TEMERLOH, 22 Dis: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan memfailkan saman pemula
terhadap Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi di sini esok.
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, saman pemula tersebut adalah bagi memohon injunksi (menghalang) kepada Mesyuarat Khas Perwakilan KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan aset KPF dalam Felda Holding.
“Tindakan ini dibuat bagi menyelamatkan harta Felda dan peneroka,” katanya dalam sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Pahang, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).
Mazlan berkata, penyenaraian yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu adalah tidak berasas, tidak masuk akal dan hanya bakal menggali kubur untuk peneroka.
“Sebenarnya tidak tersebut hanya untuk dapatkan dana sebesar RM3 bilion untuk agenda tertentu menjelang April nanti. Kita kenal siapa dalangnya, syarikat pelabur dan kita akan dedahkan apabila sampai masanya nanti.
“Anak juga akan buat bantahan kali kedua di tribunal Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menentukan status Tan Sri Isa Samad kerana kita tidak berpuas hati dengan jawapannya yang mengatakan beliau belum menjadi Pengerusi KPF sedangkan dia sudah bertindak sebagai penjawat itu berdasarkan surat pelantikan daripada Perdana Menteri,” katanya.
Mengenai prestasi KPF, Mazlan memberitahu, pada masa ini koperasi terbesar dan paling berjaya itu sudah memperolehi RM5 bilion setahun sehingga menjana keuntungan sebanyak RM800 juta dan rizab tunainya sahaja melebihi RM1.1 bilion.
“Sebab itu kita bersama 11 NGO pada masa ini minta semua pihak menyekat penyenaraian saham FGVH ke Bursa Malaysia supaya terus berkembang. Kami ada maklumat bahawa penyenaraian hanyalah konspirasi tertinggi untuk dapatkan dana daripada Felda.
“Mereka ini ada agenda lain dan bukan wang semata-mata. Sebab itu kita mahu kerajaan juga menyekat usaha ini kerana ia melibat maruah negara dan isu keuntungan durian runtuh kepada peneroka sebenarnya tidak berbangkit langsung.
Mengenai Isa Samad, Mazlan memberitahu Pengerusi Felda itu telah bertindak di luar bidang kuasa beliau kerana sedang berusaha menyingkirkan orang-orang yang dianggap tidak boleh bekerjasama dengannya.
“Baru-baru ini Pengurus Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab dicutikan, Kemudian saya dengar Timbalan Pengarah Pembangunan yang juga Setiusaha KPF diarah berpindah ke Putrajaya dan hari in Timbalan Pengarah Besar pula dikeluarkan oleh Isa.
“Saya diberitahu ada 18 orang lagi pegawai kanan yang akan dikenakan tindakan. Jadi kita mahu Cuepacs bertindak segera kerana tindakan oleh Isa ini dilakukan sewenang-wenangnya hanya kerana mereka ini dianggap tidak boleh bekerjasama,” katanya.-HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan