17 September 2011

HARI MALAYSIA: PEMIMPIN SABAH WAJAR DISUMPAH?

PEMIMPIN SABAH WAJAR DISUMPAH?

Oleh: THAMPARREQ KITOES

UPACARA sambutan ulang tahun Hari Malaysia yang jatuh pada setiap 16 September, rasanya kurang lengkap bagi memperingati kelahiran ‘Malaysia’ di bumi Sabah; khususnya di Pedalaman, jika tidak melibatkan upacara menepung tawar; sambil membaharui tekad dan ikrar taat setia kepada janji-janji yang terukir di atas ‘Batu Sumpah’ yang terletak di perkarangan, Urusetia Pejabat Daerah, Keningau.

Batu Sumpah yang dahulunya terletak di atas bukit berdekatan Hotel Perkasa, dibina khas ketika Sabah terutamanya rakyat Pedalaman bersetuju pembentukkan Malaysia pada tahun 1963, yang dipelopori oleh pejuang pejuang politik tempatan seperti mendiang OKK Sedomon Gunsanad, Datuk G.S Sundang, OKK Anthony Undan Andulag, Datuk Anthony Gibon dan banyak lagi.

Sumpah yang tercatat di atas Batu Sumpah itu merupakan cetusan rasa rakyat Pedalaman ke atas keikhlasan mereka terhadap penerimaan kerajaan Malaysia yang menggabungkan tiga wilayah Sabah, Sarawak dan Malaya; (Ketika itu Singapura masih bersama Malaysia tetapi selepas tahun 1965 Singapura mengambil keputusan keluar daripada gagasan Malaysia).

Bagi menyempurnakan keikhlasan mereka (rakyat Sabah), satu janji antara kedua belah pihak termeterai yang meminta pemimpin Malaya tidak memungkiri mahupun menodai 20 Perkara diukir ke atas Batu Sumpah dan disaksikan beberapa ‘Bobolian’; termasuk mengorbankan ayam sebagai ‘Sogit’ untuk mengukuhkan janji-janji tersebut.

Kini Sabah sudah dalam usia selama 48 tahun bersama Malaysia, namun apa yang tersurat di atas Batu Sumpah sudah jelas terabai dan diengkari. Malah terdapat beberapa pemimpin silih berganti sebelum ini; jangankan hendak menjenguk muka ke Batu Sumpah, malah baying-bayang mereka pun langsung tidak kelihatan.

Walhal segala-galanya bermula di sini (Batu Sumpah) yang melakar pelbagai kemewahan mahupun kecemerlangan mereka dalam perniagaan, malah dalam pendidikan termasuklah dalam bidang politik; namun kerdipan lampu neon dan bunga api menjadi pilihan mereka menyambut Hari Malaysia; sebaliknya Batu Sumpah dibiarkan menjadi perhiasan perkarangan Pejabat Daerah Keningau sehingga ke hari ini.

Dalam keghairahan pemimpin hari ini dalam kerajaan, Pemimpin Sanjungan Sepanjang Zaman, Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan tidak melupakan mesej yang terkandung di atas Batu Sumpah; meskipun ketika melahirkan dan memimpin UBF sejak awal 2011, sudah tiga kali beliau mengadakan upacara memperingati Batu Sumpah.

Manakala SAPP pula pertama kali menyertai upacara ini dengan diiringi kira-kira lebih seratus ahlinya, namun barisan pemimpin SAPP yang hadir tidak sahaja terdiri dari pemimpin KDM; sebaliknya jelas kelihatan pemimpin lain seperti Richard Lee seorang Ahli Majlis Tertinggi SAPP, Irene Chan, Rudy Sulaiman Mairi bagi menghormati kewujudan Batu Sumpah.

Meskipun Parti BERSAMA (dulu dikenali Parti SETIA) di bawah teraju kepimpinan Shuhaidin Langkap juga kali pertama menyertai upacara ini, namun dilakukan dengan penuh tradisi termasuk pakaian, tarian dan pukulan gong kerana kesemuanya berdasarkan kebudayaan dari kesukuan etnik Gana.

Pendek kata, kelibat mereka ini telah membuktikan kecintaan mereka terhadap Sabah yang pada realitinya memberi mesej kepada rakyat dan pemimpin Sabah bahawa erti sebenar pengisian sambutan Hari Malaysia adalah terletak kepada apa yang tersurat di Batu Sumpah yang perlu dihormati dan perlu dilaksanakan janji-janji tersebut.

Mesej tersebut juga mempunyai kaitan bahawa senario terbinanya Batu Sumpah di celah lipatan sejarah; sekaligus mengingatkan generasi muda masa kini bahawa itulah bukti catatan sejarah yang tepat penerimaan masyarakat Pedalaman terhadap pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...