10 Mei 2013

PECAH BERITA ! KHALID IBRAHIM DIPILIH MB SELANGOR !!!


Dua nama diangkat, tapi Khalid jadi pilihan


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

SHAH ALAM - Selang beberapa jam selepas Mohamed Azmin Ali mempertikaikan berhubung proses menamakan calon menteri besar Selangor dan mengkritik pentadbiran negeri sebelum ini, PKR tampil dengan satu kenyataan bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim telah mendapat restu Pakatan Rakyat (PR) untuk diangkat semula menjawat jawatan itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua nama telah dicadangkan kepada pimpinan parti dan nama Khalid dipilih untuk kekal sebagai menteri besar.

"Berteraskan kepada prinsip konsensus dan rundingan serta semangat kesetiakawanan dan kerjasama yang selama ini telah tersemai dalam Pakatan Rakyat, PKR telah mengangkat dua (2) nama dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri PKR yang berjaya memenangi kerusi mereka... ," tulis kenyataan media itu.

Namun, "Pas dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini," tulis kenyataan media itu lagi.

Sehubungan itu, Saifuddin menyeru seluruh rakyat Selangor dan Malaysia amnya terus bermuafakat demi agenda perubahan negara.

"Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kami dan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat terhadap para pengundi khususnya dan rakyat negeri Selangor amnya kerana telah memberikan kepercayaan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Selangor buat penggal yang kedua," katanya.

Pada sidang media tengahari tadi, Timbalan Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR Selangor bersama barisan Adun PKR yang baru dilantik menyatakan kekecewaan pihaknya tidak dipanggil untuk berbincang berhubung siapa calon menteri besar. 


Mewakili mereka, Azmin berkata, pihaknya menyokong penuh siapa sahaja calon yang dipilih parti namun ia perlu melalui konsensus dan bukannya diputuskan tanpa perbincangan.

Azmin juga turut mengkritik keras pentadbiran Khalid yang disifatkannya tidak memenuhi aspirasi rakyat dan wakil rakyat yang dipilih untuk sama-sama mengembling usaha membangunkan negeri.

Berikut adalah kenyataan penuh Datuk Saifudin.

Parti KEADILAN Rakyat memanjatkan rasa syukur kami ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan Pakatan Rakyat mempertahankan negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ini. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kami dan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat terhadap para pengundi khususnya dan rakyat negeri Selangor amnya kerana telah memberikan kepercayaan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Selangor buat penggal yang kedua.

Bagi pihak KEADILAN, saya juga ingin merakamkan penghargaan kami kepada pimpinan Pakatan Rakyat negeri Selangor, juga kepada jentera ketiga-tiga Parti KEADILAN, PAS dan DAP yang telah bertungkus lumus dan penuh komited dalam amanah yang dipikul untuk memastikan kepercayaan rakyat Selangor terus diberi kepada Pakatan Rakyat.

Kejayaan ini juga disambut dengan penuh rasa tawaddhu’ dan rendah diri, terutama dalam proses untuk menamakan seorang Menteri Besar bagi memimpin kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam pentadbiran negeri. KEADILAN sesungguhnya amat berbesar hati dan menghormati sokongan oleh PAS dan DAP yang telah bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Selangor dinamakan dari Parti KEADILAN Rakyat.

Berteraskan kepada prinsip konsensus dan rundingan serta semangat kesetiakawanan dan kerjasama yang selama ini telah tersemai dalam Pakatan Rakyat, KEADILAN telah mengangkat dua (2) nama dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri KEADILAN yang berjaya memenangi kerusi mereka dalam pilihanraya umum Negeri Selangor baru-baru ini kepada pimpinan PAS dan DAP untuk dibincang secara bersama dengan KEADILAN bagi memilih salah seorang daripada mereka untuk dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor.

PAS dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

KEADILAN dengan ini menyeru supaya keseluruhan rakyat Negeri Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk terus menggembeling semangat kerjasama dan setiakawan antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit yang telah selama ini ditunjukkan, bagi terus memastikan agenda perubahan rakyat dapat diteruskan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Sekian, terima kasih.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGUNG
PARTI KEADILAN RAKYAT


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tan Sri khalid--The right person for the right job

Tanpa Nama berkata...

yes dato khalid the right person...azmin sabar sat no.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...