26 Oktober 2012

Panas ! Pembantu bekas ketua bahagian ditumbuk dan ditendang juga dihalang masuk kawasan !!!


PASIR PUTEH: Kemunculan semula bekas ketua Umno bahagian Pasir Puteh, Datuk Kamaruddin Mohd Noor dengan agenda keluar masuk kampung difahamkan tidak disenangi kepimpinan Umno sekarang.

Malah mereka dikatakan cuba menghalang pergerakan Kamaruddin dengan menghantar “orang suruhan” mengganggu bekas pemimpin terbabit. 
Pada 12 Oktober lalu rombongan Kamaruddin cuba dihalang empat lelaki ketika menziarahi penduduk di Kampung Panggong, Dun Limbongan Pasir Puteh.

Pada kejadian itu beberapa saksi memberitahu pembantu bekas Adun Semerak itu didatangi empat lelaki ketika Kamaruddin makan pagi bersama penduduk kampung di sebuah kedai kopi.

"Salah seorang terus mendekati pembantunya dan cuba menarik tangan supaya masuk ke dalam sebuah kereta jenis Perdana V6 dengan alasan untuk berbincang.

“Saya mendengar pembantu itu menolak dengan baik pelawaan tersebut. Bagaimanapun salah seorang lelaki berteriak dengan keras supaya pembantu itu pergi juga berbincang dalam kereta.
"Tiba-tiba lelaki itu menendang di bahagian depan kaki pembantu berkenaan sambil menghamburkan pelbagai cemuhan. Dia juga mengeluar kata-kata kesat kepada Kamaruddin,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau yang enggan dikenali berkata, ekoran insiden itu Kamaruddin bersama isterinya Datin Siti Fatimah Iskandar dan pembantunya beredar meneruskan ziarah warga emas di Kampung Bukit Tanah, Selising. Bagaimanapun menurutnya tidak lama kemudian empat lelaki tadi sampai di mana seorang daripadanya cuba merampas kamera dipegang pembantu tadi, namun gagal.

"Bila dia gagal merampas kamera lelaki itu mahu menumbuk pembantu Kamaruddin tetapi gagal kerana sempat ditepis beberapa kali,” dakwa beliau.

Bagaimanapun pembantu terbabit yang juga enggan dikenali ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak dilaporkan kepada polis. Beliau juga memberitahu sebelum kejadian berlaku Kamaruddin dan isteri menziarahi seorang penduduk yang hendak menunaikan ibadat haji di Kampung Gong Serai.

Kamaruddin difahamkan mempunyai hubungan rapat dengan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, disebut-sebut bakal calon BN di kerusi parlimen Pasir Puteh.


Bagaimanapun kelibat Kamaruddin dikatakan tidak disenangi ketua bahagian sekarang, Zawawi Othman, seorang bekas guru yang dianggap mencabar kedudukannya. Menurut sumber lain pula kemunculan semula Kamaruddin yang dilihat ramai lebih rapat dengan akar umbi membuatkan Umno Pasir Puteh sekarang bergolak semula. -HD

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...