08 September 2014

TERHANGAT! BUKTI MAS SUDAH BANKRAP?!!!

"Memandangkan syarikat penerbangan itu sudah bankrap dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) pula 'memberi nyawa' kepada MAS."


Tiga permintaan MASEU kepada Khazanah



Selepas hampir dua minggu pengumuman penstrukturan Malaysia Airline System Berhad, hari ini Kesatuan Kakitangan MAS (MASEU) memberitahu, pihaknya menerima pelan cadangan itu dengan hati terbuka.

Presidennya, Alias Aziz berkata, tidak ada sebab mengapa MASEU mahu menentang memandangkan syarikat penerbangan itu sudah bankrap dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) pula 'memberi nyawa' kepada MAS.

Menurut beliau, berdasarkan keadaan MAS sekarang, pelan pemulihan yang dicadangkan Khazanah perlu digerakkan segera untuk memastikan syarikat penerbangan kebangsaan itu terus wujud.


Cuma, katanya, MASEU ada membuat tiga permintaan kepada Khazanah untuk dipertimbangkan iaitu tiada paksaan dalam pelaksanaan Skim Persaraan Secara Sukarela (VSS), memohon MAS berunding dengan MASEU dalam perkara-perkara yang membabitkan kakitangan MAS dan mahu satu jaminan bahawa NewCo tidak dikawal oleh mana-mana 'tangan-tangan hitam'.

Mengulas mengenai pelaksanaan VSS kepada 6,000 kakitangan MAS, pihak kesatuan itu meminta syarikat penerbangan berkenaan berunding sehabis baik dengan Khazanah.

Kalau ada kakitangan yang menerima VSS, MASEU mahu jumlah pampasan yang diberikan tidak merugikan sehingga menyebabkan ada pekerja MAS yang hidup melarat atau berada dalam kelompok miskin tegar selepas dua, tiga tahun berhenti kerja.

"Jika ada yang ditempatkan di syarikat-syarikat milik Khazanah pula, MASEU mahu tahu status syarikat berkenaan.

"Ini penting supaya kakitangan MAS tidak diletakkan di syarikat-syarikat bermasalah, yang akhirnya akan menyusahkan pekerja itu sendiri," katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambahnya, MAS kini memiliki sejumlah 16,500 kakitangan, tidak termasuk MASwings dan FireFly.

MASEU juga mahu kerajaan menimbang supaya kakitangan MAS yang menerima VSS dikecualikan daripada cukai pendapatan memandangkan pilihan ini terpaksa dibuat disebabkan kedudukan semasa MAS.

Selain itu, kata Alias, MASEU turut meminta Khazanah mengadakan rundingan terus dengan kesatuan itu jika membabitkan isu kakitangan bagi mengelakkan Khazanah daripada tersilap membuat kenyataan yang boleh menguris hati kakitangan, sehingga moral, kualiti dan produktiviti merosot.

Yang terakhir, MASEU mahu Khazanah memastikan pelan penstrukturan kali ini berjaya dilaksanakan termasuk membuat pemilihan tepat dalam pelantikan peneraju dan Lembaga Pengarah MAS.

"Perkara ini jelas dan sudah berkali-kali disuarakan MASEU. MAS perlu peneraju yang betul-betul faham industri penerbangan dan bukan sekadar lantikan bagi memenuhi kerusi kosong sahaja," tegas beliau.

Jelasnya, MASEU sudah melalui pelbagai pelan penstrukturan MAS dan setakat ini semuanya gagal kerana pelaksanaan tidak dilaksanakan mengikut terma dan syarat.

Umpamanya, jika MAS mengurangkan kakitangan sejak dulu lagi, mungkin kali ini jumlah kakitangan yang terlibat dalam VSS lebih kecil atau mungkin tidak ada langsung.

"Tetapi pelan-pelan lalu tidak dilaksanakan dengan cekap menyebabkan masalah-masalah lama timbul semula.

"Sebanyak mana RM6 bilion suntikan daripada Khazanah ke dalam NewCo, setinggi itu juga harapan semua kakitangan untuk melihat MAS pulih dan 'terbang' lebih tinggi," katanya yang berharap formula Khazanah kali ini lebih berjaya.

 Sumber

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju semua syarat kesatuan MAS tu kecuali bab bayaran cukai. Itu tanggung-jawab bayar cukai tak boleh dikecualikan. Isteri saya VSS dulu kena bayar cukai berbelas ribu. Spesial sangat ke MAS tu?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...