22 Disember 2013

Soi Lek Sindir Najib Tidak Faham erti VIAGRA


Chua Soi Lek tidak terima `viagra politik’ Najib , dan akui dasar kerajaan BN tidak diterima



Datuk Seri Chua Soi Lek (kanan) bersama calon Timbalan Presiden, Datuk Dr Wee Ka Siong; dan Datuk Donald Lim (dua dari kiri) membuang undi di pemilihan MCA.

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak gembira dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa MCA memerlukan “viagra politik” untuk bangkit semula dalam pilihan raya akan datang.

Presiden MCA itu berkata, beliau tidak terkejut dengan kenyataan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu kerana MCA masih lagi belum bangkit selepas kehilangan banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013.

Dalam Pilihan Raya 2008, MCA hanya berjaya mendapat 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Dalam Pilihan Raya 2013 pula, kerusi MCA merosot lebih teruk dengan hanya mendapat tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN.

Mengulas ucapan Najib, Dr Chua berkata, rakyat seharusnya bijak membuat penilaian terhadap BN secara keseluruhannya terutama MCA kerana parti itu merupakan sebahagian komponen daripada entiti itu.

"Ini bukan soal pucuk pimpinan sahaja... ini soal sokongan kepada kerajaan. MCA merupakan sebahagian daripada BN, apa dasar yang dilaksanakan oleh BN akan ditafsirkan seperti MCA sebahagian daripadanya.

"Kalau dasar itu rakyat tak terima, maka MCA dan parti komponen lain (juga) akan menanggung beban ini," katanya.

Apabila ditanya apakah MCA memerlukan Viagra untuk kembali bangkit, Dr Chua berkata: “Anda perlu tanya kepada PM apakah dia tahu apa itu Viagra?”

Najib semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA ke 60 hari ini menyeru MCA mengambil "viagra politik" bagi mengembalikan semangat anggota parti berkenaan terutama ketika sokongan daripada kalangan masyarakat Cina semakin merosot.

Presiden Umno itu berkata, MCA masih mempunyai ahli di peringkat akar umbi, namun semangat mereka lemah.

"Kita perlukan viagra politik. Lemah semangat. MCA ada ahli di akar umbi, tetapi tiada semangat.


"Nanti kita minta Menteri Kesihatan buat," katanya berseloroh.

Najib turut memberikan beberapa langkah penambahbaikan kepada MCA dalam usaha parti komponen itu meraih semula sokongan masyarakat Cina.

Beliau berharap kepimpinan MCA dapat bersatu di peringkat pusat dan bekerjasama serta mengetepikan kepentingan peribadi.

Selain itu, Dr Chua berkata, beliau tidak menyesal apabila membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden MCA.

"Kehidupan saya tidak semata-mata hanya berkisar kepada politik sahaja, malah saya masih ada rancangan lain selepas berundur nanti.

"Namun, saya masih seorang perwakilan dan anggota parti dan akan terus memberi sokongan kepada parti tidak kira dalam memberi nasihat ataupun menghadiri sebarang program yang dianjurkan oleh parti," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mengundi pada pemilihan parti sempena Perhimpunan Agung MCA kali ke-60 di Wisma MCA, hari ini, beliau berkata, keputusan tidak mempertahankan jawatannya itu untuk memberi peluang kepada pucuk pimpinan yang baharu menerajui parti.

"Saya turut berharap dan sentiasa mendoakan pucuk pimpinan yang baharu ini dapat mengembalikan sokongan masyarakat Cina terhadap MCA dan sama-sama berjuang untuk berkhidmat kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Dr Chua juga menyeru semua perwakilan menghormati keputusan yang dibuat selepas pemilihan dan bekerjasama dengan barisan kepemimpinan yang baharu bagi menerajui parti.

"Saya tidak mahu sejarah berulang apabila ada perwakilan yang tidak puas hati ketika saya dipilih menjadi presiden pada pemilihan 2010 lalu meletakkan jawatan meninggalkan parti.

"Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, tidak menghormati sistem demokrasi yang diamalkan serta tidak menghormati keputusan perwakilan kerana golongan ini mementingkan diri sendiri yang mahukan individu tertentu sahaja memimpin parti dan enggan bekerjasama dengan pemimpin baharu," katanya

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...