08 November 2014

KERETA CURI DILELONG , JPJ TERPAKSA BAYAR RM76,835


JPJ bayar ganti rugi RM76,835

Shah Alam: Seorang peniaga hari ini menang dalam samannya terhadap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung pembelian sebuah kereta curi dalam lelongan awam jabatan itu, enam tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff memerintahkan JPJ membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM76,835 kepada Mohd Iskandar Idris, selaku plaintif.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, JPJ telah gagal menguruskan penjualan secara tender hingga menyusahkan plaintif.

Mohd Iskandar, 32, memfailkan saman terhadap Adenan Md Isa, Penolong Pengarah JPJ Selangor, Ketua Pengarah JPJ dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan 12 September 2012 menerusi Tetuan Hakimi & Partners Mohd Iskandar berkata pada 31 Oktober 2008 beliau membeli sebuah kereta Perodua Kancil pada harga RM1,250 dalam satu lelongan awam yang dijalankan JPJ di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16 Shah Alam.

Beliau mendakwa diberitahu oleh JPJ bahawa kereta itu adalah sah untuk dimiliki dan hak milik boleh ditukar kepada namanya tanpa sebarang masalah.

Namun pada 14 September 2009, plaintif ditahan polis atas alasan memiliki kereta curi dan digari di khalayak ramai ketika berniaga menjual minuman di sebuah pasar Ramadan.

Beliau kemudiaan dibawa ke Balai Polis Seapark, Petaling Jaya untuk soal siasat.

Dalam saman itu, Mohd Iskandar mendakwa beliau terkejut apabila diberitahu polis bahawa kenderaan yang dibeli adalah kenderaan curi walhal beliau membelinya dalam lelongan awam yang dijalankan JPJ.

Beliau dibebaskan dengan jaminan polis setelah polis berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan sebelum kenderaan itu disita.

Mohd Iskandar berkata, beliau sempat mendapatkan semula kereta itu tetapi ia sudah dileraikan semasa dalam penyimpanan dan perlu dibaiki.

Plaintif menuntut RM12,335 untuk ganti rugi khas, kos, dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7252#sthash.sEcqrpKh.dpuf

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pegawai JPJ yg lalai seharusnya dikenakan tindakan tatatertib iaitu surcaj ke atas kerugian kerajaan. Apakah tindakan JPJ terhadap kes ini? Kes yg lebih besar ialah kemungkinan terdapat sendikit mencuri kereta yg 'kautim' dgn orang dalam untuk menjual kereta berkenaan melalui cara sah dan kemungkinan pindah milik kpd pemiik baru (pembida). Sprm juga harus siasat kes ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...