20 Disember 2011

PAS Selangor dakwa Nasharudin, Hasan serang parti kerana kecewa


SHAH ALAM, 20 Dis — Sikap ‘dingin’ Nasharudin Mat Isa dan Datuk Dr Hasan Ali terhadap PAS sejak kebelakangan ini dikatakan ekoran kekecewaan mereka gagal dalam pemilihan Jun lalu selain ketiadaan pencalonan untuk mempertahankan kerusi negeri, demikian menurut beberapa pemimpin hari ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman dan timbalannya Khalid Samad mendakwa kedua-dua Hasan dan Nasharudin mengambil sikap tidak mahu dihubungi dan tidak memberi respons kepada usaha pemimpin-pemimpin parti itu yang cuba berhubung dengan mereka.

Khalid berkata adalah sesuatu yang mengejutkan kerana Nasharudin dan Hasan membuat kecaman-kecaman keras terhadap PAS, di mana-mana kedua mereka menyokong prinsip-prinsip dan hala tuju parti Islam itu sebelum ini.

“Ada tanda soal di sini. Kami faham kekecewaan tewas dalam pemilihan. Tetapi, ia tidak harus menjadi satu isu,” katanya.

“Nasharudin merupakan seorang pemimpin parti sebelum ini. Mengapa serang sekarang? Tiada bukti yang konkrit,” kata Khalid (gambar) pada sidang media di sini hari ini.

Nasharudin gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden pada pemilihan Jun lalu.

Nasharudin bersama Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, disebut-sebut akan digugurkan daripada mempertahankan kerusi masing-masing.

Hasan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali menganggap Hasan dan Nasharudin sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS.

Mustafa berkata, Hasan yang merupakan bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan Nasaharudin bertindak tidak wajar sebagai pimpinan parti.

Nasharudin dalam kenyataan kepada Berita Harian minggu lalu ada menyebut beliau berasa pelik dengan politik semasa PAS.

Mustafa juga berkata Nasharudin tidak pernah datang ke mesyuarat PAS sejak muktamar lalu walaupun dilantik sebagai ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS.

Hasan pula hanya sesekali sahaja datang ke mesyuarat PAS Pusat tetapi tidak pernah menghadiri mesyuarat PAS negeri selepas dilantik semula sebagai ahli perhubungan.

Dalam temu bual dengan Berita Minggu Ahad lalu, Nasharudin menambah, PAS sebagai organisasi Islam telah dan harus konsisten dengan wajah Islam.

Katanya, jangan sampai pegangan berpandukan al-Quran dan hadis yang menjadi tunjang dipinggirkan kerana terlalu sibuk layan matlamat dan permasalahan.

Kata Nasharudin, PAS mesti kembali berpegang kepada prinsip asal dan jangan semata-mata hendak raikan suasana politik.

Dalam pada itu, Dr Rani pula berkata, beliau menganggap Hasan sebagai “idolanya” dan oleh itu, menggesa wakil rakyat tersebut agar berbincang dengan parti dalam menyelesaikan isu-isu dan masalah yang wujud.

Katanya, Hasan seharusnya melihat mengapa beliau tidak menerima cukup pencalonan untuk bertanding semula di kerusi Gombak Setia dalam pilihan raya umum ke-13.

Oleh itu kata Dr Rani, Hasan perlu memperbaiki kekurangan-kekurangan yang wujud.

Khalid dan Dr Rani menekankan bahawa parti tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas mereka atas alasan kedua-dua mereka masih boleh diselamatkan.

“Kami mahu menyelamatkan kedua-dua mereka, khususnya Hasan memandangkan kritikan beliau dituju kepada PAS Selangor, jangan rosakkan diri anda.

“Ada kerusi-kerusi lain yang boleh ditawarkan meskipun (Hasan) tidak mendapat pencalonan untuk tanding di Gombak Setia, kepimpinan parti boleh meletakkan di mana-mana tempat,” kata Khalid.-TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...