02 September 2014

RM100,000 HILANG SEMALAMAN APABILA PENJENAYAH CURI TAC PERBANKAN INTERNET


Ada caranya untuk penjenayah curi TAC perbankan Internet



Ramai mungkin menyangka perbankan Internet selamat, namun ia sebenarnya masih mempunyai 'lubang' yang boleh disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Guangming Daily melaporkan seorang peniaga dari Damansara dekat Kuala Lumpur kehilangan lebih RM100,000 apabila akaun perbankan Internet untuk syarikatnya diceroboh.

Penceroboh tersebut bertindak mencuri identiti mangsa dan membuat laporan kehilangan telefon bimbit kepada syarikat telekomunikasi.

Tujuan penjenayah tidak lain untuk memperolehi kad sim baharu bagi nombor telefon yang dimiliki mangsa, sekali gus membolehkannya menerima kod transaksi (TAC) yang diperlukan untuk urusan perbankan Internet.

Mangsa kes tersebut menyedari gangguan perkhidmatan untuk dua telefon bimbitnya pada Rabu lalu dan membuat aduan kepada syarikat telekomunikasi.

Syarikat telekomunikasi pula memaklumkan bahawa perkhidmatan telefon telah dihentikan atas permintaan pengadu tetapi perkara itu dinafikan mangsa tersebut.

Mangsa berpuas hati apabila mendapati perkhidmatan telefonnya disambung semula tetapi tidak menyangka ia merupakan petanda awal kepada satu penipuan.

Keadaan itu hanya disedari mangsa pada pagi Jumaat apabila akaun syarikatnya kekurangan lebih RM100,000.

"Hasil pemeriksaan dengan bank, saya diberitahu bahawa sebanyak 20 transaksi telah berlaku tanpa pengetahuan saya dari pukul 11 malam Khamis sehingga pukul 1.19 pagi Jumaat.

"Bank memberitahu bahawa semua transaksi diluluskan selepas TAC yang betul diberikan," kata mangsa yang bernama Chen.

Memeriksa semula kandungan dalam telefon, Chen berkata, syarikat telekomunikasi pada kira-kira pukul 10 malam Khamis lalu pernah menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) berhubung permohonan penukaran kad sim.

"Saya pada masa itu sudah tidur dan hanya sedari sms itu pada pagi Jumaat," katanya.

Mangsa percaya penjenayah mencuri identitinya untuk membatalkan kad sim asal pada malam Khamis untuk memperolehi TAC yang dihantar ke kad sim baharu.

Ia dilakukan pada waktu lewat malam ketika mangsa sudah tidur dan tidak mengendahkan sms yang dihantar oleh syarikat telekomunikasi.

Mangsa turut menghubungi syarikat telekomunikasi dan diberitahu bahawa permohonan kad sim baharu untuk telefonnya telah diuruskan seorang ejen.

Permohonan kad sim baharu disahkan dilakukan pada pukul 10.08 malam Khamis iaitu semasa mangsa sudah tidur.

Mangsa mempertikaikan bagaimana pembatalan kad sim lama dan penggantian kad sim yang baharu dapat dilakukan tanpa kad pengenalannya.

Mangsa turut mempercayai kemungkinan berlaku orang dalam yang bersubahat untuk melakukan penipuan.

Mangsa telah membuat laporan polis di Petaling Jaya.

Read more:SINI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...