03 November 2014

PTPTN KEKURANGAN DANA: PEMBIAYAAN DIKURANGKAN


PTPTN kurangkan pembiayaan kerana kekurangan dana



Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memutuskan untuk mengurangkan jumlah pembiayaan bagi pelajar di instisusi pendidikan tinggi kerana kekurangan dana berikutan ramai peminjam gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual.

Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata setiap tahun, PTPTN memerlukan RM5 bilion untuk memberi pinjaman kepada penuntut di instisusi pengajian tinggi, dan prestasi bayaran balik yang tidak memuaskan menjejaskan dana perbadanan itu.

"Ini semua kesan daripada ramai yang tidak bayar balik pinjaman. Jumlah keseluruhan bayaran balik pembiayaan pendidikan yang diterima sehingga 31 Ogos 2014 ialah sebanyak RM5.37 bilion atau 45.62% berbanding bayaran balik sebenar yang perlu diterima RM11.77 bilion.

"Jumlah peminjam yang tidak penah membuat bayaran balik pula ialah seramai 552,638 pinjaman dengan amaun sebanyak RM4.21 bilion," katanya.

Shamsul Anuar mengulas laporan media mengenai pengurangan pembiayaan PTPTN sebanyak 5% kepada pelajar di institusi pengajian tiggi awam dan 15% bagi pelajar di institusi pengajian tingi swasta berkuat kuasa Sabtu lepas.

Bagaimanapun, katanya pengurangan jumlah pinjaman itu tidak melibatkan pelajar yang mengambil ijazah di dalam bidang perubatan.

Beliau turut menafikan keputusan mengurangkan pinjaman itu dibuat secara terburu-buru tanpa memikirkan beban kewangan yang bakal ditanggung pelajar.

"Keputusan ini dibuat demi meneruskan kelestarian PTPTN dalam memastikan badan itu terus dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan.

"Sekiranya tindakan ini tidak diambil, dianggarkan 50,000 pelajar lagi tidak dapat diberikan pinjaman," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, meminta kerajaan mengkaji semula keputusan mengurangkan jumlah pinjaman pendidikan itu.

"Dengan kenaikan kos sara hidup, mereka sepatutnya menaikkan jumlah pinjaman atau mengekalkan kadar itu berbanding mengurangkannya," kata Lim yang juga setiausaha agung DAP pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. – Bernama, 3 November

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kerajaan ni jgn lari dari membiayai pendidikan anak bangsa.Sepatutnya beri free jer sbb negara kaya raya ,rasuah tinggi ,pembaziran melampau.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...