16 September 2011

SELANGOR, PEPERANGAN PALING SUKAR PRU-13

S’gor, Medan Paling Sukar Pada PRU Akan Datang?


Selangor, dikatakan negeri terkaya di negara ini, merupakan permata berharga yang bakal menjadi rebutan di antara pembangkang dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Namun, untuk memenangi negeri itu bukan tugas mudah, sama ada di pihak BN mahupun pakatan PAS-PKR-DAP.

Berikutan desas desus bahawa pilihan raya umum bakal diadakan bila-bila masa, penganalisis turut memberi tumpuan pada Selangor dan meramalkan agak sukar bagi pembangkang mengekalkan negeri itu manakala BN akan berdepan tugas getir untuk menawannya semula.

Penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian berkata bukan lagi rahsia bahawa BN menumpukan banyak usaha untuk menawan semula negeri itu.

“Dengan landskap politik dinamik di Selangor, kini lebih maju dan moden dengan golongan muda menjadi pengundi, pastinya sukar bagi mana-mana pihak untuk memenangi undi. Saya percaya Konvensyen BN Selangor akan datang pada 17 Sept akan memberikan panduan mengenai bagaimana Umno bakal menghadapi cabaran itu.

“Walaupun terdapat banyak isu menyelubungi pentadbiran kerajaan negeri sekarang, persoalannya ialah adakah Umno berjaya meminimumkan isu yang melandanya di peringkat negeri? Adakah parti telah mengenal pasti panglima untuk mengetuai dan menyatukan pasukan?” katanya.

“Panglima” itu boleh jadi sama ada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar atau ketua pembangkang Selangor Datuk Mohamad Satim Diman, dua pemimpin yang dilihat berupaya mengetuai Umno negeri.

Namun, kata Dr Sivamurugan, Umno juga boleh memilih seseorang di luar kelompok mereka iaitu “seseorang yang mampu menyatukan semua kumpulan”.

Konvensyen akan datang, katanya mesti menumpukan kepada mengenai perlunya untuk bersatu demi untuk menawan semula negeri itu.

“Buat masa ini, jika anda minta saya nilai keadaannya, saya akan katanya masih 50-50. Bakal menyaksikan persaingan sengit sehingga ke akhir. Terdapat terlalu banyak kawasan “campuran”.

Dr Sivamurugan berkata walaupun jentera BN Selangor dilihat bekerja dengan baik, hakikatnya ialah persaingan pasti sengit kerana ia perlu berdepan dengan “pendekatan populis” yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Kerajaan negeri pimpinan PKR juga sudah memiliki semua jentera yang mereka tidak mempunyai akses langsung pada pilihan raya umum 2008, katanya.

“Ini merupakan perkara paling utama dan mencabar yang perlu dihadapi BN,” katanya.

Tony Pua, Ketua Publisiti DAP dan Timbalan Pengerusi DAP Selangor, berkata pada ketika ini kedudukannya ialah 53-47 yang memihak kepada pakatan pembangkang.

Beliau bagaimanapun menzahirkan rasa bimbang dengan pengundi India dan Melayu yang menurutnya memainkan peranan paling penting di kawasan separa bandar.

“Ia bukannya mudah. Kami berasa selesa di kawasan bandar tetapi bukan di kawasan separa bandar, misalnya di tempat-tempat seperti Hulu Selangor dan Kapar (di mana) 10 peratus (sokongan) boleh beralih ke mana-mana pihak,” katanya.

Menjadikan Ijok sebagai contoh, Pua berkata 29 peratus pengundi adalah kaum India dan tanpa isu-isu mendesak seperti yang dibangkitkan oleh Hindraf, kedudukan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh terancam.

Ini amat mencabar bagi pakatan pembangkang di Selangor kerana BN telah melancarkan “serangan” untuk menawan semula negeri itu, katanya.

“Sebab itu kenapa kerusi dengan perbezaan undi yang kecil akan memainkan peranan amat penting. Di Ijok, kami menang dengan majoriti kurang 2,000 undi, Sekinchan dengan kurang daripada 200 undi, Teluk Datuk dengan kurang daripada 700 undi. Kerusi-kerusi yang kami menangi dengan kurang daripada 2,000 undi dianggap kerusi “berisiko”. Ia akan menjadi ibu kepada semua pertarungan, memang tidak dapat disangkal,” katanya.

“Pada 2008, lima hingga 10 kerusi kami kalah dengan kurang 2,000 undi. Terdapat kira-kira 10 hingga 12 kerusi yang kami anggap amat penting pada ketika ini,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Ong Kian Ming melihat senario kedua-dua belah pihak melancarkan strategi tarik tali, menunjukkan wujud kemungkinan pakatan pembangkang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri jika pilihan raya umum ke-13 diadakan sebelum 2013.

Di Pulau Pinang dan Kedah, beliau berkata kerajaan persekutuan dilihat lebih bertolak ansur. Sebagai contoh, perjanjian air dan pemerolehan aset air di Pulau Pinang dilihat lebih memihak kepada negeri. “Tetapi di Selangor, ia berbeza.” katanya.

Negeri itu juga berdepan banyak tekanan politik termasuk senario Abdul Khalid didesak untuk memberi laluan kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Bagaimanapun, BN juga tidak kalis masalah, satu daripadanya ialah mencari pengganti Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, bekas Ketua Umno Selangor.

“Tiada calon yang dapat diterima oleh semua orang,” katanya.

Penganalisis politik Datuk Dr Denison Jayasooria sementara itu berkata cabaran besar bagi BN untuk menawan semula Selangor ialah bagaimana ia dapat menawarkan alternatif kepada pakatan, termasuk pemimpin alternatif kepada Abdul Khalid.

“Apakah rangka kerja alternatif itu? Di manakan BN Selangor? Anda tidak nampak mereka. Khir sudah terkeluar.

“Siapakah akan jadi MB (BN) Selangor ? Mereka tiada pemimpin yang menyerlah. Di Kedah, mereka ada Datuk Muhkriz (Tun Mahathir) dan beberapa yang lain,” katanya dan menurutnya BN patut mengetengahkan pemimpin berpotensi mereka untuk berdepan Abdul Khalid.

Penganalisis Norizan Sharif pula meramalkan akan berlaku pertandingan sengit di Selangor dengan tiada mana-mana parti mampu menang dengan majoriti dua pertiga.

“Setiap pihak, masing-masing boleh menang kira-kira 16 kerusi. Ini pada asasnya bermakna 32 daripada jumlah 56 kerusi negeri. Pertarungan sengit akan berlaku untuk baki 24 kerusi,” katanya dan menurutnya jika BN dapat meningkatkan sokongan popularnya sebanyak 5 peratus, ia mempunyai peluang cerah untuk memenangi semula Selangor.

Norizan berkata beliau percaya tadbir urus dan kewibawaan pemimpin merupakan faktor penting untuk meraih undi.

“Apa yang membimbangkan ialah sekiranya rakyat sudah bosan dengan politik, mereka mungkin tidak akan mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang. Jika ini berlaku, ia akan menjejaskan demokrasi kita.” – BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...