27 Disember 2011

PEMIMPIN MAKAN ISI, KITA MAKAN KUAH

Kuah pun rasa ayam juga, lauk untuk pemimpin kita


Pilihanraya sudah hampir tiba. Dalil-dalilnya semakin jelas. Pembahagian-pembahagian duit ratus-ratus ringgit seorang sudah mula dibayar. Walaupun pembayaran itu terlalu rendah untuk berkuasa dan mendapat pulangan yang berbillion bagi pemimpin-pemimpin yang berkuasa, itulah caranya UMNO hendak selamat kali ini. Walau bagaimana pun itu hanyalah usaha tetapi yang menentukan tetap rakyat.

Kalau dikaji dari jumlah yang dibayar kepada rakyat, dengan jumlah sebanyak 1 trillion ringgit yang dilarikan oleh setengah pihak yang berkuasa atau pun kroni pihak yang berkuasa jumlah itu terlalu kecil: ibarat sebesar tahi gigi sahaja.

Lagi pun yang dibahagi itu adalah duit rakyat sendiri, duit pembayar cukai dan bukannya duit UMNO atau pun BN. Yang dibawa lari sebanyak 1 trillion ringgit keluar negara sejak 10 tahun dahulu pun adalah wang yang di curi dari rakyat. Semuanya rakyat yang punya.

Saya sempat berjumpa dengan ramai orang yang bertanya tentang RM500 dan bantuan sekolah RM100 yang dihebohkan oleh media setiap malam melalui TV3 itu. Rata-rata memberikan pandangan yang itu merupakan satu pembelian undi dan sokongan. Rupa-rupanya rakyat kita ini adalah terlalu murah pada pandangan pimpinan kita.

Ada juga yang mengatakan yang mereka hanya mendapat kuah sahaja tetapi ayam dan dagingnya di belasah oleh mereka yang berkuasa dan kroninya. Ada yang mengatakan kepada saya yang mereka hanya mendapat kuah kerana mereka menilai kita hanya setakat nilai kuah ayam sahaja.

Tetapi saya mengatakan, tak apalah dapat kuah sahaja. Selama ini pun tuan-tuan makan kuah sahaja. Biarlah lauk ayamnya mereka yang sental. Dah kita ini layaknya hanya setakat menghirup kuah sahaja, nak buat macam mana.

Mereka (pemimpin) hanya mahukan kita makan kuah sahaja dan tak lebih dari itu. Mereka mengatakan kalau makan dan menghirup kuah ayam, kuah itu rasa ayam juga. Asalkan dapat rasa ayam itu cukuplah. Kalau kita hirup soup kambing sahaja, soup itu pun ada rasa kambingnya. Cukuplah setakat itu.

Ayam dan kambing serta lauknya bukannya untuk kita. Itu untuk pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni mereka sahaja. Rakyat mesti sedar kenyataan ini. Kita mesti sedar yang rakyat hanya mendapat kuah ini adalah kehendak rakyat sendiri. Bukankah rakyat yang membiarkan mereka makan lauk dan kita semua makan kuah. Itu pilihan rakyat juga selama ini.

Kalau rakyat hendak makan lauk selepas ini, usaha itu mesti dilakukan oleh rakyat sendiri. Rakyat terpaksa ketepikan mereka yang ‘kuat makan’ ini. Cara untuk mengenepikan mereka yang ‘kuat makan’ ini rakyat sendirilah yang patut berfikir. Pilihannya luas terbentang. Tepuk dada tanyalah selera.

Tetapi kalau rakyat tidak berbuat sesuatu, itu sahajalah yang kita dapat selalu…..RM500 semasa undi rakyat diperlukan.Mereka (pemimpin) masih berfikir yang rakyat sudah selesa dengan makan kuah sahaja.

Kok tak dapek makan isi (lauk) dapek kuah pun cukuplah…..kuah ayam pun rasa ayam jugak kan!! Lauk yang sedap-sedap tu biar pemimpin-pemimpin kita makan, kerana mereka 'kuat makan'-ASPAN ALIAS

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...