14 Ogos 2014

POLIS SIASAT KEHILANGAN RM111,000 DARI AKAUN 4 MANGSA MH370



Polis Siasat Kehilangan RM111,000 Dari Akaun Empat Mangsa MH370

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat transaksi yang mencurigakan membabitkan akaun bank milik empat penumpang MH370.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, ACP Izany Abdul Ghany berkata, sejak kehilangan pesawat itu, sebuah bank tempatan melaporkan sejumlah RM111,000 dikeluarkan daripada akaun milik empat penumpang pesawat itu.

"Bank berkenaan menyedari sejumlah wang telah dikeluarkan daripada akaun terbabit pada 18 Julai lalu.

"Pihak bank menjalankan siasatan dalaman sebelum membuat laporan polis pada 2 Ogos lalu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada Rabu.


Beliau berkata, siasatan berhubung perkara itu masih dijalankan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer.

Kesalahan itu boleh membawa hukuman denda sehingga RM150,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Izany tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh pihak dalaman dan mengesahkan polis sedang menyiasat kes tersebut dari pelbagai sudut.

"Kita sedang mengesan suspek dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Misteri kehilangan pesawat MH370 sudah masuk bulan kelima sejak ia dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Pesawat tersebut dipercayai berakhir di selatan Lautan China berdasarkan data satelit yang dikeluarkan oleh Inmarsat.

Operasi mengesan pesawat tersebut dilakukan secara besar-besaran membabitkan Amerika Syarikat,New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.

Pesawat tersebut membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pada minggu lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau akan bertemu pemimpin Australia bagi menandatangani memorandum persefahaman kedua-dua negeri mengenai kerjasama dalam mengesan pesawat MH370.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...