01 Disember 2014

AZMIN JANGAN TUNJUK HEBAT SANGAT...ORANG KAMPUNG PUN TAHU APA ITU 'SURPLUS'



Khalid ingatkan Azmin jangan cari kesalahan orang



Selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ditangguhkan pada hari pertama 24 November lalu, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dengan bangganya mengumumkan Belanjawan 2015 yang disifatkannya sebagai terbaik dari yang sebelum ini.

Kata-kata itu bukan terselindung lagi untuk beliau yang tidak sampai tiga bulan memegang jawatan Menteri Besar, cuba membandingkan perbelanjaan defisit oleh mantannya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dengan mengurangkan perbelanjaan mengurus kepada RM1.29 bilion berbanding RM1.23 bilion pada zaman Abdul Khalid dan memperbanyakkan pula perbelanjaan pembangunan kepada RM1.13 bilion berbanding RM625 juta, Mohamed Azmin menganggap apa yang dilakukannya itu adalah sebenar-benar pemerintah yang menggunakan wang kerajaan secara berhemah untuk mentadbir negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu menyifatkan, apa yang dilakukannya dengan menurunkan belanja mengurus dan meningkatkan belanja pembangunan adalah langkah berani baginya untuk meletakkan Selangor pada landasan betul.

Bercakap kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan 2015 Selangor, Menteri Besar itu berkata, dengan meningkatkan belanja pembangunan, beliau yakin dapat membantu kesan gandaan daripada segi aktiviti pembangunan di Selangor dan meningkatkan hasil.

"Sebab itu, saya yakin hasil yang kita kutip ini jauh lebih besar dari apa yang kita anggarkan… dan ini dapat membiayai defisit belanjawan yang diumumkan itu,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan dan tindakan Mohamed Azmin itu dibalas oleh Abdul Khalid yang merasakan ada sesuatu yang tersirat cuba diterjemahkan oleh pentadbiran baharu berhubung perbelanjaan negeri dari tahun 2008 hingga 2014.

Dalam kenyataan balasnya, ADUN Pelabuhan Klang itu berkata, dakwaan kononnya beliau gagal mentadbir dan menguruskan sistem kewangan kerajaan negeri adalah tidak benar sama sekali dan mempunyai unsur berniat jahat ke atasnya.

"Kenyataan (Mohamed Azmin) itu seolah-olah hendak memberi tanggapan negatif mengenai pengurusan fiskal dan kewangan ketika saya diberi tanggungjawab sebagai Datuk Menteri Besar Selangor.

"Malah, amat jelas sekali pada pandangan saya ada pihak yang tidak faham atau kurang arif mengenai amalan pengurusan kewangan yang baik, cekap dan berkesan," katanya dalam kenyataan balas kepada media.


Abdul Khalid menegaskan, walaupun pentadbiran terdahulu memohon perbekalan tambahan setiap tahun 2008, namun kerajaan Selangor sebenarnya mempunyai lebihan (surplus) berikutan hasil kerajaan negeri melebihi perbelanjaan.

Nampaknya, unsur dendam terhadap Abdul Khalid tidak pernah padam walaupun beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar dan meletakkan jawatan itu berkuatkuasa 23 September lalu.

Bermacam-macam kes dan isu dibangkitkan oleh pentadbiran baharu terhadap ADUN Pelabuhan Klang itu iaitu daripada perjanjian air Langat 2, bayaran pampasan RM2.6 juta kepada pembantunya sehingga pembinaan Lebuh Raya Kinrara - Damansara (Kidex) yang melibatkan kos RM2.42 bilion.

Pendek kata apa sahaja yang Abdul Khalid buat sepanjang hampir enam tahun menjadi Menteri Besar Selangor, dilihat sebagai wujud keraguan yang munasabah dan ada antaranya terpaksa disemak atau dikaji semula.

"Hakikatnya apa yang saya lakukan itu boleh disemak dan dipastikan semua oleh orang ramai, termasuk telah mendapat pengesahan oleh Ketua Audit Negara,” katanya.

Abdul Khalid berkata, walaupun kerajaan negeri memohon perbekalan tambahan setiap tahun, rizab negeri tidak pernah berkurangan, malah semakin bertambah saban tahun.

"Dia (Mohamed Azmin) boleh sahaja merujuk kepada Penyata Kewangan Negeri yang mengesahkan Kumpulan Wang Disatukan bertambah sejak tahun 2008.

"Tambahan pula, rizab negeri menunjukkan trend meningkat walaupun perbelanjaan kerajaan negeri turut meningkat setiap tahun.

"Ini menunjukkan jumlah rizab yang tinggi tidak pernah dijadikan justifikasi untuk kerajaan negeri berbelanja lebih di luar keperluan atau kemampuan atau memohon belanja tambahan," katanya.

Ini juga, jelas beliau, membuktikan pengurusan hasil dan pendapatan yang cekap oleh kerajaan negeri pimpinannya sebelum ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2015 Selangor itu, Mohamed Azmin mengumumkan anggaran perbelanjaan negeri tahun depan berjumlah RM2.42 bilion untuk melaksanakan rancangan pembangunan.

Jumlah itu adalah yang terbanyak berbanding perbelanjaan di bawah Abdul Khalid tahun lalu sebanyak RM1.85 bilion.

Menurut Abdul Khalid, jika disemak semula semua data belanjawan 2009 hingga 2014, adalah jelas perbekalan tambahan hanya dipohon setelah kerajaan ketika itu berjaya meningkatkan pendapatan yang dijana melalui pertumbuhan ekonomi mampan dan perbelanjaan berhemah.

Katanya, adalah terpesong sama sekali dakwaan bahawa Selangor mengalami belanjawan defisit sejak 2008 dan harus diingatkan juga kemewahan yang dinikmati Selangor pada belanjawan 2015 adalah hasil pendekatan berhemah yang diambil daripada pentadbiran terdahulu.

"Tetapi amatlah tidak bertanggungjawab bagi pentadbiran hari ini untuk mencari justifikasi belanjawan defisit dengan memutar belit fakta yang boleh disanggah dengan senang oleh bukti-bukti dalam laporan kewangan dan audit," katanya. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...