12 September 2011

Tanah wakaf Chenderong lebih 25,000 hektar,Usaha selesai kes luar mahkamah gagal

Usaha selesai kes tanah wakaf Chenderong luar mahkamah gagal

KUALA LUMPUR, 11 Sept - Nasihat mahkamah agar plaintif dan defendan menyelesaikan kes mencabar status konsesi tanah wakaf Chenderong lebih 25,000 hektar — keluasannya hampir sama dengan bahagian pulau negeri Pulau Pinang, tidak menjadi kenyataan ekoran keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu menolak cadangan dibawa pihak memfailkan tuntutan.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu dimaklumkan bahawa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, yang menguruskan tanah tersebut, menolak cadangan yang diketengahkan oleh plaintif.

Salah seorang peguam plaintif Kamar Ainiah Kamaruzaman berkata, pihaknya menerima makluman daripada peguam defendan bahawa pihaknya memutuskan tidak dapat menerima cadangan plaintif atas alasan apa yang dilakukan mereka selama ini adalah betul mengikut undang-undang.

Ekoran perkembangan itu mahkamah dijadual akan mendengar sepenuhnya kes tersebut selepas ini. Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu mengetengahkan nasihat itu akhir Mei lalu.

"Kami terima makluman daripada peguam Majlis Agama Islam (Terengganu) awal bulan lalu dan perkara ini telah dibawa kepada perhatian hakim hari ini... jadi, kes akan didengar seperti biasa selepas ini," kata Kamar Ainiah tetapi enggan memperincikan cadangan pihaknya dibuat kepada majlis itu.

"Butiran cadangan kami, saya tidak boleh dedahkan, tetapi cadangan (yang dikemukakan) ini berkait satu sama lain, dalam dua hingga tiga muka surat," kata beliau lagi. Seorang lagi peguam plaintif ialah Pawancheek Merican.

Kamar Ainiah juga berkata, mahkamah juga mendengar perkembangan baru hari ini apabila sebuah syarikat iaitu SPPT Development Sdn Bhd mahu bertindak sebagai pencela dalam kes ini.

"Permohonan SPPT hanya dibuat hari ini, kami pun belum menerima dokumen permohonan dan saya pun tidak tahu kandungan permohonan ini.

"Pun begitu, mahkamah akan mendengar permohonan ini pada 20 November ini," kata Kamar Ainiah lagi.

Kamat Ainiah juga berkata mahkamah akan mendengar pada tarikh tersebut sama ada syarikat itu layak untuk menjadi pencela.

"Jadi, mahkamah mahu menyelesaikan permohonan ini dulu, kemudian baru akan mendengar kes asal... mahkamah mahu menyelesaikan satu demi satu," kata beliau lagi.

Pada akhir Mei lalu, The Malaysian Insider difahamkan hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, Datuk Ismail Yahya mahu melihat kedua-dua pihak mengadakan perbincangan terlebih dahulu dan mengemukakan cadangan penyelesaian jika ada untuk dilaksanakan di bawah penyeliaan mahkamah.

“Mahkamah beri tempoh hingga awal September 2011 untuk diadakan perbincangan bersama pihak-pihak yang terlibat dalam tuntutan ini,” kata sumber yang mengikuti prosiding itu Mei lalu.

Kes itu dijadual untuk didengar di hadapan Ismail yang juga ketua hakim Mahkamah Syariah Terengganu selama dua hari akhir Mei lalu dan hakim memutuskan demikian pada 29 Mei.

“Hakim sarankan plaintif berbincang dengan defendan dan peguam dan pihak terbabit serahkan laporan kepada hakim pada 11 September ini, dan jika tiada penyelesaian, maka akan ada perbicaraan penuh... jadi kedua-dua pihak setuju untuk berbincang dan kemukakan cadangan kepada mahkamah,” katanya.

Perbicaraan ini menarik perhatian kerana ia dilihat sebagai kes pertama melibatkan tanah wakaf tunggal terluas di negara ini iaitu 25,379.23 hektar.

Tanah itu yang dikurniakan oleh Sultan Terengganu Almarhum Sultan Zainal Abidin III kepada anakanda perempuan Tengku Nik Maimunah dan suaminya, Tengku Ngah Omar Abdul Rahim Mac 1906, dijadikan tanah wakaf pada 1961.

Tuntutan kes difailkan pada Disember 2008 dan tertangguh selepas beberapa peringkat bantahan awal.

Kes ini dibawa selepas pewaris konsesi tanah wakaf Chenderong ini, yang terletak di sempadan Kemaman dan Kuantan, tidak puas hati dengan cara Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu menguruskan tanah tersebut.

Jumlah pewaris dianggarkan 462 orang, yang hampir kesemuanya merupakan anggota kerabat diraja negeri Terengganu.

Plaintif memohon mahkamah membuat deklarasi bahawa kesemua transaksi berhubung tanah wakaf Chenderong oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu adalah tidak sah di bawah hukum syarak.

Kes ini kali pertama difailkan pada Disember 2008 berdasarkan Seksyen 18(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001- TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...