22 Disember 2011

Konvensyen nasional Pakatan bulan depan, fokus spesifik hadapi PRU-13


KUALA LUMPUR, 22 Dis — Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan konvensyen kebangsaan bulan depan, dilihat sebagai yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 - pertemuan yang akan memfokus persiapan menghadapi pilihan raya umum.

The Malaysian Insider difahamkan konvensyen itu akan diadakan di Kedah pada 14 Januari.

Konvensyen-konvensyen sebelum ini masing-masing diadakan di Selangor dan Pulau Pinang - kedua-duanya ditadbir oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Konvensyen nasional itu yang akan bertindak sebagai usaha melancarkan hubungan kerja antara komponen PR - PKR, PAS dan DAP juga akan memfokus ‘game plan’ mereka menghadapi Barisan Nasional (BN).

“Kami merancang untuk memfokus pendekatan terperinci dalam mencapai visi dan tawaran kami bagi rakyat Malaysia.

“Pelannya ialah memperhalusi pelbagai rancangan kami bagi Malaysia, jika diberi peluang untuk menerajui peringkat pusat,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Naib Presiden PKR ini berkata, fokus konvensyen sangat spesifik - pemimpin-pemimpin PR akan menyediakan ahli-ahlinya membuat persiapan menghadapi pilihan raya, dengan menjelaskan mereka isu-isu yang perlu ditangani ketika bercakap dengan pengundi berpotensi.

Katanya, pembangkang persekutuan ini akan memastikan manifesto atau rancangan masa depan disusun ke arah menarik pengundi-pengundi muda.

“Kami ada pelbagai dokumen sehingga kini - dari Buku Jingga, pelan 100 hari, Agenda Ekonomi Rakyat Malaysia dan kejayaan-kejayaan kerajaan negeri dipimpin PR,” katanya lagi.

Katanya, PR akan menjelaskan kepada pengundi bahawa mereka akan satu penyelesaian dan pasukan pemimpin yang akan mengurangkan ketirisan dan mengatasi rasuah jika dapat menerajui Putrajaya.

Bagaimanapun beliau tidak menjawab sama ada pihaknya akan mengumumkan barisan Kabinet bayangan ketika konvensyen kelak.

“Kami komited kepada Kabinet yang kecil jika diberi mandat kelak. Fokus kekal ke atas rancangan dan dasar-dasar yang dapat menangani soal kemerosotan institusi kita.

“Pilihan PR berkenaan PM jelas tetapi buat masa sekarang fokus kekal ke atas soal menang kerusi-kerusi persekutuan, membolehkan kami memperoleh majoriti selesa,” katanya lagi.

Pilihan raya umum 2008 menyakskan BN melalui prestasi paling buruk dengan kehilangan lima negeri dan 82 kerusi Parlimen, sekali gus keciciran majoriti dua pertiga.-TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...