25 Februari 2015

TERKINI: DSAI BOLEH KE PARLIMEN SEBAGAI KETUA PEMBANGKANG....


Anwar boleh ke Parlimen jika diberi kebenaran, kata pakar perundangan



Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh membuat permohonan menghadiri persidangan Dewan Rakyat bulan depan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan seharusnya ia diberi pertimbangan kerana beliau tidak mendatangkan sebarang risiko keselamatan.

Walaupun masih menjadi ketua pembangkang Parlimen sementara menunggu pengampunan Diraja, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat hadir ke persidangan Dewan Rakyat bulan depan melainkan jika Menteri Dalam Negeri memberi kebenaran kepadanya, kata seorang profesor undang-undang.


Profesor Gurdial Singh Nijar (gambar, atas ) daripada Fakulti Undang-undang Universiti Malaya berkata, Anwar adalah banduan yang disabitkan oleh mahkamah dan perlu ditahan dalam penjara.

"Beliau mesti mendapatkan kebenaran daripada menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kerana semua penjara terletak di bawah kuasa beliau. Anwar tidak mempunyai hak mutlak untuk hadir di Parlimen tetapi boleh membuat permohonan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun, beliau berkata permohonan ahli Parlimen Permatang Pauh itu boleh diberi perhatian kerana Anwar tidak mendatangkan risiko keselamatan.

Gurdial berkata demikian mengulas pengumuman Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang Anwar masih seorang ahli Parlimen sementara menunggu keputusan petisyen yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pengampunan Diraja.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya menyampaikan petisyen itu ke Istana Negara petang semalam, sebelum tempoh 14 hari tamat.

Nurul Izzah Anwar yang juga naib presiden PKR dan ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, petisyen bagi pengampunan itu dibuat atas dasar sabitan itu gagal untuk mematuhi prinsip-prinsip keadilan.

Sebagai ketua pembangkang, Anwar diberi keutamaan menyampaikan ucapannya kepada raja dan belanjawan tahunan.

Yang di-Pertuan Agong pada masa sama akan merasmikan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 9 Mac akan datang. Prosiding Dewan Rakyat berlanjutan selama 20 hari.

Gurdial berkata sekiranya Anwar tidak hadir dalam persidangan itu, Speaker boleh menggunakan budi bicaranya meminta seorang wakil ahli Parlimen daripada pembangkang untuk melaksanakan fungsi ketua pembangkang.

"Pemimpin pembangkang baru tidak boleh dilantik sementara menunggu hasil keputusan (pengampunan) lembaga itu," kata Gurdial.

Beliau berkata Speaker sebagai ketua Dewan Rakyat boleh membuat keputusan sendiri jika terdapat lompang dalam peraturan yang diperuntukkan kepada ahli dan prosiding Parlimen.

"Senario sekarang belum pernah berlaku. Di negara lain, kedudukan pemimpin pembangkang 'dikosongkan’ jika mereka dipenjarakan," katanya.

Pada 10 Februari, panel terdiri daripada lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mendapati Anwar bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, di antara jam 3.10-4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Anwar mula menjalani hukuman penjara lima tahun sejak 15 hari lalu

SUMBER

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...