07 Oktober 2014

SAMSUNG BUAT PELABURAN RM48 BILION, SEDIAKAN 150K PEKERJAAN....INI LABUR 200 JUTA DAH RASA MEGAH....

Samsung labur AS$14.7 bilion bina kilang cip baharu


SEOUL: Samsung Electronics akan melabur AS$14.7 bilion (RM47.86 bilion) membangunkan sebuah kilang pengeluaran cip, bagi memberi lebih tumpuan kepada perniagaan separa konduktor berikutan penguasaannya dalam segmen telefon pintar semakin menyusut.

Samsung, pengeluar cip terbesar dunia, berkata kemudahan pengeluaran itu akan dibangunkan di Pyeongtaek, kira-kira 75 kilometer ke selatan Seoul. Pelaburan itu akan mewujudkan 150,000 pekerjaan, hampir satu pertiga penduduk bandar itu. Pembinaan loji baharu itu dijangka siap menjelang separuh kedua 2017.

Tumpuan kepada pengeluaran cip dibuat selepas perniagaan telefon pintarnya semakin dihimpit Apple Inc terutama dalam segmen premium manakala saingan dari syarikat China seperti Lenovo menguasai segmen sederhana dan murah.


Untung operasi suku kedua bahagian peranti mudah alih Samsung jatuh dalam dua suku tahunan berturut-turut, terburuk sejak 2011.

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat, permintaan tinggi bagi peranti mudah alih meningkatkan tempatan untuk cip, justeru bahagian separa konduktor Samsung akan menjadi penyumbang utama keuntungan kumpulan.

Loji di Pyeongtaek akan mengeluarkan sama ada cip logik atau memori, kata Samsung Electronics sambil menambah keputusan pelaburan itu di peringkat penilaian akhir.

"Ketika ini satu-satunya bahagian syarikat itu yang menyumbang keuntungan mapan adalah unit separa konduktor, jadi memang wajar ia terus memberi perhatian dan melabur dalam perniagaan itu," kata penganalisis di IM Investment, Lee Min-hee.

Perniagaan cip dijangka menjadi penyumbang tunggal terbesar bagi kumpulan itu yang dijangka mengumumkan prestasi suku ketiga yang tidak begitu menggalakkan. Samsung dijangka mengumumkan amaran tinjauan pendapatan lebih rendah esok.

Kaji selidik Thomson Reuters I/B/E/S daripada 42 penganalisis bagi keputusan kewangan suku ketiga Samsung memberikan unjuran untung operasi sebanyak AS$5.24 bilion (RM17.06 bilion), prestasi suku tahunan terburuk syarikat itu sejak suku keempat 2011.

Beberapa penganalisis mengunjurkan bahagian separa konduktor akan mengumumkan untung operasi lebih tinggi berbanding bahagian telefon mudah alih pada suku ketiga tahun ini, kali pertama dalam tiga tahun.

Bahagian pasaran telefon pintar Samsung susut sejak dua suku tahunan lalu, mengikut kajian Strategy Analytics, seiring dengan penyusutan keuntungan bahagian peranti mudah alih. - Reuters

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...