03 November 2014

TERKINI! PARLIMEN TIADA KUASA MENAHAN GAJI AHLI PARLIMEN - MAHKAMAH PERSEKUTUAN

Mahkamah Persekutuan arah Parlimen bayar gaji Gobind



Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo hari ini melahirkan kegembiraan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengarahkan Parlimen membayar gaji dan imbuhan yang ditahan semasa beliau digantung selama setahun pada 2009.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Parlimen membayar gaji dan imbuhan yang ditahan dari ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo semasa beliau digantung selama setahun pada 2009.

Mahkamah dalam menegakkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, memutuskan yang tiada undang-undang memberikan Parlimen kuasa berbuat demikian.

Melahirkan kegembiraan dengan keputusan itu, Gobind berkata ia merupakan kes sivil terakhir yang dibawa mendiang ayahnya Karpal Singh sebelum meninggal dunia dalam satu kemalangan pada April.


"Karpal berkata kepada saya, sekiranya kita menang kes ini, harapannya ialah Parlimen akan mengkaji semula semua kes penggantungan wakil rakyat sebelum ini dan membayar mereka semula seperti yang sepatutnya," kata Gobind.

Beliau berharap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan mempertimbangkan perkara itu, sambil menambah terdapat ramai ahli Parlimen yang bertugas sepenuh masa sebagai ahli politik dan bergantung sepenuhnya kepada gaji mereka bagi menyara diri dan keluarga mereka.

"Sebarang arahan yang merampas sumber pendapatan itu sangat drakonian dan menekan,” kata Gobind dalam satu kenyataan.

Gobind digantung tanpa gaji selama 12 bulan pada 16 Mac, 2009 kerana menghina Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee dan menggelar Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu timbalan perdana menteri, seorang pembunuh.

Beliau memfailkan saman pada bulan berikutnya terhadap speaker Dewan Rakyat, setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Seri Nazri Aziz - menteri yang bertanggung jawab hal ehwal Parlimen ketika itu - dan kerajaan, memohon pengisytiharan yang penggantungan beliau batal dan tidak sah.

Beliau juga memohon deklarasi mengatakan keputusan Dewan yang mengakibatkan penggantungan itu tidak kebal daripada penelitian mahkamah dan penggantungan itu tidak mengikut perlembagaan.

Pada Oktober, Mahkamah Tinggi memutuskan badan perundangan persekutuan itu tidak mempunyai kuasa menahan pembayaran itu dan mengarahkan Parlimen membayar Gobind apa yang terhutang kepadanya.

Mahkamah juga memutuskan Gobind hanya boleh digantung daripada perkhidmatannya di Dewan Rakyat, tetapi tugasnya sebagai seorang ahli Parlimen kekal.

Responden merayu terhadap keputusan mengenai pembayaran kepada Gobind itu, tetapi Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mereka kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, yang membuat penghakiman sebulat suara hari in.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...