06 September 2014

ABDUL HADI YANG KURANG DIPLOMASI


Abdul Hadi Awang.

Sejak kelmarin berkicauan berita kononnya akan wujud sebuah parti baru yang akan menjadi alternatif kepada Pas. Siapa empunya cerita dan menjadi tukang bari walahualam. Tetapi kemunculan berita wujud parti baru itu bertunas apabila apa dinamakan satu pertemuan di Kota Bharu pada 31 Ogos lalu. Pertemuan itu bertujuan menubuhkan, atau mengistyharkan penubuhan sebuah NGO bernama PasMa. Sedap juga namanya.

Tujuan penubuhan PasMa adalah sebagai menjadi penghalang kepada usaha pihak-pihak tertentu daripada membawa Pas bekerjasama dengan Umno. PasMa dikatakan akan jadi benteng kepada usaha itu. Kenapa sampai perlu ada PasMa dan kenapakah perlu dihalang?

Apabila diwujudkan sebuah Ngo menjadi penghalang ertinya ada usaha gigih tanpa jemu dan penat lelah untuk membawa Pas berkerjasama dengan Umno. Penubuhan PasMa itu mendedahkan bahawa Pas dalam berkucah dan berbalah dan mengesahkan Pas sedang dievolusikan.



Bukan maksud saya hendak menceritakan fasal PasMa ini, tetapi ingin merujuk kepada kenyataan Presiden Pas Abdul Hadi Awang apabila menjawab pertanyaan berhubung dengan kewujudan PasMa yang didewa-dewakan menjadi parti alternatif kepada Pas itu. Saya perlu menjelaskan sebab kenyataan presiden Pas itu tidak melambangkan ianya suatu pandangan profesional.

Abdul Hadi semasa majlis Dialog dan Penjelasan Isu Terkini di Rusila dilaporkan berkata tidak menghalang sekiranya ada pihak yang ingin menubuh parti baru. Alasan diberikan ialah negara ini mengamalkan demokrasi. Katanya mereka berlainan pendapat dalam Pas kalau hendak tubuh parti baru, baik keluar dan tubuh parti.

"Jadi mereka yang berlainan pendapat dalam PAS ni, dia nak tubuh parti sila, baik dia keluar dia tubuh parti sendiri, senang tak payah duduk dalam," demikian katanya. Pandangan dan pendapat Abdul Hadi itu mendapat reaksi hadirin dengan takbir. Bagaimana mereka yang mengharap Pas menjadi sebuah parti dinamik tentu kecewa dengan pandangan seorang ketua sedemikian.

Memang negara ini sebuah negara demokrasi, sesiapa boleh tubuh parti baru dan menyertai mana-mana parti. Tetapi jawaban oleh seorang presiden sedemikian kurang bijak dan tidak menunjukkan ianya punya taraf diplomasi mengawan. Abdul Hadi tidak seharus menjawab pertanyaan berbentuk provokasi demikian.

Sebagai pemimpin parti berlatar agama beliau seharusnya memberi nasihat atau pandangan ke arah pengukuhan Pas atau jemaah daripada menggesa mereka yang tidak setuju dengan parti agar keluar parti. Sebagai seorang digelar Tokguru, Abdul Hadi seeloknya bertanya kenapa harus tubuh parti baru sedang Pas adalah sebuah parti yang cantik dan indah. Beliau harus melontarkan kepada golongan itu apakah silap dan cacatnya Pas.

Beliau juga sepatutnya mengambil fikiran kenapa sampai ada ura-ura untuk menubuh parti baru. Beliau harus mahasabah dan tilik kepada masalah yang berlaku. Kalau benar ada golongan tidak senang dengan Pas, atau bercanggah pendapat yang besar, beliau perlu menyelidik dan bertanya khabar apakah sebab musababnya. Umpama kita naik basikal kalau handle tidak boleh dipusing tentu adat mana-mana sendiri yang berkarat.

Apabila terus mencadang keluar parti ia menunjukkan Abdul Hadi sebagai seorang pemimpin yang tidak sayang kepada ahli dan melihat pengukuhan parti itu penting. Kebencian seakan senantiasa meniti di bibir mulutnya. Dimanakah hikmahnya beliau selaku pemimpin. Sikap tidak tahu diplomasi dan mudah melautkan orang seperti itu ia tidak memberi keuntungan kepada parti. Kalau kerap sangat menggunting rambut lama-lama kepala akan botak.

Sikap dan stail kepimpinan Abdul Hadi merebak dan menjadi ikutan sesetengah golongan mudah dalam Pas. Ia juga menjadi pegangan dan amalan Pesuruhjaya Pas Terengganu apabila Pesuruhjaya itu (entah nama apa), mencadangkan agar Pas mengambil tindakan memecat dua Adun Pas Selangor yang menyokong Dr Wan Azizah Wan Ismail. Sikap peringus demikian menunjukkan kerendahan daya diplomasi dan politik.

Tindakan dan cadangan demikian langsung tidak menggambarkan mereka arif atau fatanah dalam berpolitik. Mereka lupa dalam sistem politik hantu (sekular) yang diterima pakai oleh Pas, ia memerlukan undi tanpa mengira ianya datang daripada orang fasik, zindik, kafir ataupun mualaf.

Memerhati stail beginilah menjadikan kita tidak hairan kenapa Terengganu gagal dimiliki oleh Pas kerana stail dan sifat sombong begitu. Perbalahan kecil yang sepatutnya dilerai dan didamaikan terus dihukum dan dicampak ke luar. Sikap merasakan diri sendiri alim, benar dan ahli syurga inilah yang memburukkan keadaan dalam Pas. Sikap begini juga menyebabkan orang atas pagar menjauhi Pas.

Saya tidak fikir ada orang bercanggah pendapat dalam Pas terus mengambil tindakan mahu keluar meninggalkan Pas. Kenapa mereka perlu meninggalkan Pas atau menyuruh meninggalkan Pas. Pertelingkahan atau pun perbalahan mengenai idea dalam parti tidak perlu sampai mana-mana pihak meninggalkan parti atau suruh meninggalkan parti. Tindakan itu tidak bijaksana.

Apabila Abdul Hadi menyuruh mereka meninggalkan parti, seolah-olah Pas itu adalah haknya dan kabilahnya sahaja. Pas bukan hak ahli dan penyokong Pas Terengganu, atau mana-mana qaul, tetapi ia adalah milik semua orang yang menyakini perjuangan Pas benar dan betul selari dengan perjuangan Rasulullah. Pas seperti agama, milik semua orang dan bukan milik golongan lebai atau mereka menguasai mana-mana khariah masjid atau surau sahaja.

Jangan merasakan Pas itu adalah kepunyaan pengilik kitab atau mereka yang tahu memutar serban ala ekor kibas atau ekor gajah? Islam juga adalah hak orang berkepala golek. Penilaian Islam atau tidak seseorang bukan semata-mata kepada perhiasan dan pakaian.
Kalau ada golongan yang "direstui" Abdul Hadi agar meninggalkan parti itu kerana tidak sehaluan dari segi membawa hala tuju atau uslub Pas, rasanya tidak perlu mereka akur dengan titah Abdul Hadi itu. Mereka tidak perlu meninggalkan parti atau menubuhkan parti baru. Mereka jangan mudah merasa terhina dan geram dengan seruan itu. Kalau mereka mudah berpaling punggung, itulah yang dikehendaki oleh Abdul Hadi atau mereka yang sewaktu dengannya. Mereka ingin memonopoli memiliki Pas.

Agenda untuk menjadikan Pas sebagai belakang unta kepada Umno akan terlaksana. Daripada jalur-jalur yang ada nampak Pas hendak dibawa ke arah itu. Abdul Hadi seperti sudah letih untuk terus menunjamkan Pas sebagai sebuah gerakan yang tegak berdepan dengan sekularisme Umno. Ini menghairankan.

Mereka yang dihalau keluar tidak perlu berbuat begitu. Mereka perlu kekal dalam Pas dan membaiki apa-apa kerosakan yang berlaku. Kenapa mereka harus keluar kerana Pas itu kalau diibarat rumah ia juga rumah mereka. Rumah yang dibangun bersama. Pas menjadi indah, cantik berseri seperti hari ini adalah kombinasi tenaga dan fikiran mereka, golongan umarak dan profesional. Kalau bukan kerana politik profesional mungkin Pas masih kekal menjadi parti kampung dan tepian pantai sahaja.

Atas jasa dan budi itu mereka tidak perlu meninggalkan. Kalau pun mereka bertelagah jalan keluar bukan menubuhkan parti baru. Mereka harus berjuang dan berdebat untuk pertahankan Pas. Golongan yang disuruh keluar itu harus merasakan atau memiliki kekuatan untuk menghalau orang yang menghalau mereka terlebih dahulu keluar Pas.

Pertahanan ke atas rumah Pas perlu sampai ke titis darah terakhir. Semua keluarga perlu membuat keputusan bahawa rumah itu milik siapa. Kalau semua rumah tidak dimiliki tetapi sebahagiannya harus dipunyai. Untuk meninggal begitu saja, kerana frustasi dan merajuk jangan sama sekali. Sebab Pas adalah hak bersama dan tanggungjawab bersama. Pas tidak dinamakan ke atas nama sesiapa pun. 

BACA LAGI SINI

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Masyiok ni jenis pandai pandir menegur...jadi biarlah dia terus menerus menegur. Kdg2 boring klu xder yg 'kurang' menegur. Teguran dia lagi bernas dgn tukar beberapa ayat je...tukar nama tghh kpd nama babi. Tepat dan padat.

Insan peranto berkata...

Yang nk tubuh pasma tu lah antara org yg telagah dgn almarhom ust azizan.. Dia org tuu lah yg buat jatuhnya krajaan pas Kedah..

Master Jaguh berkata...

Rahsia Teragung Lelaki Sejati Terbongkar !!
This Is What Women Really Want !!
KLIK HERE !!

Tanpa Nama berkata...

Nasib baik pr x dpt putrajaya hr tu...kalau x mesti berebut nak jd pm pulak....haru. biru...biarlah bn perintah malaysia smpi bila2...dah top2 man dlm pr smua haru biru...meeting2 lepas tu u turn...din ayam jugak untung...menantu presiden pun untung dpt kerja kat sgor...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...