25 Disember 2013

TERKINI! SELANGOR TOLAK TAWARAN LUMAYAN UNTUK JUAL SAHAM LEBUHRAYA KESAS

Gamuda perluas pegangan


Gamuda memaklumkan syarikat itu menaikkan harga tawaran untuk membeli semua pegangan dalam Lebuh Raya Shah Alam (Kesas).

GAMUDA Bhd (Gamuda) dilihat merancang untuk memperluas penguasaannya dalam pemilikan lebuh raya di Lembah Klang selepas syarikat itu menaikkan harga tawaran untuk membeli semua pegangan dalam Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) yang belum dimilikinya.

Menerusi nota kepada Bursa Malaysia, Gamuda yang memiliki 30 peratus saham dalam Kesas Holdings Bhd memaklumkan, syarikat itu menawarkan RM420 juta untuk membeli 30 peratus pegangan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan RM280 juta untuk 20 peratus saham dimiliki Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam Kesas.

"Gamuda telah menerima persetujuan PNB berhubung tawaran baharu ini. Maklumat terperinci transaksi akan diumumkan selepas perjanjian jual beli ditandatangani," menurut Gamuda dalam nota itu, kelmarin.

PKNS dan PNB sebelum ini menolak tawaran Gamuda yang dibuat pada 4 November 2013 untuk membeli pegangan mereka masing-masing pada harga RM375 juta dan RM250 juta.

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat Gamuda hanya akan memperoleh 70 peratus pegangan dalam Kesas kerana PKNS dijangka tidak menerima tawaran terbaru itu.

"Kami tidak melihat PKNS akan menerima tawaran terbaru ini kerana iklim politik yang sensitif," menurut Hong Leong Investment Bank
.

Kerajaan Selangor baru-baru ini menegaskan akan menggunakan pegangan saham PKNS dalam Kesas untuk menghalang kenaikan kadar tol yang dijangka dinaikkan kerajaan persekutuan, tahun depan.

Kesas bagaimanapun dalam satu kenyataan, 19 Disember lalu menjelaskan kadar tol bagi lebuh raya itu tidak akan dinaikkan dan Kesas tidak disenaraikan sebagai satu daripada lebuh raya di mana caj tol akan dinaikkan, tahun depan.

Pembelian saham bantu perluas sumber perolehan

Sementara itu, Maybank Investment Research dalam satu nota, semalam, berpendapat tawaran baharu itu berpatutan dan pengambilalihan itu akan menaikkan sumber perolehan berulang Gamuda, selari dengan pandangan Kenanga Research yang percaya peningkatan 12 peratus dalam nilai tawaran untuk Kesas adalah berpatutan.

Sementara itu, 20 peratus lagi pegangan dalam Kesas dimiliki Amcorp Properties Bhd (Amcorp) kini dalam proses pengambilalihan oleh Gamuda selepas Amcorp bersetuju dengan tawaran awal RM250 juta, yang kemudian turut dinaikkan kepada RM280 juta.

Penjualan saham oleh Amcorp itu menjadikan pegangan Gamuda dalam Kesas naik kepada 50 peratus apabila urusan pengambilalihan selesai.


Kesas yang ditubuhkan pada 1993 dipertanggungjawabkan membina, mengendalikan, menyenggara dan mengutip tol untuk lebuh raya itu selama 28 tahun dan sembilan bulan. Lebuh raya sepanjang 34.5 kilometer dengan empat plaza tol itu menghubungkan beberapa kawasan utama di Lembah Klang dari Sri Petaling, Kuala ke Pandamaran.

Selain Kesas, Gamuda turut memiliki pegangan dalam Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Smart.


BERITA BERKAITAN MENGENAI KENAIKAN TOL:

BN mungkir janji jika tol naik, kata bekas Timbalan Menteri


SHAH ALAM: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menepati janjinya jika bertindak menaikkan kadar tol, kata bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata dalam Akujanji BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) BN telah berjanji untuk berusaha menurunkan harga tol.

Komitmen itu dibuat selepas Pakatan Rakyat mencanang akan menurun atau memansuhkan tol dibeberapa tol di seluruh negara, jika berjaya membentuk kerajaan pada PRU13, Mei lalu.

“Tapi jika kerajaan meneruskan juga (langkah menaikkan kadar tol), ia secara terang-terangan merupakan perbuatan memungkiri janji, yang amat tidak baik,” katanya kepada sebuah portal di Universiti Malaya (UM), semalam.
Katanya, beliau berharap agar kerajaan menyemak semula kedudukannya dengan pemegang konsesi lebuh raya.

Tambahnya, tindakan tersebut juga akan menujukkan amaran Pakatan Rakyat, bahawa BN hanya ingin memancing undi, akan menjadi kebenaran.

"Sebab itulah ada MP BN yang memberi amaran kepada kerajaan berhubung langkah ini. Jika kita buat begini, apa yang Pakatan katakan selama ini, bahawa janji kita hanya untuk memenangi undi, akan menjadi realiti,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...