12 September 2011

Pemimpin Umno melondehkan(seluar) hipokrit sendiri di khalayak ramai

Fakta sejarah: PAS bidas ‘bomoh Umno’ kelirukan rakyat, ahli sendiri

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Sambil membidas “bomoh Umno” nampaknya menentukan bahaya atau tidak seseorang, PAS berkata, rakyat dan ahli Umno sendiri bertambah keliru dengan percaturan politik pemimpin parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

“Rasanya bukan rakyat sahaja, bahkan ahli-ahli Umno turut keliru dengan permainan politik pemimpin Umno yang sendiri melondehkan hipokrit sendiri di khalayak ramai,” kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini.

Kata beliau, apabila terbongkarnya fakta bahawa parti Umno telah mengadakan hubungan dengan Parti Komunis Cina (PKM) dengan menandatangani perjanjian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetiba membuat kenyataan bahawa “komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu.”

“Jika kita mengikut logik Perdana Menteri, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara.

“Sekiranya rakyat mengikut logik Perdana Menteri yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga membidas kepimpinan Umno-BN dengan berkata, mungkin atas logik tersebut juga rasanya, sebab utama beliau sedia berbesan dengan anak pemimpin Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia.

“Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bila mana dalam ambang perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin (Parti Sosialis Malaysia) PSM dalam Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis.

“Bukankah ini melanggar logik Najib sendiri?” kata Tuan Ibrahim.

Justeru soal beliau, sebab kalau komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu, kenapa pula mereka ditahan di bawah Ordinan Darurat?

“Seolah-olah kalau Umno yang mengadakan hubungan dengan komunis, maka komunis itu komunis baik; kalau parti lain asalkan bukan Umno, maka komunis itu komunis jahat.

“Maka, sesiapa yang nak mengadakan MoU dengan mana- mana kumpulan parti yang dianggap komunis, kena tanya Umno dahulu kerana hanya Umno dapat membezakan mana komunis baik, mana komunis yang bahaya,” katanya lagi.

Beliau seterusnya berhujah, “kalau nak tahu sesuatu negara itu dijajah atau tidak kena tanya pula Majlis Profesor Negara (MPN) atau mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Rasanya MPN dan Dr Mahathir sajalah yang tepat boleh menentukan siapa yang secara teknikalnya kena jajah, siapa negara yang naungi saja. Jajah secara zahir, di mana kekayaaan hasil bumi negara seperti bijih timah dirakus adalah tidak sah secara teknikal, maka sesiapa yang jawab sebegini dalam ujian Sejarah patut diberi markah kosong,” tambah beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini juga berkata bila mana MPN membuat kesimpulan bahawa negara tidak pernah dijajah, ini bermakna sesiapa yang lawan orang putih dulu, sebenarnya ia lawan orang Melayu.

“Cuma kalau nak tahu orang Melayu ini bahaya ataupun tidak, ini pun kena tanya Umno dulu. Bomoh Umno akan telek dalam air pinang, dan umum untuk pengetahuan dunia adakah Melayu ini bahaya atau tidak.

“Kalau Melayu itu kehijau-hijauan, maka segala daripadanya adalah bahaya dan mengancam Umno, kalau Melayu tu kebiru-biruan maka ia Melayu yang baik, maka keistimewaan diberi – segala untuknya halal, bagi orang lain akan jadi haram,” kata beliau.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...