09 Mei 2013

PECAH BERITA ! EJEN CALON MASIH KEPUNG PETI UNDI !!!



Kebuntuan 66 jam, ejen syaki berlaku penipuan p'raya

Mengesyaki berlaku penipuan pilihan raya dan keengganan menerima keputusan pilihan raya, sekumpulan ejen mengira bagi seorang calon Bebas di Pahang telah mengawal peti undi di pusat penjumlahan undi selama lebih 66 jam sejak malam hari pengundian Ahad lalu.

Ejen-ejen bagi Koh Boon Heng, yang bertanding calon Bebas di kerusi DUN Damak, enggan membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa keluar peti undi itu dari pusat penjumlahan tersebut kerana mereka mengesyaki ada unsur jenayah dalam proses pengiraan undi.

Salah seorang daripada ejen tersebut, Koh Xiao Fang, memberitahuMalaysiakini bahawa semasa pegawai SPR meninggalkan pusat penjumlahan undi itu, ejen-ejen tersebut masih bersama dengan peti undi di bawah pemantauan sepuluh anggota polis.


Beliau berkata mereka terkejut apabila mengetahui keputusan diumumkan oleh SPR kerana keputusan tidak rasmi yang mereka perolehi sebelum itu menunjukkan Boon Heng sedang mendahului.

Boon Heng (kanan) memperolehi 7,841 undi dan tewas kepada
calon BN Lau Lee dengan majoriti 64 undi dalam pilihan raya Ahad lalu.

Tidak percaya dengan keputusan tersebut, penyokong Boon Heng berdepan dengan pegawai SPR dan menuntut diadakan pengiraan semula undi.

Bagaimanapun, salah seorang pegawai SPR didakwa memberitahu mereka bahawa tiada lagi pengiraan semula selepas peti undi ditutup dan dipindahkan ke pusat penjumlahan undi daripada saluran mengundi masing-masing.

Di bawah peraturan pilihan raya semasa, jika perbezaan undi di saluran pengundian tunggal adalah kurang daripada empat peratus, maka pengiraan semula boleh diadakan di saluran tersebut.

Bagaimanapun, tidak ada pengiraan semula boleh dibuat apabila peti undi sudah disel dan Borang 14 telah ditandatangani oleh ejen.

Damak adalah kerusi DUN di bawah Parlimen Jerantut, dan bangunan Majlis Daerah Jerantut telah digunakan sebagai pusat penjumlahan undi semasa pilihan raya itu.

Xiao Fang, yang merupakan anak perempuan Boon Heng, berkata sekurang-kurangnya empat ejen masih mengawal pusat penjumlahan undi itu, dan mengambil giliran dengan rakan-rakan yang lain apabila mereka perlu berehat dan menjamu selera.

"Sekumpulan penduduk tempatan turut mengawal di luar pusat penjumlahan itu itu. Kami akan menunggu di sana sehingga Boon Heng mendapat sesuatu petisyen pilihan raya dari mahkamah," ikrarnya.

Seorang tokoh yang menarik

Boon Heng adalah bekas naib pengerusi DAP Pahang dan ketua badan perhubungan parlimen Jerantut. Beliau dipecat oleh parti itu apabila bertanding kerusi DUN Damak sebagai calon Bebas selepas DAP memberi laluan kepada PKR untuk bertanding kerusi tersebut.

Beliau mendapat 7,841 undi, dan kalah kepada calon BN Lau Lee dengan majoriti 64 undi dalam pertarungan empat penjuru. Dua lagi calon ialah calon Bebas Mohd Nor Jaafar dan calon PKR Jamaluddin Abd Rahim, yang masing-masing mengumpul 174 dan 2,435 undi.

Sepanjang tempoh berkempen, Boon Heng menerima sokongan daripada Setiausaha DAP negeri, Choong Siew Onn dan juga beberapa ahli PAS, termasuk calon PAS Jerantut, Hamzah Jaafar.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) juga
melancarkan kenderaan pilihan raya Boon Heng dan ia satu tindakan yang dianggap sebagai menyokong Boon Heng dalam pilihan raya tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menjelaskan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan diHarakahdaily bahawa Hadi hanya berada di situ untuk menerima borang permohonan dari Boon Heng untuk menyertai kongres penyokong parti itu.

"Presiden tidak menyokong mana-mana calon Bebas. Beliau (Boon Heng) mahu menyerahkan borang permohonan untuk menyertai kongres penyokong kami.

"Dia naik ke pentas selepas menyerahkan borang tersebut. Dan atas permintaan orang ramai, mereka mengangkat tangan bersama," kata Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang, sambil menambah itulah sebabnya terdapat gambar tersebut.-MK

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...