KUALA LUMPUR, 23 DIS – Hutang kerajaan Barisan Nasional yang semakin dan membebankan rakyat telah memaksa golongan pekerja untuk terus bekerja dalam tempih yang lebih lama.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mencadangkan lanjutan umur persaraan pekerja sektor swasta diselaraskan dengan sektor awam, iaitu kepada 58 tahun atau pun 60 tahun seperti yang dicadangkan.
“Masa sudah tiba bagi kerajaan BN untuk melaksanakan lanjutan umur persaraan untuk sektor swasta sebelum pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.
Menurutnya, umur persaraan yang lebih tinggi juga akan membolehkan rakyat Malaysia mengumpul lebih pendapatan, terutama sekali dalam iklim ekonomi yang tidak menentu ini.
Mengikut KWSP, 73 peratus daripada pencarumnya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 sewaktu bersara manakala hanya 17 peratus mempunyai simpanan melebihi RM100,000.
“Bagaimanakah seseorang itu diharapkan untuk menyara kehidupan selama 20 tahun dengan simpanan sebanyak RM50,000? Dengan lanjutan umur persaraan, orang akan diberi peluang untuk mengumpul lebih banyak kerana dapat bekerja lebih lama dalam lingkungan gaji yang lebih tinggi.
“Yang lebih membimbangkan, Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa jumlah hutang isi rumah setakat akhir tahun 2010 berada di tahap RM581 bilion atau pun 76 peratus daripada KDNK.
“Ini bermakna Malaysia mempunyai tahap hutang isi rumah yang kedua paling tinggi di Asia selepas Korea Selatan,” kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.
Dalam kenyataannya hari ini beliau berkata, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang.
Katanya, nisbah bayaran hutang lebih daripada 33 peratus dianggap kurang baik kerana biasanya institusi kewangan tidak akan memberi pinjaman jika jumlah bayaran faedah melebihi satu pertiga pendapatan.
Menurutnya, sisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK kian meningkat dari tahun ke tahun, dari 53.1 peratus pada 2010, 53.8 peratus pada 2011 kepada 54.8 peratus pada 2012.
Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pula telah melonjak 71 peratus dalam 4 tahun kepada RM456 bilion pada akhir 2011 daripada RM266 bilion pada akhir 2007.
“Inilah satu perbezaan yang ketara di antara kerajaan-kerajaan BN dan Pakatan Rakyat. PR tidak memberi wang pinjaman kepada rakyat kerana hutang piutang itu kelak akan dibayar oleh rakyat juga.
“Kerajaan Negeri PR memberi wang yang diperolehi daripada belanjawan lebihan, di mana rakyat atau anak-anak mereka tidak akan dibebani hutang.
“Dengan hutang isi rumah yang sangat tinggi di Malaysia, dan tanpa apa-apa pertolongan daripada Kerajaan Persekutuan BN yang sendiri berhutang piutang, rakyat terpaksa bekerja lebih lama untuk menampung diri dan keluarga mereka. Siapa yang mahu bekerja jika boleh bersara?”
Justeru, Guan Eng berkata, DAP mahu umur persaraan dalam sektor swasta dilanjutkan selaras dengan lanjutan yang dibuat untuk sektor awam.
“Di seluruh dunia, makin sukar untuk menemui negara yang menetapkan umur persaraan di bawah 60 tahun. Kebanyakan negara Europah menetapkan 65 sebagai umur persaraan, manakala negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman menetapkannya sebagai 67 tahun. Negara jiran kita seperti Thailand pun sudah menetapkan 60 sebagai umur persaraan,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, dunia sejagat sedang melihat lanjutan umur persaraan disebabkan jangka hayat yang kian meningkat ekoran daripada kemajuan dalam sains kesihatan, ketersediaan perubatan, pemakanan yang lebih berkhasiat dan gaya hidup yang lebih sihat secara am.
“Ini juga jelas dilihat di Malaysia di mana jangka hayat secara purata telah meningkat kepada 75, berbanding dengan 61 pada tahun 1970.
“Disebabkan peningkatan jangka hayat ini, orang yang berumur sekitar 55 hingga 60 tahun sebenarnya berada dalam zaman paling produktif, dan pengalaman mereka haruslah digunakan secara optimum dan tidak dibazir.
“Mereka harus diberi peluang untuk menyumbang dan bukan dibiar begitu sahaja,” tambah beliau. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan