24 Disember 2013

Huruf alif pada kalimah ALLAH ditukar dengan logo 1Malaysia, ini kerja orang JAHIL.

Tukar huruf alif perbuatan orang jahil


Tindakan pihak tertentu mengedar risalah yang mempunyai logo Umno kepada penduduk, diselar Pas Kawasan Rantau Panjang kerana huruf alif pada kalimah ALLAH ditukar dengan logo 1Malaysia.


RANTAU PANJANG – Pas Kawasan Rantau Panjang menyelar tindakan pihak tertentu yang menukar huruf alif pada kalimah ALLAH kepada nombor satu atau logo 1Malaysia dan menggesa pihak terbabit bertaubat.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, tindakan berkenaan dikesan pada risalah didakwa menggunakan logo Umno yang diedarkan di sekitar kawasan ini.

Beliau mendakwa, tindakan mengubah kalimah ALLAH dengan membuang huruf alif dan menggantikannya dengan nombor satu yang bermotifkan jalur gemilang sebagai tindakan yang boleh meruntuhkan iman.

"Kalimah ALLAH tidak boleh ditukar dengan mana-mana simbol dan tindakan sebegitu menunjukkan kejahilan serta tidak mempunyai ilmu mengenai agama.

"Di mana ulama atau pakar agama dalam Umno? Mereka sepatutnya menegur pihak yang berbuat perkara ini kerana ia dilihat seperti sengaja mempermainkan kalimah ALLAH," katanya.

Beliau menggesa agar risalah berkenaan ditarik balik dan kesalahan tersebut diperbetulkan agar tidak merosakkan aqidah umat Islam.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Rantau Panjang, Mohammad Zailani Mohd Yunus berkata, pihak terbabit sepatutnya mengharamkan edaran kertas tersebut.

"Ia boleh menimbulkan kekeliruan dan menghilangkan tujuan sebenar ayat-ayat al-Quran diturunkan kepada umat manusia.

“Pihak terbabit sepatutnya merujuk Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-69 (2005).

“Kami berpendirian perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia menggambarkan ketaasuban melampau dan membuta tuli,” katanya.

Beliau mendesak pihak terbabit menarik balik edaran risalah berkenaan serta memohon maaf atas kekeliruan yang ditimbulkan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...