02 Februari 2012

TERKINI: PARTI KITA DIBUBARKAN -ZAID IBRAHIM


KUALA LUMPUR, 2 Feb — Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang dipimpin Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengumumkan pembubarannya.
Pengumuman tersebut dibuat di laman sesawang rasmi parti berkenaan hari ini.

"Keputusan ini perlu dibuat untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa kami tidak memihak kepada pembangkang, terutama dengan beberapa anggota-anggota kami di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka yang mengkritik Pakatan Rakyat.

"Mereka telah melakukan perbuatan ini secara berterusan. Ini jelas membuktikan bahawa mereka tidak berminat dalam isu-isu sebenar yang memberi kesan kepada negara dan semata-mata mahu memalukan dan mencemuh pihak pembangkang," tegas Zaid dalam kenyataan di laman sesawang rasmi parti Kita.

Tambahnya, peranan media yang dilihat yang lebih berminat melaporkan isu-isu remeh yang memberi kesan kepada parti akan terus memberi kesukaran kepada parti tersebut.

"Cukup ramai orang di luar sana yang hanya berminat dalam mengkritik kepimpinan saya di dalam Kita, dan yang menggemburkan cerita-cerita dengan tujuan untuk mencemuh saya," tambah Zaid.

"Saya telah membuat banyak kesilapan dalam hidup saya tetapi saya tidak tawar hati. Saya tetap yakin bahawa perubahan akan datang untuk kebaikan negara ini dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya di dalam mencapai tujuan itu," tegasnya lagi.

Selain itu, menurut Zaid, ideanya untuk menubuhkan sebuah parti politik yang menyokong idea-idea yang sederhana dan progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban kepada wacana politik telah gagal.

"Saya tidak berjaya membawa masuk anggota-anggota yang cukup berminat dalam cita-cita bagi mencapai demokrasi, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti di kalangan pegawai-pegawai awam.

"Saya juga tidak dapat mengumpul dana yang mencukupi untuk menguruskan aktiviti-aktiviti parti, dan teman-teman yang telah berjanji untuk membantu telah akhirnya memutuskan untuk menarik balik," tambahnya.

Zaid turut menjelaskan, beliau juga tidak akan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mempercayai bahawa kenikmatan dalam memberi perkhidmatan kepada awam, kerana negara mampu menjalankan perkhidmatan ini dengan kehormatan dan maruah.

Di akhir kenyataannya itu, Zaid membuat permohonan maaf kepada ahli-ahli parti yang masih setia dengan partinya itu dan beliau menyatakan, kemandirian demokrasi bergantung kepada daya maju pembangkang itu sendiri.

"Sekiranya ia dimusnahkan, seperti yang ingin diperlakukan oleh Barisan Nasional (BN) — maka tidak akan ada demokrasi, tiada kebebasan dan tiada dasar-dasar yang bersifat sederhana lagi," jelasnya.

Kita dilancarkan Januari lalu dengan moto “moderat, demokratik dan liberal.” Ia sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Malaysia.

Parti itu digerakkan selepas Zaid keluar PKR akhir tahun lalu selepas mendakwa wujudnya kepincangan dan kecacatan dalam komponen Pakatan Rakyat itu.

BERHUBUNG BERITA TERSEBUT PAKATAN SAMBUT BAIK, BERITA DIBAWAH:

Bubar KITA: Pakatan sambut baik langkah Zaid


KUALA LUMPUR, 2 Feb: Langkah Datuk Zaid Ibrahim mahu membubarkan parti KITA pimpinannya mendapat sambutan hangat para pimpinan Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan ini satu yang bijak untuk melahirkan Malaysia yang bersatu dan adil.

PAS pula melalui Naib Presidennya, Salahudin Ayub berkata, ia bakal mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat.

Zaid dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, KITA akan dibubarkan.


Beliau akan memanggil satu mesyuarat agung luar biasa bagi membincangkan cadangan agar KITA dibubarkan.

KITA dilancarkan secara rasminya pada 19 Januari 2011 oleh Datuk Zaid di Kuala Lumpur.

Zaid menganggap kes ini sebagai “jika sesat di penghujung jalan, kembalilah ka pangkal jalan.”

"Bagi saya, tindakan Datuk Zaid itu sangat membantu Pakatan Rakyat.

"Dengan tindakan ini, ia akan membolehkan Pakatan bergerak tanpa gangguan lagi di tengah jalan," kata Salahudin Ayub kepada Harakahdaily.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...