Suaram berkata sepina akhirnya telah disampaikan kepada salah seorang daripada saksi-saksi yang dicadangkan oleh badan hak asasi manusia itu untuk membantu siasatan kehakiman Perancis berhubung dakwaan tuduhan rasuah dalam pembelian dua kapal selam Scorpene daripada syarikat pertahanan laut Perancis, DCNS.

NONE"Siasatan itu sedang berjalan dan kami telah dibenarkan untuk memaklumkan kepada anda bahawa sepina pertama telah sampai kepada saksi pertama.

"Tetapi buat masa ini, saya tidak boleh memberitahu anda siapakah saksi itu atau bila sepina itu diserahkan. Kami perlu mengikuti prosiding mahkamah dan hanya boleh memetik nota mahkamah," kata ahli sekretariat Suaram, Cynthia Gabriel (kiri) di sebuah forum di Petaling Jaya malam tadi.

Jun lalu, Suaram berkata peguamnya di Perancis sedang dalam proses menyampaikan sepina kepada Jasbir Singh Chahl, yang dikatakan menjadi orang penting dalam pembelian kapal selam Scorpene itu.

Bagaimanapun, Jasbir menafikan telah menerima sebarang sepina.

Ditanya selepas forum tersebut sama ada sepina kali ini diserahkan kepada Jasbir, Cynthia hanya tersenyum tetapi enggan mendedahkan identiti saksi tersebut.

Bagaimanapun, Cynthia mengesahkan bahawa sepina itu telah disampaikan kepada salah seorang daripada tujuh saksi yang ia cadangkan kepada mahkamah Perancis yang menyiasat urusan pembelian Scorpene itu.

Enam lagi saksi yang dicadangkan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak (kanan); Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi; penyiasat persendirian P Balasubramaniam; orang kepercayaan Najib, Abdul Razak Baginda; isterinya - Mazlinda Makhzan dan bapa Razak - Abdul Malim Baginda.-MK