuali UMNO dan BN. Yang boleh membangunkan negara hanya UMNO. Parti lain tidak tahu membawa pembangunan. Kita hanya di minta mengenang budi UMNO sahaja. UMNO dan pemimpin mereka rasuah tetapi mesti juga di sokong kerana mereka pernah berjasa.

Jasa UMNO yang lepas-lepas itu mesti diingati dan terus disokong walaupun mereka sekarang melakukan rasuah yang besar-besar. Tidak boleh di tegur kerana jasa mereka banyak kepada rakyat. UMNO telah memberikan kemudahan api letrik dan air paip yang bersih. UMNO telah memberi subsidi gigi palsu. UMNO telah memberi lembu pawah kepada orang kampong. UMNO telah membangunkan bangunan yang tertinggi di dunia. UMNO telah melebarkan jalanraya dan sebagainya.

Maka kita wajar sokong UMNO walaupun mereka rasuah dan selalu menyalah gunakan kuasa. UMNO itu lebih tinggi dari agama. Meninggalkan UMNO atau tidak memberikan sokongan akan di anggap seperti orang murtad. Yang berhak menjadi orang yang terkaya hanya lah pemimpin-pemimpin UMNO. Rakyat ramai tidak boleh walaupun mereka yang membayar cukai.

UMNO ini seolah-olah sudah ditarifkan seperti agama baru. Jangan dilawan mereka. Kuasa yang ada kepada mereka itu bukan datangnya dari tuhan. Ianya datang dari UMNO itu sendiri. Maklumlah segala pembangunan dan rezki rakyat itu katanya datang dari UMNO.Begitulah gayanya UMNO hari ini
-Aspanaliasnet

Putrajaya usir peguam kes Scorpene, Pakatan pula bangkit kontrak pertahanan RM16 bilion

Pakatan Rakyat ‘disambar’ dengan tindakan Putrajaya menghantar balik peguam Perancis William Bourdon yang mengendalikan kes berkaitan skandal pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM7 bilion, tetapi pembangkang terus menyerang dengan isu baru.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat memberitahu khalayak sekitar 500 orang di sini malam tadi bahawa tindakan menghantar pulang peguam itu menunjukkan pentadbiran Najib masih mahu menyembunyikan fakta mengenai urusan pembelian kapal selam.

“Kita tahu polis Perancis sudah memperoleh sejumlah banyak dokumen penting, mengaitkan (Datuk Seri) Najib Razak, perdana menteri kita yang dicintai. Sebab itu tindakan-tindakan tidak munasabah diambil hari ini (semalam),” kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menambah, tindakan Malaysia menghantar balik Bourdon dengan cara tidak hormat telah membantu memperkukukan usaha pihaknya dalam isu skandal pembelian kapal selam.

Peguam itu ditahan ketika tiba di Sepang dalam perjalanan dari Pulau Pinang pagi semalam.

Malah, Nurul Izzah berkata, tindakan ke atas Bourdon dan kekerasan Barisan Nasional ke atas perhimpunan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bebas dan adil menimbulkan persoalan mengenai pembaharuan politik dan ekonomi yang dijanjikan oleh Najib.

Pada majlis yang sama, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menghabiskan kira-kira 20 minit untuk menggambarkan mengenai urusan pembelian kelengkapan pertahanan sepanjang tiga tahun lalu, berjumlah RM16 bilion — jauh lebih besar berbanding perbelanjaan negara-negara lain.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini memberitahu, ia termasuklah RM2.3 bilion untuk membeli 12 unit helikopter Eurocopter EC725, RM6 bilion untuk memiliki kapal rondaan luar pesisir pantai (OPV) dan RM7.8 bilion untuk mendapatkan 257 kereta perisai.


Tony Pua. — Foto Choo Choy May
Kata beliau, persoalan mengenai aspek itu sama ada di media atau Parlimen kekal dengan jawapan ia sebagai “satu rahsia” besar.
Menurut Pua, Brazil membeli Eurocopter hanya pada harga RM82 juta seunit berbanding Malaysia membelanjakan RM190 juta bagi setiap unit manakala New Zealand hanya membayar RM240 juta setiap unit OPV berbanding RM1 bilion oleh Malaysia.

Pua juga berkata sebanyak 257 kereta perisai dibekalkan oleh konglomerat tempatan DRB-HICOM yang hanya membeli daripada sebuah firma Turki hanya pada harga RM1.9 bilion, kira-kira satu perempat yang perlu diperuntukkan oleh pembayar cukai Malaysia.

Pembelian dua kapal selam dari syarikat Perancis DCNS pada 2002 dibuat ketika Najib menerajui Kementerian Pertahanan dan sebuah syarikat milik Abdul Razak Baginda, yang rapat dengan beliau, dilaporkan menerima komisen lebih RM500 juta atas urusan tersebut.

Parti-parti politik pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia juga mengaitkan kematian wanita Mongolia Altantuya Shariibuu pada 2006 dengan isu tersebut.

Kelmarin, Bourdon berucap di Pulau Pinang pada majlis anjuran Suaram untuk mengumpul dana bagi kes mereka berkaitan skandal kapal selam Scorpene dan sepatutnya berucap di sini malam tadi.

Pada Disember 2009, Suaram memfailkan aduan di mahkamah Perancis meminta kebenaran akses ke atas maklumat berkaitan dengan kontrak yang ditandatangani oleh syarikat Abdul Razak, Perimekar Sdn Bhd dan maklumat-maklumat lain yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di Malaysia.

Mahkamah Perancis menerima permintaan itu untuk menyoal siasat dakwaan membayar sogokan RM500 juta oleh DCNS kepada Perimekar.-tmi

22 Julai 2011

Peguam 'Scorpene' ditahan, dijangka diusir pulang

Peguam 'Scorpene' ditahan, dijangka diusir pulang

Peguam Perancis William Bourdon, yang berada di Pulau Pinang malam tadi untuk bercakap tentang urusniaga kontroversi pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa melibatkan sogokan berjuta ringgit kepada pemimpin kanan Malaysia, ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

difahamkan, beliau akan diusir pulang, paling awal malam ini.

Menurut Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel, pegawai imigresen masuk ke dalam pesawat untuk menahan Bourdon (kiri) sebaik sahaja beliau mendarat di KLIA.

"Beliau kini dibawa ke pusat tahanan imigresen di KLIA," kata Gabriel.

Pada mulanya, pegawai imigresen tidak membenarkan isteri Bourdon, juga seorang peguam, mengikutnya ke pusat tersebut.

Selepas beberapa rundingan, beliau dibenarkan menemani suaminya.

Menurut Gabriel, pegawai imigresen "menyoal Bourdon".

Bourdon mendarat di Pulau Pinang semalam dan berucap mengenai 'Ops Scorpene' di Bayan Baru malam tadi.

Peguam Perancis yang berkhidmat dengan pertubuhan tanpa keuntungan - Sherpa - dan mengkhusus dalam membela hak asasi manusia dan jenayah menentang kemanusiaan.

Bourdon dijangka mendedahkan butiran kontroversial mengenai pembelian kapalselam negara dengan firma gergasi pertahanan Perancis DCNS.

Syarikat itu didakwa membayar komisyen “yang amat tinggi” kepada pegawai kerajaan Malaysia yang terbabit dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.

Bayaran komisyen kepada pegawai kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.

Suaram berharap dapat mengumpulkan dana sebanyak RM100,000 daripada majlis berkenaan yang juga dijadualkan di Ipoh dan Kuala Lumpur hari ini dan esok, bagi membiayai kos perundangan dalam kes yang difailkan di Paris yang akan dibicarakan di mahkamah terbuka pada September ini.

Kes berkenaan difailkan tahun lalu oleh Suaram, melalui Bourdon dan pasukannya mengenai dakwaan DCNS membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada Perimekar.

Perimekar adalah subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamnya adalah isteri Abdul Razak Baginda (kanan).

Abdul Razak pula adalah rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang didakwa terbabit dalam pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shariibuu tetapi kemudiannya dibebaska

Ku Li: Melayu tidak rasis tapi dimanipulasi pihak berkepentingan

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menegaskan orang Melayu bukan rasis tetapi membawa sikap perkauman kerana telah dimanipulasikan oleh pihak yang berkepentingan.


Dalam ucapan perasmian Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang diketuai beliau, Tengku Razaleigh (gambar) berkata orang Melayu yang bersifat rasis adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan “kurang Islamik.”

“Saya tahu bahawa orang Melayu termasuk kaum-kaum lain di negara ini tidak rasis dan tidak pernah rasis tetapi bersikap perkauman kerana dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan supaya berkelakuan, berfikir dan bertindak sebagai ‘komunalis’ yakni kaum yang bersifat perkauman.

“Bagi orang Melayu sikap seperti itu sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan apabila orang Melayu bersifat kurang Islamik mereka cenderung ke arah perkauman atau rasis, berbalik kepada zaman jahiliah sebelum Nabi Muhammad SAW (yang) berdakwah menentang kepercayaan dan fikiran jahiliah,” katanya di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Amanah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibarisi beberapa tokoh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Seri Ong Tee Keat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis selaku timbalan presiden.

Sementara naib presiden pula dibarisi Wan Saiful Wan Jan, Dr Patau Rubis, Ong Hock Siew, Datuk Mohd Azmi Razak, Ragunath Kesavan, Tan Sri Simon Sipaun dan Mohd Lukhman Ghani.

Amanah yang dilancarkan hari ini terbuka kepada seluruh rakyat negara ini untuk menyertainya dengan bayaran RM10 (untuk ahli biasa) dan RM100 (untuk ahli seumur hidup).

Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan “Ku Li” berkata Amanah bukan sebuah pertubuhan pendesak atau mahu bermain politik.

“Kita berkumpul sebab kebanyakan daripada kita secara tulus berasa amat prihatin dan risau, gundah dan sedih melihat apa yang berlaku di negara kita yang tercinta.

“Warga Malaysia yang berfikiran benar dan saksama jangan berpeluk tubuh, menyerah dan menerima secara pasif dan berlembut hati terhadap salah laku buruk dan keadaan yang dasyat seperti rasuah, kronisme dan krisis perkauman yang berlaku.

“Kita mesti bertindak segera sebelum keadaan ini sampai ke tahap yang tidak dapat dipulihkan lagi sehingga akhirnya seluruh asas peraturan hidup sosial, moral, budaya, undang-undang dan perlembagaan yang menjadi wadah ketahanan negara kita selama ini akan hancur musnah,” katanya dalam ucapan yang bertajuk “Suara Menuntut Kebenaran, Keadilan dan Rasa Timbang Rasa.”

Tegas Ahli Parlimen dan Ketua Umno Gua Musang ini, pihaknya akan cuba mengembalikan nilai-nilai teras dalam membina kehidupan perpaduan dan sikap menerima antara satu sama lain.

“Rakyat mahukan perubahan dan mengharapkan perubahan dan kita mempunyai misi yang cukup mendesak untuk bergerak menuju ke arah itu, kini terserah kepada kita semua untuk melakukan perubahan.

“Saya ingin menggalakkan saudara menghubungi saudara-mara dan sahabat handai untuk menolong kita mendapatkan sokongan mereka terhadap usaha mulia ini... mari kita pacukan gerakan ini sampai ke tahap dapat menjangkit ke seluruh negara,” katanya.

Amanah dilancarkan dengan enam tujuan utama iaitu mengembalikan legasi, janji-janji dan ideal Bapa Malaysia dan pengasas-pengasas negara ini agar kesemua rakyat Malaysia dapat hidup bersama sebagai satu komuniti yang adil, progresif, bersatu dan gembira.

Selain itu Amanah juga bertujuan memperakui, menegakkan semula dan menghormati kedaulatan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia, memastikan institusi-institusi kebangsaan menghormati dan mempertahakan undang-undang, prinsip demokrasi, hak dan nilai-nilai universal.

Ia juga bersandarkan tujuan menyokong kerajaan dan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab, berdaya saing dan berkesan, bebas rasuah dan kronisme, bersih dan jujur, adil dan amanah yang boleh menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Selain itu kata Tengku Razaleigh, beliau sendiri akan turun ke seluruh negara untuk meruntuhkan “tembok” persengketaan antara satu sama lain.

“Jangan lagi majoriti daripada kita yang selama ini membisu tidak dipedulikan di negara yang menjadi kebanggaan dan sanjungan kita.

“Jika misi ini dikendalikan dan diuruskan dengan betul, jujur dan ikhlas negara kita yang bertuah dan hebat ini boleh menjadi satu ruang dan tempat untuk melahirkan kemakmuran dan keamanaan untuk semua,” katanya

Firma media ‘diam-diam’ protes Putrajaya bentuk Majlis Perundingan Media

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Beberapa ketua organisasi media dijangka membantah cadangan Putrajaya yang mahu membentuk Majlis Perundingan Media (MCC) dengan tidak mempedulikan satu pertemuan bagi membincangkan terma rujukannya minggu depan.

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menghantar surat kepada pelbagai organisasi, menjemput mereka hadir mesyuarat pertama di bangunan Sultan Abdul Samad di sini, Isnin ini.

Bagaimanapun satu sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa daripada mereka sendiri menghadiri pertemuan itu, beberapa ketua media telah bersetuju untuk memperlihatkan protes dengan menghantar editor-editor junior sebagai wakil.

Difahamkan ketua-ketua berkenaan termasuk dari organisasi media yang dikawal oleh Barisan Nasional, bimbang majlis seumpama itu hanya akan mengenakan lebih banyak halangan ke atas kebebasan akhbar di Malaysia.

Menurut surat kementerian itu, MCC yang disyorkan akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Anggotanya termasuklah wakil dari kerajaan, media cetak, elektronik dan media baru serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Antara yang dijemput agensi berita Bernama, Kumpulan Utusan, Astro TV, stesen Media Prima seperti TV3, NTV7, TV8, TV9, Hot FM, Fly FM dan One FM, AMP Radio Network, AlHijrah Media Corporation, Suara Johor, Star RFM, Husa Network, kesemua akhbar di bawah Kumpulan NSTP, Kumpulan Media Karangkraf, Star Publications (M) Berhad, The Sun, The Edge, Malay Mail, Makkal Osai, Tamil Nesan, Sin Chew Daily, Malaysia Nanban, Kwong Wah Yit Poh Press Berhad, China Press, Nanyang Siang Pau, Sarawak Press Sdn Bhd, See Hua Daily dan United Daily News.

Kesemua akhbar perlu mendapatkan permit penerbitan tahunan manakala stesen siaran elektronik dikawal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Blog House Malaysia telah dipilih sebagai wakil tunggal media baru manakala pertubuhan bukan kerajaan terdiri daripada Institur Akhbar Malaysia, Kesatuan Wartawan Malaysia dan Persatuan Penerbit Majalah.

Portal berita atas talian seperti The Malaysian Insider, Malaysiakini, Free Malaysia Today, Malaysia Today atau Merdeka Review sendiri tidak dijemput meskipun mereka mempunyai kad tauliah media dikeluarkan Jabatan Penerangan.

Surat jemputan kementerian itu juga disertakan dengan kertas cadangan penubuhan MCC, yang memperincikan terma rujukan untuk dibincangkan pada pertemuan Isnin ini termasuk peranan, objektif, fungsi, keanggotaan dan aktivitinya.

Kertas cadangan itu menggariskan lima fungsi MCC, antara lain memperbaiki pengurusan dan perkongksian maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan, program dan aktiviti komuniti dan membincangkan isu-isu semasa dan merangka pelan komunikasi untuk menangani mereka secara bersepadu dan teratur.-TMI

Kes Teoh: Tiga pegawai SPRM dilabel ‘pembuli, salah guna kuasa dan angkuh’

Kes Teoh: Tiga pegawai SPRM dilabel ‘pembuli, salah guna kuasa dan angkuh’
Oleh Debra Chong(TMI)

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Suruhanjaya diraja siasatan yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock berkata bekas setiausaha politik itu ‘terganggu’ ekoran sikap tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayisa (SPRM) yang dilabel sebagai “Arman yang membuli, Ashraf salah guna (kuasa) dan HH pemimpin yang angkuh.”
Malah, ia juga memutuskan bahawa pegawai-pegawai SPRM di Selangor sebagai terbuka kepada pembohongan.

Ketiga-tiga mereka yang dinamakan ialah bekas pengarah SPRM Selangor Hishammuddin Hashim, dua pegawainya Arman Alies dan Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Ketiga-tiga mereka dinamakan sebagai pegawai soal siasat kes Teoh dalam laporan suruhanjaya itu, sebagai pihak yang ‘menundukkan’ Teoh ketika sesi soal siasat empat peringkat, yang bermula 15 Julai sehingga keesokan pagi.

Menurut laporan suruhanjaya itu, “Arman yang membuli” kemungkinan telah memanipulasikan saksi untuk mendapatkan bukti.

“Ashraf salah guna (kedudukan),” kata suruhanjaya merujuk kepada kaedah yang digunakannya mendapatkan bukti.

Elemen paling teruk dalam penilaian laporan itu mengenai kaedah-kaedah SPRM adalah gambaran suruhanjaya tentang Hishammuddin.

“HH merupakan seorang pemimpin angkuh, yang akan menggunakan apa sahaja selagi matlamatnya tercapai, tidak kira cara yang digunakan,” kata laporan tersebut.

Sebagai ketua, Hishammuddin dikatakan menyemai ketakutan di kalangan pegawainya.

Di bawah kepimpinan Hishammuddin, kata laporan suruhanjaya ini, kebanyakan pegawai ada tabiat berbohong. _TMI

21 Julai 2011

S'jaya diraja: Teoh Beng Hock bunuh diri



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan bahawa Suruhanjaya Diraja Siasatan kematian Teoh Beng Hock mendapati setiausaha politik DAP itu membunuh diri.

Katanya, suruhanjaya tersebut memutuskan tindakan bunuh diri itu akibat soalsiasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tiga pegawai SPRM didapati telah menggunakan taktik soal siasat yang "agresif, tidak wajar, maka langgar peraturan", kata Nazri dalam satu sidang akhbar di bangunan Parlimen petang ini.
Laporan suruhanjaya itu menyebut bahawa tindakan yang dilakukan ketiga-tiga pegawai berkenaan iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus, berkemungkinan besar berbentuk soal siasat secara intensif sekali lagi ke atas Teoh untuk memaksanya membuat pernyataan bahawa Yong yang mengarahkannya untuk melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dalam mengendalikan peruntukan tersebut. SEDUTAN LAPORAN

Laporan itu menyebut sesi itu pastinya membebankan Teoh dari segi fizikal dan mental memandangkan dia telah dinafikan tidur sepanjang malam dan pagi dan perlu menanggung soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar.

Suruhanjaya itu dalam laporannya berpendapat soal siasat keempat telah menjadi faktor pencetus yang membawa kepada kejadian berkenaan.

Pegawai SPRM telah memberitahu inkues dan siasatan suruhanjaya diraja bahawa soal siasat terhadap Teoh tamat pada jam 3.30 pagi dan setiausaha politik DAP itu dibebaskan. Bagaimanapun, mereka mendakwa Teoh tidak pulang tetapi sebaliknya memutuskan untuk tidur di atas sofa di pejabat SPRM.

Tetapi laporan RCI menyatakan Teoh tidak dibebaskan selepas sesi soal siasat SPRM.

Bagaimanapun, Nazri berkata, pegawai SPRM itu tidak mempunyai niat untuk membunuh Teoh.

"SPRM memulakan siasatan berikutan terdapatnya maklumat yang mengatakan bahawa ADUN Selangor dan Pakatan Rakyat terlibat dalam mengemukakan tuntutan palsu dan menggunakan peruntukan demi kepentingan parti politik mereka dan bukan bagi faedah orang ramai.
"Teoh sepatutnya menjadi saksi utama bagi SPRM yang menyiasat dakwaan penyelewengan tersebut yang melibatkan seorang ahli exco kerajaan Selangor dari DAP.

"Siasatan SPRM telah memberi tekanan kepada Teoh untuk membuat pengakuan sebagai bukti," katanya.

Bagaimanapun, tambah Nazri, suruhanjaya diraja mendapati pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh Teoh.

Menurut Nazri, hasil siasatan suruhanjaya itu mendapati Teoh bukan dibunuh tetapi dia merasa terbeban dan tertekan dengan sesi soalsiasat yang agresif dan berlarutan, disokong dengan perwatakannya yang lemah, telah menyebabkan dia membunuh diri.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil ke atas para pegawai yang terbabit yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Laporan prosiding suruhanjaya diraja setebal 124 muka surat itu merupakan keputusan sebulat suara oleh kesemua anggota panelnya yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka berhubung kes berkenaan.

Prosiding suruhanjaya itu bersidang selama 50 hari dan membabitkan 70 saksi di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini sejak 14 Februari dan berakhir pada 10 Mei lalu.

Laporan hasil siasatan suruhanjaya itu telahpun diserah kepada Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada bulan lepas.

Berikut adalah kenyataan penuh Nazri

Jemaah Menteritelahbersetuju supaya Laporan Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock (TBH) diumumkan kepada orang ramai pada 21 Julai 2011 (Khamis).

Laporan itu boleh diperolehi daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dengan harga RM45 senashkah bermula jam 10.00 pagi 22 Julai 2011 (Jumaat).

Saya mewakili Kerajaan Malaysia ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Suruhanjaya Diraja yang dipengerusikan oleh YA Tan Sri Datuk Seri James Fong Cheng Yuen yang telah dapat menjalankan siasatan secara telus, adil dan teliti.

Suruhanjaya Diraja ini telah ditauliahkan pelantikannya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 26 Januari 2011 dan telah mempersembahkan Laporan Suruhanjaya kepada baginda pada 22 Jun 2011.

Siasatan dan penyediaan Laporan Siasatan ini telah berjalan selama hampir lima bulan. Dalam mempastikan siasatan dijalankan secara

menyeluruh, telus dan adil, Suruhanjaya telah memanggil seramai 70 orang saksi yang antaranya terdiri daripada para pegawai Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pakar-pakar forensik dari dalam dan luar negara, ahli keluarga, majikan serta rakan-rakan mendiang TBH.

Suruhanjaya Diraja telah diamanahkan menjalankan siasatan ke atas dua terma rujukan. Terma rujukan yang pertama ialah untuk menyiasat sama ada berlakunya apa-apa perbualan yang tidak wajar semasa pemeriksaan dijalankan ke atas TBH dan membuat syor-syor apa-apa tinadkan sewajarnya di mana perlu.

Hasil siasatan Suruhanjaya mendapati bahawasanya tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar ke atas TBH yang didapati melanggar prosedur sedia ada (para 197 laporan).

Suruhanjaya Diraja juga telah mengusulkan supaya SPRM meneliti dan mengambil tindakan penambahbaikan dalam aspek-aspek berikut:

i. kelayakan masuk ke perkhidmatan dan latihan pegawai.

ii. infrastruktur dan kemudahan asas pejabat; dan

iii. mengkaji semula prosedur-prosedur sedia ada supaya ianya lebih mantap dan berkesan.

Terma rujukan yang kedua ialah untuk menyiasat kematian TBH dan hal keadaan yang menyelubungi dan menyumbang kepada kematiannya.

Hasil siasatan Suruhanjaya mendapati bahawa TBH BUKAN DIBUNUH tetapi beliau yang merasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan, disokong dengan perwatakan beliau yang lemah telah menyebabkan beliau membunuh diri.

SPRM memulakan siasatan berikutan terdapatnya maklumat yang mengatakan bahawa ADUN Selangor ari Pakatan rakyat terlibat dalam mengemukakan tuntutan palsu dan menggunakan peruntukan demi kepentingan parti politik mereka dan bukan bagi faedah orang ramai.

TBH sepatutnya menjadi saksi utama bagi SPRM yang menyiasat dakwaan penyelewengan tersebut yang melibatkan seorang Ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) dari parti DAP. Siasatan SPRM telah memberi tekanan kepada TBH untuk membuat pengakuan sebagai bukti.

Suruhanjaya Diraja mendapati bahawa pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh TBH, sebaliknya bertujuan agar mendiang membuat pengakuan sebagai bukti agar beliau boleh menjadi saksi bagi kes penyelewengan penggunaan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor tersebut.

Fakta mengenai bunuh diri ini telah disokong oleh testimoni pakar psikitri forensik, Profesor Paul Edward Mullen yang telah diambil khidmat oleh Majlis Peguam Malaysia. Prof Mullen mengatakan TBH benar-benar membunuh diri berdasarkan perwatakan yang telah bertukar dari kumpulan berisiko ternedah bagi pembunuhan diri kepada kumpulan berisiko tinggi setelah melalui sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan.

Oleh itu, TBH BUKAN DIBUNUH oleh orang lain.

KESIMPULAN

SPRM akan meneliti dan mengambil tindakan penambahbaikan sebagaimana disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja.

Saya ingin meminta semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu ini dan memutarbelitkan fakta yang dilaporkan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja dan seterusnya meminta semua pihak menghormati dan menerima hasil Laporan Suruhanjaya Diraja demi menghormati keluarga TBH.

Bagi pihak Kerajaan, saya ingin melahirkan rasa yang amat kesal kepada keluarga mendiang TBH di atas kematian mendiang. Kerajaan turut bersedih dengan kejadian tersebut dan kehilangan beliau. Dengan selesainya siasatan oleh Suruhanjaya ini, saya amat berharap semua pihak, termasuk keluarga TBH dapat membawa episod ini kepada penutup dengan laporan ini.

Kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil ke atas para pegawai yang terbabit yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Suka saya memaklumkan bahawa keputusan siasatan Suruhanjaya Diraja adalah dicapai secara sebulat suara (unanimous).

Dalam laporannya, Suruhanjaya Diraja mengiktiraf kepentingan SPRM sebagai agensi yang berwibawa dalam menangani rasuah serta salah

guna kuasa dan mempunyai keyakinan bahawa SPRM akan menjadi sebuah agensi penguatkuasaan yang disegani dan diteladani oleh pihak lain.

Akhirnya, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan akan terus memastikan keutuhan perundangan negara terus dipelihara, usaha membanteras dan memerangi rasuah di semua peringkat dilaksanakan secara tegas dan telus, dan Kerajaan penuh yakin dan percaya dengan kewibawaan dan integriti SPRM dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini.-mk

20 Julai 2011

Afidavit buktikan enam ahli PSM bukan ditahan kerana fahaman komunis

KUALA LUMPUR, 20 Julai — Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencabar dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa enam ahli parti itu termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput ditahan di bawah Ordinan Darurat kerana kaitan dengan usaha menghidupkan semula fahaman komunis.

Peguam PSM Edmund Bon berkata perkara itu sangat jelas berdasarkan kandungan 37 afidavit yang diserahkan kepada parti itu semalam sebagai respons kepada permohonan habeas corpus, sekali gus menunjukkan polis hanya menyoal siasat keenam-enam mereka, didakwa mendalangi perhimpunan Bersih 2.0.

“Jangan bercakap mengenai sosialisme, komunisme, semua yang karut,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

“Kesemua ini pembohongan kerana polis sendiri tidak menyebut langsung mengenai sosialisme, tidak sebut langsung mengenai komunisme, tidak sebut langsung mengenai Chin Peng,” kata beliau lagi.

MENYUSUL LAGI -TMI

Economist akan siasat tapisan BERSIH 2.0


Majalah antarabangsa The Economist akan menyiasat tapisan atau suntingan Kementerian Dalam Negeri ke atas keluaran terbarunya berhubung laporan perhimpunan BERSIH 2.0 kata pengurus jenamanya Caroline Marrows.

"Kami akan siasat dakwaan itu,” katanya kepada Malaysiakini menerusi email.

"Saya boleh sahkan sebarang bentuk tapisan dalam The Economist di Malaysia minggu lalu bukan kerja kami sendiri. Namun buat masa ini, kami tidak mahu mengulas lanjut.”

Marrows juga berkata majalah mingguan itu juga tidak akan membuat sebarang spekulasi berhubung motif kerajaan Malaysia membuat tapisan itu.

Kementerian Dalam Negeri telah menghitamkan beberapa bahagian dalam laporan majalah antrabangsa yang berpangkalan di London itu pada edisi 16 Julai berhubung perhimpunan BERSIH 2.0.

Laporan, 'Political affray in Malaysia: Taken to the cleaners', menunjukkan beberapa ayat dihitamkan dengan pen penanda berdakwat kekal.

Dalam emel berasingan kepada Malaysiakini, timbalan editor The Economist edisi Asia John Parker berkata kerajaan Malaysia membuat tapisan tanpa memaklumkan kepada majalah itu terlebih dahulu.

Sementara itu, setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN Abd Aziz Md Nor mendakwa tindakan kerajaan menapis sebahagian daripada artikel itu adalah kerana laporan itu tidak tepat dan menggelirukan.

Ayat-ayat yang dipadamkan itu adalah berkaitan dengan dakwaan salah laku polis dan kerajaan ketika menghalang perhimpunan Julai 9 yang menyaksikan hampir 1,700 peserta ditangkap.

Laporan akhbar The Star, memetik Abd Aziz berkata keputusan dibuat setelah berunding dengan pihak polis dan kementeriannya telah memaklumkan perkara berkenaan kepada penerbit majalah tersebut.

Antara ayat-ayat yang dihitamkan itu adalah:

'seorang lelaki mati akibat sakit jantung' (and one man died of a heart attack), pada perenggan pertama.

'Perarakan itu kemudiannya diharamkan, meskipun pihak berkuasa menawarkan sebuah stadium untuk berhimpun - tetapi menarik balik tawaran itu' (The march itself was then banned, although the authorities offered Bersih a stadium to meet in - and then withdrew the offer') pada perenggan kedua.

'Taktik polis mencetuskan kemarahan; kerajaan akur menjalankan siasatan rasmi berhubung dakwaan keganasan polis. Dalam satu kejadian (sempat dirakamkan dalam filem) polis seolah-olah dilihat menembak gas pemedih mata dan memancutkan meriam air ke arah peserta himpunan yang berlindung daripada serangan belantan' (The heavy-handed police tactics have provoked a lot of anger; the government has conceded an official investigation into claims of police brutality. In one instance (caught on film), police seemed to fire tear gas and water cannon into a hospital where protesters were sheltering from a baton charge), pada perenggan keempat

19 Julai 2011

BUDAYA KUNING “Agenda jahat Pakatan haram! Kuburkan Bersih!”

Kain rentang anti BERSIH di Umno Ampang

Polis akan menyiasat kain rentang anti-BERSIH 2.0 yang dipasang di bangunan Umno bahagian Ampang di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Amiruddin Jamaluddin, anggotanya belum menyedari kehadiran kain rentang itu dan akan menyiasat.

“Ini berkaitan BERSIH. Kita akan menyiasat kain rentang dan melihat sama ada ia mematuhi undang-undang negara,” katanya.

Kain rentang itu, antaranya berbunyi: “Agenda jahat Pakatan haram! Kuburkan Bersih!”. Turut dipaparkan adalah logo BERSIH 2.0 yang berwarna kuning.

Satu lagi kain rentang berbunyi: “Himpunan Bersih gugat keselamatan negara, KDN bertindak sekarang.

Gambar kain rentang berkenaan dihantar oleh pembaca Malaysiakini yangmempertikaikan ketiadaan tindakan terhadap Umno yang dianggap “dwi-standard”.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata logo BERSIH 2.0 adalah haram dan mereka yang memakai baju T dengan logo berkenaan akan ditangkap.

Ketika dihubungi, pengerusi Umno bahagian Ampang Ismail Kijo berkata kain rentang berkenaan telah dinaikkan sejak dua minggu lalu dan oleh kerana perhimpunan BERSIH 2.0 telah berlalu, pihaknya akan menurunkan kain rentang itu.

"Kain rentang dinaikkan sebelum perhimpunan 9 Julai. Ini dilakukan oleh Pemuda Umno untuk menyuarakan bantahan kita kepada perhimpunan BERSIH,” katanya.

“Kita bukannya menjalankan kempen jangka panjang. Kain rentang itu akan diturunkan tidak lama lagi. Jika mereka (BERSIH 2.0) hentikan tuntutan mereka, kita akan juga berhenti.”

Pada 2 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan haram.

18 Julai 2011

BN rasa kerajaannya terancam, kata Marina

BN yang berada dalam kedudukan panik merasakan kerajaannya kini terancam dan tidak mampu

berfikir secara jelas lagi, kata anak sulung mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,
Datuk Paduka Marina Mahathir.

“Mereka rasa terancam kerana memandang remeh BERSIH pada 2007 dan pada pilihan raya umum 2008 mereka hilang banyak kerusi di parlimen dan dewan undangan negeri. Dan oleh kerana kini dalam keadaan panik, mereka tidak boleh berfikir dengan jelas lagi. Apa di kepala mereka adalah hanya cara untuk menang pilihan raya.

“Awak boleh dapatkan semula sokongan orang ramai dengan hanya berbaik kepada mereka. Awak tidak boleh dapatkan sokongan dengan bersikap jahat. Awak tak boleh tuduh peserta perhimpunan itu semuanya kumpulan samseng, mungkin ada segelintir. Tetapi bukan semua mereka.

“Majoriti mereka adalah kumpulan professional. Kumpulan itu adalah berbeza-beza dan ia sebenarnya 1Malaysia, muda, kaya, miskin, setiap bangsa dan agama menyertainya,” kata Marina dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Pada 9 Julai lalu, Marina juga mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 2.0. Beliau turun ke jalanan bersama anak dan rakan-rakannya.

Mereka bermula berhampiran Jalan Pudu (Berjaya Times Square) dan berarak sepanjang Jalan Hang Jebat di hadapan Stadium Negara menuju ke bangunan Majlis Olympik Malaysia.

Katanya, mereka yang turun pada hari itu begitu bangga dengan pertubuhan BERSIH 2.0.

“Saya mungkin tidak setuju dengan perjuangan mereka tetapi mereka melakukan perkara yang baik. Kami semua menjadi 1Malaysia.

“Sekarang kerajaan melabelkan kami dengan pelbagai nama. Biar saya beritahu, mereka kini kehilangan banyak undi.

Mereka mungkin beranggap mereka telah tewas tetapi biar saya beritahu, sebenarnya banyak yang masih di atas pagar dan sudah tentu (tindakan kerajaan itu) mereka akan menyokong pihak satu lagi. Saya lihat ini jelas dalam media sosial, terutamanya di emel, twitter dan blog,” kata Marina. -mk

MP Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ meninggal dunia

MP Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ meninggal dunia
TERKINI

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Ahli Parlimen Titiwangsa dari PAS Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali yang menerima rawatan kerana kanser di Hospital Selayang meninggal dunia malam ini.

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Ya, saya pun baru dimaklumkan mengenai berita ini. Tapi saya belum ada butiran lanjut,” kata seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi.

Wakil rakyat penggal pertama itu (gambar) meninggal dunia kira-kira 10.13 malam tadi, kata seorang anggota keluarga menerusi mesej SMS.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok, kata anggota keluarga itu.

“Jenazah akan diuruskan pagi esok, akan dibawa ke Masjid Al-Akram, Datuk Keramat,” katanya.

Maklumat daripada ibu pejabat PAS menyebut jenazah akan diuruskan sekitar 8 pagi esok.

Sejak tengah hari tadi, khabar angin mengatakan Dr Lo’ Lo’ yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat telah meninggal dunia disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas SMS dan laman sosial Facebook dan Twitter.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh pemimpin-pemimpin kanan parti yang secara kebetulan mengadakan mesyuarat di Ampang pagi tadi.

Dr Lo’ Lo’, 53, dirawat di Hospital Selayang akibat kanser.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Lo’ Lo’ menewaskan calon BN Datuk Aziz Jamaludin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Allahyarham Dr Lo’ Lo’ merupakan wakil rakyat kelima dari PAS meninggal dunia selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Sebelum ini PAS kehilangan Ahli Parlimen Bukit Gantang dan disusuli Adun Permatang Pasir, Manek Urai dan Galas.

Kekosongan kali ini tidak akan membawa kepada pilihan raya kecil.-TMI

Hadi: Pusat hiburan operasi macam biasa, Kedah betulkan enakmen era BN

AMPANG, 17 Julai — Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkata pusat hiburan di Kedah boleh beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.

Jelas Presiden PAS, kekeliruan telah berlaku berhubung perkara itu ekoran media arus perdana yang tidak menyiarkan laporan tepat sehingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.

Ini kerana kata beliau, kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak hanya melaksanakan undang-undang yang digubal oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Bagaimana kata Hadi (gambar), undang -undang itu telah “diperbetulkan” agar hak orang bukan Islam tidak dinafikan dalam pentadbiran negerai Pakatan Rakyat.

Ujar beliau, pusat hiburan di Kedah dibenarkan untuk beroperasi pada bulan Ramada dengan syarat tidak membenarkan orang Islam memasuki premis itu.

“Kita sudah dapat maklum balas daripada pihak pengurusan premis hiburan dan rakan-rakan pemimpin Pakatan Rakyat dan mendapati laporan media yang disiarkan tidak tepat.

“Media BN sengaja gunakan isu ini, jadi PAS ambil jalan menyelesaian iaitu hak orang bukan Islam walaupun diharamkan dalam Islam tapi mereka ada hak dan yang kedua hak orang Islam tidak boleh melakukan maksiat.

“Jadi orang bukan Islam sahaja boleh masuk (pusat hiburan), jangan bagi orang Islam masuk,” katanya pada sidang media di sini sambil menambah tindakan akan diambil ke atas mana-mana pusat hiburan yang membenarkan orang Islam memasuki premis mereka.

Jelas Hadi, berdasarkan keterangan yang diberikan Setiausaha Politik kepada Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat hari ini, pusat hiburan boleh ditarik lesen sekiranya didapati membenarkan orang Islam memasuki premis pada bulan Ramadan.

Sebelum ini Azizan berkata pihaknya memutuskan untuk melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepenuhnya tahun ini.

Azizan berkata, peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997, dan bukannya satu dasar baru.

Kata beliau, enakmen itu terpakai sejak BN mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.

Tambah Azizan, di bawah enakmen itu, kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

Hari ini, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, undang-undang BN membenarkan pusat hiburan dibuka namun tidak melarang orang Islam memasuki premis itu.

“BN buka pusat hiburan tapi tak tengok orang Islam masuk atau tidak,” kata sambil menegaskan tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak.

Sementara itu, Sanusi berkata premis-premis pusat hiburan sudah memberi jaminan tidak akan membenarkan orang Islam masuk sepanjang bulan Ramadan.

Tambah beliau, premis pusat hiburan juga secara sukarela bersetuju dengan tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka.

“Operator (pusat hiburan) sudah janji tidak akan benarkan orang Islam masuk dan mereka sedia maklumkan tentang tindakan yang boleh dikenakan.

“Ini adalah hal pentadbiran dan ia tidak ada kena-mengena dengan ahli politik... dan kita serah kepada pihak penguatkuasa untuk memantau,” sambil menambah pihak penguat kuasa yang dimaksudkan adalah polis dan pihak berkuasa tempatan.

Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata perkara tersebut akan dibangkitkan pada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat minggu depan.

Sementara MCA dan Gerakan membantah langkah itu sejak awal minggu ini.--tmi

17 Julai 2011

MB Kedah: Formula sudah dicari, isu pusat hiburan selesai

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Isu larangan ke atas pusat-pusat hiburan di Kedah agar tidak beroperasi sepanjang bulan Ramadan akan diatasi menggunakan “jalan penyelesaian yang mampu menggembirakan” semua pihak, kata Datuk Seri Azizan Abdul Razak dipetik media tempatan hari ini.

Menteri Besar Kedah berkata pihak pentadbiran kerajaan negeri juga telah diarah supaya mencari jalan penyelesaian yang mampu menggembirakan semua pihak.

Menurut beliau, satu pertemuan dengan pengusaha pusat hiburan yang terlibat juga akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya fikir kita telah menemui satu jalan penyelesaian seperti menetapkan syarat-syarat tertentu dengan pengusaha pusat hiburan tidak membenarkan premis mereka dikunjungi mereka yang beragama Islam,” kata beliau dipetik Mingguan Malaysia dalam laporannya bertajuk “Kedah tunduk tekanan DAP”.

“Semua ini akan ditentukan dalam perbincangan antara pentadbiran kerajaan negeri dengan pengusaha terbabit nanti,” katanya semalam yang turut menerima kunjungan wakil Dewan Perhimpunan Cina Kedah yang turut menyerahkan memorandum jawatankuasa penyelaras pengusaha hiburan mengenai isu berkenaan.

Azizan berkata, berikutan perkembangan terbaru itu, isu berkenaan boleh dianggap selesai dengan pihak yang terlibat hanya perlu menunggu arahan terbaru daripada pihak pentadbiran negeri selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha pusat hiburan dalam tempoh sehari dua lagi.

Mengenai kata dua yang diberikan DAP supaya PAS khususnya kerajaan negeri Kedah menarik balik larangan operasi terhadap 13 jenis pusat hiburan sepanjang bulan Ramadan, Azizan berkata, beliau tidak mahu menjawab mengenainya kerana tidak mahu perkara itu berlarutan.

Katanya, sebagai orang lama dalam politik, beliau dan DAP perlu menyelesaikan isu berkenaan secara dalaman dan bukan menggunakan media untuk mencari jalan penyelesaian.

“Saya pun dikira sebagai orang lama dalam politik dan DAP pun orang lama, biar selesai atas semangat pakatanlah. Tak payah kita masuk surat khabar. Surat khabar bukan untuk penyelesaian.

“Apa yang dia orang (DAP) kata itu, dia katalah... saya tidak mahu kata apa,” kata Azizan menjelang mesyuarat PAS pusat hari ini dan kepimpinan Pakatan Rakyat Selasa ini.

Keputusan itu dibantah oleh MCA dan Gerakan.

The Malaysian Insider pagi tadi membawa laporan bahawa Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua mencadangkan partinya keluar perikatan tiga tahun Pakatan Rakyat ekoran isu terbaru ini.

Semalam, Setiausaha Politik kepada Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor berkata Menteri Besar Kedah tetap kekal dengan keputusan kerajaan negeri yang mahu melaksanakan secara sepenuhnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997, yang melarang pusat-pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.

“Ustaz (Menteri Besar) Azizan tidak akan berundur! Itulah pendirian beliau dalam isu ini dalam nada yang sangat tegas.

“Saya yakin seluruh umat Islam akan berdiri teguh di belakang beliau dalam menangani isu ini. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” kata Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Kenyataan ini dikeluarkan sehari sebelum Azizan diminta PAS pusat memberi penjelasan kepada jawatankuasa kerja parti itu.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub semalam memberitahu The Malaysian Insider bahawa parti itu PAS mahu Azizan memberi penjelasan kepada jawatankuasa kerja pusat parti itu hari ini rasional larangan penuh ke atas operasi pusat-pusat hiburan semasa Ramadan.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Azizan tidak dapat hadir sebaliknya akan menghantar wakil ke mesyuarat pagi ini.

Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata perkara tersebut akan dibangkitkan pada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat minggu depan.

Minggu lalu, Azizan berkata enakmen itu bukan sesuatu yang baru, sebaliknya telah diperkenalkan 14 tahun lalu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam kenyataannya, Sanusi yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah menambah, Kelantan yang diperintah oleh PAS juga telah melaksanakan polisi seumpama itu sejak 20 tahun lalu, dan masih berlanjutan hingga ke hari ini.

“Mengapa MCA Kelantan tidak melompat seperti di Kedah. Kenapa MCA tidak meghasut masyarakat Siam yang ramai di negeri itu untuk memberontak?

“Jelaslah bantahan dan tentangan ini bukan berasaskan hak asasi, ketidakadilan kerajaan atau tuntutan supaya menghormati budaya masyarakat bukan Islam,” kata beliau sambil menambah, bantahan seumpama itu berteraskan kepentingan politik MCA dan BN.

“Cuma di Kedah, racunnya juga meresap ke dalam DAP,” kata Sanusi -tmi

ISU HIBURAN DI KEDAH: JANGAN CENGEI SANGAT?

Dimana peranan Majlis Pakatan Rakyat Kedah, perlunya keputusan yang agak sensitif ini dipersetujui oleh ahli majlis pakatan rakyat kita jangan menjadi Ego untuk melaksanakan undang-undang tanpa keredaan ahli-ahli majlis itu sendiri. Memang kita ada kuasa dan mandat yang cukup untuk melaksanakan perkara-perkara tersebut jadi kita harus berubah jangan ikut perangai BN main hentam sahaja.

Perlu ingat kita menang di Kedah BUKAN disokong oleh parti kompenen PR sahaja hanya lebihkurang 25% sahaja yang ahli parti PR menyokong yang lain penggundi atas pagar yang tidak yakin dengan BN lagi selebihnya rakyat Kedah yang tidak jadi ahli parti mana-mana. Sekurang-kurangnya persetujuan di peringkat Majlis PR hendaklah dibuat, disusuli majlis dailog dan penerangan dibuat ambil pendapat-pendapat peniaga yang terlibat juga perlu diberi notis awal untuk peniaga mencari alternatif lain bagi mengurangkan kejejasan pendapatan mereka.

Lapuran dari Malaysian Insider menggenai ketidakpuashati ahli PR, DAP

Pusat hiburan: Pemimpin DAP syor keluar Pakatan jika Kedah ‘berkeras’

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Meskipun wujud hubungan mesra dan kukuh, Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua mencadangkan partinya keluar perikatan tiga tahun Pakatan Rakyat ekoran isu penguatkuasaan penuh enakmen melarang operasi pusat-pusat hiburan di Kedah ketika bulan Ramadan.

Pemimpin-pemimpin DAP membincangkan idea itu pada pemukiman mereka semalam, yang dilihat kemungkinan akan membawa kepada berulangnya perpecahan dalam kerjasama dengan PAS-DAP dalam perikatan Barisan Alternatif pada 2001.

Pua (gambar) melahirkan rasa tidak puas hati menerusi Twitter semalam dengan berkata, beliau berpandangan DAP tidak wajar berada dalam Pakatan Rakyat jika keprihatinan dan kebimbangan pihaknya tidak diambil kira oleh kerajaan negeri dalam isu semasa ini.

“(Kami) tidak mahu jadi macam MCA atau Gerakan dalam BN,” kata wakil rakyat ini.

Bagaimanapun ketika dihubungi The Malaysian Insider, Pua enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dengan berkata ia hanya pandangan peribadi, bukannya pendirian rasmi parti.

Pun begitu katanya, perkara tersebut ada dibincangkan pada sesi pemukiman DAP di Seremban semalam dan akan dibincang secara mendalam pada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat Selasa ini.

Pandangan itu dikeluarkan di sebalik laporan media bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abu Bakar tetap kekal dengan keputusan kerajaan negeri yang mahu melaksanakan secara sepenuhnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997, yang melarang pusat-pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.

“Ustaz (Menteri Besar) Azizan tidak akan berundur! Itulah pendirian beliau dalam isu ini dalam nada yang sangat tegas.

“Saya yakin seluruh umat Islam akan berdiri teguh di belakang beliau dalam menangani isu ini. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” kata Setiausaha Politik kepada Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor.

Kenyataan ini dikeluarkan sehari sebelum Azizan diminta PAS pusat memberi penjelasan kepada jawatankuasa kerja parti itu.

Laporan The Malaysian Insider semalam memetik Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, PAS mahu Azizan memberi penjelasan kepada jawatankuasa kerja pusat parti itu hari ini rasional larangan penuh ke atas operasi pusat-pusat hiburan semasa Ramadan yang bermula bulan depan.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Azizan tidak dapat hadir sebaliknya akan menghantar wakil ke mesyuarat pagi ini.

Azizan juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata perkara tersebut akan dibangkitkan pada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat minggu depan.

Keputusan itu dibantah oleh MCA dan Gerakan.

Baru-baru ini Azizan berkata enakmen itu bukan sesuatu yang baru, sebaliknya telah diperkenalkan 14 tahun lalu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam kenyataannya, Sanusi yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah menambah, Kelantan yang diperintah oleh PAS juga telah melaksanakan polisi seumpama itu sejak 20 tahun lalu, dan masih berlanjutan hingga ke hari ini.

“Mengapa MCA Kelantan tidak melompat seperti di Kedah. Kenapa MCA tidak meghasut masyarakat Siam yang ramai di negeri itu untuk memberontak?

“Jelaslah bantahan dan tentangan ini bukan berasaskan hak asasi, ketidakadilan kerajaan atau tuntutan supaya menghormati budaya masyarakat bukan Islam,” kata beliau sambil menambah, bantahan seumpama itu berteraskan kepentingan politik MCA dan BN.

“Cuma di Kedah, racunnya juga meresap ke dalam DAP,” kata Sanusi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...