03 Februari 2012
SMM : Tarik Balik Kenyataan Atau Berdepan Protes 19 Februari
Gombak, 3 Feb : Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini menegaskan pihaknya sudah bersiap untuk menggerakkan protes besar-besaran di hadapan Wisma Darul Aman Alor Setar pada 19 Februari ini jika Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak terus mempertahankan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.
Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, pergerakan itu mengharapkan agar kepimpinan tertinggi Pas dapat menimbang tara dengan sebaik mungkin tuntutan yang dikemukakan oleh mahasiswa ini.
“SMM juga mengharapkan agar pertemuan antara pimpinan tertinggi Pas dan MB Kedah nanti bakal menghasilkan keputusan yang positif,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Azizan jumpa Pas Pusat 12 Februari
Pertemuan Pas Pusat dengan Azizan dijangka akan berlangsung 12 Februari ini, bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu semasa. Pada tarikh itu juga Pas Pusat akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja.
Ahmad Shukri berkata, SMM menyambut baik kesungguhan pimpinan tertinggi Pas yang akan memanggil Azizan minggu depan bagi mencari solusi terbaik terhadap isu semasa.
“SMM tegaskan bahawa mahasiswa masih berpegang pada premis perjuangan yang sama iaitu menentang akta zalim Auku dan sebarang akta yang serupa seperti Akta 555, Akta 174, dan Akta 173.
“Kesemua akta ini bersifat menyekat peluang aktivisme mahasiswa seperti yang terkandung dalam Seksyen 15 Auku dan Seksyen 47 Akta 555.
“Akta ini juga menjadikan IPT seolah-olah hamba pemerintah apabila bidang kuasa yang dimiliki oleh menteri adalah terlalu besar,” katanya lagi.
Mahasiswa sokong inspirasi Buku Jingga
Sehubungan itu kata beliau, mahasiswa menyokong penuh inspirasi Buku Jingga yang menyatakan hasrat pemansuhan Auku sebagai manifesto Pakatan Rakyat (PR) apabila berjaya memerintah persekutuan.
Dalam isu lima pelajar Kuin, katanya, sejak Mei lalu, SMM telah menuntut agar pengurusan kolej selaku IPT milik penuh Kerajaan Negeri Kedah tidak menggunakan Akta IPTS yang serupa seperti Auku dalam menghukumi lima pemimpin mahasiswa yang terlibat dalam konflik Kolej Tahfiz Ar-Razi.
“Namun tuntutan itu tidak diterima bahkan lima mahasiswa tersebut digantung pengajian sehingga dua semester hanya kerana mempraktikkan hak yang dijamin perlembagaan iaitu berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan secara terbuka.
“Perkara ini telah kami bawa kepada pihak yang lebih berautortiti iaitu Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Dato Seri Azizan Razak,” katanya lagi.
Guna budi bicara
Katanya, asas tuntutan yang diberikan kepada Azizan ialah supaya beliau memberi konsultasi kepada Kuin agar tidak mengguna pakai akta ‘zalim’ dalam melayani kebangkitan mahasiswa Kuin.
“Mahasiswa menuntut agar Kuin menggunakan budi bicara dengan tidak menghukum mahasiswa yang terbabit.
“Keadaan tambah keruh apabila MB Kedah bukan sekadar tidak menunjukkan protes terhadap akta zalim ini, bahkan beliau sendiri mengeluarkan kenyataan-kenyataan pro-Auku dan Akta 555,” katanya sambil menambah, kenyataan-kenyataan itu mempamerkan seolah-olah Menteri Besar Kedah tidak menghormati agenda perjuangan mahasiswa yang selama ini turut diperjuangkan oleh gerakan rakyat lain termasuk parti parti politik.
Tambah beliau, hukuman dikenakan terhadap lima mahasiswa tersebut merupakan satu pencabulan hak asasi yang perlu diperbetulkan pada masa akan datang.
Kes pelajar-pelajar terbabit sudah difailkan di mahkamah.
Kemuka tiga tuntutan
“Apa yang lebih penting ialah akta yang menjadi punca kepada penganiayaan terhadap mahasiswa ini perlu ditentang oleh semua pihak bagi memastikan tragedi Kuin lima tidak berulang.
“Oleh itu, menyambut inisiatif Pas, SMM ingin mengemukakan beberapa tuntutan dengan harapan pimpinan tertinggi Pas boleh menerima idea pandang yang diutarakan oleh mahasiswa,” katanya lagi.
Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan ialah:
- SMM mengharapkan agar Pimpinan Tertinggi Pas boleh turut melibatkan wakil mahasiswa dalam pertemuan dengan MB Kedah yang akan diadakan nanti.
- SMM menuntut agar MB Kedah bersedia untuk menarik balik semua kenyataan beliau yang memihak kepada akta zalim Auku dan Akta 555.
- Mahasiswa menutut agar MB Kedah memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Kedah menjamin hak aktivisme mahasiswa dan rakyat secara keseluruhannya seperti mana yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang.
SMM dalam kenyataannya juga menyatakan hukuman yang dikenakan terhadap 5 mahasiswa tersebut merupakan satu pencabulan hak asasi yang perlu diperbetulkan pada masa akan datang.
“SMM meletakkan kepercayaan penuh kepada peguam Hanipa Maidin yang sedang mewakili 5 mahasiswa berkenaan dalam proses mencabar keputusan KUIN itu di mahkamah.
“Samada mahasiswa menang atau kalah, SMM menganggap ialah hanyalah isu teknikal.” - GZDaily
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan