03 Oktober 2012

2 pasukan siasat mayat Yasser Arafat



2 pasukan siasat mayat Yasser
RAMALLAH- Penyiasat dari Perancis dan Switzerland akan menjalankan siasatan bersama dalam mencari punca kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat.
Pegawai Palestin berkata, kubur Yasser akan digali semula - pada tarikh yang dirahsiakan - bagi memberi peluang kepada setiap penyiasat mengambil sampel sebelum ujian keracunan dijalankan. Katanya, kedua-dua pasukan akan bekerja berasingan bagi pihak balu Yasser, Suha Arafat, dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dengan kedua-dua pihak meragui siasatan antara satu sama lain. Desakan untuk menyiasat semula kematian Yasser pada 2004 timbul selepas sebuah makmal di Switzerland menemui kesan polonium-210, sejenis isotop radioaktif berbahaya, pada pakaian pemimpin terbabit.
Penemuan itu mencetuskan keraguan sama ada Yasser mati akibat diracun. Pasukan Perancis dianggotai penyiasat jenayah yang bertindak atas permintaan Suha, manakala PA menjemput penyiasat dari makmal Switzerland.
Kematian Yasser di sebuah hospital di Perancis pada 2004 kekal misteri.
Walaupun punca kematian itu dilaporkan sebagai serangan jantung, punca insiden itu kekal kabur dan mendorong timbul beberapa teori mengenainya, termasuk kemungkinan Yasser menghidap kanser, Aids atau diracun. Hubungan Suha dengan Presiden PA, Mahmoud Abbas, memang dingin sejak lama dulu dan siasatan kematian Yasser berpotensi menjadi persengketaan politik dan meningkatkan kecurigaan di antara kedua-dua mereka.
- AP

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...