05 Mac 2013

KEGANASAN DI SABAH BERPUNCA DARIPADA MAHATHIR




Oleh : DATUK SERI WILFRED BUMBURING

SAYA menyokong penuh cadangan dan gesaan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan memanggil satu sessi perbincangan meja bulat peringkat Parlimen untuk mencari penyelesaian terhadap pencerobohan oleh anasir asing di Lahad Datu yang kini sudah menular ke daerah lain di Sabah.

Dalam hal sama, kerajaan Negeri Sabah juga harus berbuat demikian melalui Jawatankuasa Keselamatan di peringkat negeri yang turut melibatkan kerajaan dan pihak pembangkang.

Saya juga menyeru kepada kerajaan untuk memberikan maklumat serta merta dan tepat kepada rakyat mengenai perkembangan sebenar dan terkini dan jangan membiarkan rakyat bergantung kepada berita dari luar negara; khususnya berita melalui talian dari Filipina yang saya pasti tidak memberikan maklumat sebenar yang memihak kepada negara kita.

Bagi pihak rakyat Malaysia di Sabah, saya menyalahkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir sebagai satu-satunya orang yang bertanggungjawab kepada keadaan yang dihadapi oleh rakyat Sabah sekarang akibat daripada Projek IC yang dimulakannya; di mana ribuan rakyat asing telah diberikan kad pengenalan, terutamanya mereka yang datang dari Filipina sama secara sah atau tidak atas alasan yang hanya dia sendiri yang tahu.

Saya juga sama sekali tidak setuju dengan kenyataan beliau yang mengatakan bahawa pasukan keselamatan kita tidak melepaskan tembakan ke arah pengganas atas alasan mereka adalah Islam. Pandangan beliau ini bertentangan dengan pendirian yang diambil oleh pihak berkuasa ke atas insiden Memali and puak Al-Maunnah di Sauk dan kenyataan yang beliau keluarkan merupakan satu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia secara keseluruhan dan orang Sabah secara khusus.

Keadaan di Lahad Datu sepatutnya boleh dikawal dan kehilangan nyawa di kalangan anggota keselamatan kita boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa telah mengambil langkah yang sama.

Pencerobohan oleh anasir asing dan seterusnya kehilangan nyawa di kalangan warga kita boleh dianggap sebagai satu tindakan menyerang kedaulatan negara kita dan satu cabaran langsung yang ditujukan kepada DYMM Yang DiPertuan Agong.

Oleh itu segala usaha seharusnya telah diambil secara langsung bagi menangani masalah ini. Kegagalan dalam menangani krisis ini secara serta merta menunjukkan bahawa sememangnya kerajaan persekutuan telah gagal untuk melindungi kita dari pencerohohan anasir asing.

Sehubungan dengan perkara ini, saya menyeru kepada semua pihak untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan kita untuk menjalankan tugas mereka dalam mempertahankan kedaulatan kita dan saya juga menyeru kepada semua pihak untuk tidak menyebarkan maklumat yang mungkin akan menjejaskan operasi yang mereka jalankan.
Saya sesungguhnya bersimpati dengan keluarga wira kita yang telah terkorban; kehilangan nyawa seperti ini boleh dielakkan sekiranya kerajaan persekutuan telah mengambil tindakan pantas sebaik sahaja kedaulatan negara kita berhadapan dengan ancaman sepertimana yang telah berlaku di Lahad Datu.

Saya juga menyuarakan rasa turut sedih dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga anggota keselamatan yang telah terkorban dan berdoa agar mereka tabah menghadapi suasana yang menyedihkan ini. Inilah doa ikhlas dari saya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...