27 Jun 2013

Protes mendesak SPR meletak jawatan, SAMM Ambil Tanggungjawab Penuh

Kenyataan Media
27 Jun 2013

Dari Padang Merbok ke Parlimen: SAMM Ambil Tanggungjawab Penuh

Berkenaan protes berkhemah di Padang Merbok dan protes di depan Parlimen, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil tanggungjawab penuh dengan beberapa ketegasan, adalah seperti berikut;

1. Aksi protes bermula di Padang Merbok selepas himpunan Black505 dan kemuncaknya di depan Parlimen pada pagi 24 Jun 2013 ini tidak ada kena mengena dengan boikot angkat sumpah. Pihak media telah mengalih isu sebenar iaitu Protes mendesak SPR meletak jawatan.

2. Tujuan utama aksi depan parlimen ialah untuk asak ahli parlimen secara serius membawa isu penipuan SPR, SPR harus dibubarkan dan SPR baru harus ditubuhkan di bawah Parlimen dan bukan lagi sekadar kakitangan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

3. Sebaik sahaja himpunan KL622 yang diterajui oleh Pakatan Rakyat dan Gabungan NGO Suara Rakyat 505 tamat sekitar jam 6 petang, SAMM bersama beberapa NGO dan kumpulan anak muda, mahasiswa telah memutuskan untuk berkhemah di Padang Merbok bagi memanjangkan protes seterusnya memperhebat tekanan terhadap SPR supaya undur. Semuanya berjalan dengan baik, aman, bersih dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

4. Segalanya berjalan lancar, pihak organisasi dan individu menjalin kerjasama yang baik demi matlamat SPR letak jawatan, sehinggalah pada malam kedua jam 4.30 pagi, ratusan anggota DBKL bersama sejumlah anggota polis bersenjata automatik telah menyerang, merampas khemah termasuk barang-barang yang ada di dalam khemah ketika ada yang sedang tidur di dalamnya. Ada yang ditendang dan dikasari. Namun tahniah kepada semua kerana mengikut arahan untuk tidak melawan dan menyerahkan khemah dengan aman kerana fokus utama bukan DBKL atau polis tetapi SPR.

5. SAMM pelik mengapa kejadian ini boleh berlaku sedangkan sekitar jam 1 pagi sebelum itu saudara Arulchelvam,setiausaha PSM selaku wakil perunding telah mendapat persetujuan dari penguatkuasa untuk mengosongkan Padang Merbok pada jam 8 pagi tersebut (24 Jun). Ketika khemah dirampas semua terkejut namun semua bersikap tenang dan hampir 500 orang bertahan di Padang Merbok hingga pagi.

6. Tepat jam 8.45 pagi, semua peserta protes bergerak menuju ke Parlimen membawa pelbagai sepanduk. Ketika sampai di jalan masuk Parlimen, kelihatan OCPD Dang Wangi dan sejumlah anggota polis yang agak ramai telah bersedia. Protes diputuskan dalam bentuk duduk dan bantah. Mahasiswa diketuai Safwan telah putuskan melahirkan rasa kecewa dengan berbaring di tepi jalanraya beramai-ramai.

7. Peserta protes telah memutuskan untuk menghantar sebuah memorandum kepada wakil ahli parlimen dari pihak kerajaan dan pihak Pakatan Rakyat. Dalam perbincangan awal, seramai 10 wakil dari demonstran telah dipilih untuk memasuki parlimen. Keadaan panas berjerebu di luar parlimen tidak halang demonstran menunggu namun setelah lebih satu jam menunggu telah menimbulkan curiga. Maka Pengerusi SMM Safwan Anang telah ambil keputusan mengajak semua demonstran cuba menghampiri pagar parlimen untuk menyerahkan memorandum tersebut.

8. Tidak dinafikan berlaku asak mengasak apabila gerakan untuk hampiri parlimen dihalang. Namun tindakan pihak polis yang mula memukul demonstran telah mengundang kemarahan anak muda yang sejak jam 4.30 pagi dikasari dan barangan mereka dicuri.

9. Beberapa teman mahasiswa ditangkap, ia bukan salah kami malah pihak polis terlebih dahulu mengasari dan memukul demonstran. Kami mendesak agar teman mahasiswa dibebaskan tetapi permintaan ini dibalas dengan kekerasan pihak polis. Beberapa anggota polis juga kelihatan bertindak seperti gangster, berlagak sombong dengan bergerak seorang diri cuba untuk menangkap peserta demonstran. Mungkin ketika inilah berlakunya pergelutan yang menyebabkan anggota polis tercedera.

10. Kami juga berjaya merakam gambar anggota polis berbaju seperti demonstran seperti tshirt black out 505, ABU dan SAMM.

11. Akhirnya saya cuba tenangkan keadaan dan desak polis supaya tidak bertindak ganas, namun ia tidak berjaya apabila seorang demi seorang anak muda diberkas dengan cukup kasar sehingga ada yang retak kaki akibat dipijak.

12. Maka untuk memastikan keselamatan teman-teman, untuk memastikan keadaan reda, saya sendiri bersama teman lain meluru ke arah OCPD, membenarkan diri ditahan dengan syarat polis hentikan memukul demonstran. Tindakan saya dan teman - teman juga bagi memastikan tangkapan berhenti dikasari dan dilayan baik.

13. Walaupun tidak melawan tetapi ketika dalam perjalanan ke trak polis, saya sendiri terus dikasari dengan pukulan curi walaupun langsung tidak melawan. Malah salah seorang seorang warga emas iaitu aunty Annie (70 tahun) turut ditendang dan terjatuh di depan tangga trak.

14. Apapun bagi SAMM, penguasa DBKL dan anggota polis sebenarnya juga adalah mangsa yang diperalat oleh arahan sebuah kerajaan minoriti yang menang di atas penipuan pilihanraya yang dibantu SPR. Kami tidak mahu teralih isu. Isunya kini ialah majoriti rakyat tolak keputusan PRU. Kami protes bukan atas arahan mana-mana politikus, tetapi kami menzahirkan rasa hati rakyat yang menentang penipuan pilihanraya.

Faktanya ialah, majoriti pengundi telah menolak Barisan Nasional, BN hanya menang dengan penipuan, BN terus berkuasa dengan penipuan, BN terus rakus menjajah negara ini dengan penipuan. Semua ini dalangnya adalah SPR dan rakyat wajib bangkit memastikan SPR dihumban.

Kami buktikan, gerakan menuntut SPR undur harus lebih keras dari biasa.

CHE'GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...