04 November 2011

Empat saman UKM harap Kabinet mansuh Seksyen 15 AUKU

(Dari kiri) Woon, Hilman, Ismail dan Azlin Shafina meminta agar keputusan Mahkamah Rayuan pada hari Isnin dihormati.

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Empat bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berharap kerajaan pusat akan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan awal minggu ini dengan memansuhkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang didakwa mengekang hak menyertai politik dengan aktif.
“Kepada penggubal-penggubal perundangan Malaysia, kami menggesa agar mereka berpegang kepada doktrin pengasingan kuasa dan keluhuran undang-undang.

“Kami meminta mereka menghormati keputusan mahkamah dan memansuhkan Seksyen 15(5)(a) AUKU secepat mungkin demi kepentingan belia dan masa depan generasi akan datang di negara ini,” kata pelajar-pelajar itu dalam satu kenyataan. Kabinet dijangka mengambil pendirian mengenai perkara itu hari ini.

Keputusan sama ada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan merayu atau tidak berhubung keputusan Mahkamah Rayuan terhadap peruntukan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dijangka diketahui hari ini.

Selama, Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penelitian terhadap keputusan penghakiman sudah dibuat, kini bergantung kepada cadangan serta pendapat Kabinet sama ada wajar atau tidak untuk merayu.

“Buat masa ini, saya tidak ada apa yang nak ditambah mengenai isu AUKU, kita tunggu sahaja keputusan Kabinet esok (hari ini),” katanya.

Malah semalam, tiga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk dua timbalan menteri berharap kerajaan tidak akan meneruskan rayuan ke peringkat lebih tinggi, sebaliknya memansuhkan seksyen tersebut.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA Gan Peng Siew yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berpendirian bahawa Seksyen 15 AUKU perlu dimansuhkan selaras dengan program transformasi politik.

Mereka juga menegaskan dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu peruntukan 15(5)(a) sudah tidak lagi wujud dan kini mahasiswa bebas untuk berpolitik.

Isnin lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan seksyen tersebut dalam AUKU itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat penuntut jurusan sains politik UKM yang menghadapi tindakan disiplin kerana didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 24 April 2010.

Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza dalam saman pemula mendakwa mereka menerima notis dari UKM untuk menghadiri Lembaga Disiplin UKM bagi menjawab tuduhan melanggar Sesksyen 15(5)(a) Akta AUKU.

Kata mereka, bertolak daripada keputusan Mahkamah Rayuan tempoh hari, masa depan negara terletak pada bahu pelajar generasi masa depan.

“Kami berpegang bahawa hak pelajar untuk melahirkan sokongan, simpati atau bangkangan adalah langkah ke depan dalam melahirkan golongan yang dihormati, kritikal dan progresif, yang mahu membawa negara ini ke tahap lebih tinggi dalam tahun-tahun mendatang, dengan berani mahu mendapatkan kebenaran, mempertahankan keadilan dan mewarisi kebebasan tanpa mengira kaum, agama atau kelas,” kata mereka lagi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...