28 Disember 2011

AZIZ BARI MUNGKIN BERTANDING DI SABAK BERNAM


Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdul Aziz Bari mungkin bertanding di kawasan parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum akan datang, seandainya terdapat permintaan dan sokongan agar beliau bertanding di situ.

MerdekaReview dimaklumkan sumber bahawa ada tanda-tanda Aziz Bari bertanding di kawasan parlimen tersebut, melihat kepada kekerapan beliau kembali ke kampungnya di situ kebelakangan ini. Ketika dihubungi MerdekaReview, Aziz Bari enggan mengulas panjang, tetapi berkata, "Kalau ada sokongan, kena fikirkanlah juga, untuk perubahan..."

Pakar perlembagaan ini mencetus kontroversi apabila mendakwa "tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim", ketika ditemuramah Malaysiakini. Kenyataan beliau dibidas dalam Utusan Malaysia, malah ada yang membuat aduan polis terhadap Abdul Aziz Bari dan Malaysiakini. Ekoran daripada itu, Abdul Aziz Bari dan wartawan Malaysiakini disoal-siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 17 Oktober 2011.

Jawatan Aziz Bari digantung, dan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada UIAM pada 19 Oktober 2011. Siswa-siswi dan orang awam bangkit mempertahankan Aziz Bari, mengutuk tindakan mencabul kebebasan akademik. Akhirnya keputusan penggantungan tersebut ditarik balik lantaran desakan umum, namun Aziz Bari akhirnya memilih untuk meletak jawatan.

Dalam PRU 11 pada tahun 2004, calon PKR Badrul Amin Bahron tewas kepada Mat Yasir Ikhsan dari UMNO dengan perbezaan 5,348 undi. Badrul Amin meraih 8,478 undi dari jumlah 30,862 orang pengundi, sementara Mat Yasir memenangi 13,826 undi. Bagaimanapun, undi majoriti dikurangkan sehingga 1,335 undi dalam PRU 12 pada 8 Mac 2008, Abdul Rahman Bakri dari UMNO menang dengan 12,055 undi berbanding Badrul Amin yang mendapat 10,720 undi. Daripada jumlah 31,381 orang pengundi, 81.25% adalah Melayu, 13.61% adalah Cina, 5.12% adalah India dan 0.02% lain-lain.-MR

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...