04 November 2014

PENIAGA BESI DISEMBELIH KERANA PERSAINGAN PERNIAGAAN!!!



Disembelih selepas tegur

SUBANG JAYA – Hanya kerana menegur pesaing perniagaannya dengan panggilan ‘hey cameraman’ seorang peniaga barang lusuh maut disembelih berhampiran sebuah kedai di Taman Pinggiran USJ, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam jam 6.30 petang, rakan mangsa pula menerima 27 jahitan selepas berlaku pertengkaran disusuli pergaduhan di lokasi kejadian.

Pertengkaran dipercayai berlaku susulan mangsa tidak berpuas hati dengan tindakan suspek melaporkan aktiviti perniagaannya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perselisihan faham antara suspek berusia 55 tahun dan mangsa dipercayai sudah lama berlaku kerana persaingan berikutan kedua-duanya menjalankan perniagaan sama.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada abang mangsa yang mengatakan adiknya maut akibat ditetak dan cedera parah.

Menurutnya, lelaki itu membuat laporan mengatakan adiknya berusia 38 tahun yang menjalankan perniagaan besi buruk sebelum itu diserang seorang lelaki di depan sebuah pasar mini di Jalan Mutiara Subang 1.

Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.25 malam kelmarin ketika menerima rawatan kecemasan di hospital.

Yahaya berkata, menurut rakan mangsa, ketika kejadian, dia, seorang kawan dan si mati sedang minum di kedai berdekatan sebelum ternampak kelibat suspek menunggang motosikal berdekatan lokasi.

Mangsa, menegur suspek menyebabkan berlaku pertengkaran antara kedua-duanya.

“Semasa bertengkar, suspek melibas si mati dengan pisau di bahagian leher. Rakannya cuba membantu tetapi turut ditoreh dengan pisau di bahagian muka.

“Akibat serangan itu, mangsa cedera di bahagian leher dari anak tekak hingga ke bahagian belakang tengkuk manakala rakannya pula cedera di dahi kanan, hidung dan bibir,” katanya.

Menurut Yahaya, hanya kesan darah dan serpihan mata pisau pemotong kertas ditemui di lokasi kejadian.

Polis sebelum itu menerima laporan awal daripada suspek yang mengatakan dia diserang tiga lelaki dan cuba dicederakan dengan pisau namun berjaya mengelak.

“Suspek diburu untuk bantu siasatan berhubung kes ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...