11 September 2014

Malaysia akan muflis seperti Argentina


Malaysia akan muflis seperti Argentina - Tun Mahathir




Tun Dr. Mahathir secara sinis berkata, 1Malaysia Development (1MDB) berlagak seperti Dana Kekayaan Negara, berbelanja seolah-olah daripada lebihan kewangan negara namun sebaliknya ia berhutang berbilion ringgit.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Malaysia akan jadi muflis seperti Argentina jika hutang terlalu banyak.

"Berbilion ringgit dihutang yang menambah hutang negara yang tinggi. Hutang negara mesti dibayar. Jika tidak, kita akan muflis seperti Argentina.

"Sebuah negara yang mengalami defisit setiap tahun tidak mungkin bayar hutang sebesar ini," katanya menerusi entri blognya.

Dr. Mahthir berkata, IMDB digunakan untuk membeli tiga buah stesen jana kuasa daripada YTL, Ananda Krishnan dan pemilik Jimah Power di Negeri Sembilan dengan kos tidak lebih RM4 bilion.

IMDB akan memiliki sebahagian daripada saham stesen janakuasa yang akan dibina oleh Tenaga Nasional Berhad dan pihak lain.

Selain itu, IMDB juga akan membangunkan projek Tun Razak Exchange di Jalan Tun Razak. Ini tidak termasuk bantuan pelajaran 1MDB RM250,000 setahun.

Dr. Mahathir berkata, banyak negara pengeluar minyak mewujudkan Dana Kekayaan Negara daripada lebihan hasil minyak setahun, oleh sebab itu Kuwait dan Qatar membeli hotel terkemuka dengan wang tersebut.

Tetapi Malaysia hanya mengeluarkan 650,000 tong sehari dan tidak ada lebihan daripada penjualan minyak Petronas, sebahagian besar keuntungan bersih diserahkan kepada kerajaan, selain dilabur semula.

"Sebenarnya perbelanjaan kerajaan lebih besar daripada pendapatan termasuk sumbangan Petronas.

"Oleh itu bajet kita defisit bukan lebihan," ujarnya.

Beliau berkata, biasanya ketika kerajaan membuat belanjawan, pengurusan kewangan negara perlu mematuhi peraturan termasuk kelulusan had siling hutang Dewan Rakyat.

Tegasnya, untuk pelajaran tidak perlu berhutang kerana kerajaan memberi peruntukan hampir 25 peratus daripada belanjawan untuk pendidikan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...